TERKINI :

Monday, July 4, 2011

Kenyataan Media Presiden PAS Berhubung Titah Khas KDYMM YDP Agong!

http://4.bp.blogspot.com/_bBKwCKWoeEo/SKy-RpCnTVI/AAAAAAAABlE/YyScNP2YUgw/s320/a10881f6d7848b35081b3943d31414ac.gif

Parti Islam Se-Malaysia PAS menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman BERSIH 2.0 yang hangat diperkatakan pada waktu ini. Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keprihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini.

Titah Seri paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan, iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihanraya bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini.

Sehubungan dengan itu, maka PAS bersedia untuk menghantar wakil bersama dengan BERSIH 2.0 dan rakan politik dalam Pakatan Rakyat serta semua pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya mengadap ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini. Kesan dari salah faham initelah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi olehpihak berkuasa.

PAS percaya bahawa asas penyebab utama bantahan ini perlulah digali-selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan dalam negara kita pada ketika ini. Ini juga selari dengan titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan secara adil dan bijaksana.

Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihanraya di Malaysia dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik. Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah dua belas kali pilihanraya umum diadakan. Sejak Sekian lama ini,kerajaan Barisan Nasional telah banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam Se-Malaysia

Najib & BERSIH 2.0 : Di sebalik titah TUANKU...

Najib: Abdullah kedua atau Mahathir kedua?

Perkembangan terkini senario politik tanahair jika ditafsir dengan istilah positif, akan berbunyi "ketegangan diredakan"; dan mungkin untuk mereka yang sudah bertekad untuk turun ke perhimpunan BERSIH 2.0 pada hujung minggu ini, akan mengeluh "anti-klimaks".

Antara perkembangan yang penting adalah titah khas Yang di-Pertuan Agong yang dikeluarkan Istana Negara semalam, diikuti dengan cadangan yang diulangi Perdana Menteri Najib Razak pada pagi ini, yang menawarkan stadium sebagai pengganti jalan raya untuk perhimpunan. Terkini, Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan memohon untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, dan bersedia membatalkan perhimpunan pada 9 Julai, seandainya dinasihat untuk berbuat demikian.

Apa yang tersirat di sebalik Titah Khas

Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, sesungguhnya akan ditafsir dengan pelbagai perspektif, dari perhitungan kepentingan masing-masing. Namun demikian, seandainya teks penuh Titah Khas (dilampirkan di bawah) diteliti, akan didapati bahawa YDPA tidak menggunakan istilah HARAM, sama ada ketika menggelar BERSIH, mahupun perhimpunan tersebut. Sebaliknya, YDPA menggunakan istilah "Kumpulan Bersih", dan "perarakan dan perhimpunan beramai-ramai". Lebih penting, dalam perenggan ketiga terakhir, baginda bertitah, "Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik."

Ini penting dalam konteks di mana Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein telah mengisytiharkan BERSIH sebagai pertubuhan haram mulai 1 Julai 2011, malah polis sejak awal lagi telah mengumumkan bahawa perhimpunan BERSIH pada 9 Julai 2011 adalah perhimpunan haram.

Lebih-lebih lagi, YDPA langsung tidak menyentuh tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap BERSIH sepanjang dua minggu ini, termasuk resapan komunisme dalam gerakan itu, niat untuk memerangi YDPA, wujud anasir asing, muslihat pembangkang untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan sebagainya.

Sebaliknya, ketika menyeru kepada pihak BERSIH, YDPA bertitah, "...keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara."

Sementara itu, Baginda menyeru kepada "pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun."

Istilah "adil" digunakan, yang mana jika diteliti dalam konteks tuntutan "pilihan raya yang bersih dan adil", amat memberi makna.

Dilema Najib

Apakah perkembangan ini melembutkan sikap Najib Razak, yang masih berkeras dengan kenyataan "Ambiga jangan fikir kuat" pada 2 Julai, kepada cadangan "Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul", pagi tadi?

Untuk Najib Razak (gambar kiri), perhimpunan BERSIH 2.0 wajib dipatahkan untuk mengelakkan "tsunami politik" pada 8 Mac 2008 berulang. Perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007 dikatakan sebagai punca utama yang menyebabkan kekalahan UMNO-BN dalam PRU-12 - hilang majoriti dua pertiga dalam parlimen, di samping empat kerajaan negeri bertukar tangan, dan Kelantan kekal dalam genggaman PAS.

Namun demikian, tindakan terlalu keras yang digunakan untuk menekan gerakan BERSIH mencungkil lebih ketidakpuasan, daripada ketakutan. Ia semestinya mencalar imej kerajaan Najib Razak, apabila orang awam ditangkap sewenang-wenangnya hanya kerana berpakaian "kuning". Kezaliman itu seolah-olah sampai ke tahap "langsung tidak masuk akal".

Dan Najib tersepit di antara dilema ini. Seandainya perhimpunan BERSIH 2.0 gagal disekat, beliau akan dilihat sebagai "Abdullah Ahmad Badawi kedua" dalam UMNO, yang akhirnya berundur. Sekiranya kerajaan BN memberi reaksi yang dilihat mencapai tahap "kegilaan" di persimpangan "transformasi" ini, beliau akan dilihat sebagai "Mahathir Mohamad kedua", yang terkenal dengan simbol "zalim" dan "kuku besi".

Langkah seterus BERSIH...

Untuk BERSIH 2.0 pula, pimpinannya terpaksa membuat keputusan di bawah tekanan-tekanan tertentu. Kesediaan untuk mengadap YDPA mungkin sebagai langkah BERSIH untuk menyanggah tuduhan "memerangi YDPA". Seandainya YDPA bersetuju untuk membuka pintu istana, maka UMNO-BN, bersama polis yang menurut perintahnya, bakal menerima tamparan kerana dengan angkuh menutup pintu rundingan bersama BERSIH sebelum ini. Bagaimanapun, seandainya BERSIH dinasihatkan untuk membatalkan perhimpunan ini, dan pimpinannya akur, maka mereka mungkin berdepan dengan suara berbeza yang bakal timbul dalam gerakan ini.

Senario kedua adalah seandainya YDPA menyerah kepada kerajaan Najib untuk menyelesaikan isu ini, maka Najib yang telah menutup pintu rundingan sebelum ini, terpaksa menjilat ludah sendiri. Dan jika ini berlaku, ia mungkin ditafsirkan sebagai YDPA tidak berpuas hati dengan cara kerajaan Najib menangani isu tersebut sebelum ini.

Senario ketiga, seandainya Najib enggan membuka pintu rundingan - bukankah BERSIH mempunyai alasan yang kukuh untuk meneruskan perhimpunannya pada 9 Julai 2011?

Teks penuh Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin (pada malam 3 Julai 2011)

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran". Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

*Lim Hong Siang ialah Editor Merdekareview, edisi bahasa Malaysia.

Kerajaan Sekarang Yang Paling Teruk Dalam Sejarah Negara - Marina Mahathir


Berikut antara kanyataan Marina Mahathir di MI tentang kesungguhan pihak Polis menghapuskan pergerakan Bersih.

Tak ada lagi negara yang lebih teruk daripada Malaysia yang menangkap orang ramai semata-mata kerana mereka memakai baju berwarna kuning dan tertulis perkataan Bersih padanya.

Tindakan tersebut bertaraf rendah lebih daripada dunia ketiga. Jika beginilah sikap kita boleh blah dengan angan-angan kita terhadap visi 2020.

Kepimpinan kini merupakan kepimpinan yang paling teruk dalam sejarah negara Malaysia sejak merdeka. Baca kenyataan Marina Mahathir di bawah.

ASRI : Lancarkan Minggu Bersih..Tiap-tiap minggu pakai KUNING..!!!

Asri: Terima tawaran PM sedia stadium, adakan Minggu Bersih

KUALA LUMPUR, 4 Julai — Sambil meminta sekretariat Bersih 2.0 menerima tawaran perdana menteri stadium sebagai lokasi perhimpunan, bekas mufti Perlis mengesyorkan penganjur menggantikan program 9 Julai dengan kempen Minggu Bersih supaya efektif.

“Bersih mungkin boleh ganti dengan melancarkan Minggu Bersih dengan meminta rakyat mengibarkan bendera Malaysia dalam minggu tersebut atau memakai petanda kuning atau selainnya-tidak semestinya ditulis Bersih,” kata Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Putrajaya telah memutuskan Bersih 2.0 sebagai satu pertubuhan haram sejak 1 Julai.

Asri (gambar) berkata kempen Minggu Bersih akan membolehkan lebih ramai rakyat yang bersetuju dapat menyatakan persetujuan mereka dengan tuntutan “pilihan raya yang adil”.

“Juga mungkin mereka yang antipembaziran dan kenaikan harga barang boleh sertai.

“Lebih ramai dapat meluahkan perasaan dengan cara yang lebih selamat seperti bendera di kereta, rumah, baju dan sebagainya. Seluruh negara akan meriah,” katanya.

Ahli ademik ini menambah, “jika buat perhimpunan dan polis larang hadir, lalu jumlah yang diharapkan tidak diperoleh, maka itu ‘defeat the purpose’.”

Asri menambah pihak sekretariat Bersih 2.0 menerima sahaja tawaran Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan perhimpunan di stadium dengan meminta wakil Yang di-Pertuan Agong hadir menerima surat bantahan tersebut dan boleh berceramah lagi di stadium tersebut.

“Berikan syarat bahawa jika melimpah, orang ramai boleh duduk di luar stadium tanpa gangguan,” katanya.

Semalam, Tuanku Mizan bertitah agar setiap permasalahan yang timbul - dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Malah Tuanku Mizan bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.

“Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora,” titah baginda.

“Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara,” titah baginda lagi.

Titah baginda muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Sehingga kini lebih 150 orang yang dikaikan dengan Himpunan Bersih 2.0 telah ditahan.

Tuanku Mizan berkata baginda sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Pagi tadi, Najib berkata pihaknya sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul tetapi kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan.

“... mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara,” katanya.

PM kata nak buat BERSIH 2.0 di stadium dia sedia benarkan.. Amacam geng BERSIH 2.0..???

Najib: Kami sedia benarkan Himpunan Bersih di stadium

KUALA LUMPUR, 4 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersedia untuk membenarkan Himpunan Bersih 2.0 jika ia diadakan di stadium.

“Ini satu peringatan sebelum terlambat. Jika mereka mahu menyerahkan memorandum dan sebagainya, mereka boleh menunjukkan dengan cara demokrasi dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Kami bersedia menyediakan mereka satu stadium bagi mereka untuk berhimpun tetapi mereka pilih jalan untuk protes. Kerajaan tidak menentang mereka berhimpun di stadium dari pagi sehingga malam. Jangan buat protes jalan kerana ia berisiko kepada negara,” kata beliau.

“Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul tetapi kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan... mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib (gambar) berkata jika matlamat perhimpunan haram itu adalah untuk memperbetulkan sistem pilihan raya di negara ini, kenapa Barisan Nasional (BN) tewas di lima buah negeri pada pilihan raya umum 2008.

Perdana Menteri menjelaskan keadaan itu menunjukkan bahawa sistem pilihan raya yang diadakan di negara ini adalah bebas dan adil.

Malah, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sanggup mengkaji dengan melakukan penambahbaikan, termasuk akan memperkenalkan sistem biometrik bagi memastikan sistem pilihan raya di negara ini, berjalan dengan adil.

“Tetapi yang anehnya bila dah menang... sunyi sepi, tiada cerita pengundi hantu. Tiba-tiba bila rasa dah dekat, timbul balik. Ini jenis hantu, ada masa timbul, ada masa dia hilang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Najib mengingatkan rakyat supaya tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh merosakkan atau menghancurkan apa yang dibina dan dibangunkan selama ini.

Perdana Menteri berkata rancangan mengadakan perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan oleh pihak berkepentingan pada 9 Julai ini, bukannya cara yang baik dalam mencari penyelesaian.

“Ini semua (perhimpunan haram) sebenarnya bukan tujuannya untuk memperbetulkan sangat sistem yang ada tetapi bermotifkan politik untuk mendapatkan kuasa melalui cara yang tidak demokratik.

“Melalui demonstrasi jalanan... dan jika berlaku, banyak orang akan tumpang semangkuk. Tidak ada jaminan bahawa segala-galanya boleh berlaku dengan aman.

“Kalau ada orang suka kepada rusuhan dan kekacauan, dia akan tumpang sekaki dan akan berlaku keadaan yang kita hendak elakkan,” katanya

Najib berkata sebenarnya ada pendekatan lain untuk menangani sesuatu isu itu dan jangan melakukannya kerana dipengaruhi oleh emosi.

Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat supaya mendengar nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang bimbang bahawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan dengan mengadakan perhimpunan haram itu.

“Saya harap, kita beringat dan sedar bahawa tanggungjawab kita menjaga masa depan negara... jaga masa depan anak-anak dan kelangsungan Malaysia, negara kita yang tercinta,” katanya.

Najib berkata sejak merdeka, Malaysia telah membangun menjadi sebuah negara berjaya berasaskan kepada lima sendi atau prinsip iaitu keharmonian hubungan kaum, kestabilan politik, mengamalkan sistem pasaran terbuka, meletakkan perlembagaan dan undang-undang negara di tempat yang tertinggi serta memperkenalkan dasar-dasar yang pasti dilaksanakan.

Aduhai SPR.. jangan ingat kami lupa kes UPU Kota Aur DUN Belantik

Contoh Nyata Komplot SPR Dengan UMNO... Tuntutan Bersih 2.0 Berasas!

Terima Kasih Pak Teh atas komen-komen Pak Teh...nampaknya sekian lama blog Pak Teh tidak berputus asa cuba meyakinkan orang ramai akan kesahihan tuduhan kepada Anwar. Itu tugas dan pandangan Pak Teh sendiri.Ya! terserah pada bapak! Asal bapak senang (ABS)!

Ini kes UPU Kota Aur, Dun N23 Belantek, Sik, Kedah...pengalaman saya sendiri...

Dalam kes DUN Belantek, 1,031 undi tentera dari Sungai Petani dan Gerik yang dimasukkan 6 hari sebelum bubar Parlimen 2008 adalah satu penipuan. Ia tidak dipamerkan seperti yang disyarat oleh undang-undang. Sekarang ada 1,000 lebih undi tentera di Belantek... bagaimamana mungkin satu kawasan yg tidak memenuhi syarat2 yang dibenarkan pengundi secara pos, di masukkan pengundi pos sekian banyak? Sila rujuk syarat kelayakan pengundian pos dlm Undang-undang Pilihanraya Malaysia.

Jawapan SPR dalam pertemuan saya dan pimpinan PAS di Putrajaya ialah - SPR hanya menerima pendaftaran tentera secara lock, stock and barrel...terima seketul-seketul bulat-bulat! SPR tidak periksa sama sekali, sama ada tempat itu ada kem atau tidak, ada penempatan atau tidak, wajar atau tidak, hanya terima dan masukkan seperti yang dikehendaki oleh tentera!

Dalam soalan kenapa tak dipamir seperti prosedur biasa, SPR jawab, itu adalah kes tuntutan, bukan kes pendaftaran biasa. Bermakna sebelum ini mereka pernah melalui proses mohon dipindahkan kawasan mengundi. Apabila nama mereka tidak dimasukkan dalam senarai tempat mereka memohon untuk pindah, jadi mereka buat tuntutan...maka terlepaslah prosedur wajib dipamer spt dlm proses biasa! - Dalam kes memohon untuk dipindahkan kawasan mengundi, setiap pengundi wajib mengisi sendiri borang pindah kawasan. Bila diminta untuk kami melihat borang-borang itu, SPR tidak berupaya menunjukkannya. Sah! Ada komplot yang dilindungi pada waktu itu lagi.

Dalam affidavit balas oleh SPR dalam kes petisyen saya, selepas PRU-12, SPR mengaku ia tidak dipamir di daerah mengundi, sebaliknya hanya di pamir di pejabat SPR negeri di Alor Setar...mana satu yang betul? Pamer atau tidak? Proses pemindahan biasa atau tuntutan?

Kalau Ya! Pamer di Alor Setar, sedangkan yang boleh menyemak dan buat bantahan hanya pengundi dalam kawasan mengundi yang sama (Kota Aur)...siapalah orang dari Kota Aur yang mahu berulang alik ke pejabat SPR untuk tengok kalau-kalau ada senarai dipamirkan...kebiasaannya pameran dibuat di klinik kesihatan Gulau, Pejabat Penghulu MK Sok atau Pejabat Daerah Sik, mengapa yang ini (1,031) di pamer di Alor Setar???

Akhirnya, lokasi di mana tiada kem dan penempatan seperti disyaratkan dalam undang2 pengundi pos, kini terdapat 1,031 pengundi pos 'hantu'. SPR ternyata ada dua tiga versi jawapan untuk satu soalan!

Apabila bukti diminta dalam mahkamah supaya SPR tunjukkan borang yang diisi oleh pengundi tentera untuk pindah kawasan dan borang tuntutan kerana nama tidak dimasukkan, ternyata borang mohon pindah dan borang tuntutan itu hanya ditandatangi oleh seorang individu sahaja (pemerhatian bentuk gaya tulisan dan pen yg digunakan). Jika ya mereka membuat tuntutan, mana mungkin dalam masa 7 hari berkerja, pegawai PPS tentera mampu berjumpa dan mengarahkan 1,031 tentera yang sedang melakukan operasi di merata-rata tempat mengisi borang tuntutan, mengumpulkannya dan menyerahkan kepada SPR. Dalam pengalaman kita, waktu yang diambil adalah sesuatu yang mustahil!

Masa yang diperuntukkan oleh undang2 untuk memeriksa senarai yang dipamer dan membuat tuntutan adalah 7 hari bekerja. Dalam banyak kes, ketika senarai itu dipamer di lokasi, masa membuat semakan dan bantahan atau tuntutan hanya tinggal 4 hari saja. Ada superman kah dalam tentera Malaysia yang ditugaskan membuat pendaftaran pemilih tentara?

Dalam kes terbaru, bila mereka cuba pula masukkan 133 isteri tentera sebagai pengundi pos di Kota Aur, dan melalui proses pameran, kami telah membuat bantahan dalam tempoh yang disyaratkan. Bila tiba hari perbicaraan oleh SPR, 133 isteri tentera itu gagal muncul di Pejabat Daerah Sik...bantahan diterima, mereka di keluarkan. (Atau sebenarnya mereka tidak wujud sama sekali) Bila diajukan kepada Pengarah SPR Kedah (yang baru) yang menjalankan perbicaraan itu, dia memaklumkan bahawa dia sendiri pergi memeriksa lokasi itu, tiada penempatan, tiada kem, tiada kuaters kelamin...hanya ada pengkalan hadapan untuk persinggahan tentera ketika operasi. Setiap operasi memakan masa 2 bulan dan bukan dari batalion yang sama ... kemasukkan 1,031 pengundi sebelum ini sangat diragui....katanya!

Askar Wataniah di Kem 304 Gerik bertugas sepanjang lebuhraya pantai timur, tiada kaitan dengan Pangkalan Hadapan Kota Aur...kenapa mereka mengundi di sana, dari Perak ke Kedah? Terlalu banyak yang tak mampu dijelaskan dlm kes ini. Tetapi dilindungi undang2 kerana senarai pengundi yang telah dimasukan dalam daftar pemilih induk (DPI) tidak boleh dicabar di mahkamah! Sekali sudak masuk...tak boleh keluar melainkan pengundi itu sendiri mohon pindah... Kopral mana pandai-pandai nak isi borang pindah kawasan mengundi???

Pindah masuk ke situ pun depa tak isi, inikan nak keluar! Menipulah selamanya... YB Tajuddin menang dengan 252 undi kerana undi depa ni lah...bukan saya marah kerana saya kalah...tapi PAS kalah kerana UMNO/BN dibantu oleh SPR untuk menang secara menipu di celah-celah loop-hole undang2 pilihanraya. Tuntutan kita ialah depa patut mengundi dan dijumlahkan dalam kawasan di mana depa tinggal...Sungai Petani dan Gerik, bukan di Kota Aur!

Adapun Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0 adalah seperti berikut. Saya kongsikan dari Pemuda Wilayah Persekutuan untuk rujukan kita (dppwp.wordpress.com.) Saya tambah sikit dalam kes Dun Belantek, tanah tumpah darah kita...

1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan pengundi hantu seperti orang yang telah meninggal yg masih ada dlm senarai pemilih, org yang tidak pernah dikenali, tidak tinggal bermukim, bermastautin, berasal atau mempunyai kaitan apapun dengan daerah dia membuang undi. Ini harus dibersihkan.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.

Contohnya :

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!Melonggokkan semua projek pembangunan di satu kawasan pilihanraya kecil atau memenuhi permintaan jalan mini tar, atau apa saja projek dimusim pilihanraya adalah satu bentuk pembelian undi.

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Kepada Pak Teh...Kenapa saya kata bagai kesan rally 7 hari 7 malam? Pada firasat saya, akibat halangan melampau terhadap bersih 2.0, rakyat akan memahami bahawa ada sesuatu mesej yang dibawa oleh Bersih 2.0 yang sangat ditakuti oleh BN bersabit dengan tuntutan yang dikemukakan. Rakyat akan berpersepsi bahawa BN terpaksa halang bersih kerana kalau terjadi rally itu, benteng tembelangnya akan pecah...

Kesan reverse psycology akibat halangan melampau ini sebenarnya melebihi kesan sebenar jika rally Bersih2.0 berjaya diadakan, paling kurang 7 kali ganda (ini hanya pendapat saya tanpa sebarang rujukan saintifik)...maka saya katakan 7 hari tujuh malam. Mula tu seorang saja simpati dan mendokong tuntutan Bersih 2.0... tetapi kerana BN terlalu kasar dan bertindak keterlaluan, 7 org lain yang silent sebelumnya akan turut simpati dan mendokong aspirasi bersih! Mereka akan kalah PRU-13!

Maaf Pak Teh! Pada saya tiada sebarang kaitan dengan tuduhan yang dihadapi oleh Anwar seperti telahan Pak Teh.

Muhammad Sanusi Md Nor,
Ketua Penerangan PAS Kedah
SETPOL MB Kedah

Admin : maaf baru siarkan artikal ini w/pon dah beberapa hari setpol dah keluarkan di blog beliau... almaklumlah sebok dok recover pasal web kedahlanie yg hilang di alam maya sehari dua lepas akibat demam kuning..:-)

UMNO Kedah dah mula Gerak Jentera Pilihanraya

UMNO Kedah Mula Gerak Jentera Pilihanraya

LANGKAWI, 4 Julai (Bernama) -- Badan Perhubungan Umno Kedah mula mengerakkan jentera pilihan raya dengan mengarah semua bahagian menubuhkan Jawatankuasa Pilihanraya peringkat peti undi dalam persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata penubuhan jawatankuasa sebanyak 672 peti undi di seluruh Kedah dapat diselesaikan dalam minggu pertama atau kedua bulan ini.

"Kita telah mengeluarkan arahan dan peruntukan kepada semua bahagian Umno Kedah supaya mengambil tindakan menubuhkan jawatankuasa itu", katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas badan itu di sini malam Ahad.

Beliau berkata pada masa sama, jawatankuasa peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga telah ditubuhkan.

"Bilik-bilik gerakan telah diwujudkan peringkat negeri dan bahagian dengan dilengkapi maklumat lengkap seperti pengundi dan daerah mengundi," katanya.

Ahmad Bashah berkata senarai pengundi terkini yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah diedar ke semua bahagian.

"Selain itu Jawatankuasa peringkat pusat akan melawat Kedah yang dijadual pada pertengahan bulan ini untuk melihat persiapan negeri ini," katanya.

Mengenai lawatan Najib ke Kedah pada 28 Julai ini, beliau berkata perbincangan mengenainya telah dibuat dan aturcara lawatan akan dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri untuk mendapat persetujuan.

-- BERNAMA

Hebatnya Abdullah B. Omar.. 1IC 2Tempat Mengundi...


atas guna IC baru..bawah guna IC tentera..
cuba anda pergi tengok sendiri di laman web SPR ini..
http://daftarj.spr.gov.my/daftarj
[gunakan no. IC baru & IC Tentera]


BERSIH 2.0 : Depa cadang apa kata pakat-pakat pie STADIUM SHAH ALAM pulak..!!

BERSIH 2.0: Apa Kata Kita Ke Stadium Shah Alam?

Titah Agung: PAS mesyuarat khas tengahari ini

KUALA LUMPUR, 4 Julai: Lajnah Politik PAS iaitu lajnah atau biro paling berkuasa dalam PAS akan mengadakan mesyuarat khas tengahari ini bagi membincangkan titah Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang dikeluarkan lewat petang semalam.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, beliau telah berbincang dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebaik sahaja mengetahui titah itu lewat petang semalam.

Datuk Mustafa pula difahamkan telah menemui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi bagi membincangkan isu yang sama di samping lain-lain hal parti.

Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Titah ini dikeluarkan baginda enam hari menjelang perhimpunan Bersih 9 Julai ini dengan kira-kira 100 orang sudah ditangkap kerana dikaitkan dengan perhimpunan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara pula telah mengeluarkan kenyataan pintu rundingan sudah ditutup dan akan menahan pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini.

Menurut Tuanku Mizan, baginda mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

"Saya rasa sidang media akan diadakan selepas itu bagi menyatakan pendirian PAS berkaitan dengan isu ini," kata Salahudin kepada Harakahdaily.

Mesyuarat akan diadakan jam 11 pagi manakala sidang media dijangka akan diadakan kira-kira jam 12.30 tengahari. -HD

Ulasan GB

Oleh kerana sudah ada titah Agong mengenai perhimpunan BERSIH 2.0 ini, maka GB berpendapat bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 tidaklah wajar dibatalkan lantarannya, tetapi diteruskan dengan diubah perancangannya supaya diadakan di Dewan/ Stadium.

Ia adalah bagi mempastikan tuntutan BERSIH 2.0 tetap berjalan, dalam masa yang sama menghormati dan menjunjung tinggi titah Yang Dipertuan Agong.

Ia juga untuk mengelakkan provokasi yang telah dirancang oleh UMNO dan PERKASA.


Dan kita akan buktikan jumlah yang hadir benar-benar boleh mencecah 1 juta orang, bukan macam Himpunan Belia Najib yang 5,000 dikatanya 1 juta.

Dan jika kita berhimpun di stadium, dengan sendirinya tiada lagi tangkapan gila, sekatan dan penahanan yang disebabkan baju BERSIH.

Kita tidak berundur, tetapi kita ingin menutup pintu fitnah menyatakan kita hendak tumbangkan kerajaan melalui jalanraya bukan pilihanraya.

Fikir-fikirkanlah..

Patriot batal hasrat berhimpun......

Patriot batal hasrat berhimpun junjung titah Agong

04/07/2011 2:07pm

KUALA LUMPUR 4 Julai - Pergerakan Pemuda UMNO yang melancarkan Himpunan Patriot (Patriot) membatalkan hasrat untuk mengadakan perhimpunan itu pada 9 Julai ini kerana menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bahawa demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim, pembatalan itu bagaimanapun tidak bermakna Patriot akan dibubar sebaliknya ia mungkin akan didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan memelihara kedaulatan negara. - Utusan

Mengikut Statistik 'Geng Patriot'..depa kata BERSIH 2.0 "GAGAL"...!!!

dari facebook : Kamal Kamarudin



Mengikut statistik dalaman kehadiran yang dijangka..
a) Kuala Lumpur - 2,000
b) Selangor - 2,500
c) N. Sembilan 2 bas ( 42 x 3 ) - 126
c) Melaka 1 Bas ( 42 x 1 ) - 42
d) Johor 1 Bas ( 42 x 1 ) - 42
e) Perak 2 bas ( 42 x 3 ) - 126
f) Penang 1 bas ( 42 x 2 ) - 84
g) Kedah 1 bas ( 42 x 1 ) - 42
h) Perlis - Tiada respon
i) Sabah - Tiada respon ( Masalah transport )
j) Sarawak - Tiada respon ( masalah transpot )
k) Terengganu - Tak pasti lagi
l) Kelantan - Tiada respon
Statistik yg baru diperolehi adalah amat merisaukan pihak pengelola. Langkah2 drastik perlu diambil dengan mengeluarkan kenyataan bahawa kehadiran yang lebih besar dari jangkaan. Penjualan T-Shit dan pengedarannya telah merugikan pihak pembekal berikutan rampasan dari pihak berkuasa. Kerugian ini terpaksa ditanggung oleh pihak pengelola. Tiada sambutan yang boleh dibanggakan dari segi penjualan.

Dari segi kehadiran penyokong adalah tidak dapat dipastikan , respon kehadiran yang begitu sedikit ini adalah amat merisaukan pihak pengelola. ini akan memudahkan pihak berkuasa membuat tangkapan pada 9 Julai nanti. Dari jumlah bas yang dijangka berlepas, pihak pengelola tidak dapat pasti berapa buah bas yang akan berjaya melepas sekatan jalanraya pada program tersebut.

Kenyataan rasmi kehadiran dari DAP dan PKR masih belum diperolehi bagi mengumumkan pemimpin tertinggi mereka akan hadir. DAP dilihat lebih berhati2 untuk campur tangan. Manakala PKR lebih byk mendiamkan diri. Pihak AMK belum memberi kata putus utk hadir. Pihak PAS pula dijangka tidak dapat menghantar Ahli Parlimennya pada 9 Julai kecuali Mat Sabu kerana PAS telah mengadakan program PAS bersama pemimpin Dunia Islam di Langkawi. Pihak Pengelola menjangkakan ianya adalah sabotaj dari pihak PAS terhadap BERSIH.

Kenyataan dari Yang Dipertuan Agung baru-baru ini membuatkan org ramai mula menjauhkan diri dari BERSIH kerana Yang DIpertuan Agong dilihat lebih berpengaruh dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan. Rakyat dilihat lebih memihak kepada Yang Dipertuan Agong. Kredibeliti Datuk Ambiga dilihat semakin terhakis.

Admin : nampaknya mengikut statistik nie program BERSIH akan gagal namun apa akan berlaku jika statistik nie SALAH...????

Bersih mahu menghadap Agong, sedia batalkan himpunan Sabtu ini

PETALING JAYA, 4 Julai — Dilihat sebagai perkembangan mengejutkan, Bersih 2.0 akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong sambil berkata gabungan itu berhasrat untuk menghadap baginda sebelum Sabtu ini dan bersedia membatalkan perhimpunan jika diminta berbuat demikian.

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) yang baru sahaja balik daripada mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pagi ini mengumumkan pendirian itu pada sidang media di sini tengah hari ini.

Ambiga berkata keputusan itu dibuat pada satu mesyuarat yang diadakan malam tadi ekoran titah Yang di-Pertuan Agong.

“Bersih 2.0 menjunjung penghargaan yang tinggi ke atas Yang di-Pertuan Agong atas sokongan baginda berhubung aspirasi melakukan pembaharuan sistem pilihan raya.

“Bersih 2.0 akan akur dengan nasihat baginda agar diadakan perundingan, ke arah mencapai konsensus berhubung pembaharuan sistem pilihan raya dan pembangunan demokrasi di Malaysia,” kata beliau dengan membacakan kenyataannya di sini hari ini.

Ambiga menambah Bersih 2.0 akan menulis kepada Istana Negara hari ini untuk meminta perkenan diadakan satu pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau enggan menyatakan apabila ditanya sama ada perhimpunan itu secara rasmi telah dibatalkan memandangkan baginda menekankan bahawa demonstrasi jalanan akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Sebaliknya kata Ambiga, satu pengumuman rasmi akan dibuat sebaik sahaja pertemuan itu menjadi kenyataan.

Apabila ditanya sama ada pihaknya akan membatalkan perhimpunan atas permintaan baginda kelak, Ambiga berkata: “Ya.”

Semalam, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Malah Tuanku Mizan bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.

“Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora,” titah baginda.

“Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara,” titah baginda lagi.

Titah baginda muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Sehingga kini lebih 150 orang yang dikaikan dengan Himpunan Bersih 2.0 telah ditahan.

Tuanku Mizan berkata baginda sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

1M1S1M : Patut laaa ramai sampai pecah rekod...ianya di "wajibkan hadir"


Misteri dakwat kekal: Siapa bohong... SPR atau kabinet?

Ahmad Tajdid



SALAH satu daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah penggunaan dakwat kekal kepada mereka yang telah membuang undi. Tuntutan penggunaan dakwat kekal ini telah disuarakan oleh Bersih bagi tujuan menghalang pengundian dua kali. Amalan ini telah dipraktikkan oleh beberapa negara termasuk India, negara pengamal demokrasi terbesar dunia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada awalnya bersetuju dengan penggunaan dakwat kekal ini. Malah kerajaan BN yang menang selesa pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 turut mempersetujuinya. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Abdul Raman Suliman dalam jawapannya di Dewan Rakyat pada 5 September 2007 berkata, keputusan untuk menggunakan tanda dakwat di kuku atau jari tangan pada PRU ke-12 (8 Mac 2008) bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan SPR dalam mengendalikan pilihan raya.

"Kita mahu rakyat percaya 100 peratus bahawa proses demokrasi sememangnya dilaksanakan di negara ini. Atas sebab itu, SPR menggunakan dakwat supaya tidak ada tuduhan di buat ke atas suruhanjaya itu walaupun memang tiada sebarang (asas) pun," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat.

Menjawab soalan asal Dato' Dr. Tan Kee Kwong (BN-Segambut), beliau berkata, SPR akan melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada PRU ke-12.

"Ini bermakna setiap pemilih akan dicalitkan dengan dakwat kekal di atas jari telunjuk tangan sebelah kiri sebelum diberikan kertas undi setelah namanya disahkan terdapat dalam daftar pemilih SPR yang digunakan untuk pilihan raya umum akan datang," katanya.

Bagaimanapun janji SPR dan kerajaan BN itu tidak kesampaian kerana hanya 4 hari sebelum PRU ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac 2008, negara dikejutkan dengan sidang akhbar bersama Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Pada sidang media itu, Abdul Rashid mengumumkan keputusan SPR membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal itu kerana kononnya terdapat pihak tertentu dari Malaysia telah membeli dakwat itu dari luar negara dan merancang untuk mencalitkannya pada kuku pengundi di luar bandar bagi menimbulkan syak wasangka mengenai status mereka.

Malah menurutnya lagi, beberapa individu telah ditahan kerana disyaki membawa masuk dakwat kekal tersebut bagi mensabotaj perjalanan pilihan raya.

Bagaimanapun tindakan SPR itu tidak disenangi anggota komponen BN khususnya Gerakan. Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pada 5 Mac 2008 berkata, tindakan SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal sedikit sebanyak menjejaskan tanggapan baik pengundi terhadap kerajaan.

Menurutnya, walaupun SPR sebuah badan bebas, namun segala yang diputuskan oleh suruhanjaya itu sering disalah anggap sebagai keputusan kerajaan BN.

"Justeru tindakan (terbaru) ini juga akan dilihat sebagai kelemahan kerajaan sedangkan keputusan itu dilakukan oleh SPR," katanya kepada pemberita.

MCA turut menyatakan rasa kesal dan mempersoalkan keputusan SPR membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal pada saat-saat akhir sebelum hari pengundian.

Pengerusi Bilik Gerakan Pilihan Raya MCA Pusat, Wong See Wah berkata, SPR seharusnya mengkaji penggunaan dakwat berkenaan sebelum melaksanakannya dan bukan membatalkan cadangan pada saat-saat akhir.

"Kami juga marah dengan tindakan sesetengah pihak yang terlibat dalam penyeludupan dakwat kekal dengan niat untuk menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun sehari kemudiannya, komen-komen menyokong tindakan SPR itu mula dilaporkan media pro-BN guna mempengaruhi pendapat umum.

Rencana Pengarang Utusan Malaysia pada 6 Mac walaupun menyifatkan tindakan itu sebagai 'satu kejutan' tetap memberikan sokongan kepada SPR yang disifatkan "telah mengambil keputusan yang betul" dan "berani mengambil tindakan tidak popular demi menegakkan keadilan".

Akhbar milik Umno itu yakin dengan penjelasan SPR dan polis kononnya ada rancangan pihak terbabit hendak mencalit dakwat kekal pada kuku pengundi di kawasan luar bandar.

"Bayangkan jika SPR memandang ringan perkara ini. Bagaimana jika pihak tertentu itu berjaya memperdaya dan mencalit dakwat pada kuku pengundi berdaftar di kawasan luar bandar itu adalah pengundi yang berhasrat mengundi BN.

"Bagaimana dia hendak dibenarkan masuk ke pusat mengundi jika kukunya sudah dicalit dakwat. Sudah tentu dia tidak dibenarkan mengundi.

"Kekecohan tentu berlaku dan keselamatan pengundi dan penyokong parti-parti politik tidak terjamin. Perkara yang sama juga tentu tidak digemari oleh parti pembangkang jika perbuatan sabotaj ini terkena kepada pengundi yang mahu menyokong mereka," akhbar itu berhujah.

Sentimen sama dikongsi Najib Razak yang ketika itu menjawat Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Sambil menyifatkan tindakan SPR itu sebagai tepat, Najib menegaskan dakwaan kononnya mungkin berlaku unsur sabotaj untuk menimbulkan kekecohan pada hari mengundi.

Menurutnya, ada pihak boleh mempengaruhi sesetengah pengundi untuk menggunakan dakwat yang sama pada kuku jari sehingga menyebabkan mereka tidak layak mengundi.

"Kalau tidak layak mengundi, kita telah menafikan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan dan akan timbul banyak kekecohan dan ketegangan pada hari mengundi.

"Jadi tindakan SPR ini merupakan satu langkah yang amat tepat,” kata Najib selepas menghadiri majlis peneroka bersama pemimpin dan pelancaran Hotel Felda Residence di Kuala Terengganu pada 5 Mac 2008.

Setiausaha Agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad pula menyifatkan penggunaan dakwat kekal akan mewujudkan banyak masalah apabila para pengundi menolak peraturan baru tersebut pada hari pembuangan undi.

"Mengikut peraturan yang dicadangkan oleh SPR, seseorang pengundi diberi pilihan sama ada mencalit dakwat di kuku dan jika tidak mahu, mereka perlu menandatangani borang yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, pengundi juga berhak menolak untuk tidak menandatangani borang itu dan akhirnya kertas undi diberi juga. Inilah yang mengelirukan orang," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein turut melihat keputusan SPR itu sebagai munasabah.

"SPR merupakan satu badan bebas. Sekiranya tindakan ini dapat menghalang kemunculan dakwat yang mencurigakan dan boleh menggugat ketelusan pilihan raya, maka kami Pemuda tidak ada masalah dengan keputusan itu," katanya dipetik Utusan Malaysia.

Ketua Penerangan Umno, Muhammad Muhd. Taib pula percaya SPR bertindak demikian selepas menyedari terdapat cubaan untuk menggagalkan pelaksanaannya semasa proses pengundian.

"Apa yang membimbangkan, sekiranya dilaksanakan juga sedangkan semua dakwat yang telah dibeli dari luar negara itu sudah diedarkan serta digunakan, ia boleh mencetuskan kekacauan pada hari pengundian kelak," ujarnya.

Manakala Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad turut menyambut baik keputusan SPR itu kerana bimbang berlaku penipuan sekiranya cadangan itu diteruskan.

Setiausaha Kerja Umno, Husainay Hashim pula dilaporkan berkata, pembatalan cadangan penggunaan dakwat kuku tidak perlu dipertikaikan kerana dibuat demi menjamin kelancaran proses pengundian.

Ketua Biro Undang-Undang Wanita Umno, Kamelia Ibrahim berkata, dakwat itu digunakan sebagai ‘senjata’ oleh pihak tertentu untuk menghalang pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo berpendapat, proses pembuangan undi sebelum ini lebih sesuai digunakan daripada menggunakan tanda dakwat kekal di kuku.

"Lebih baik kita mengadakan pilihan raya seperti biasa jika penggunaan dakwat ini bakal menimbulkan masalah dan 'mengancam keselamatan negara'," katanya mengulangi kata-kata hikmat pemimpin Umno dan BN.

Akhirnya Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak akur dengan keputusan SPR yang membatalkan penggunaan dakwat kekal kerana ia dibuat bagi melancarkan proses pilihan raya umum.

Menurutnya, langkah SPR itu bukanlah satu penipuan seperti yang didakwa oleh pembangkang.

"Ini bukan kali kedua atau ketiga kita terlibat dalam pilihan raya tetapi dah masuk 12 kali. Kemenangan kita dalam pilihan raya adalah berdasarkan kepada kerja kuat, kepercayaan rakyat dan bukan kerana kita menipu," katanya penuh yakin.

Begitulah bersemangatnya para pemimpin Umno mempertahankan langkah SPR dan sekali lagi faktor 'keselamatan negara' dijadikan hujah untuk menyokong sikap 'flip-flop' SPR itu.

Bagaimanapun cerita sebenar pembatalan penggunaan dakwat kekal itu didedahkan sendiri Ab. Rashid ketika merasmikan "Seminar Kebangsaan Pilihan Raya 2008: Demokrasi Berjalan" anjuran Unit Kajian Penyelidikan Pilihan Raya, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada 17 Mei 2008, kira-kira dua bulan selepas PRU12 berlangsung.

Ketika menjawab soalan Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan, Pengerusi SPR itu mengakui bahawa keputusan membatalkan penggunaan dakwat kekal di kuku jari pengundi itu dibuat atas ARAHAN KABINET.

"Kabinet menolak cadangan (penggunaan dakwat kekal) itu. Cadangan peraturan itu ditolak kabinet," kata Ab Rashid selamba.

Bagaimanapun Ab. Rashid mendakwa kononnya anggota PAS membeli dakwat tersebut daripada Thailand dan merancang mencalitkannya pada kuku jari pengundi-pengundi tua di kampung-kampung.

"Umno juga beli dakwat tersebut," dakwanya.

Beliau turut menyatakan pandangan bahawa penggunaan dakwat kekal itu bertentangan dengan artikel 119 Perlembagaan.

Pengakuan Ab. Rashid ini tentunya mengejutkan. Jelas SPR yang sepatutnya bertindak sebagai badan bebas telah tidak bersikap bebas kerana menerima bantahan kabinet. 'Keberanian' beliau untuk mendedahkan perkara sebenar bukan suatu yang mengejutkan kerana Ab. Rashid sebenarnya bersara daripada jawatannya pada hujung tahun 2008.

Pengakuan terbuka Ab. Rashid yang disiarkan Malaysiakini dan Harakahdaily tentunya menarik minat para pemimpin Pakatan Rakyat. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sesi soal jawab di Parlimen pada 24 Jun 2008 mendakwa Ab. Rashid bersama-sama Peguam Negara dan Ketua Polis Negara telah menipu rakyat dengan menyatakan keselamatan sebagai sebab penggunaan dakwat kekal dibatalkan sedangkan ia adalah arahan kabinet.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz yang memang terkenal dengan tabiat 'bersilat lidah'nya menafikan dakwaan Ab. Rashid itu dengan berkata Jemaah Menteri tidak pernah mengarahkan Ab. Rashid untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke-12.

Kata Nazri, walaupun Jemaah Menteri tidak menyokong cadangan penggunaan dakwat kekal itu namun mereka hanya meminta Ab. Rashid menimbangkan perkara tersebut dengan mengambil kira pelaksanaannya mungkin bercanggah dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara ini berbangkit di mesyuarat Jemaah Menteri dua minggu sebelum pembubaran Parlimen," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Guan Eng (DAP-Bagan).

Namun Nazri mendakwa keputusan sama ada untuk meneruskan penggunaan dakwat kekal atau tidak masih terletak pada SPR sebagai autoriti yang kompeten dan bebas, kononnya.

Tambah Nazri, kerajaan juga belum bercadang untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap Pengerusi SPR atas kenyataannya bahawa beliau telah diarah oleh Jemaah Menteri untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal.

Nampaknya masing-masing pihak mengelak untuk bertanggungjawab dalam isu ini. Ab Rashid menyalahkan kabinet dan kabinet pula melalui parlimen mendakwa Pengerusi SPR berbohong.

Berbohong sudah menjadi lumrah pemimpin BN dan sedikit demi sedikit sudah mula ditiru golongan birokrat. "Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong LAMA-LAMA JADI MENTERI," bait puisi Sasterawan Negara, Allahyarham Dato' Usman Awang mengukuhkan lagi tanggapan ini.

Oleh kerana tidak sanggup untuk dibohongilah Bersih 2.0 muncul dengan lapan tuntutan baru termasuk penggunaan dakwat kekal ini.

Pengerusi SPR yang baru, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam satu kenyataan bertarikh 17 Januari 2009 mendakwa SPR tidak menolak kemungkinan menggunakan dakwat kekal dalam PRU akan datang selepas penggunaannya dibatalkan semasa PRU ke-12.

SPR sedang mengkaji kelemahan penggunaan dakwat kekal itu untuk proses penambahbaikan supaya rancangan penggunaannya dapat diteruskan, katanya.

Katanya, jika penggunaan dakwat kekal pada kuku itu didapati mampu menawarkan proses pengundian lebih telus dan adil kepada pengundi, ia mungkin digunakan pada masa depan, katanya ketika meninjau proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Bariah, Pasir Panjang.

Kata Abdul Aziz, kajian tersebut boleh siap dalam tempoh empat tahun sebelum pilihan raya umum akan datang berlangsung.

Bagaimanapun jelasnya, jika hasil kajian diperoleh lebih awal, SPR akan menggunakannya dalam mana-mana pilihan raya kecil jika ada.

"Lagi cepat lagi baik. Jika cepat, kita akan mulakan dengan pilihan raya kecil jika ada sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13," ujarnya.

Itulah janji Abdul Aziz. Tapi hingga kini tiada tanda-tanda dakwat kekal akan digunakan. Beliaupun sebenarnya mempunyai kecenderungan untuk berbohong seperti Pengerusi SPR terdahulu.

Ini menjadi alasan paling kukuh mengapa kita perlukan Bersih 2.0.

Ia bukan sahaja untuk menuntut pilihan raya yang telus dan adil. Ia juga perlu untuk membersihkan negara daripada para pembohong dan pendusta.

Darjah Gelabah UMNO/BN Melantun Ke Anak Tangga Paling Tinggi

Menjelang jam 9.00 malam tadi, ramai yang menerima sms dan email yang sama... waktu itu sekelian EXCO Pemuda PAS Kedah sedang bermesyuarat bulanan di Kompas Batu 9. Titah Khas KDYMM Yang DiPertuan Agong dikirim laju ke segenap pelosok bumi, membawa satu mesej yang umum. Baginda memerhati dan mengambil berat terhadap perkembangan semasa politik negara, dengan menitahkan beberapa maudu'...
1. Bersih dan tuntutannya.
2. DS Najib keupayaannya
3. Kerajaan dan pelaksanaan amanah rakyat
3. Demokrasi dan perjalanannya
4. Demontrasi dan kesannya.
Adapun sepanjang sejarah, selain titah rasmi baginda di majlis rasmi Negara, detik bersejarah dan peristiwa penting tanahair, titah langsung (khas) daripada KDYMM YDP Agong dalam isu-isu politik semasa amat jarang kedengaran. Seingat saya, kali terakhir ialah titah menasihatkan agar dibatalkan debat UMNO-PAS pada tahun 1985. Selepas itu, titah inilah...

Saya sama sekali walau sebesar kelumit pun tidak berniat atau berhasrat engkar atau sembah derhaka akan titah perintah Baginda, tetapi sebagai hamba rakyat negara ini yang terbabit secara langsung dalam politik dan parti politik, mempunyai beberapa rumusan....
1. Tahap kebimbangan dan darjah ketakutan UMNO/BN kepada tuntutan rakyat telah melantun ke tahap paling tinggi pada detik ini.

2. Adapun parti yang membentuk kerajaan pusat waktu ini sangat lemah, tenat dan tidak tentu arah.

3. Tahap keupayaan dan kecekapan UMNO/BN yang membentuk kerajaan pusat mencapai tahap tepu dan tidak berupaya lagi mentadbir rakyat yang semakin bijak dan matang.

4. UMNO/BN hilang upaya diri untuk bergerak seiring dengan keterbukaan maklumat dan kesedaran rakyat.

5. UMNO/BN sudah menemui titik nokhtah sebagai isyarat untuk berhenti menjadi kerajaan atas kegagalan melaksanakan tuntutan sistem demokrasi dalam negara ini.

6. UMNO/BN hanya bergantung kepada Institusi awam untuk memanjang hayat politik mereka.
Oleh yang demikian... saya menyeru supaya Perdana Menteri segera mengadap KDYMM YDP Agong untuk memohon limpah perkenan baginda supaya Parlimen dibubarkan dan pilihanraya umum segera diadakan. Dengan itu, rakyat dapat memilih satu parti baru untuk membentuk kerajaan negara ini secepat mungkin.

Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Mohon Di Ampun...Patik menjunjung kasih di atas titah perintah Tuanku kepada sekelian hamba rakyat pada malam tadi, sebagai tanda kasih dan sayang Tuanku kepada patik-patik sekelian. Sebelum mengakhiri kalam, patik mohon limpah perkenan KDYMM Tuanku untuk patik dan sahabat-sahabat patik untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dan ahli parti politik dalam negara Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi ini. Ampun Tuanku.

Muhammad Sanusi Md Nor
Ketua Penerangan PAS Kedah
SETPOL MB

Agung titah kerajaan adil dan bijaksana

KUALA LUMPUR, 3 Julai: Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan agar kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Titah ini dikeluarkan baginda seminggu menjelang perhimpunan Bersih 9 Julai ini dengan kira-kira 100 orang sudah ditangkap kerana dikaitkan dengan perhimpunan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara pula telah mengeluarkan kenyataan pintu rundingan sudah ditutup dan akan menahan pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini.

Menurut Tuanku Mizan, baginda mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Bersih 2.0 yang didokong oleh berpuluh-puluh NGO dan parti politik merancang untuk mengadakan perhimpunan 9 Julai ini di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agung memohon baginda membantu mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil untuk rakyat negara ini.

Lapan tuntutan dikemukakan untuk tujuan tersebut iaitu:-

Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0

1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Tuntutan ini adalah kesinambungan Bersih pertama yang dibuat menjelang pilihan raya ke 12 lalu.

Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan pada 9 Julai ini

Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:
Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

- Bernama




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...