TERKINI :

Tuesday, June 21, 2011

Kisah kartun ZUNAR dengan kartun yang di UTUSAN...!!!


http://3.bp.blogspot.com/-bvgZHorooac/TfqXeUQohHI/AAAAAAAAAmE/7fpaWGF1q2I/s1600/Kartun+qazaf.jpg

Kritik orang Islam, bukan ajaran Islam

Saya merujuk sebuah artikel yang disiarkan Utusan Online dan juga disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia edisi cetak 5 Jun lepas yang menyentuh kartun karya saya.

Artikel bertajuk "Penghinaan Kartunis" itu ditulis oleh seorang bernama "Malim".

Dalam artikel itu, kartun-kartun saya dituduh sebagai "menghina dan fitnah orang Islam lain".

Artikel ini terbit selepas tercetusnya kontroversi sebuah kartun yang disiarkan oleh akhbar Utusan sendiri.

Turut disiarkan ialah dua karya saya:
  1. Kritikan terhadap ulama yang tidak mengikut ajaran Islam.
  2. Kritikan saya terhadap orang Islam yang mempersenda Al-Quran dengan menjunjung kitab suci itu dan bersumpah bagi membuktikan tuduhan jenayah sedangkan perbuatan itu tidak terdapat dalam ajaran Islam.
Ingin saya tekankan di sini:
  1. Saya mempunyai pendirian yang jelas dalam soal ini; mesej dalam sesebuah lukisan kartun bebas mengritik orang Islam, tetapi tidak wajar mengkritik atau mempertikai ajaran Islam.
  2. Ajaran Islam, termasuk kitab-kitab suci serta Nabi Muhammad yang menjadi pembawa. Konsep ini juga terpakai untuk semua agama di dunia ini.
  3. Kedua-dua kartun saya yang disiarkan oleh Utusan itu jelas mengkritik perlakuan orang Islam dan bukannya ajaran Islam itu sendiri.
  4. Sungguh dangkal, Utusan melalui artikel ini tidak dapat membezakan antara mengkritik orang Islam dan mengritik ajaran Islam.
  5. Utusan boleh siar dan kritik sebanyak mana pun kartun-kartun saya, tetapi saya tetap bertanggungjawab dan sedia mempertahankan kartun-kartun saya.
  6. Saya sarankan Utusan untuk bertanggngjawab terhadap kartun mereka yang mempertikai ajaran Islam yang kini dikritik oleh masyarakat Islam termasuk oleh PAS.
  7. Dan saya rasa adalah satu perbuatan terhormat bagi Utusan atau kartunis berkenaan untuk meminta maaf sekiranya terlanjur.

Jln-Jln Masuk Kg: Allah Melihat Apa Yg Kita Buat

Alhamdulillah, penglibatan dalam gerak kerja NGO telah membawa dan mendedah kami kepada kawasan-kawasan yang begitu pedalaman, walau pun masih dalam Malaysia, tapi sesetengahnya tiada liputan TV dan tiada papan iklan “Ini wilayah Celcom/Maxis atau pun Digi”. Bertemu dengan pelbagai kisah yang sebelum ini cuma sesekali muncul tersiar di kaca-kaca TV atau pun media arus perdana, membuatkan kami jadi lebih bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja kebajikan ini.

Di weekend yang lalu, saya selaku Pengerusi CSR (Corporate Social Responsibility) di tempat kerja dan bersama seorang lagi sahabat, sdra Aznee yang mewakili team team CSR kilang beliau dan Tn Haji Fendi, Pengerusi Surau sebuah kilang di Kulim Hitech Park, kami masuk ke kampung-kampung di pedalaman Sik, Kedah dalam agenda kami bagi mencari senarai keluarga yang bakal kami kemukakan kepada kilang masing-masing untuk aktiviti amal di bulan ramadhan mendatang.

Riki/survey kami untuk seketika terhenti di sebuah perkampungan pondok, yang beberapa bulan lepas pernah kami kunjungi ke sana.

Waktu itu, kedatangan kami telah dimaklumkan terlebih dahulu; lantas dengan segala kekurangan yang ada, hampir seratus orang anak murid Ustaz Kamil, Mudir pondok berkenaan bertungkus lumus bergotong royong memasak dan mengadakan kenduri menyambut kunjungan kami itu.

Selain menyerahkan barang-barang makanan dan kitab-kitab yang dikirimkan kawan-kawan, kami turut mengadakan sedikit majlis ceramah motivasi ringkas untuk berkongsi dengan anak-anak muda di situ tentang konsep jati diri dan mengekalkan istiqamah dalam apa jua bidang ilmu yang diceburi.


Waktu nak solat Zohor di rumah Ustaz yang juga merupakan madrasah rasmi pondok berkenaan, kami memandang sesama sendiri tatkala bunyi keriak-keriuk papan kayu lantainya jelas kedengaran bila ramai-ramai naik sembahyang di situ.

Waktu solat memang tak berapa nak kusyuk seolah-olahnya macam solat di atas rakit, belum dikira lagi suasana panas dan peluh yang amat merimaskan tatkala sembahyang zohor waktu mentari tengah panas terik, berbumbungkan atap zink yang tiada sejuk siling untung melindungnya.



Habis majlis,
bila kami tanya Ustaz, mana rumah beliau? Ustaz hanya tersenyum, dia habag kata bilik dinding sebelah tempat kami solat itulah rumah beliau, dan ruang solat tempat kami sembahyang itu pula adalah tempat anak-anak muridnya menadah kitab, tidor, qiyam, tadarus dan sebagainya.

Bila saya turun ke bawah, bila saya lihat rumah Melayu Tradisional ini dari jauh, saya naik kagum, dan wonder bagaimana sebuah rumah kayu biasa macam ini mampu menjadi magnet, mampu menjadi madrasah utama, mampu menarik mereka yang entah dari mana-mana untuk datang membina berpuluh-puluh pondok buruk di sekeliling Rumah Ibu ini untuk menadah ilmu di situ. Alangkah hebatnya Tok Guru asal yang mula-mula mengasaskan Pondok ini, Pondok Mat Nahu tak jauh dari empangan Beris, Sik Kedah.





Itu beberapa bulan yang lepas tatkala kunjungan kami dimaklumkan secara rasmi.
Di weekend yang lalu, kami ke sana tanpa memaklumkan terlebih dahulu; secara kebetulan Mudirnya, Ustaz Kamil tiada si situ kerana ke luar atas urusan peribadi.

Waktu itu matahari tengah panas terik, bila saya naik ke dalam ruang solat itu, masyaallah anak-anak muda yang kami temui hari itu masing-masing sedang tidor bergelimpangan di antara rehal-rehal yang masih terbuka. Mungkin dah jadi rutin depa, macam pengalaman saya keluar dengan satu kumpulan dakwah suatu ketika dulu, tidor pada waktu tertentu. Saya masuk sekejap saja, tapi terus turun keluar kerana bahang panas haba matahari atap zink itu begitu terasa sekali; rasanya kalau salai udang hat harga sekilo RM25 itu kat celah-celah atap zink itu, kejap aja boleh makan dah. Nak habag kata kuat sungguh bahang panasnya; macam manalah budak-budak ini boleh survive dengan keadaan macam ini?

Sebab itu, sahabat saya sdra Aznee (gambar di bawah) tanpa dirancang, dia habag kata elok kot kalau this time kita tumpu sat kat Pondok Mat Nahu ini, war-war kat kawan-kawan tolong cari bantuan simen ka, pasir ka, mozek apa ka, nak buat tempat solat dan dewan pengajian yang sedikit selesa untuk budak-budak ini.


Bukanlah nak buat bangunan Masjid yang harga juta-juta mcm di kota-kota itu, cukup sekedar macam pondok orang berteduh kat tempat air terjun di kawasan peranginan nu, ada bumbung ada lantai marmar, tiang kiri kanan depan belakang sebagai asas, tak ada dinding pun tak pa, biar angin masuk kiri kanan, insyaallah selesa lah sikit untuk budak-budak itu menadah kitab dan beribadat. Kemudiannya nanti, siapa-siapa yang ada rezeki lebih, pakat-pakatlah mai tambah sorang sikit bagi lengkap.

Sembang pi sembang mai, dalam agenda seterusnya dengan bantuan Ustaz Ismail Mahmud, Mudir Pondok Bandar Hilir, Sik Kedah merangkap Pengerusi HESA (Hal Ehwal Sekolah Agama Negeri Kedah) kami berbincang dengan Ustaz Kamil, Mudir Pondok Mat Nahu ; beliau memang amat berbesar hati sekiranya ada mana-mana pihak yang sudi membantu memperbaiki atau membina baru madrasah di pondok Mat Nahu ini.

Untuk itu, kepada yang berminat memberi sumbangan dalam bentuk barangan seperti simen, pasir, kayu, bumbung dan sebagainya, bolehlah hubungi sdra Aznee at 012-4323305 sebagai co-ordinator.

Untuk seketika, perjalanan riki/survey kami masuk kg untuk mencari keluarga yang akan disalurkan bantuan sempena ramadhan ini terhenti buat seketika, insyaallah dua tiga minggu lagi pencarian tersebut akan diteruskan semula.

Kepada rakan-rakan yang berminat menyertai kami dalam JJMK (Jln-Jln Masuk Kg) Bulan Ramadhan seperti di beberapa musim Ramadhan yang lalu, sila ikuti makluman selanjutnya di Facebook kami at “wargakilang”.

Moga kerja buat kita yang tak seberapa ini akan dikira sebagai satu balasan pahala yang berkekalan di Akhirat sana; insyallah ALLAH sedang melihat apa yang kita buat seperti mana catatan di bawah yang kami temui di dinding papan Madrasah Pondok Mat Nahu ini.




Sekian.
moniermatdin@yahoo.com
http://www.moniermatdin.blogspot.com

Bancian 'Star' - 99% sokong himpunan BERSIH..Bagaimana pula dengan bancian KedahLanie??

BILA THE STAR buat Undian maka kami pun buatkan satu undian untuk mengetahui adakah pengunjung KedahLanie setuju dengan PERHIMPUNAN BERSIH ini..jadi marilah kita lihat bagaimana sambutannya....


Sejumlah 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyokong perhimpunan BERSIH pada 9 Julai ini dalam bancian yang dijalankan oleh The Star Online. Jumlah sebenar bilangan responden tidak dapat disahkan apabila portal berita berkenaan menghentikan banciannya kira-kira tengahari tadi. NONE

Menurut skrin yang dirakamkan oleh seorang pengguna Facebook, jumlah responden mencecah 1.3 juta pada jam 12.25 tengah hari berbanding 527,330 yang dicatatkan pada jam 6.11 pagi ini, yang dirakamkan menerusi laman Google Cache.

Soalan yang dikemukakan berbunyi 'Apa pandangan anda berhubung perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai?, 1,312,917 responden menjawap 'Ia sepatutnya dibenar diteruskan' pada 12.25 tengahhari. Manakala pilihan satu lagi - 'Ia harus dibatalkan' - hanya dipilih oleh 14,222 responden.

PERKASA alat siapa?

"Ibrahim Ali patut ditangkap kerana kenyataan beliau yang jelas perkauman, menghasut dan berbahaya," kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Namun sehingga hari ini, kenyataan yang dikatakan mahu mempertahankan Melayu sehingga titisan darah terakhir dan kenyataan yang ekstrem meletakkan perpaduan kaum pada garisan getir, tidak diambil kira oleh kerajaan sebagai satu tindakan yang mengancam keselamatan dalam negara.

Keadaan ini menimbulkan spekulasi yang di undang bahawa PERKASA dan Ibrahim Ali adalah alat UMNO dan kerajaan memerintah. Ini seakan diterima apabila UMNO selain dari Pemuda UMNO tidak menolak kenyataan Ibrahim Ali dan tidak ada tindakan yang tepat diambil ke atas Ibrahim Ali yang hanya mahu memastikan politik beliau diterima UMNO.

Melihat PERKASA yang turut disertai oleh Ahli UMNO dan kenyataan Ibrahim Ali seakan Najib merestui apa yang dibuat oleh PERKASA maka BN dan UMNO seharusnya menunggu dan melihat sokongan massa kaum lain berubah dari BN ke pembangkang. Ini akan menyulitkan lagi apa yang mahu dianjurkan oleh Perdana Menteri Malaysia dalam konteks Satu Malaysia.

Kemungkinan Khairy Jamaluddin juga perlu menilai menghalang Pemuda UMNO Malaysia dari menyertai PERKASA selagi Ibrahim Ali tidak turun dari terus menerajui PERKASA.

Ahli PERKASA harus sedar bahawa kenyataan Ibrahim Ali songsang dan tidak menggambarkan kenyataan Melayu keseluruhan. Perjuangan Melayu yang dibawa oleh Ibrahim Ali adalah usang dan ortodoks dan ia tidak lain dari menghancurkan inisiatif kerajaan untuk mengajak kaum lain supaya bersatu di bawah BN.

Hari ini PERKASA masih dilabel sebagai NGO sokongan UMNO dan ini tidak menguntungkan UMNO. Namun kita juga tertanya-tanya, mungkin benar PERKASA disokong oleh UMNO? adakah salah sekiranya andaian begitu terbit?

Dipetik daripada blog Anuar Mohd Nor (UMNO-Reform)

Macam nie punya POLISI...hangpa dok kata "Rakyat di Utamakan"....!!!

Siapakah yang diutamakan kerajaan BN akhirnya?
Dr. Dzulkefly Ahmad

Soalan YB Rembau tentang sebab dan rasional Menteri Kewangan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement-SRR) tidak meyakinkan. Berkebetulan saya juga (Kuala Selangor) menghantar soalan yang sama.

Untuk pengetahuan umum, SRR dan OPR adalah antara ‘kaedah monetari’ yang mampu digunakan oleh sesebuah kerajaan sepertimana hal cukai (taxation) dan subsidi adalah ‘kaedah fiskal’ yang digunakan untuk mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan. Kedua-dua kaedah ini disebutkan sebagai kaedah pengimbang atau ‘stabilising measures’ dalam pengurusan ekonomi dan kewangan Negara.

Pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menetapkan kenaikan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3% dari jumlah deposit bank-bank adalah menasabah difahami. Langkah tersebut adalah untuk menangani atau ‘menyerap’(mop-up) kelebihan kecairan akibat kemasukan dana dari luar.

Namun, langkah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekaligus adalah sangat dipertikaikan pelbagai pihak sebab kenaikan OPR, yang merupakan ukuran kadar faedah pinjaman perbankan, sekaligus mempengaruhi kenaikan Kadar Pinjaman Dasar atau Base-Lending Rate (BLR).

Jawapan soalan lisan dua hari lalu oleh Timbalan Menteri yang sama , berkenaan sebab-punca inflasi, mendapat pengesahan bahawa punca inflasi di Negara kini, adalah disebabkan oleh “Cost-Push” atau disebabkan kos yang meningkat (akibat kos komoditi dan penarikan balik subsidi) dan bukan “Demand Pull” atau inflasi disebabkan peningkatan permintaan oleh rakyat.

Dengan kata lain, kaedah monteri, bukan kaedah penyelesaian nya secara berkesan, kalau inflasilah isu dan masalah yang hendak ditangai atau di atasi.
Dengan kenaikan OPR dan kemudiannya BLR, kerajaan wajar menyedari bahawa kos pinjaman serentak dengan itu kos menjalankan perniagaan (cost of doing business) juga mengalami kenaikan.

Sejak tahun lalu, kerajaan melalui BNM telah menaikkan OPR sebanyak 4 kali dan pada setiap kali 25 kadar mata asas (or 0.25 pewrcentage point). Dan sekaligus ini menaikkan BLR. Dengan kata lain, kalau seseorang membayar 5% kadar faedah untuk pinjaman rumah setahun lalu, maka kini ia akan mengalami 20% kenaikan dalam kos kadar faedah.

Saya bersedia menerima bahawa pengurusan ekonomi dan kewangan ini bukanlah mudah, namun jelasnya, tindakan BNM, dalam suasana rakyat menanggung kos saran hidup yang terus meningkat, hutang isi-rumah (pinjaman kereta, rumah, kad kredit dsbnya) yang ke tahap RM544 bilion atau 74% KNDK dan ekonomi yang sedang mengalami pemulihan dan pertumbuhan yang belum rancak, khususnya dalam suku pertama tahun ini, maka sikap kerajaan untuk menaikkan lagi OPR hanya akan menggalakkan rakyat untuk ‘menyimpan ‘ atau ‘saving’ dan memalapkan lagi perbelanjaan atau “consumption” untuk memacu “Pertumbuhan”.

Tindakan menaikkan OPR juga dilihat sebagai hanya menguntungkan pihak pengurus dana antarabangsa yang membawa kemasukan dana luar mengambil kesempatan kadar faedah yang tinggi dari rantau lain.

Sudahlah subsidi yang dikatakan ‘candu’ yang menjadi ‘ketagihan’ rakyat ditarik balik atas nama ‘rasionalisasi subsidi’, sekaligus mencetuskan kenaikan kos saran hidup dan inflasi, sementara pihak pemilik konsesi seprti IPP, sector air dan lebuhraya terus mensdapat pembelaan kerajaan, maka apakah kerajaan melalui BNM akan menaikkan lagi OPR dalam masa terdekat ini?

Pokonya rakyat ingin tahu, kepentingan siapakah yang menjadi keutamaan kerajaan BN ini, apabila menentukan polisi-polisi fiskal – cukai dan subsidi dan monetari –OPR dan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan yang lain??

Selarilkah dan wajarkah polisi-plisi ini dengan slogan PM Najib –“Mengutamakan Rakyat?

Dr Dzulkefly Ahmad, MP Kuala Selangor
21 hb Jun 2011.

Peguam Perancis Nak Mai..Ada Orang Malaysia Tidoq Tak Lena Nampaknya Nie..

Scorpene: Peguam Perancis tiba 20 Julai
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Peguam Perancis yang mengendalikan skandal Scorpene yang difailkan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Mahkamah Perancis, akan tiba di Kuala Lumpur pada 20 hingga 24 Julai ini.

Keadilan Daily melaporkan kedatangan mereka ke negara ini adalah untuk memberikan maklumat terkini tentang siasatan kes itu.

Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel memaklumkan KeadilanDaily.com sewaktu ditanya tentang perkembangan terkini siasatan skandal Scorpene melibatkan pembayaran ‘komisen’ hampir RM500 juta kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Perimekar Sdn Bhd.

Perimekar dimiliki Ombak Laut, syarikat kepunyaan kenalan rapat perdana menteri, Abdul Razak Baginda dengan pemegang saham terbesar syarikat itu adalah isteri Razak.

Menurut Cynthia, peguam dari Perancis, William Bourdon dijangka berada di Malaysia selama empat hari untuk memberi penerangan kepada Suaram dan juga orang ramai berhubung status terkini siasatan itu.

“Peguam Perancis yang menyiasat skandal Scorpene ini akan tiba lewat bulan Julai sekitar 20 hingga 24 Julai untuk memberi maklumat dan memaklumkan kita tentang perkembangan terbaru siasatan skandal Scorpene di Perancis.

“Beliau dijadual menyampaikan ucapan pada 21 Julai di Pulau Pinang dan 23 Julai di Kuala Lumpur. Di antara ahli politik yang sudah bersetuju untuk turut serta adalah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua,” kata Cynthia.

Akhbar Suara Keadilan baru-baru ini mendedahkan dua lagi bayaran komisen berjumlah RM32.5 juta, selain RM493 juta yang didedah lebih awal dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene.

Dua komisen itu terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia.

Sebelum ini, sebuah laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar RM493 juta, sebaliknya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.

BERSIH: Siapa yang mulakan kekecohan?

Tarikh 9 Julai ini mungkin akan menjadi tarikh keramat. Tarikh di mana rakyat Malaysia berpesta meraikan demokrasi dan merayakan hak mereka di bawah perlembagaan.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah menyatakan hasrat mereka untuk membuat perarakan di ibu kota pada 9 Julai ini.

Tidak ketinggalan Umno juga mengumumkan bahawa mereka bercadang untuk membuat perarakan pada hari yang sama untuk 'memperkukuhkan sistem demokrasi yang ada dan turut serta Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) yang di katakan akan membawa gelombang berlawanan iaitu 'anti BERSIH'.

Ada beberapa persoalan yang timbul di sini?

Pertama siapa yang ingin memulakan kekecohan?

Bagi saya pihak BERSIH sendiri sudah berjanji akan lakukan perhimpunan secara aman. Kenapa ada pihak yang mesti pilih masa yang sama iaitu 9 Julai untuk berhimpun bagi memperkukuhkan sistem demokrasi ataupun anti kepada BERSIH bermakna tidak setuju dengan enam tuntutan yang di sepakati oleh rakyat.

Jika PERKASA benar-benar bencikan himpunan seperti ini atau mengangap ianya tidak wajar, kenapa pula PERKASA tidak lancarkan 'anti-Umno', sebab Umno juga di khabarkan akan turut serta dalam himpunan aman tersebut dan kenapa pula mereka iaitu PERKASA juga ingin berhimpun?

Saya menghormati dan mendukung hak mana-mana pihak yang ingin berarak untuk berhimpun dengan aman, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata.

Ini selaras dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang memperuntukkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan untuk berpersatuan.

Hak untuk berhimpun dengan aman adalah hak asasi yang dijamin Perlembagaan dan juga merupakan suatu kebebasan politik dan sivil. BERSIH 2.0, Umno mahupun PERKASA, mereka mempunyai hak yang sama rata untuk berhimpun dengan aman.

Cuma yang menjadi persoalan kenapa ada pihak yang sengaja ingin menimbulkan kekecohan. Adakah sengaja ingin mencari sebab untuk menangkap rakyat yang sertai BERSIH 2.0?

Umno mahupun PERKASA yakin bahawa bukan puluhan ribu rakyat akan turun berhimpun, tetapi ratusan ribu akan turun sertai BERSIH 2.0, oleh sebab itu berbagai usaha yang dilakukan untuk menakutkan rakyat dengan ugutan dan sebagainya.

Perlu diingat seseorang itu mempunyai hak untuk mendesak permansuhan Akta Dalam Negeri (ISA), menyeru kebebasan badan kehakiman atau membantah ketidakadilan adalam sistem pilihan raya.

Pihak polis sepatutnya memainkan peranan yang sepatutnya. Tidak perlu membazirkan masa dan wang ringgit untuk menghalang perhimpunan yang akan berlaku.

Tidak ada gunanya mengenakan sekatan jalan raya, menahan orang yang berbaju warna kuning dan mungkin memudahkan perjalanan orang berbaju merah sebagai contoh. Perta demokrasi tidak wajar dihalang.

Peranan polis seharusnya memudahkan demonstrasi yang akan diadakan. Tidak perlu menembak cecair ataupun gas pemedih mata, kerana tindakan itu yang memulakan kekecohan. Tunggu dan lihat, pastikan semuanya aman, itu yang terbaik. Baik sepertimana yang dilakonkan dalam Gerak Khas.

Saya cukup yakin anak muda pasti akan turut bersama dengan rakyat, bagi saya anak muda mahupun rakyat bukan penakut yang hanya sembunyi di dalam rumah kerana bimbang dengan ugutan di tangkap dan sebagainya.

Saya bersetuju dengan kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya “ Najib nak batal BERSIH, boleh. Kalau esok kerajaan ambil keputusan jamin akan adakan pilihan raya bebas dan adil termasuk bersihkan senarai daftar pengundi, saya akan arahkan Ambiga untuk batalkan”.

Saya kira kenyataan ini cukup jelas tiada agenda tersembunyi sepertimana Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liong Tiong Lai nyatakan bahawa himpunan aman ini merupakan taktik kotor pihak pembangkang membangkitkan emosi rakyat supaya membenci kerajaan.

Sepatutnya Umno, MCA dan PERKASA mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan bersumpah tetapi supaya berjanji untuk mengadakan pilihan raya umum yang akan datang secara telus, bersih dan adil. Itu jalan yang terbaik bukannya turun menentang himpunan rakyat yang hanya akan menimbulkan kekecohan.

Mohd Yusof Hadhari Saidon
Ketua Penerangan GAMIS Pusat

PAS anjur pertandingan video BERSIH

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganjurkan Pertandingan Mencipta Video BERSIH 2.0 untuk mempromosikan perhimpunan itu yang diadakan pada 9 Julai ini di ibu negara.

bersih rally 271207 04Sehubungan itu, mereka menjemput mana-mana individu atau kumpulan yang berminat untuk menyertai pertandingan itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM500 bagi tempat pertama, RM200 (kedua) dan RM100 bagi tempat ketiga.

Ketua penerangannya Herman Samsudeen berkata pihaknya menetapkan sembilan syarat pertandingan berhubung pembikinan video BERSIH 2.0.

Syarat-syarat tersebut adalah:

  • Minimum durasi video adalah 2 minit dan maksimum 5 minit
  • Memaparkan gambar atau rakam video berkaitan rakyat
  • Memaparkan gambar atau rakam video himpunan Bersih
  • Memasukkan maklumat tarikh dan tempat himpunan BERSIH 2011
  • Memasukkan maklumat lapan tuntutan BERSIH
  • Muzik atau petikan suara atau ucapan sebagai latar digalakan (Keutamaan kepada ucapan pemimpin PAS)
  • Penggunaan ayat al-Quran atau Hadis digalakan
  • Setiap video dikehendaki meletakan nama pencipta dan nama “Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan" sebagai penerbit.
  • Video yang dicipta hendaklah tidak menyentuh sensitiviti atau menghina mana-mana kaum, agama, individu atau parti.
"Peserta boleh menghantar seberapa banyak video yang dikehendaki. Video klip peserta akan turut dipaparkan dalam blog DPPWP di http://dppwp.wordpress.com dan (mereka) dibenarkan untuk dikongsi atau digunakan untuk tujuan promosi BERSIH di semua jaringan sosial.

bersih rally 271207 07"Video yang telah siap hendaklah dimuatnaik ke laman web Youtube mengunakan akaun peserta," katanya sambil menambah mereka digalakkan mempromosikan video itu untuk mendapatkan rating penonton.

Menurutnya lagi, penilaian terhadap video itu dibuat berdasarkan kepada pematuhan syarat pertandingan, mesej yang disampaikan, susunan jalan cerita, kualiti gambar, komen serta jumlah penonton dalam Youtube.

"Peserta yang telah memuatnaik video mereka hendaklah menghantar link video berkenaan di Youtube ke email - hermansamsudeen@gmail dengan tajuk "Pertandingan Video" dan menyertakan nama peserta, nombor kad pengenalan serta nombor telefon bimbit," katanya.

Tarikh tutup pertandingan ini adalah pada 18 Julai manakala keputusan tiga video terbaik akan diumumkan pada 25 Julai ini melalui dalam blog DPPWP dan email kepada pemenang.


Isu Mahfuz dan Ust Taib gugur - Depa Nak Beri laluan kepada pemimpin pelapis

‘Beri laluan kepada pemimpin pelapis’

ALOR SETAR - Pengguguran Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Taib Azamudden Md Taib sebagai Timbalan Pesuruhjaya II dan III dalam senarai kepimpinan baru Pas Kedah dibuat atas permintaan kedua-dua pemimpin itu sendiri.

Mahfuz berkata, hasrat itu dimaklumkannya sendiri kepada Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam satu pertemuan selepas Menteri Besar Kedah itu diumumkan mengekalkan jawatan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, 12 Jun lalu.

Menurutnya, tanggungjawab sebagai naib presiden parti yang memerlukan tumpuan lebih di peringkat pusat bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 menyebabkan beliau tidak mahu memegang jawatan berkenaan.

Pada masa yang sama, katanya, beliau juga mahu memberi laluan kepada pemimpin pelapis memegang jawatan tersebut.

“Saya jelaskan kesibukan saya dan Taib Azamudden menggerakkan jentera Pas Pusat memerlukan Pas Kedah menyerahkan tanggungjawab berat itu kepada pemimpin pelapis yang aktif dan banyak ruang masa untuk tumpu jentera pilihan raya negeri,” katanya.

Sementara itu, Taib Azamudden ketika dihubungi turut sependapat dengan Mahfuz dan menegaskan Pas Kedah kini memerlukan kemunculan pemimpin baru terdiri dari kalangan pelapis serta belia.

Menurutnya, beliau yakin kepimpinan baru akan lebih agresif memperkukuhkan jentera parti menghadapi pilihan raya setelah pengagihan tugas-tugas parti dilaksanakan dengan sistematik dan tidak bertindih.

Apa kaitannya LID dengan UMNO dengan APCO..???


Apa dia nie SPR.. 6 Melayu, 5 Cina di alamat ibu Azmin..!!!

6 Melayu, 5 Cina di alamat ibu Azmin

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mencabar Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan jika gagal membuktikan apa yang dikatakannya mengenai daftar pemilih suruhanjaya itu tidak benar.

Menurut Azmin, beliau mempunyai bukti berdasarkan daftar pemilih diwartakan 13 Mei lalu, terdapat seramai 11 pengundi luar beralamat di rumah ibunya di Kampung Klang Gate Baru, Gombak, dekat sini.

“Bagaimana SPR boleh letak enam pengundi Melayu dan lima Cina di alamat rumah ibu saya. Ibu saya tinggal di rumah itu seorang diri sejak kematian ayah saya beberapa tahun lalu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pilihan Raya SPR di sini, semalam.

Azmin dalam satu kenyataan 14 Jun lalu mempertikaikan SPR kerana tidak memberi alamat lengkap pengundi dalam daftar pemilih SPR sehingga menyukarkan pihaknya untuk mengenal pasti identiti mereka.

Susulan pada itu, Wan Ahmad menafikan kenyataan Azmin lalu menggesa pemimpin PKR itu mengemukakan bukti.

Selain itu, Azmin turut wujud beberapa alamat rumah pangsapuri bagi pengundi di Kampung Klang Gate Baru yang tidak mempunyai sebarang bangunan tinggi.

Beliau turut mempelawa untuk membawa sendiri Wan Ahmad melawat kampung itu yang hampir kesemua penduduknya berketurunan Melayu.

“SPR perlu ingat kita memerhatikan mereka,” katanya.

Samun Lebuhraya - Hanya tinggal seluar dalam

Hanya tinggal seluar dalam

SHAH ALAM – Seorang kontraktor terpaksa menempuh detik-detik cemas apabila menjadi mangsa samun dua lelaki berparang ketika memberhentikan keretanya di tepi Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) berdekatan Tol Setia Alam di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.45 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun itu kerugian hampir RM100,000 setelah kereta Honda City miliknya dilarikan oleh dua penjenayah terbabit. Selain kereta, beberapa barangan seperti dua unit telefon bimbit Sony Erisson, Smart Tag, dompet berisi wang tunai RM240 dan seutas jam tangan turut lesap.

Lebih memalukan, mangsa dipaksa menanggalkan baju dan seluar sebelum ditinggalkan di tepi lebuh raya itu di Kilometer 7.1 menuju ke arah Kuala Lumpur yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari tempat mangsa dihampiri kedua-dua suspek itu.

Ayuh Bersama Himpunan Rakyat Menuntut Pilihanraya Adil Dan Bersih Kali Ke 2


Dalam mendepani kebejatan politik UMNO-BN serta mengharungi Pilihanraya Umum yang semakin hampir, masa semakin suntuk bagi memastikan Pakatan Rakyat (PR) terus melangkah ke Putrajaya bagi membina sebuah negara Malaysia yang baru.

Namun demikian, umum mengetahui bahawa sistem pilihanraya di Malaysia berlangsung dalam keadaan yang tempang dan di padang yang tidak sama rata. Amat sukar bagi PAS khususnya dan PR umumnya memenangi pentas demokrasi di Malaysia dalam keadaan suasana sistem pilihanraya yang sedemikian.

Dalam kesempatan ini, saya mengharapkan agar seluruh Pemuda PAS dapat turun memimpin Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 ini. Himpunan ini penting agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memenuhi tuntutan PR bagi memastikan perjalanan pilihanraya ke 13 dalam keadaan yang paling telus dan bersih dari sebarang penipuan. Kesan daripada Himpunan Bersih november 2007 dulu telah melahirkan 5 negeri semasa Pilihanraya Umum ke-12 jadi Dewan Pemuda PAS pusat (DPPP) yakin dengan kejayaan himpunan kali ini akan menyebabkan UMNO/BN akan akan tumbang diseluruh negara

Sesungguhnya perjuangan menuntut negara demokrasi yang tuntas bukanlah suatu usaha yang kecil. Ia menuntut komitmen, kesungguhan, semangat, ikhlas serta kesabaran yang sangat tinggi. Perjuangan di mana-mana negara yang menuntut keadilan serta meruntuhkan diktator yang korup dan zalim dimulai dengan kobaran semangat anak-anak muda yang berani turun ke jalan raya. Pemuda adalah nadi penggerak bagi mencetus perubahan yang semua rakyat harapkan. Sejarah membuktikan bahawa pemuda yang berada di barisan hadapan bagi meneruskan perjuangan ini, dan menjadi kebanggaan kita sekiranya pemuda PAS menjadi pencetusnya bilamana Himpunan Bersih 2.0 telah menjadi sebutan dan kehendak anak muda di seluruh negara.

Adalah diharapkan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke 52 ini menjadi pencetus kebangkitan sesuai dengan temanya "Memimpin Kebangkitan Anak Muda". Saya juga juga mengharapkan pemuda PAS mampu menarik sokongan dan dokongan anak-anak muda agar bersama-sama menyertai Himpunan ini. Saya mengharapkan tidak kurang 50 ribu anak-anak muda akan menyertai himpunan ini, yang juga bakal digerakkan bersama oleh golongan wanita dan golongan yang lain. Saya menegaskan, himpunan ini bakal berlangsung dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini selama mana tidak ada unsur sabotaj dari pihak-pihak tertentu. Saya juga mengingatkan bahawa menuntut sistem pilihanraya yang adil dan bersih adalah hak semua rakyat tanpa mengira warna kulit, bangsa dan keturunan.

Disediakan oleh;

YB UST. FIRDAUS JAAFAR
EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat

UMNO, Utusan ugut rakyat

20 June 2011

KUALA LUMPUR, 20 JUN 2011 – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, telah bersekongkol dalam isu Bersih 2.0 untuk menghancurkan konsep 1Malaysia tajaan Perdana Menteri.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Muhyiddin dan Utusan cuba membangkitkan keadaan huru-hara dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab serta membahayakan keharmonian negara.

Katanya, Muhyiddin pada Sabtu lalu telah membuat kenyataan tidak masuk akal sewaktu merasmikan mesyuarat UMNO Beaufort Sabah dengan menuduh Pakatan Rakyat menjadi dalang Bersih yang bertujuan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Menurutnya, Muhyiddin telah mendakwa kononnya Bersih adalah cubaan Pakatan Rakyat untuk menjadikannya sebagai jalan pintas ke Putrajaya.

Setelah Muhyiddin membuat kenyataan itu, Kit Siang berkata, Utusan dalam edisi mingguan semalam, memberi amaran bahawa perhimpunan aman Bersih yang dijadualkan 9 Julai depan sebagai “mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan rakyat Malaysia supaya turun ke jalan raya seperti yang berlaku di Mesir, Yemen, Libya dan Syria”.

Dalam kolum “Maulana Arrif”, penulis lidah rasmi UMNO itu menuduh “sebenarnya puak yang mahu berhimpun itu sudah hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi berpilihan raya kerana mereka tahu bahawa peluang mereka untuk menang dan memerintah negara tidak akan tercapai melalui kotak undi”.

Lagi tuduhan palsu yang dibuat oleh penulis Utusan itu: “Soal keamanan tidak penting lagi bagi mereka. Yang penting hanyalah merampas kuasa dan memartabatkan ketua mereka menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan apa jua cara sekalipun. Musuh-musuh Islam dari kalangan manusia dan syaitan-syaitan juga sedang bekerja untuk membantu mereka”.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata tuduhan-tuduhan liar, tidak bertanggungjawab dan tidak berasas itu sama seperti pembohongan dan fitnah Utusan pada 7 Mei 2011 yang mendakwa kononnya DAP mahu menubuhkan negara Kristian.

Katanya sehingga hari ini tiada sebarang bukti dikemukakan untuk mempertahankan tuduhan dan berita palsu itu, dan tidak ada tindakan tegas daripada kerajaan BN dan pihak berkuasa terhadap mereka yang membuat hasutan dan pengkhiatan itu setelah lebih 6 minggu.

Menurutnya Pakatan Rakyat komited kepada proses demokrasi mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan untuk membawa perubahan politik di samping mengubah kerajaan pusat melalui peti undi sahaja.

“Pakatan Rakyat tidak akan melakukan sesuatu di luar hak-hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak melalui cara-cara yang tidak demokratik,” katanya.

Menurut Kit Siang, pimpinan UMNO yang perlu membuktikan kepada rakyat bahawa mereka benar-benar komited kepada Perlembagaan Persekutuan dengan mengisytiharkan sanggup menerima keputusan pengundi melalui peti undi – walau pun yang menang nanti ialah Pakatan Rakyat. – Roketkini.com

MB Kedah - Rezeki Pulau Bunting

Rezeki Pulau Bunting

ALOR SETAR - Kedah bercadang menjadikan Pulau Bunting di daerah Yan sebagai pelabuhan antarabangsa apabila projek landasan kereta api berkembar Kunming, China ke Ipoh siap pada 2013.

Selain itu, ia dapat merancakkan aktiviti perniagaan apabila projek penapisan minyak Hab Hidro Karbon Sungai Limau (SULIHH) beroperasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, selain membuka pelabuhan baru itu, Kerajaan Negeri bercadang membina landasan kereta api yang menghubungkan Pulau Bunting ke Kobah di Pendang.

“Saya yakin hasrat ini akan tercapai kerana beberapa pelabur dari Kunming, China menunjukkan minat untuk menjadikan Pulau Bunting sebagai pelabuhan bagi memindahkan produk mereka sebelum dieksport ke Afrika dan Australia,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya SULIHH dan pelabuhan di Pulau Bunting kelak, pembangunan di sekitar kawasan Sungai Limau akan berkembang pesat dan mampu menjana pendapatan penduduk setempat.

“Kedua-dua projek pembangunan itu amat penting kepada Kerajaan Negeri, terutama industri minyak yang memerlukan pengangkutan darat yang efisien untuk dibawa keluar dari Kedah,” katanya.

Azizan berkata, kewujudan Pulau Bunting sebagai pelabuhan baru juga amat dialu-alukan pelabur antarabangsa sebagai tempat persinggahan kapal dagang kerana ia lebih efisien dan menjimatkan kos.

“Kita rancang dahulu dan apabila siap landasan berkembar China-Ipoh kelak, saya yakin barangan dari China yang akan dieksport akan transit di pelabuhan ini kerana lebih dekat dan menjimatkan kos berbanding pelabuhan sedia ada di Seberang Perai,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri masih dalam perundingan dengan pihak terbabit, namun enggan mendedahkan pelabur atau syarikat terlibat.

“Apabila semuanya sudah dimeterai saya akan umumkan, namun saya yakin dapat sokongan Kerajaan Pusat dalam perkara ini. Kita sudah hantar kertas cadangan dan mendapat maklum balas, terpulang pada kebenaran mereka untuk bangunkan kawasan mana,” katanya.

Azizan berkata, selain mengurangkan kesesakan, kewujudan pelabuhan itu kelak berperanan sebagai tempat transit menyimpan barangan sebelum dieksport ke negara lain.

“Pembinaan pelabuhan ini dalam perancangan dan persediaan awal kini masih di peringkat pandangan dan sokongan,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan projek SULIHH, Azizan berkata, pelaksanaan projek bernilai RM36 bilion yang lebih setahun tertangguh berikutan pelabur menarik diri tetap diteruskan.

“Kita sudah ada pelabur baru dan merancang membuka beberapa pembangunan di sekitar termasuk infrastruktur dan lebuh raya menghubungkan tapak SULIHH,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan pelabur untuk merealisasikan pembinaannya sebagai tempat tapisan minyak yang mampu menjana pendapatan negeri mahupun rakyat.

“Merapoh Resources Sdn Bhd dan pelabur baru terbabit akan berbincang mengenai pelaksanaan dan tindakan lanjut, mungkin ada sedikit perubahan. Saya harap dapat dimulakan secepat mungkin,” katanya.

SULIHH adalah projek penapisan minyak di kawasan tambak laut di Sungai Limau, Yan. Minyak mentah dari Timur Tengah akan diproses untuk dieksport semula ke China dan negara Asia lain apabila loji itu beroperasi.

Minyak yang diproses di SULIHH disalurkan ke depot simpanan Jerlun untuk dieksport semula melalui paip bawah tanah dari Bukit Kayu Hitam yang disambung ke Thailand.

Bekas polis hutan gembira rumah dibaiki secara gotong-royong

Bekas polis hutan gembira rumah dibaiki

GUAR KEPAYANG – Seorang warga emas yang juga bekas polis hutan di Kampung Alor Punti dekat sini meluahkan perasaan gembira setelah penduduk kampung itu menjalankan gotong-royong membaiki rumahnya yang begitu daif.

Difahamkan, penduduk kampung itu menjalankan gotong-royong membaiki rumah itu hasil wang sumbangan daripada Kerajaan Negeri bagi membeli keperluan rumah seperti papan, tiang, pasir, zink dan beberapa lagi bahan lain.

Warga emas berkenaan, Awang Hassan, 90, gembira setelah menerima sumbangan peruntukan membaiki rumah yang bernilai RM1,300 bagi membaiki rumahnya.

“Terima kasih kepada Pengerusi Majlis Ketua-ketua Kampung (MKK) kawasan ini yang bersimpati dengan keadaan saya dengan berusaha mendapatkan bantuan membaiki rumah ini.

“Saya gembira kerana keadaan rumah bertambah baik daripada sebelum ini setelah semua penduduk menjalankan gotong-royong membaikinya bagi meringankan beban upah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Pengerusi MKK kawasan itu, Mohammad Ramli Ab Rahman berkata, beliau turut gembira apabila lebih 20 penduduk di kawasan itu bekerjasama membantu menjalankan gotong-royong membaiki rumah Awang.

“Melihat keluarga itu tidak mampu untuk membaiki rumah mereka, ia menyebabkan saya memohon kepada pihak berkenaan kerana rumah mereka makin reput dan kecil.

“Kami menjalankan gotong-royong untuk meringankan kos upah yang begitu tinggi pada masa kini memandangkan peruntukan itu hanya mencukupi untuk membeli bahan yang diperlukan sahaja,” katanya.

Menurutnya, beliau akan berusaha mengemukakan lima lagi permohonan bantuan membaiki rumah dari kawasan itu setelah melihat rumah keluarga terbabit daif dan memerlukan bantuan.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...