TERKINI :

Saturday, July 2, 2011

Menyelit Diri Dalam Konferensi Membebaskan Masjid al Aqsa


TIGA hari saya tidak membuat pengeposan atau catatan baru ke dalam blog. Beberapa penjenguk setia blog risau dan bertanya khabar kenapa blog saya sunyi.

Ada yang membuat perangsaka lucu bertanya sendiri apakah saya ditangkap gara-gara kempen Bersih? Saya faham kenapa pertanyaan itu wujud, al maklumlah sehari dua ini polis Malaysia telah mengiatkan tindakan mereka untuk melakukan 'pembersihan' ke atas para pendokong Bersih.

Khabarnya sudah banyak yang ditangkap terhadap sesiapa yang bercakap dan cuba menggerakkan Bersih. Bukan itu saja baju T warna kuning juga sudah menjadi satu perkara yang diharamkan. Majlis ceramah atau road show Bersih juga dihalang dan disekat. Saya sudah mengatakan sebelum ini kemuncak kepada pencegahan ke atas Bersih ini mungkin akta zalim Isa akan digunakan.

Dan pagi ini seorang kawan yang mengesani saya yang tidak muncul menelefon bertanya khabar. Beliau bimbang atau berfikir ada sesuatu yang menimpa saya apabila ruang blog saya tidak di updatekan.

Bagus juga rupanya ruang blog ini. Ia akan menjadi 'skrin' untuk orang melihat segala macam aktiviti kita. Dari skrin blog teman-teman akan mengetahui ke mana kita dan apakah yang kita fikirkan atau isu yang kita debatkan. Kepada semua termasuk teman yang menelefon diucapkan terima kasih. Semua itu menandakan keprihatinan sdr kepada persahabatan dan hubungan kita.

Seperti yang telah saya catatan secara kecil-kecilan dalam Facebook, selama empat hari saya di Jakarta menghaidri satu konfrensi - Asia-Pacific Community Conference for Palestine - Persidangan Masyarakat Asia-Pacific untuk Palestin. Persidangan ini dianjurkan Komiten Nasional Untuk Rakyat Palestin yang bekerjasama dengan tujuh persatuan dan NGO
yang mendokong perjuangan rakyat Palestin di Indonesia untuk membebaskan cengkaman Israel ke atas Palestin.

Seramai 200 orang delegasi dari berbagai badan parti politik, NGO, aktivis masyarakat terutamanya dari negara Asia Pasific hadir.

Beberapa pertubuhan politik dan NGO di negara ini turut sama diundang. Antara mereka ialah Pas yang diwakili oleh Abdul Hadi Awang, manakala Nasharudin Mat Isa yang merupakan satu-satu pembentang kertas kerja dari Malaysia yang mewakili Picon. Hadir sama ialah Pengerusi Picon, Shahidan Kassim dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang juga menjadi anggota Picon.

Laporan penuh dan gambar persidangan akan dimuatkan dalam Siasah minggu depan. [wm.kl.8:45 am 02/07/11]

Mohd Sayuti Omar,

Najib dan isteri gempur Kelantan hari ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kelantan dalam lawatan kerja sehari ke negeri itu.

Najib dan isteri yang menaiki pesawat khas tiba di Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu pada 9.40 pagi dengan disambut oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Awang Adek Hussin, beberapa pemimpin komponen BN dan ketua-ketua jabatan persekutuan.

rosmah and najib bakti event 070709 05Lawatan Perdana Menteri kali ini untuk menghadiri beberapa program bersama rakyat membabitkan daerah Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu.

Beliau akan memulakan program pertamanya dengan mengadakan perjumpaan bersama jawatankuasa penyelaras BN Kelantan di Pejabat Umno Bahagian Pasir Puteh sebelum membuat 'tinjauan mesra' di Stesen Kereta Sewa dan Pasar Besar Pasir Puteh.

Perdana Menteri akan merasmikan majlis perhimpunan bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Sri Aman, Kampung Tok Nik, Pasir Puteh sebelum menunaikan solat Zohor di Masjid Kampung Pulau Lima di Pasir Puteh.

Perdana Menteri kemudian ke daerah Machang bagi menghadiri Program Jiwa Murni disusuli majlis Perjumpaan Bersama Rakyat dan penyokong pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors, di Sekolah Kebangsaan Machang 1, Machang.

Najib juga dijadualkan menghadiri majlis perjumpaan dengan rakan-rakan Facebook di Hotel Renaissance di sini selepas itu.

Rosmah pula mempunyai acara berasingan dengan menghadiri program 'Apa Khabar Anak Permata' di Pusat Anak Permata Negara Parlimen Bachok dan program minum petang bersama pertubuhan-pertubuhan wanita di Hotel Grand Riverview di Kota Bharu.

Pada sebelah malam, Najib dan Rosmah akan menghadiri Jamuan Rakyat 1Malaysia di Wisma Persekutuan di Kota Bharu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur yang dijadual pada 10.55 malam.

- Bernama

MBAS - 1,322 tapak bazar disediakan

ALOR SETAR 1 Julai - Majlis Bandaraya Alor Setar menyediakan 1,322 tapak bazar Ramadan di 14 lokasi di sekitar pusat bandar termasuk Pokok Sena dan Langgar pada tahun ini.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Khazali Din berkata, bagi penjualan pakaian pula, sebanyak 239 tapak telah disediakan kepada mereka yang mahu menjalankan perniagaan tersebut.

"Waktu menjalankan perniagaan makanan bermula pukul 3 petang dan ia tidak hanya tertumpu kepada bazar Ramadan tetapi premis makanan yang lain juga perlu mematuhi peraturan tersebut.

"Hanya lima premis makanan yang dibenarkan untuk beroperasi sebelum pukul tiga petang iaitu restoran makanan segera seperti McDonald's, Kentucky Fried Chicken (KFC), Kenny Rogers, Pizza Hut dan A&W," katanya di sini baru-baru ini.

PUAK UMNO Dok kata MB Azizan kejam laa pulak....!!!

MB Kedah tak kejam aihh Puteri UMNO woi...

Oleh: Che Nad

"Kerajaan negeri tidak akan bertanggungjawab kepada mana-mana rakyat negeri Kedah yang ditangkap di atas kesalahan merusuh di perhimpunan itu kelak," kata Menteri Besar Dato' Seri Azizan Abd Razak.

Bersih 2.0 adalah himpunan aman, berjalan sambil bersantai. Tiada siapa di kalangan penganjur yang mahu peserta himpunan pi MERUSUH. Jadi kalau MB Kedah tidak akan bertanggungjawab kepada rakyat Kedah yang pi merusuh, ia sangat patut kerana mereka langgar arahan supaya hadir himpunan secara aman.

Bagaimana pula kalau mereka tidak merusuh tapi ditangkap juga? Pihak penganjur dah beri jaminan akan menyediakan peguam dan membantu, nak kalut apa. Kalau ahli PAS kena tahan maka PAS (atas nama parti) akan membantu.

Jadi kalau Ostad kata "Kerajaan negeri tidak akan bertanggung jawab kepada..." betul la tu, sebab urusan politik biar parti yang selesaikan bukan urusan kerajaan. BN dulu yang tak reti beza antara parti dan kerajaan.. itu pasallah depa sapu habih duit GLC untuk biayai program parti.

"JANGAN SERAH KEDAH DEKAT PENYAMUN"

Pintu rundingan ditutup

KUALA LUMPUR 1 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menutup pintu rundingan dengan mana-mana penganjur perhimpunan haram pada 9 Julai ini selepas nasihat kepada pemimpin masing-masing diberikan sejak semalam dan kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, berikutan itu, tindakan tegas akan diambil kepada penganjur yang tetap berdegil untuk meneruskan hasrat mereka.

Menurutnya, sepanjang dua hari lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan beliau sendiri telah memberi nasihat kepada penganjur perhimpunan haram itu tentang tindakan yang akan diambil terhadap mereka.

Tiga pihak yang diberi nasihat itu adalah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pergerakan Pemuda UMNO.

"Selepas nasihat diberi, polis tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan menahan pemimpin perhimpunan haram itu lebih awal, kita juga mungkin akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Tindakan tegas itu diambil bagi menjaga keamanan negara dan keselamatan rakyat kerana peniaga, pengusaha teksi dan bas termasuk agensi pelancongan semakin risau perniagaan mereka terjejas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Tambahnya, selain arahan tegas supaya tiada perhimpunan haram diadakan pada 9 Julai ini, polis juga akan merampas segala bahan promosi termasuk baju kuning yang tertulis Bersih atau baju merah, Patriot.

Beliau berkata, mereka yang cuba mengadakan perhimpunan haram itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu, sebanyak 2,136 laporan polis terhadap Bersih telah dibuat di seluruh negara sehingga semalam.

Menurutnya, polis setakat ini telah menahan seramai 115 orang berkaitan perhimpunan haram itu.

Hangpa Boleh pie tebang dak pokok nie....!!!!!

‘Wanita’ berdoa pada dahan pokok

KUALA KEDAH - “Ada dakwaan daripada rakan saya yang menyatakan mereka terdengar suara wanita membaca doa di sini,” kata Zainab Shafie, 60, yang tinggal di Taman Kota Nelayan.

Zainab mendakwa, suara wanita sedang membaca doa itu didengari beberapa penduduk dari pokok yang dikenali dengan Melima di kawasan Tanah Perkuburan Islam Seberang Kota.

Dakwanya, apabila rakannya mendengar suara itu, mereka cuba mencari siapakah gerangan 'wanita' itu dan mendapati terdapat wajah seperti 'wanita' timbul di bahagian dahan pokok yang sudah ditebang.

“Wajah yang timbul itu seolah-olah kelihatan 'wanita' sedang menadah tangan. Saya tinggal di sini hampir 40 tahun namun inilah peristiwa pelik yang berlaku di sini dan hanya menganggapnya sebagai kejadian alam,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainab berkata, kejadian itu mula disedari setelah dimaklumkan oleh anaknya dan dia segera melihat kejadian dengan lebih dekat.

Penggali kubur, Ishak Man, 57, berkata, tanah perkuburan itu masih lagi digunakan sekiranya berlaku kematian di kawasan taman perumahan itu dan berusia lebih 50 tahun.

Ishak mendakwa, wajah 'wanita' itu mula timbul pada waktu pagi kelmarin dan ada yang mendakwa ia terhasil daripada getah pokok.

Menurutnya, dia juga tidak tahu bagaimana ia boleh terbentuk, dia juga tidak pasti kemungkinan ada pihak yang mengukir batang pokok itu.

“Pelbagai andaian yang boleh dibuat, sama ada ia terbentuk sendiri ataupun dibuat oleh manusia namun apabila dilihat dekat ia seolah-olah terbentuk dengan sendiri.

“Terdapat dua pokok Merlima, namun pokok inilah yang paling tua di kawasan tanah perkuburan ini,” katanya.

Penduduk, Ridzuan Abas, 44, berkata, dia menganggap bentuk 'wanita' yang kelihatan seolah-olah sedang duduk dan menadah tangan hanyalah satu daripada kejadian alam yang berlaku dan seharusnya dijadikan iktibar.

Menurutnya, pihak yang tidak bertanggungjawab diharap tidak melakukan perkara yang tidak baik seperti pemujaan di sekitar kawasan pokok itu.

Ridzuan berkata, aktiviti itu tidak sepatutnya dilakukan terutama bagi masyarakat Islam malah, perlu dicegah kerana ia perbuatan syirik.

Henti salah guna talian 999

JERLUN - Setiap anggota masyarakat terutamanya golongan muda diminta menghentikan penyalahgunaan talian kecemasan 999 kerana ia mampu mengundang kesesakan pada talian berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, penyalahgunaan talian kecemasan dianggap serius kerana ia menjejaskan peluang pengguna yang perlu menghubungi talian berkenaan.

“Kita minta semua masyarakat prihatin terhadap masalah ini dan jangan sesekali membuang masa menghubungi talian itu untuk tujuan suka-suka, kerana ia boleh menjejaskan keselamatan orang lain,” katanya kepada pemberita di sini, semalam selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peralatan Operasi Kebombaan kepada pasukan bomba sukarela (PBS) dan Kempen Keselamatan Kebakaran Parlimen Jerlun.

Sebanyak satu pam angkut, 70 hos, 10 jaket keselamatan, 10 fire fighting boot, dan lima helmet diberikan kepada tujuh pasukan bomba sukarela (PBS) dalam Parlimen itu termasuk PBS Lana Bulu, Mukim Keplu, Kampung Sanglang, Ayer Hitam, Megat Dewa, Padang Sera dan Sungai Korok.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dan Pengarah JBPM Kedah, Ahmad Shahabudin.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, pihaknya menghargai sumbangan JBPM dalam memberikan bantuan peralatan operasi kebombaan dan pada masa sama latihan bagi meningkatkan tahap kecekapan kepada anggota PBS.

Sementara itu, Ahmad berkata, kedudukan balai bomba yang terletak di bandar-bandar utama dan PBS berdekatan dengan balai bomba yang kebanyakannya di penempatan dengan kepadatan penduduk tinggi menyebabkan beberapa pekan di pedalaman mempunyai tindak balas melebihi masa ditetapkan.

Menurutnya, ini disebabkan sambutan yang kurang menggalakkan daripada komuniti setempat dan memerlukan usaha padu melibatkan semua pihak.

“JBPM Kedah melihat ia satu cabaran yang perlu diambil bagi menggalakkan penubuhan PBS seperti di kawasan Mahang, Padang Sanai dan lain-lain.

“Kita akan berusaha mendapatkan sokongan dan memberi bantuan sewajarnya bagi penubuhan pasukan itu,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...