TERKINI :

Tuesday, July 12, 2011

BERSIH 2.0 : Rasanya video nie semua kena bagi pakar Amerika tu siasat dulu betoi atau tidak..???


Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS

... Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?" Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu. Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan. Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!" Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.

Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.

Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas sususannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya. Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!

Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!

Kami berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.

Kemudian saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi garam kepada saya.

Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.

Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, "Bukan manusia!"

Saya berehat seketika. Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun. Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam ini!" Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan....

Matlamat sama..

Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"

Nota: Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.

Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.

Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak.

*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011. MerdekaReview akan memilih beberapa lagi tulisan untuk diterjemahkan, dan mengalu-alukan tulisan daripada pembaca. Sila email kepada editorial_bm@merdekareview.com. Terima kasih.

Bersih 2.0 sedia temu Pemuda Umno bincang tuntutan


KUALA LUMPUR, 12 Julai — Kepimpinan Bersih 2.0 menyambut baik tawaran Pergerakan Pemuda untuk bercakap di umum berhubung tuntutan-tuntutan pembaharuan pilihan raya dibawa oleh gabungan itu.

“Tiada masalah. Kami bersedia untuk lakukan,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) pada sidang media di sini hari ini.

“Kami bersedia untuk berdebat di umum mengenai tuntutan Bersih 2.0 dengan sesiapa,” kata beliau sambil menambah, termasuk juga dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ambiga menyifatkan tawaran Pemuda Umno sebagai satu cara yang sihat untuk membawa tuntutan Bersih 2.0 ke depan.

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan di ibu negara Sabtu lalu berhubung lapan tuntutan pihaknya.

Pada hari yang sama, Pergerakan Pemuda Umno mengadakan perhimpunan balas Patriot menentang Bersih 2.0 dengan mengumpulkan sekitar 500 orang.

Ambiga juga meminta orang ramai agar terus membantu menggerakkan agenda pembaharuan secara aman dengan mengenakan sesuatu yang berwarna kuning setiap Sabtu.

Menurut Ambiga, polis masih menangkap mereka yang mengenakan kemeja-T Bersih 2.0.

Peguam Andrew Khoo, yang juga ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 mengingatkan penyokong-penyokong gabungan itu boleh melakukan perubahan jika dengan segera mendaftar sebagai pengundi dalam pilihan raya umum ke-13.

BERSIH minta rakyat 'pakai kuning' setiap Sabtu

http://1.bp.blogspot.com/-bLdPVi2Lh0I/Tg0fhpW0GWI/AAAAAAAAO5U/-KAPgwzihJw/s1600/kuning.jpg

Jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 mencadangkan rakyat berpakaian kuning setiap Sabtu sebagai sokongan berterusan kepada pergerakan itu yang menuntut lapan perkara bagi pembaharuan pilihan raya di negara ini.

NONEKetua BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga meminta rakyat memakai apa-apa yang kuning pada setiap Sabtu sebagai menunjukkan sokongan mereka kepada tuntutan 62 NGO gabungannya itu.

"Sehingga reform seumpama itu dibuat, kita minta rakyat memakai apa sahaja yang kuning pada setiap Sabtu. Tidak kira sama ada baju atau apa-apa sahaja...,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Ambiga berkata walaupun perhimpunan Sabtu lalu mendapat sambutan luar biasa rakyat, tetapi tugasnya membuat lapan tuntutan bagi sistem pilihan raya bersih dan adil di negara ini masih belum selesai.

Sehubungan itu, katanya BERSIH 2.0 mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera bagi meneliti secara keseluruhan sistem pilihan raya di negara ini.

NONE"Kami percaya langkah terbaik untuk terus maju ke hadapan adalah dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja di mana ahli-ahlinya dipilih dan diterima rakyat," katanya.

Ambiga berkata suruhanjaya itu seharusnya dianggotai oleh mereka yang mendapat kepercayaan rakyat.

Suruhanjaya Diraja

"Usaha BERSIH 2.0 tetap diteruskan, kami percaya langkah terbaik untuk terus maju adalah dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, yang mana ahli-ahlinya dipilih dan diterima oleh rakyat.

bersih rally 090711 police shooting into tung shin hospital front image"Apa yang penting suruhanjaya ini perlu ditubuhkan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13," katanya.

Beliau juga kesal dengan tindakan polis yang secara terus-menerus membuat gangguan terhadap mereka yang menyokong BERSIH 2.0 atas alasan ia sebuah organisasi haram.

Semalam, beberapa orang di Johor Bharu dan Sandakan telah ditangkap kerana memakai baju kuning berlogo BERSIH.

bersih rally petaling street 090711Ambiga menyatakan BERSIH kini meminta campur tangan mahkamah bagi mencabar arahan Menteri Dalam Negeri itu.

"Mereka melakukan tangkapan atas arahan KDN kerana mendakwa kami tidak sah. Oleh itu kami failkan permohonan di mahkamah untuk cabar arahan menteri," katanya

Pak Lah: Kenapa saya jumpa Ambiga?

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan beliau memang ada berjumpa dengan Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan, bagi mengingatkannya bahawa Yang di-Pertuan Agong telah membuat kenyataan penting dan beliau mesti mematuhinya.

macc official launch 240209 abdullah badawiKata Abdullah beliau telah mendapat bantuan seorang rakan untuk mengadakan perjumpaan itu dengan Ambiga.

"Saya mahu berjumpa dia kerana saya mahu mengingatkan dia yang Agong telah membuat satu kenyataan penting berkenaan isu ini, dan dia sebagai seorang rakyat Malaysia mesti mematuhi perkara itu.

"Saya turut meluahkan pandangan saya bahawa mereka tidak sepatutnya mengadakan perhimpunan tersebut kerana ia akan menyebabkan banyak masalah. Saya tidak berjumpa dia semenjak itu (dan) tidak berkata apa-apa lagi," katanya.

Abdullah bercakap kepada wartawan selepas merasmikan Forum Perlancongan Dunia Islam di Kuala Lumpur pagi ini.

bersih rally 090711 police kick protestor story imageKetika diminta mengulas dakwaan keganasan polis semasa perhimpunan Sabtu lalu, Abdullah mempertahankan polis dan berkata keadaan sukar untuk polis semasa perhimpunan itu.

"Kerana keadaan, disebabkan oleh tekanan dan kebimbangan di kalangan rakyat sesuatu yang buruk mungkin berlaku, saya rasa polis telah melakukan sebaik yang mereka boleh.

"Ini tidak mudah, namun mereka berjaya memastikan perhimpunan itu tidak sampai menjadi keadaan yang boleh menyebabkan bencana.”

Bagaimanapun, Abdullah mengakui bahawa kerajaan mungkin akan berdepan dengan beberapa kesan buruk akibat perhimpunan berkenaan.

funeral baharudin bersih protesterTambahnya, beliau yakin kerajaan akan melaksanakan sebahagian daripada tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) jika tuntutan mereka menjadi kepentingan orang ramai.

"Kerajaan kita sensitif. Jika sesuatu boleh dilakukan untuk kebaikan, kenapa tidak? Mereka (kerajaan) akan lakukannya,” katanya.

Pergerakan BERSIH 2.0 diterajui 62 NGO dengan tujuah mengadakan satu perhimpunan sebelum petisyen mereka kepada Yang di-Pertuan Agong supaya campur tangan dalam memulakan reformasi sistem pilihan raya negara.

Petisyen itu akan mengusulkan beberapa permintaan. Antaranya:

  • azlanPendaftaran pengundi secara automatik ketika berusia 21
  • Reformasi bagi sistem undi pos untuk para pengundi luar bandar
  • Penggunaan dakwat yang tidak dapat dipadamkan bagi mengelakkan undi berulang-kali
  • Capaian media aliran utama untuk parti pembangkang
  • Tempoh kempen minimum 21 hari
  • Kebebasan badan penguatkuasaan bertindak berhubung kesalahan pilihan raya
  • Menghapuskan rasuah pilihan raya

BERSIH 2.0 - Laman Liow Tiong Lai dibanjiri cemuhan [video]



Laman Liow Tiong Lai dibanjiri cemuhan

Semalam, Timbalan Presiden MCA, Liow Tiong Lai yang menafikan "gas pemedih mata ditembak ke dalam perkarangan hospital Tung Shin", kini merasai "malapetaka" yang disebabkan kenyataan beliau. Malah, warga internet membanjiri laman diri-nya dengan cemuhan, kritikan, maki hamun, mendesak beliau menjawab setelah ditampalkan gambar, klip video yang jelas menunjukkan gas pemedih mata ditembak ke dalam perkarangan hospital.

Liow Tiong Lai mempertahankan tindakan polis, bahawa tiada gas pemedih mata yang ditembak ke dalam hospital, menyebut kemungkinan ia ditiup angin ke dalam kawasan itu, dalam satu sidang media semalam. Malah, apabila diminta untuk mengulas tindakan anggota polis menyerbu ke dalam hospital untuk menangkap orang, beliau berkata polis membawa peserta demonstrasi yang tercedera untuk dirawat di hospital.

Kenyataan ini mengundang kemarahan dari warga internet, yang berada di tempat kejadian semasa FRU menyuraikan peserta demonstrasi. Malah, Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor mengeluarkan kenyataan semalam, dengan tajuk "Berbohong bukan budaya kita", menuntut Ketua Polis Negara memohon maaf secara terbuka, kerana gambar dan klip video yang dirakam jelas menunjukkan gas pemedih mata ditembak ke dalam perkarangan hospital.

Sebelum ini, lebih 10,000 warga internet menyokong satu page memboikot China Press, kerana membubuh tajuk pada muka surat depan di akhbar tersebut, yang ditafsirkan sebagai "mempersalahkan peserta perhimpunan kerana kekecohan yang berlaku". Ramai warga internet kaum Cina yang turun ke jalan raya kali ini, menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana kekerasan digunakan polis untuk menyuraikan perhimpunan aman BERSIH 2.0.

Merdeka Review

Video Sambutan & Ucapan Presiden PAS sewaktu di sambut di Lapangan Terbang selepas BERSIH 2.0




Bersih 2.0: Malaysia perlekeh demokrasi, kata PBB

July 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Julai — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan penggunaan pendekatan keras termasuk gas pemedih mata oleh polis untuk menangani perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu menunjukkan Malaysia memperlekehkan proses demokrasi.

Badan sedunia itu berkata Malaysia, yang turut menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah “mengehadkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.”

Pakar-pakar hak asasi manusia PBB melahirkan pendirian tidak senang dengan penggunaan air berasid dan gas pemedih oleh pihak berkuasa keselamatan ke atas penunjuk perasaan aman, yang turut membawa kepada kecederaan dan satu kematian, kata pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia agensi itu dalam satu kenyataan dari Geneva lewat malam tadi.

Malaysia dipilih menduduki majlis itu tahun lalu tetapi berhadapan dengan kritikan ekoran penggunaan undang-undang penahanan pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan perkembangan semasa boleh menjejaskan peluang ia dipilih semula menganggotai badan itu pada 2013.

Frank La Rue, Pelapor Khas PBB mengenai hak kebebasan pandangan dan pendapat berkata, tindakan Malaysia mengisytiharkan perhimpunan sebagai haram, menutup sebahagian besar ibu negara dan menangani peserta dengan cara sedemikian memperlekehkan kemajuan demokrasi.

Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan tindakan polis.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis akan menggunakan rakaman video sebagai bukti untuk mendakwa di mahkamah pihak-pihak tertentu khususnya media asing yang membuat tuduhan tidak beasas terhadap pasukan keselamatan.

Meskipun polis telah mengatakan bahawa pihaknya sudah membebskan kesemua 1,700 tahanan pada hari yang sama Sabtu lalu, PBB berkata tindakan menahan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj belum lagi dibebaskan daripada tahanan di bawah Ordinan Darurat.

La Rue berkata tindakan mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai gerakan haram tanpa bukti kukuh juga satu lagi halangan tidak munasabah ke atas hak sivil dan politik.

Bersih mendakwa telah dapat menghimpunkan kira-kira 50,000 orang di ibu negara tetapi dinafikan oleh pihak polis.

Berapa laa duit di perabihkan untuk halang Bersih 2.0??

Berapa kos kerajaan halang himpunan Bersih 2.0

PARIT BUNTAR, 12 Julai: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) mempersoalkan kewajaran polis mendedahkan kononnya kerajaan memperuntukkan RM25 setiap hidangan kepada penyokong Bersih 2.0 yang ditahan dalam perhimpunan aman di ibu negara, Sabtu lepas.

Beliau berkata, dikatakan sebanyak RM42,425 diperuntukkan untuk juadah bufet yang disediakan bagi menampung 1,697 individu ditahan.

Katanya, kenyataan tersebut dikatakan untuk menafikan dakwaan bahawa tahanan dilayan tanpa belas kasihan.

Dalam kenyataan itu juga Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, bukan hanya makanan umpama kenduri kahwin, polis turut menyediakan tempat solat untuk tahanan beragama Islam di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak.

Dalam kenyataan itu dikatakan ruang solat, bilik rawatan perubatan juga disediakan bagi memberi keselesaan kepada peserta.

Tempat tahanan itu melibat Pulapol, balai polis di Jinjang dan Cheras.

“Bagi saya tujuan kenyataan yang dikeluarkan di atas adalah untuk menunjukkan baiknya pihak kerajaan melayan orang kena tahan (OKT) sedangkan realiti yang dapat disaksikan dengan ratusan jumlah rakaman yang tersebar dalam media baru dengan jelas menunjukkan para peserta himpunan aman Bersih dikasari dan ada yang diperlakukan seperti binatang,” ujarnya.

Persoalanya, kata beliau wajarkah seramai itu mereka ditahan sedangkan himpunan itu adalah himpunan aman dan sudahpun mendapat perkenan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, cuma pihak Hishammuddin sahaja yang berdegil untuk tidak memberi permit sesuai dengan pemohonan Jawatankuasa Bersih yang memohon untuk berhimpun di Stadium Merdeka.

Selain itu, soalnya kenapa pula pihak polis tidak sedikitpun mengeluarkan kenyataan walaupun didakwa anggota polis yang bertugas sebelum, semasa dan selepas perhimpunan hanya diberi makanan bungkus, namun berapakah jumlah biaya yang dikeluarkan untuk itu.

“Setahu saya jumlah pasukan keselamatan yang dikerah untuk bertugas melebihi 10,000 orang.

“Kalaulah seorang memerlukan peruntukan makan sebanyak RM10 sahaja tentunya biayanya lebih besar dari biaya untuk OKT iaitu RM100,000,” ujarnya.

Itupun, katanya tidak dikira lagi elaun perjalanan, dan lain-lain tuntutan bagi semua anggota yang terlibat.

“Jangkaan saya akan mencecah tujuh angka,” katanya.

Malah, ujarnya menurut OKT sejadah untuk sembahyang yang disediakan nampak baru semuanya dan berapa pula biaya untuk itu semua.

“Juga kenapa pula mereka tidak mengeluarkan kenyataan mengenai biaya menyediakan peluru gas pemedih mata dan air asid yang saya kira mungkin paling banyak digunakan pada himpunan aman itu,” katanya lagi.

beliau menambah, sesungguhnya membesarkan jumlah biaya makan untuk OKT dangan merahsiakan jumlah biaya keseluruhan operasi menghalang hak dan kuasa rakyat berhimpun secara aman adalah sesuatu tindakan yang lucu dan tidak bertanggungjawab.

Justeru, beliau mengharapkan ada ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat yang akan menjadikan topik itu sebagai soalan dalam sidang Parlimen akan datang.

Apapun, katanya tindakan menghalang himpunan aman adalah jelas satu tindakan yang sangat tidak bijak dan menggambarkan ketakutan yang amat sangat kepada demokrasi yang lebih bersih dalam negara kita.

Tambahnya, pemimpin Umno dan BN sangat takut dengan kuasanya yang akan hilang tanpa bantuan tongkat sakti selama ini yang semakin tidak sakti.

Baginya, apa saja alasan yang dikeluarkan oleh mereka sebelum dan selepas himpunan aman Bersih adalah usaha untuk menggambarkan himpunan itu gagal mencapai matlamatnya.

“Biarkan mereka cuba menipu rakyat dan dirinya sendiri. Marilah kita sama-sama bertekad untuk menyelamatkan Malaysia yang mesti diselamatkan dalam PRU akan datang.

“Tidak ada lain hanyalah dengan berkerja dengan gigih dan tekun tanpa mengitra penat dan lelah. Apa lagi untuk takut kepada ancaman dari BN yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu,” katanya.

Auta betul la AZEEZ nie.. mana ada tahanan BERSIH kena sumbat lokap..depa dok makan kenduri di PULAPOL nuu..!!!

Kualiti Azeeez (Auta) Pemimpin Patriot



Dia kata dia dilokap selepas ditangkap dalam perhimpunan Patriot untuk membela Istana Negara dan Stadium Merdeka dari perderhaka! Peliknya, dalam lokap tu dia jumpa makcik-makcik peserta bersih yang di tahan di penjara....Penjara mana? Lokap mana?...Dekat- dekat ka lkap dengan penjara tu, sampai boleh sembang niii. Buat apa pulak makcik-makcik tu mai di lokap Nana dari penjara? Nak ziarah Nana ka?

Kata Azeeez Makcik tu bagitau dia mereka diupah untuk datang ke himpunan Bersih 2.0... Siapa yang upah? Berapa harga upahnya?...Makcik tu tak bagi tau ka? Habaq la Nana Azeeez...semua orang nak tau berapa upah, ambil dari siapa?...

Pasal apa Nana masuk lokap, mak cik tu masuk penjara? Yang polis dok tunjuk gambar merata kata depa baik melayani tahanan bersih, siap bagi makan dan tempat solat tu kat penjara mana? Kat lokap mana? Pasai apa depa dibawa ke pulapol, Nana di bawa ke lokap...Nana ni pendatang tanpa izin kottt!!

Makcik tu pun dia panggil penderhaka juga ka.... Awat Nana kelentong sampai sukar nak terima dek akal ni????

NI NANA...kalau Bangla kerabat nana ni dikatakan makan upah, masuk akai la jugaaaa...


Apa Class Nana Berlindung belakang FRU...!!!


Muhammad Sanusi Md Nor

Tuduh Bersih diresapi komunis, tapi penuduh pun macam komunis

Perjalanan dengan bas dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sepatutnya tiba di Puduraya tetapi dilencongkan ke perhentian bas Jalan Duta. Pemandu bas meminta maaf terhadap kesulitan yang timbul, namun itu bukan salah mereka. Mulai detik 12 malam 9 julai 2011 semua bas tidak dibenarkan ke Puduraya.

Sama ada peserta Bersih atau individu yang tiada kena mengena dengan Bersih semua menanggung kesusahan yang sama apabila laluan ke pusat bandaraya Kuala Lumpur ditutup oleh pihak polis.

Saya bertanya pemandu teksi tempat terdekat dengan pusat bandaraya Kuala Lumpur yang boleh dilalui dan bersedia untuk diturunkan di situ. Pemandu mencadangkan KL Central atau Jalan Ke Muzium Negara. Bersama rakan-rakan kami menaiki teksi namun hanya mampu sampai di hadapan muzium. Laluan ke KL Central juga ditutup. Anggota polis berkawal di mana-mana bagaikan medan perang.

Mereka yang meneruskan perjalanan hingga ke sekatan polis di hadapan muzium ditangkap dan dikerahkan menaiki trak. Saya dan seorang rakan buntu lalu berehat di hentian bas. Tiada siapa di situ kecuali kami berdua yang pada fikiran kami berhimpun hanya berdua di tempat yang selamat tanpa sebarang kekecohan bukanlah satu kesalahan. Akta Polis pun tidak boleh diguna pakai untuk dua orang yang berkumpul.

Rupanya jangkaan itu silap. Sekonyong-konyong sebuah kereta peronda meluncur laju menongkah laluan menuju kami. “Encik minta IC.” Selepas menyerahkan kad pengenalan, beg plastik saya yang hanya mengandungi kain pelekat dan sebotol air mineral digeledah.

“Encik ikut kami ke sana, kami nak kumpul bersama kawan-kawan encik di sana,” ujar seorang dari tiga anggota polis. Tindakan mereka sudah dihidu. Kami mahu diangkut menaiki trak polis dan ditahan entah di lokap mana. Rakan saya melenting, kami pun sama-sama berhujah dengan polis tersebut. Mereka tak terbalas hujah, lalu mengarahkan berdedar dari situ segera jika tidak mahu ditahan.

Pilihan yang ada ialah ke KL Central, menyusup melalui terowong bawah tanah kerana semua laluan dikawal polis. Di KL Central suasana kelihatan tegang apabila polis berkawal terlalu ramai. Asal saja terlibat kelibat orang yang syaki mahu menuju perhimpunan Bersih mereka dikelilingi anggota polis, diminta kad pengenalan dan diarahkan ke trak polis. Mudah sungguh mereka menahan orang seolah-olah semua rakyat Malaysia adalah disyaki penjenayah.

Seorang lelaki berusia kelihatan uzur dan hanya bertongkat sedang enak menikmati makanan juga diarah menaiki trak. Beberapa orang pelancong asing tertanya-tanya, apa yang berlaku?

Orangramai yang mundar mandir di situ kelihatan gelisah dan tidak ceria. Suasana yang berlaku mengingatkan kepada cerita Almarhum Ustaz Fadzil Noor sewaktu kembali dari lawatan ke Russia. Katanya di bandaraya Moscow orang jarang terseyum, semuanya berwajah serius dan jarang menyapa atau bergurau antara satu sama lain. Waktu itu negara kesatuan Soviet Union baru berkubur tetapi kesan pemerintahan komunis yang panjang menyebabkan rakyatnya hilang keceriaan hidup.

Asalnya komunis bukan suatu fahaman berasaskan keganasan. Komunisme sebagai anti-kapitalisme menggunakan sistem partai komunis sebagai alat pengambil alihan kekuasaan dan sangat menentang penguasaan modal oleh individu. Pegangan terhadap agama diperangi kerana dianggap ‘candu’. Di bawah pemerintahan komunis rakyat dipaksa menganut fahaman yang sama dengan kerajaan iaitu komunisme. Mereka yang berbeza dengan kerajaan dianggap musuh negara dan menerima padahnya. Maka disinilah bermulanya keganasan. Di Soviet Union ribuan ulamak dibunuh dan siapa yang mengamalkan agama secara terbuka dihukum.

Rakyat Malaysia, khususnya yang berumur melebihi 40 tahun, berjaya dipasakkan tanggapan bahawa komunis adalah pengganas berdasarkan peristiwa lampau yang benar-benar berlaku dalam negara. Keganasan askar komunis menyerang hendap tentera kita sekitar 60an dan 70an sangat membantu mensahihkan imej buruk komunis.

Kekejaman komunis terhadap rakyat yang enggan menerima komunisme hanya berlaku di negara komunis. Sebenarnya ancaman yang lebih besar dari kapitalisme dan agama bagi komunis ialah demokrasi. Ribuan para pelajar China yang bangkit menuntut demokrasi telah dibunuh beramai-ramai di Tiananmen Square pada 2 Jun 1989. Selepas peristiwa itu dan sehingga kini China belum dapat didemokrasikan.

Apakah kini rakyat China tidak dahagakan demokrasi? Tidak mungkin, tetapi lebih baik bagi mereka membungkam keinginan di dalam diri dari mendapat susah. Tapi percayalah suatu hari nanti kerajaan komunis akan hancur juga di China dan demokrasi yang tulen akan tertegak.

Jika ancaman bagi kerajaan komunis ialah demokrasi maka ancaman bagi kerajaan BN di Malaysia ialah demokrasi yang adil dan bersih. Malaysia bukan negara komunis tetapi perangai kerajaan Malaysia dalam mempertahankan kekuasaan seolah-olah meniru perangai komunis.

Menangkap seseorang tanpa sebab munasabah, mengharamkan baju yang mempunyai warna tertentu, menggeledah beg pakaian orang sesuka hati, mengubah laluan perjalanan orang mengikut kehendak mereka, membuat sekatan jalan di merata tempat sehingga menyusahkan orang, menghalang rakyat dari menuntut demokrasi yang adil; semua itu adalah perangai buruk yang selama ini dibuat oleh kerajaan komunis. Mereka menjustifikasikan semua tindakan menyusahkan rakyat itu kononnya untuk pencegahan walhal pencegahan sampai ke tahap itu tidak lain dari yang pernah dilakukan oleh kerajaan komunis.

Dengan media yang dikuasai mereka berkempen berminggu-minggu memburukkan imej Bersih, mengajak rakyat jangan sertai Bersih dalam pelbagai bentuk propaganda, mengaitkan Bersih dengan Kristianisasi, Yahudi, Hinduisme dan pluralisme agama, membuat beribu laporan polis, menganjurkan demonstrasi haram seluruh negara mengutuk himpunan Bersih, melakukan pelbagai provokasi serta ancaman untuk menghalang termasuk dari NGO yang disertai oleh para pendekar; namun rakyat tidak takut dan tidak peduli – lebih seratus ribu berarak di Kuala Lumpur untuk menuntut pilihanraya adil dan bersih!

Apa maknanya? Maknanya rakyat Malaysia hari ini tidak takut lagi akan ugutan ala komunis oleh BN dan BN akan tumbang seperti berkuburnya kerajaan komunis Soviet Union.

Usah lempar batu sembunyi tangan.. Rakyat ada mata dan akal...

9 Julai: Usah lempar batu sembunyi tangan

oleh Wira Arjuna

Apakah takrif keganasan yang digunapakai oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan polis sendiri?

bersih rally petaling street 090711Bagi rakyat biasa, sesuatu pihak dikira melakukan keganasan apabila menyerang dengan segala kudrat dan senjata yang ada pada mereka (gas pemedih mata, air berkimia, menumbuk dan memijak) terhadap sasaran yang tidak bersenjata (kecuali botol air mineral) tetapi hanya berhimpun secara aman.

Inilah yang berlaku pada 9 Julai.

Tidak perlu Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengemukakan video untuk membuktikan sebaliknya kerana begitu banyak rakaman yang sudah sedia ada dalam laman-laman blog untuk tatapan seluruh dunia.

NONEDan jika bukti video itu tidak mencukupi, gambar-gambar Mohamad Sabu di atas kerusi roda dan foto enam jahitan di kepala ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad boleh juga boleh diperolehi dengan mudah oleh Najib, Hisham dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk melakukan penilaian.

Kalau masih tidak memadai, mungkin ada pihak perlu memberi peringatan bahawa sebuah keluarga kini berkabung kerana kehilangan ketua keluarga mereka yang menyertai perhimpunan BERSIH 2.0.

Kematian allahyarham Baharuddin Ahmad diselubungi dengan pelbagai dakwaan namun hakikatnya ialah beliau menemui ajal semasa asakan polis bagi menyuraikan sebuah perhimpunan bersih dan aman.

Remehkan kecederaan

Namun semua fakta ini tidak akan memberi kesan kepada Najib, Hishamuddin dan Ismail kerana mereka terpaksa mempertahankan kredibiliti Polis Diraja Malaysia.

NONEMaka, oleh kerana itulah Najib meremehkan kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun mengakui ketua pembangkang itu ditembak dengan gas pemedih mata.

Ketua Polis Negara sebelum ini menafikan Anwar ditembak dengan gas pemedih mata, sungguhpun visual dan keterangan saksi menunjukkan keadaan sebaliknya.

Hishamuddin pula enggan mengakui polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia ke perkarangan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu.

tear gas fire at tung shin hospital 090711 3Ismail sekali lagi menafikan insiden memalukan itu sungguhpun, wujud foto dan keterangan saksi yang menempelak penafian itu.

Tentunya Najib dan Hishamuddin tidak mahu mengambil tanggungjawab di atas sebarang kekerasan polis sungguhpun apa yang berlaku Sabtu lalu lebih berpunca daripada keputusan-keputusan yang dibuat oleh mereka berdua.

Bertukar ganas

Persoalan asas ialah bila dan pada tahap mana perhimpunan aman BERSIH 2.0 bertukar menjadi ganas Sabtu lalu?

NONE“Keganasan” itu jelas tercetus apabila polis mula menyembur air berkimia dan gas pemedih mata serta melakukan tangkapan rawak ke atas sesiapa disyaki mendokong BERSIH 2.0.

Namun “keganasan” yang berlaku adalah pada satu pihak sahaja. Tidak ada tindak balas daripada rakyat yang menjadi sasaran.

Respon paling “agresif” beberapa peserta BERSIH ialah melontar balik sarung gas pemedih mata ke arah polis atau membuangnya ke dalam longkang dan sungai berdekatan.

NONEMereka mengharungi segala kesakitan akibat terhidu gas beracun atau terkena pancutan air berkimia atau kedua-duanya sekali. Rasa pedih dan loya dan sesak nafas hanyalah sebahagian daripada pengalaman yang terpaksa diharungi mereka.

Hakikat bahawa polis akan menggunakan kekerasan menjadi satu kepastian jauh sebelum 9 Julai menyingsing.

Aparatus polis

Ia menjadi satu hakikat apabila Hishamuddin bingkas mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebuah pertubuhan haram minggu lalu.

bersih2 rally 090711 03Hanya beliau dan Najib boleh menerangkan keperluan untuk sebuah rangkaian kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang termasuk Sasterawan Negara Datuk A Samad Said tiba-tiba boleh menjadi musuh kerajaan hanya kerana menuntut pilihan raya adil dan telus.

Apa yang jelas ialah Hishamuddin dan Najib menggunakan segala aparatus polis untuk memaksa penganjur BERSIH 2.0 membatalkan perhimpunan mereka, dengan disokong oleh media arus perdana dan institusi awam yang lain.

bersih2 rally 090711 01Namun rancangan itu tersasar kerana BERSIH 2.0 tidak beralah daripada matlamatnya mengadakan perhimpunan aman walaupun penyokongnya mula ditangkap di seluruh negara dan pemimpinnya diaibkan di media arus perdana.

Terima tamparan

Najib dan Hishamuddin juga menerima tamparan apabila Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil peranan negarawan dan berjaya “memujuk” BERSIH 2.0 membatalkan perarakan di jalan raya.

NONECampurtangan Seri Paduka itu membuka ruang untuk Najib dan Hishamuddin menyelesaikan kemelut BERSIH 2.0 secara baik, khususnya apabila penganjur bersetuju untuk menerima tawaran kerajaan supaya perhimpunan diadakan di sebuah stadium.

Namun belum sempat rakyat menarik nafas lega, gandingan sepupu ini mengisytiharkan bahawa BERSIH 2.0 pertubuhan haram dan tidak layak memohon permit.

bersih rally petaling street 090711Permohonan BERSIH 2.0 menganjurkan perhimpunan aman di Stadium Merdeka ditolak dan sebaliknya penganjur “diarah” mengadakan perhimpunan di stadium-stadium yang terletak di negeri–negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Tujuan arahan itu adalah jelas – Perdana Menteri cuba menyempitkan gerakan BERSIH 2.0 kepada sesuatu yang didalangi oleh pembangkang dan bukannya cetusan suara rakyat.

Justin Bieber lebih berhak

Najib memberi alasan kononnya Stadium Merdeka tidak boleh digunakan oleh BERSIH 2.0 kerana ia adalah mercu atau simbol negara, tidak masuk akal.

NONEStadium Merdeka telah berkali-kali digunakan untuk konsert rock dan hiburan termasuk pertunjukan Justin Bieber pada 21 April lalu.

Apakah Justin Bieber lebih berhak menggunakan Stadium Merdeka daripada ribuan rakyat negara ini yang mahu menyuarakan keperluan pilihan raya yang adil dan telus secara aman?

Tentunya tidak. Namun inilah alasan yang dijaja oleh Najib kepada penyokong-penyokong Umno, ahli pertubuhan silat dan sebagainya, sehari selepas perhimpunan BERSIH 2.0.

NONEPenganjur BERSIH menyedari perangkap yang diletakkan oleh Najib dan Hishamuddin dan terus berpegang kepada hak mereka mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka, walaupun di luar perkarangannya.

Ini kerana Stadium Merdeka adalah kawasan “neutral” dan adalah “milik” rakyat Malaysia serta bukan di bawah telunjuk mana-mana parti politik.

Patahkan BERSIH

Apabila penganjur mengambil ketetapan ini, maka arahan dikeluarkan kepada pihak polis untuk melakukan apa yang perlu bagi mematahkan rancangan BERSIH.

NONEJusteru diadakan sekatan-sekatan jalanraya, penutupan kawasan tertentu, pembekuan permit bas ke Kuala Lumpur dan pemeriksaan di hotel-hotel menjelang 9 Julai.

Perintah mahkamah diperolehi untuk menghalang penganjur dan pemimpin politik tertentu daripada memasuki Kuala Lumpur. Ibu negara seolah-olah dalam keadaan darurat.

Dengan kongkongan sebegitu, tidak hairanlah pada 9 Julai, pancutan air berkimia, gas pemedih mata polis menunggu puluhan ribu rakyat pelbagai kaum yang keluar beramai-ramai menghala ke Stadium Merdeka.

NONEHak mereka untuk berjalan secara aman dicabuli dengan sewenang-wenang di atas nama memelihara keamanan dan kesejahteraan negara.

Najib harus menerangkan bagaimana satu “perjalanan demokrasi” oleh rakyat untuk dua tiga jam di beberapa kerat jalanraya boleh menjadi isu keselamatan negara dan mendatangkan kerugian berbilion ringgit kepada peniaga, jika tidak ada provokasi polis!

Rakyat dihukum

Jika polis telah memberi kerjasama kepada lebih 5,000 pengawal yang disediakan oleh penganjur BERSIH untuk mengawal lalu lintas dan aspek keselamatan lain, apakah kita akan menyaksikan adegan-adegan yang terpampang di Internet sekarang.

NONERasanya tidak!

Akibat agenda politik Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, puluhan ribu rakyat yang “berani” menyokong BERSIH seolah-olah dikumpulkan di Kuala Lumpur dan “dihukum” dengan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia.

Lebih 1,600 orang ditangkap untuk diheret ke mahkamah, seorang mati dan tidak kurang yang menyimpan parut luka atau kenangan “ikhlas”dari polis.

funeral baharudin bersih protesterJusteru, janganlah Perdana Menteri dan sepupunya terlalu bingkas menuding jari kepada penganjur BERSIH 2.0 di atas kekecohan Sabtu lalu.

Tidak dinafikan keganasan berlaku, tetapi siapa yang mencetuskannya dan siapa pula yang mengganas?

Bak kata Karam Singh Walia dari TV3: Siapa pula yang melontar batu dan menyembunyi tangan?

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Wira Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...