TERKINI :

Saturday, June 18, 2011

Live4Gaza : Aduhai...Rupanya Najib nie takut jugak dengan Mat Sabu..

UMNO DAH MULA TAKUT DENGAN MAT SABU~
~MACAM TAKUTKAN HANTU HEHEHE

L4G: Najib arah batal pidato Mohamad Sabu?

Tindakan itu difahamkan dibuat ekoran mereka mendapat tekanan dari Pejabat Perdana Menteri.

"Pihak JPM maklumkan kepada kita, Datuk Seri Najib tak nak Mohamad Sabu menyampaikan pidato.

"Kalau penganjur nak teruskan juga dengan Mohamad Sabu, PM pula tak mahu datang rasmi", kata salah seorang petugas ketika ditemui.

Malah, nama Mohamad dan Khairy di backdrop yang diletakkan di pentas juga turut ditutup.

Gambar: Nama Mohamad Sabu ditutup pada backdrop di pentas utama.

Utusan: Kalau jahil jangan pula berlagak alim

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Utusan Malaysia dinasihatkan agar jangan terus berlagak alim dengan membuat ulasan demi ulasan mengenai sistem perundangan Islam, tetapi menyedari keadaan diri yang sememangnya amat jahil dalam agama.

Sekiranya tidak sedar diri, akhbar milik Umno itu pasti melakukan kesilapan demi kesilapan sehingga sanggup mempersendakan hukum Allah yang boleh pula merosakkan akidahnya sendiri.

Naib Ketua Dewan Musllmat PAS Pusat (DMPP), Senator Mumtaz Md Nawi (gambar) berkata, tindakan terbaru Utusan yang menyiarkan kartun yang mengulas kes rogol amat jelas memperlihatkan kejahilan akhbar itu mengenai sistem perundangan Islam.

Menurut beliau, namun dalam masa yang sama akhbar itu tetap juga mahu mengulas perkara itu dari sudut agama sehingga menyebabkan mereka amat jelas mempersendakan hukum Allah, memperlekehkan umat Islam, menghina ulama dan mempermainkan sistem mahkamah syariah.

Katanya, tindakan Utusan itu ternyata telah mengelirukan umat Islam mengenai perlaksanaan hukum Islam, lebih-lebih lagi dalam masa yang sama, semua orang tahu kerajaan BN yang ditunjangi Umno tidak pula berhasrat untuk melaksanakan hukum hudud di tanah air.

"Dengan itu, amat jelaslah, Umno sememangnya berniat jahat dengan penyiaran kartun itu. Ia ternyata hanyalah untuk memperlekahkan hukum hudud dan sistem perundangan Islam serta mempermainkan perasaan umat Islam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lalu telah menyiarkan lakaran kartun yang menggambarkan seorang wanita yang mendakwa dirogol mengadu kepada orang agama dengan bukti rakaman menerusi handphone, tetapi pengaduannya tidak diterima.

Selepas itu wanita tersebut membuat pengaduan kepada pihak polis dan rakaman beliau dirogol yang terdapat dalam handphone itu diterima oleh pihak polis sebagai bukti.

Menurut Mumtaz,sikap keterlaluan Utusan itu sememangnya membangkitkan kemarahan umat Islam, tetapi dal hal ini, akhbar itu masih bernasib baik kerana masih diberi ruang sehingga tempoh tertentu untuk memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.

Kejahilan Utusan mengenai sistem perundangan Islam dengan membuat ulusan mengenai kes rogol dan zina menerusi penyiaran kartun itu, katanya, terbukti dari beberapa sudut.

"Seperti yang dijelaskan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, robot boleh basuh pinggan, robot boleh jaga mesin, komputerpun robot juga, tapi kalau ada kes dan perlukan keterangan dan kesaksian, mahkamah tak boleh panggil robot kerana ia barang kes dan tetap bukan saksi.

"Untuk bicara tetap kena panggil saksi iaitu pengendali robot yakni manusia. Maksud Al-Quran, saksi, manusia, itulah. Tapi tak tahulah kalau Utusan cukup dengan robot jadi saksi," katanya.

Perkara itu, tegasnya, samalah juga dengan handphone. Jadi untuk perbicaraan di mahkkamah syariah, tidak memadai dengan bukti kejadian rogol menerusi rakaman dalam handphone itu sahaja, tetapi mesti dipanggil orang yang melakukan rakaman itu sebagai saksinya.

"Dalam Islam, sistem perundangannya lebih kepada pencegahan. Dalam Islam, kejadian rogol dan zina mesti dihalang. Pertanyaan yang timbul dari lakaran kartun itu pula, siapakah yang melakukan rakaman itu? Di mana? Bila? Berapa orang yang melakukan rakaman itu? Adakah hanya seorang? Dua orang? Tiga orang? Atau empat orang?

"Kalau dirakam, perakamnya buat apa ketika kejadian itu berlaku? Kenapa perakam tak halang? Cukupkah perlakuan perakam dengan hanya merakam kejadian itu sahaja? Sedangkan perakam sepatutnya bertindak menghalang kejadian itu bukan dengan hanya merakam sahaja," katanya.

Semua itu, katanya, boleh menjadi pertikaian kerana sistem perundangan Islam sebenarnya amat halus, menyeluruh dengan melibatkan semua aspek dan adil kepada semua pihak termasuk kepada orang yang dirogol dan perogol.

"Sebab itulah dalam Islam perlukan empat orang saksi dan saksi itu pula mestilah yang layak diterima sebagai saksi dalam Islam. Perkara itu amat jelas dalam Islam kerana sudah tersurat.

"Utusan ternyata tak faham semua itu. Dalam masa yang sama, Umno BN tak pula nak laksanakan hudud di negara kita. Jadi kenapa dipertikaikan tentang empat orang saksi dan hukum hudud.

"Bila pertikai itu semua bererti pertikai hukum Allah. Sedangkan setiap hukum Allah tak boleh dipertikaikan. Ini samalah juga dengan hukum nikah yang memerlukan saksi ketika akad nikah. Solat Zohor sebanyak empat rakaat tetapi Subuh hanya dua rakaat sahaja.

"Semua itu tak boleh dipertikaikan tetapi mesti dipatuhi kerana itu semua adalah hukum Allah yang telah dijelaskan dalam Al-Quran.

"Jika tentang keperluan saksi dalam hukum nikah, solat Zohor empat rakaat dan Subuh dua rakaat sebagai sebahagian contoh tidak dipertikaikan dan dipatuhi, kenapa tuntutan terhadap empat ortang saksi dan hukum hudud dipertikaikan?" katanya.

Selain itu, katanya, kejahilan Utusan amat terserlah apabila menyiarkan kartun yang hanya memadai dengan membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

"Pada hal dengan jumpa polis tak selesai masalah. Malah banyak perkara yang telah dilaporkan oleh pelbagai pihak kepada pihak polis tetapi tak juga dapat diselesaikan. Polis tak boleh selesaikan perkara itu. Tetapi polis perlukan siasatan.

"Manakala untuk menyelesaikan kes rogol dan zina, mangsa atau pihak terbabit tidak perlu jumpa tokoh agama atau polis, tetapi jumpa hakim syarie atau qadi," ujarnya.

Amat dikesali, katanya, Utusan yang ternyata tidak memahami semua itu kerana kejahilannyan dalam hukum Allah tetap juga berminat untuk mengulasnya sehingga boleh mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.

Katanya, kalau tidak faham, Utusan sepatutnya tidak masuk campur untuk mengulasnya dengan menyiarkan kartun seperti itu.

"Kepada Utusan dan kartunis terbabit, nasihat saya, kalau tak pandai, belajarlah dulu sebelum membuat sebarang ulasan mengenai hukum Allah. Kalau tak pandai, janganlah hukum Allah pula yang dipertikaikan.

"Kalau awak memang tak nak laksanakan hudud, jangan persendakan orang yang nak laksanakan hudud. Kalau orang Islam yang terbabit dengan penyiaran kartun itu, apa agenda mereka mempertikaikan hukum hudud dan empat orang saksi itu?" ujar beliau.

Sebagai bantahan umat Islam terhadap penyiaran kartun yang tidak bertanggungjawab itu, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) yang diketuai Ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi semalam telah menghantar memorandum ke ibu pejabat Utusan Malaysia bagi mendesak akhbar itu memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.

DPPP memberi tempoh seminggu kepada Utusan berbuat demikian. Jika tidak, tindakan lebih keras akan dilakukan termasuk mengadakan demonstrasi besar-besaran.

ISA : Pemuda tidak akan undur walaupun setapak

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

ISA : Pemuda tidak akan undur walaupun setapak

18 Jun 2011 (Sabtu)


1. MUBARAK mendesak kerajaan agar menangkap perancang Himpunan BERSIH 2.0 di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri [ISA]. Ini satu ugutan yang keterlaluan dan melanggar lunas demokrasi. Saya nasihatkan MUBARAK agar tidak menjadi Husni Mubarak 2.0 yang suatu ketika dahulu bermaharajalela dan menangkap siapa sahaja yang menentang beliau tanpa sebarang bicara.

2. Mereka mahu ugut siapa ? Kami sudah menegaskan kepada semua bahawa kami hanya akan berhimpun secara aman dan menunjuk perasaan kami membantah sistem demokrasi yang masih pincang dan mendesak supaya beberapa tuntutan kami yang mewakili sebahagian besar rakyat diterima dengan baik oleh pihak kerajaan. Apa masaalah MUBARAK ? apa masaalah kerajaan ? untuk tidak menunaikan permintaan sebahagian rakyat biar pun tidak semua rakyat dalam negara ini membuat tuntutan serupa, justeru apa yang kami minta adalah untuk keadilan dan ketelusan.

3. Kita tidak minta lebih. Kita tidak meminta suatu yang merugikan mana - mana pihak termasuk kerajaan. Apa yang kita minta ialah padang yang sama rata, alat yang serupa dan suasana yang mengizinkan ketelusan berlaku dan dilihat berlakunya ketelusan dalam sistem demokrasi khasnya sistem pengendalian pilihanraya dalam negara ini.

4. Setelah permintaan kita selama ini gagal dilayan dengan baik oleh pihak berwajib, himpunan BERSIH 2.0 adalah sebagai langkah untuk menunjuk perasaan dan menarik perhatian bahawa permintaan kita adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh mereka.

5. Cara mahu menangani Himpunan BERSIH 2.0 ialah dengan mengawal himpunan ini agar tidak terdedah kepada provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab dan menunaikan permintaan rakyat tersebut. Bukan dengan ugutan dan tangkapan . Jika ugutan dan tangkapan itu mereka fikir boleh menakutkan rakyat, maka saya fikir mereka silap dan 1001 kali silap.

6. Insyaallah, saya sendiri akan berada di saff hadapan dan jangan fikir ISA itu boleh mengendurkan semangat saya dan melemahkan kesungguhan saya apalagi mahu menakutkan saya. Saya yakin ini adalah perjuangan rakyat yang mahu menuntut kebenaran, keadilan, ketelusan dan kejujuran dalam sistem pengendalian demokrasi negara dan ia adalah suatu yang dituntut oleh Islam justeru Islamlah pelopor keadilan, ketelusan dan kejujuran ini.

7. Saya menyeru semua rakan - rakan anak muda dari seluruh negara agar gembira dan tenang. Himpunan BERSIH 2.0 adalah untuk keamanan dan kesejahteraan negara. Rakyat juga tidak perlu resah, peniaga tidak perlu bimbang dan orang ramai tidak usah gundah, himpunan ini aman jika mana - mana pihak termasuk pihak polis tidak mencetus provokasi. Saya yakin, yang rasa tidak aman ialah UMNO dan BN, yang resah ialah UMNO dan BN dan yang gundah ialah UMNO dan BN.

8. Malaysia bukan negara polis. Maka usahlah kerajaan menangani masaalah rakyat dan tuntutan mereka dengan kekerasan dan tangkapan. Tapi, kalau kerajaan fikir mereka mahu jatuh cepat dari jadual yang telah ditentukan, silakan lah berbuat sesuka hati. Saya tidak boleh jamin apa - apa.

9. Saya menyeru buat kesekian kalinya, datanglah ke Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011 nanti dengan happy dan enjoy membawa semangat "Visit Day" dan Kuala Lumpur adalah destinasi anda kali ini. Melancunglah dalam negeri ! bukankah ini slogan kerajaan.Pelancungan pada 9 hb Julai 2011 ini adalah bertemakan Keadilan dan Ketelusan di samping menikmati Kota Raya negara kita sendiri.

10. Datang jangan tak datang. Saya tunggu anda semua pada 9 hb Julai 2011 kelak . Salam perjuangan dari saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia .


Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

RAIS Yatim dah start tembak peluru kosong

Bersih: Komen Rais kaitkan serangan siber tak masuk akal, kata Ambiga

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menyangkal dakwaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sambil menafikan sebarang kaitan penganjuran Himpunan Bersih 2.0 dengan siri serangan siber ke atas laman web kerajaan dan swasta sejak Selasa lalu.

“Ia sangat tidak berasas, tidak munasabah dan tidak masuk akal bagi seorang anggota Kabinet membuat dakwaan ini, yang seharusnya lebih menyedari daripada membuat dakwaan liar seperti itu,” kata Ambiga (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Justeru kata beliau, komen Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu bukan sahaja tidak adil kepada Bersih 2.0 tetapi juga ke atas rakyat Malaysia yang mempunyai hak berperlembagaan untuk berhimpun secara aman.

“Saya sangat terkejut dengan (kenyataan) meracau beberapa anggota pentadbiran terhadap Bersih 2.0 dan usaha-usaha mereka memperlekehkan Bersih dan saya melihat komen Rais Yatim ini salah satu daripadanya.

“Saya melihat yang ini satu serangan ke atas orang ramai dan adalah sesuatu yang memalukan bagi mereka memilih (cara) ini daripada mendengar (suara) rakyat,” kata bekas presiden Majlis Peguam ini.

Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim percaya serangan penggodam ke atas laman-laman web sejak Selasa lalu ada kaitan dengan Himpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak 9 Julai ini, serta dilihat sebagai satu perbuatan tidak patriotik kepada negara.

Kata Rais, beliau juga percaya tindakan itu bermotifkan politik dan bertujuan cuba melakukan sabotaj ke atas kerajaan.

Sebanyak 198 laman web rasmi kerajaan telah digodam dengan 90 peratus penggodamnya dari dalam negara, kata Rais.

Dalam satu kenyataan awal hari ini, Dewan Pemuda PAS pusat mencabar pentadbiran Najib membuktikan “fitnah” anggota Kabinetnya, yang semalam mendakwa serangan siber ke atas laman web kerajaan dan agensinya baru-baru ini, ada kaitan dengan Himpunan Bersih 2.0.

Menegaskan pendirian mereka, Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat Riduan Mohd Nor berkata, pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab Rais, didakwa menyalahgunakan kuasa beliau sebagai anggota jemaah menteri dengan menyebarkan fitnah berasaskan andaian semata-mata.

Dalam pendiriannya hari ini, Ambiga juga mengecam reaksi melampau pihak-pihak tertentu terhadap Himpunan Bersih 2.0 dan menasihatkan Putrajaya agar memikirkan semula pendekatan mereka terhadap masyarakat madani.

Tambah beliau, pentadbiran Najib seharusnya belajar daripada kerajaan Singapura yang melahirkan pendirian sanggup mendengar suara rakyat selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

“Apa yang Bersih mahukan ialah standard tinggi pilihan raya. Kami mahukan pilihan raya bersih. Sekarang, adakah sesuatu sangat melampau untuk meminta perkara itu?” kata Ambiga.

Dr Tan: Siapa biaya kos pertunangan anak Najib?

Pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong hari ini menimbulkan soalan siapa yang membiayai bil bagi majlis pertunangan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya malam semalam.

parliament crime prevention dialogue 080906 tan kee kwongMajlis tertutup itu dikhaskan kepada kira-kira 800 tetamu istimewa dan terpilih yang terdiri daripada golongan dan kerabat diraja termasuk dari negara asing, ahli politik, tokoh perniagaan dan kenalan rapat yang lain.

Hanya media rasmi sahaja yang dibenarkan membuat liputan.

Majlis itu diadakan sempena pertunangan anaknya Nooryana Najwa kepada Daniyar Nazarbayev, yang mempunyai pertalian dengan presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev.

“Saya difahamkan nota pembelian daripada sebuah hotel terkemuka itu dikeluarkan atas nama Jabatan PM. Ini menimbulkan soalan, siapa sebenarnya membayar bil katering yang berjumlah RM81,000,” soal Dr Tan.

Nooryana Najwa Najib and Daniyar NazarbayevBeliau yang merupakan bekas ahli parlimen Gerakan dan juga timbalan menteri berkata soalannya itu penting, khususnya ketika rakyat sekarang diminta 'mengetatkan tali pinggang mereka ketika menghadapi kenaikan kos kehidupan'.

“Pengurangan subsidi minyak dan barangan keperluan, memeritkan rakyat. Justeru, soalan siapa yang menanggung perbelanjaan itu perlu dijawap, lebih-lebih lagi nota pembelian dibuat atas nama Jabatan PM,” katanya.

Awal bulan ini, lawatan Najib serta keluarganya ke Kazakhstan menjadi isu hangat apabila ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad membidas perdana menteri kerana didakwa bersalah dari segi moral kerana menggunakan dana awam bagi merisik perkahwinan anak perempuannya.

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan peribadi,” kata pemimpin PAS itu.

NONESebaliknya, Wisma Putra menafikan laporan itu dan menegaskan bahawa lawatan itu adalah untuk memenuhi penerimaan perdana menteri terhadap undangan yang telah lama dibuat oleh Presiden Nursultan Nazarbayev untuk melawat negara itu.

Lawatan itu, juga dikatakan kebetulan diadakan serentak dengan penganjuran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-7 di Astana dari 7 hingga 9 Jun lalu.

Ketika rakyat susah jom kita tinjau apa Menteri dapat ?



Ini apa yang Menteri dapat ? betul ke ? renungkan lah .....

1. Bercuti keluar negara sekali setahun terutama selepas persidangan Dewan Negara
- semua perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan termasuk tiket penerbangan, hotel, duit poket sebanyak RM50,000.00. Kalau tidak bercuti keluar negara seorang menteri boleh menuntut sebanyak RM50,000.00 tanpa resit.

2. Bil letrik percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

3. Bil Air percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

4. Bil telefon percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

5. Peruntukan perkakasan dapor/perhiasan rumah dll boleh dituntut setahun sekali sebanyak RM40,000.00

6. Sebuah kereta Mercedes S320, di lengkapi dgn telefon bimbit,satu pemandu,minyak percuma.Kalau guna khidmat pemandu kementerian, dapatlah duit percuma.(perdana sebagai kereta rasmi semata-mata)

7. Semua pemberian derma seperti kepada perkahwinan, kematian,atau pemberian kepada badan kebajikan kebajikan boleh dituntut.

8. Boleh mengadakan rumah terbuka setiap hari raya, segala perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan. Kebiasaan Menteri menuntut sebanyak RM400,000.00

9. Setiap menteri biasanya tuntutan mereka sebanyak RM45,000.00 semua elaun perbelanjaan tidak termasuk elaun-elaun dalam slip pendapatan bulanan.

Jadi, tunggu apa lagi, semua pakat turun pada 9 Julai ini - ajak semua kawan-kawan dan saudara mara.

http://chegubard.blogspot.com/2011/06/ketika-rakyat-susah-jom-kita-tinjau-apa.html

Mohamad Sabu hadir pelancaran LL4G malam ini

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengesahkan akan hadir dalam Majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia yang diadakan malam ini di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, dekat sini.

Sebagai salah seorang pemidato dalam majlis itu, beliau akan berada sepentas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bakal melancarkan program itu bermula jam 8.00 malam.

"Ya, saya akan hadir dalam majlis itu," katanya.

Ketika ditanya harapannya kepada rakyat Malaysia, beliau berkata, semua anggota masyarakat perlu bangkit menentang kezaliman di mana sahaja ia berlaku termasuk dalam negara ini.

Terdapat tiga lagi ucapan selain dari beliau yang mewakili Pakatan Rakyat, Pengerusi LL4G, Noorazman, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dan Najib.

Selain pidato, hadirin akan melihat persembahan multimedia mengenai apa yang berlaku dalam Flotilla 1, persembahan lagu Gaza dan deklamasi sajak Palestin oleh Dr Lim Swee Tin.

Penyanyi nasyid, Muadz Dzulkifley juga akan menghiburkan penonton dengan lagu-lagu bersemangat termasuk adaptasi daripada Hadis Nabi Muhammad SAW.

Menghimbau sejarah pada 8 Mei 2002, dua pemimpin utama Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor pernah berada sepentas berbicara tentang isu sama, Palestin.

Pertemuan dua pemimpin utama umat Islam negara ini telah menghasilkan Pernyataan Bersama berbunyi:

"Atas semangat kemanusiaan dan keamanan sejagat, kami atas nama rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan keturunan serta fahaman politik yang berbeza-beza, berkongsi rasa, cita dan perjuangan dengan seluruh rakyat Palestin yang mempertahankan hak di bumi kelahiran mereka.

"Kami menggesa seluruh warga dunia agar turut serta menyuarakan dan memberikan sumbangan dalam bentuk apa sahaja sehingga rakyat Palestin dapat hidup dengan aman dan damai di negara yang berdaulat''.

Sementara itu, AJK Pemandu LL4G Malaysia, Zulkefli Mohd Nani dalam kenyataannya berkata, penentangan terhadap kezaliman Israel menuntut kesanggupan semua rakyat negara ini tanpa mengira ras, agama dan budaya.

Menurutnya, LL4G adalah sebuah gabungan badan bukan kerajaan Malaysia, akan menyertai bersama lebih 600 sukarelawan antarabangsa dari pelbagai bangsa dan agama, dalam Misi Kemanusiaan “International Freedom Flotilla 11” ke Gaza hujung bulan ini.

Menurutnya, kesemua kapal antarabangsa ini dijangka berada di lautan pada 27 atau 28 Jun ini.

"Misi Pelayaran Kemanusiaan ini bakal disertai oleh 13 buah kapal antarabangsa; 10 kapal penumpang dan tiga kapal kargo, akan belayar bersama menghantar bantuan kemanusiaan.

"Sekali gus memberi tekanan supaya Israel menamatkan embargo ekonomi yang dikenakan ke atas penduduk di Gaza dan Palestin.

"Bertemakan Pertahankan Kemanusiaan atau Stay Human, misi ini bergerak berdasarkan prinsip-prinsip keamanan dan mematuhi seluruh undang-undang antarabangsa termasuk semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," jelasnya.

Zulkefli turut memaklumkan misi ini akan membawa bersama bantuan kemanusiaan seperti peralatan hospital yang amat diperlukan oleh penduduk di Gaza, bahan-bahan pendidikan untuk kanak-kanak serta barangan pembinaan asas yang diperlukan dalam pembinaan semula bangunan.

Justeru, beliau berkata, mereka yang ingin menghulurkan bantuan dan menaja pembelian peralatan yang diperlukan, boleh melalui akaun Muslim Care (Viva Palestin: 564490211159 (Maybank).

Rais Mengigau, Kaitkan Bersih 2.0 Dengan Serangan Siber-Mat Sabu



SHAH ALAM 18 JUN : Cubaan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim mengaitkan perhimpunan aman Bersih 2.0 dan serangan siber ke atas laman-laman web kerajaan, tidak berasas sama sekali.

Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang dihubungi Tv Selangor sebaliknya menyifatkan Rais sebagai mengigau apabila menyifatkan serangan siber yang menyasarkan laman sesawang milik kerajaan dan agensinya ada kaitan dengan perhimpunan Bersih.

" Saya tidak nampak langsung di mana relevannya itu. Barang kali Rais, dia mengigau,"katanya.

Rais yang dipetik Bernama berkata, serangan siber oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Anonymous dipercayai ada hubung kait dengan penganjuran Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Malah Rais menyifatkan serangan itu jelas bermotif politik dan bertujuan untuk melakukan sabotaj ke atas kerajaan.

Tambahnya, serangan terhadap laman web kerajaan itu jelas membuktikan bahawa ia dilakukan semata-mata untuk menyusahkan rakyat dengan menyulitkan urusan harian rakyat dengan kerajaan, dan bukannya menyusahkan pihak kerajaan.

Namun menurut Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu, penggodaman laman web kerajaan yang bermula Khamis lalu bersifat baru sedangkan himpunan Bersih 2.0 sudah dicanang sejak sekian lama.

" Perhimpunan Bersih ini, NGO telah menghebahkannya kepada awam begitu lama dan lebih banyak kita turun ke bawah memberi penerangan di samping menggunakan laman web yang tidaklah sebanyak mana,"tegas beliau, justeru menasihati orang awam supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan Rais itu.

Sebelum ini Anonymous menggodam beberapa laman web kerajaan dengan serangan DDoS (Distributed Denial-of-Service) kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Malaysia yang menyekat beberapa laman sesawang perkongsian fail, termasuk Pirate Bay dan Wikileaks.

Rais semalam mengakui 198 laman web rasmi kerajaan telah digodam sehingga kini dengan 90 peratus penggodamnya dari dalam negara.

Najib pun tak berani buat pilihan raya tahun ini !

Oleh Dinsman

Kemana-mana pergi orang masih lagi bercakap pasal kemenangan angkatan baru dalam PAS yang diketuai Mat Sabu. Suasana dan moodnya agak lain macam sedikit. Tak tahu kenapa! Terasa macam semua orang bergembira dengan kemenangan angkatan atau kumpulan baru ini. Entah saya yang terasa begitu kerana saya memang sukakan orang-orang ini, atau memang betul ada suasana dan mood yang begitu, tak dapatlah nak dipastikan.

Tapi tengoklah ucapan Tok Guru Nik Aziz sendiri malam itu di Taman Melewar. Jelas dan terang menampakkan kegembiraannya menyambut kemenangan Mat Sabu, hingga dibandingkannya dengan panglima perang Islam Khalid Ibn Walid dan graduan yang pulang dari Mesir, bagi menegaskan yang Mat Sabu lebih memahami Islam daripada mereka.

Malah Tok Guru Nik Aziz juga mengatakan dengan kemenangan Mat Sabu ini orang-orang Umno akan tak lena tidur. Begitu besar sekali impaknya.

Maka ketika berbual-bual di sebuah restoran dengan kawan-kawan orang filem dan drama, (kebetulan mereka ada yang sedang meninjau lokasi untuk filem baru mengenai fenomena rock 80-an, dan ada kawan yang sedang merancang sebuah videoklip atau dokumentari pendek kempen pilihanraya PR), saya mengatakan: “Dengan kemenangan Mat Sabu dan angkatan baru PAS ini, Najib tak akan berani buat pilihan raya dalam tahun ini.”

“Mana dia nak berani,” sambut seorang pengarah filem dari Melaka, yang kebetulan juga ahli PAS, “itu yang baru menang semua tu samseng PAS tu!”

Nah! Mat Sabu, Salahuddin, Husam, Mahfuz, Mazlan Aliman dan Dr Hatta itu diistilahkan-nya sebagai “samseng PAS”. Tapi kita jangan terkejut. Ini istilah di kalangan rockers dan orang-orang filem angkatan baru. Pengertiannya baik dan positif

Maksudnya ialah orang-orang yang berani, handal, cerdik, ikhlas, tak takut ditangkap, pernah ditahan ISA, pernah masuk penjara, tak teragak-agak untuk mengambil keputusan yang agresif, atau turun berdemonstrasi di jalanraya.

Itulah imejnya bagi golongan seniman yang agresif itu. Bagi golongan rakyat kebanyakan pula mereka itu adalah pemimpin-pemimpin yang berjiwa rakyat. Mereka adalah pejuang rakyat yang telah terbukti sanggup berkorban demi kepentingan rakyat

Begitulah, nampaknya PAS pasca-muktamar 57 ini sedang memasuki satu era baru, yang menjanjikan beberapa harapan baru. Bukanlah Mat Sabu, Salahuddin, Husam dan Mahfuz yang membawa PAS memasuki era baru ini, tetapi ahli-ahli PAS yang memilih mereka itulah yang secara ramai-ramai telah membuat keputusan berani untuk melakukan perubahan.

Mereka telah memilih satu angkatan pimpinan yang mereka percaya mampu untuk membuat perubahan. Bukan soal label ulama atau professional yang menjadi pertimbangan. Hal itu mereka letak sebelah dulu buat masa ini, kerana ada perkara yang lebih penting daripada itu. Seperti saya katakan dalam keluaran lalu: Realiti politik hari ini.

Pengalaman dalam pilihan raya umum yang lalu dan dalam beberapa pilihan raya kecil, serta berita-berita yang mendedahkan kerja-kerja jahat pihak Umno-BN yang mengkhianati dasar dan prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan, seperti memberi kerakyatan sewenang-wenang kepada pendatang asing semata-mata untuk mendapatkan undi mereka, dan sebagainya – itu semua yang mencorakkan sikap dan pemikiran rakyat, khasnya ahli-ahli PAS, bahawa yang diperlukan hari ini adalah tokoh-tokoh yang memiliki sifat-sifat mirip ‘samseng’ seperti Umar al-Khattab yang agresif itu, untuk mengubah keadaan.

Syabas ahli-ahli PAS!

Sekarang muktamar telah selesai. Pemilihan sudahpun dibuat. Yang menang bergembiralah sekejap kerana menang. Tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sedang menanti. Manakala yang kalah pula tak perlu bersedih, kecuali kalau anda mempunyai niat dan kepentingan peribadi seperti kebanyakan pemimpin Umno. Harap-harap tidaklah ya! Ruang untuk berjuang dan berbakti sedikit pun tak berkurang kerana kekalahan itu.

Alhamdulillah, di sini PAS menunjukkan satu perbezaan yang besar dan jelas dibandingkan dengan Umno. Kematangan dan kewajaran berpolitik dalam Islam. Ada had dan batas-batasnya. Makanya pimpinan PAS tidak pernah bimbang untuk menghadapi pemilihan, padahal di pihak Umno mereka sanggup menunda agenda pemilihan pimpinan mereka kerana bimbang ia akan menjejaskan gerakkerja pilihan raya.

Di sini saja pun boleh dinilai ciri-ciri keIslaman PAS dan ciri-ciri keIslaman Umno (kerana masih ada orang Melayu yang percaya Islam Umno itu lebih baik daripada Islam PAS). Dan di sini juga sepatutnya orang-orang Umno memperhatikan ciri-ciri politik PAS dan mengapa PAS tidak memisahkan politik dengan agama.

Ada perbezaan antara ciri-ciri politik PAS dengan ciri-ciri politik Umno, dan perbezaan itu boleh dilihat dalam cara mereka menghadapi dan melalui proses pemilihan pemimpin. Dalam PAS mereka melakukannya kerana kepentingan agama, dan berdasarkan nilai dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam. Bukannya kerana kepentingan peribadi atau untuk merebut peluang membuat harta dan kekayaan material.

Tetapi apakah dalam Umno mereka mengadakan pemilihan pemimpin kerana kepentingan agama, dan menghadapi serta melalui prosesnya berdasarkan nilai dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam?

Jawapannya adalah tidak. Sebab itulah mereka tidak pernah memahami kenapa PAS tidak mahu memisahkan politik dengan agama. Ini adalah asas perbezaannya. Dan agak menghairankan di kalangan ilmuan Islam kita pun masih ramai yang menyokong supaya politik di negara ini hendaklah dipisahkan dari agama.

Mereka memahami politik itu dengan fahaman dari Barat. Itulah masalahnya. Pemikiran masih tidak merdeka daripada pengaruh Barat. Tetapi cubalah fakir – wajarkah orang Islam berfikir dengan pemikiran Barat yang menolak Islam?

Dan sekarang kita mempunyai “samseng-samseng PAS” ini sebagai pemimpin, bagi menghadapi golongan yang masih enggan berfikir dengan pemikiran Islam itu, dan enggan menerima hakikat yang rakyat negara ini sudah menolak kepimpinan mereka, dengan bergantung pada undi-undi ‘hantu’ yang pelbagai jenis itu.

Kalau istilah ‘samseng’ ini pun akan dimanipulasi oleh mereka, ingatlah suatu ketika dulu kita pernah kecoh sekejap dengan isu “Tuhan samseng”, ekoran mereka itu tidak memahami fikiran kita, disebabkan mereka berfikir ikut pemikiran Barat, sedangkan kita berfikir mengikut pemikiran Islam seperti yang terdapat dalam Quran dan Sunnah.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my

Tak sabaq nak tengok Brahim melompat kena sembog gas

dari KedahLa.blogspot

Oleh: Lang Tok Teh

Bukan setakat tambah bas, gerabak keretapi pun kena tambah. Himpunan BERSIH 2.0, mana boleh tak pi, himpunan sejarah, esok-esok tak mau anak cucu aku kata, sembang pang pang pang, haram tak pi. Himpunan BERSIH 2.0 aku rasa lain, tak sabag nak tunggu 9 julai 2011. Kalau bas tak cukup aku tahan lori ikan kata Jid Kuda.

Setakat perkembangan sehingga kini dijangkakan rakyat Kedah antara yang teramai akan menghadiri himpunan tersebut,selain dari Selangor.

Tinjauan yang dibuat bersama Tok Senapi di Alog Setag, pemuda-pemuda yang tak pernah dilihat menyertai program PAS pun sibuk mendaftar untuk ikut bersama ke Himpunan BERSIH 2.0 walaupun tambang ditanggung sendiri, ditanya sabab kenapa nak ikut ke BERSIH 2.0 ada diantara mereka berkata kami nak tengok lagu mana Berahim Ali melompat hari tu bila kena sembur gas.

Esok kami nak pi tinjau pula macamana YB. Naset atuq grembolan Kuala Kedah. Geng Baling, aku dengan Tok Senapi tabik, meghelit depa susun. Hebat puak Baling ni, Idola kami Asyahid Ustaz Ibrahim Libya lawan umno barisan nasional sampai syahid, setakat pi untuk berdemo ni kecik saja.

Puak-puak Perkasam yang nak berdemo sama, Mat Kering Bakar Bata boleh bagi tuisyen percuma, kepada tok Berahim Ali macamana nak yong bagi ramai pi ke himpunan tu tanpa sebarang sabsidi. Kalau setakat nak bagi ramai ahli Perkasam pi ke himpunan BERSIH 2.0, petua Mat Basah, Tok Berahim kena ajak Tok Najib pi sama tentu ramai lagi bukan setakat ahli perkasa puak pengampu tok najib pun akan pi sama.

Presiden PAS pun ada, presiden keadilan pun ada , presiden DAP pun ada, lekeh la kalau presiden umno tak ada. Permit pun tok berahim tak payah apply lagi senang, polis pun senang. Cuma warna baju saja bagi belain, nak bagi beza yang mana kumpulan BERSIH 2.0 dan yang mana KOTOR 2. Oleh kerana ratusan ahli perkasa pun nak berhimpun di tempat dan hari yang sama, maka pengusaha bas wajib menambah jumlah bas.

KTMB pun diharap dapat tambah gerabak, harap-harap polis tak buat railblock dekat bukit Jenun. Peniaga makanan disekitar tempat perhimpunan, hari tu diingatkan menyediakan lebih makanan. PLUS kena tambah kaunter,tol jangan bagi sesak, kalau boleh sediakan laluan khas untuk peserta BERSIH 2.0 nanti.

PDRM Cuma nak kena pikiag laluan yang mudah untuk tok berahim ke hospital atau tidak ada yang beranak di dalam ambulan.

Perkasam & Pemuda UMCO joint sekali… meriah! meriah!!

dari KedahLa.blogspot

Oleh: Pak Dee Jantan

Mula-mula ketua Perkasam Brahim Ali umumkan bahawa dia akan kerahkan ahli-ahlinya seluruh negara untuk sertai himpunan 9 Julai nanti bagi menghalang Himpunan Bersih 2.0 anjuran rakyat Malaysia. Terbaru Ketua Pemuda UMCO Khairy Jamaludin pulak, beritahu bahawa dia akan kerahkan ahli-ahli pemudanya adakan juga perhimpunan pada 9 Julai nanti. Tujuannya untuk menyokong ketidakadilan SPR dalam mengendalikan pilihanraya di Malaysia.

Bagi Pak Dee siapa pun yang akan adakan perhimpunan (asalkan aman), apa pun tujuan perhimpunan Pak Dee sokong. Ini baru ada kebebasan berhimpun dan bersuara namanya. Pak Dee kurang setuju sikit dengan Ketua Penerangan PAS, Dato’ Tuan Ibrahim minta polis bertindak terhadap provokasi Perkasam. Biag pi kat depa, kita buat depa pun buat, semua orang buat. Jadi lepas ni tak boleh lagi media talibarut APCO TV3Suku dan Utusan Meloya manipulate isu kononnya perhimpunan itu menyusahkan orang ramai, kerana yang ‘menyusahkan orang ramai’ itu bukan saja PR tetapi juga UMCO dan Perkasam.

Penyertaan UMCO dan Perkasam dalam himpunan 9 Julai nanti (sekalipun berlainan tujuan) menunjukkan sikap tiada pendirian atau bahasa orang tepi jalan cakap sikap ‘munafik’. Sebabnya, dah berhari-hari ahli Perkasam & Pemuda UMCO buat beratus laporan polis seluruh negara membantah Himpunan Bersih 2.0… tup tup depa pulak nak buat himpunan.. kah kah kah.

Apa yang ditunjukkan UMCO dan Perkasam manifestasi dari sikap kelam kabut, tenggelam punca, pemikiran caca marba dan tak ketahawan hala depa akibat ketakutan yang bukan kepalang terhadap kebangkitan rakyat macam di negara-negara Arab tempohari. Bukan senang oii orang yang dah berpuluh tahun di tampuk kuasa, dah berpuluh tahun pula bina kekayaan melalui penyonglapan duit rakyat, bina kemewahan atas derita dan airmata rakyat, tiba-tiba tak hilang semua tu dalam sekelip mata. Tak kata kat depalah, memang tidoq tak lena punyalah.

Bukan saja yang di atas, rangkaian bawahan UMCO pun serupa juga misalnya JKKKKKKP yang terima sebulan RM800. Tak lupa jugak bloggers depa yang terima RM3000 sebulan… tu yang bukan main menyalak serang PR siang malam dengan berita-berita fitnah... buatlah abang, suap mulut anak bini dengan duit haram.. duit fitnah.

Alahai Najib.. Urusan Rasmi konon...!!

Anak PM bertunang dengan Daniyar Nazarbayev


Tuanku Mizan Zainal Abidin bertanya sesuatu kepada Noorhayana Najwa sambil diperhatikan Tuanku Nur Zahirah, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang Hajah Kalsom, Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor di kediaman rasmi Perdana Menteri, Putrajaya, malam tadi. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 17 Jun – Noorhayana Najwa, anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor secara rasmi bertunang dengan Daniyar Nazarbayev dalam satu majlis di Seri Perdana, Putrajaya, malam ini.

Majlis pertunangan pasangan itu diserikan dengan kehadiran keluarga serta rakan mereka, selain orang kenamaan dari Malaysia dan luar negara.

Antaranya, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah; Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah dan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Tun Abdullah Badawi, menteri kabinet, timbalan menteri serta pegawai kanan kerajaan pusat dan negeri.

Hadir sama ibu Najib, Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohamad Noah.

Kenamaan asing yang turut hadir termasuk Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan isteri Sheikha Salam binti Hamdan Al Nahyan serta Pengerusi Medina Council Putera Saud bin Abdulaziz Al-Saud.

Nooryana Najwa, 22, merupakan lulusan School of Foreign Service, Universiti Georgetown, Amerika Syarikat (AS), sementara Daniyar, 22, menamatkan pengajian di Universiti Columbia, New York.

Pasangan itu bertemu ketika menuntut di AS. – BERNAMA

Solat tanda bersyukur

SURAH ini termasuk dalam kategori surah Makiyyah, sebagaimana pendapat Ibn Abbas dan jumhur ulama. Sedangkan pendapat al-Hasan, Ikrimah dan Qatadah pula bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyyah. Ia mengandungi tiga ayat dan diturunkan selepas surah al-'Adiyat.

Hubungan dengan surah al-Ma'un

Dalam surah al-Ma'un disebutkan golongan yang mendustakan agama dengan empat sifat iaitu kikir, tidak mengerjakan sembahyang, riak dan menolak memberi pertolongan.

Dalam surah ini Allah SWT menyebut anugerah kepada Rasulullah SAW dalam bentuk kebajikan dan keberkatan. Kemudian dinyatakan bahawa Dia menganugerahkan al-Kauthar kepada Nabi yang bererti kebajikan yang banyak, memelihara sembahyang, sentiasa mengerjakannya secara ikhlas dan bersedekah kepada orang fakir.

Sebab turunnya surah ini

Orang musyrik Mekah dan orang munafik Madinah mencela dan mengejek Nabi perkara berikut:

l Hanya golongan yang lemah sahaja menjadi pengikut baginda dan tidak terdapat pun para pemimpin serta pembesar yang mengikut baginda.

Jika agama yang dibawa itu benar pasti para pembelanya terdiri daripada golongan fakir yang mempunyai kedudukan mulia dalam masyarakatnya. Ucapan mereka itu bukanlah perkara baru kerana hal ini juga berlaku ke atas kaum Nabi Nuh a.s yang berkata kepadanya (lihat surah Hud ayat 27).

Sudah menjadi sunnah Allah kepada makhluk-Nya, pada kebiasaannya mereka mudah menerima ajakan rasul kerana mereka tidak memiliki harta yang dibimbangkan musnah untuk kepentingan ajakan yang baru, tidak memiliki kedudukan dan kekuasaan yang dikhuatiri dimiliki oleh pembawa ajakan baru itu.

Para pemimpin dan pembesar kebiasaannya tidak mahu menerima ajakan itu, sehingga mereka masuk ke dalam agama Allah dalam keadaan yang tidak suka.

Oleh yang demikian, terjadilah perdebatan antara para pemimpin itu dengan Rasulullah. Kemudian mereka mulai lemah kerana dikalahkan dakwaan mereka itu satu demi satu dan Allah menolong para rasul-Nya dengan meneguhkan kedudukan mereka.

Begitulah penduduk Mekah menghadapi Rasulullah. Oleh sebab itu, para pemimpin dan pembesar Mekah pada umumnya tidak menerima orang yang menganut Islam lantaran kedengkian kepada Nabi Muhammad dan golongan yang lemah lagi hina.

l Apabila mereka mendapati putera-putera Nabi Muhammad meninggal dunia lantas mereka berkata: "Nama Muhammad telah berakhir, kini keturunan Muhammad sudah terputus." Mereka memandang perkara itu sebagai celaan dan cemuhan serta menjauhkan manusia daripada mengikut Baginda.

l Apabila mereka melihat bencana yang menimpa kaum muslimin, maka mereka bergembira, menunggu-nunggu agar kecelakaan itu menimpa kaum muslimin dan kekuasaan mereka hilang sehingga kedudukan mereka yang diporakperandakan oleh agama baru itu tegak kembali.

Oleh sebab itu, surah ini diturunkan untuk menguatkan hati Rasul-Nya bahawa kegoncangan yang ditimbulkan oleh kaum musyrikin itu adalah suatu dugaan dan ujian untuk membersihkan jiwa orang yang masih belum kuat hatinya.

Ini untuk menolak tipu daya kaum musyrikin di hadapan mereka serta memberitahu kepada mereka bahawa rasul itu pasti memperolehi pertolongan dan para pengikut baginda termasuk dalam golongan orang yang mendapat kejayaan.

Firman Allah: Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kata al-Kauthar diambil dari kata kathir."

Ia digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang banyak bilangannya atau tinggi mutunya. Bahkan seorang manusia merupakan tokoh yang banyak berjasa dinamakan Kauthar.

Ulama berbeza pendapat tentang makna tersebut. Pendapat yang popular adalah sungai di syurga. Ia dikemukakan oleh ulama berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Muslim dari sahabat Nabi Anas bin Malik.

Pendapat ini ditolak oleh Sheikh Muhammad Abduh sambil menulis dalam tafsirnya pendapat yang menyatakan al-Kauthar bermaksud sungai di syurga baru diterima sebagai keyakinan apabila riwayatnya mutawatir.

Namun demikian, Sheikh Muhammad Abduh meragukan mutawatir hadis tersebut kerana tulisannya lebih jauh. Kemutawatiran satu riwayat tidak sah kalau hanya pendapat sekelompok orang atau sebahagian ulama.

Kemutawatiran riwayat seperti apa yang anda lihat pada keadaan al-Quran. Ia dikenali dan diakui oleh thabaqat (kelompok atau generasi demi generasi) dan diriwayatkan oleh sejumlah orang yang dipercayai dan mustahil untuk berbohong, seterusnya riwayat itu sampai kepada anda dan tidak ditolak oleh kaum muslimin. Ia dinamakan mutawatir yang dapat menghasilkan keyakinan.

Pendapat kedua tentang al-kauthar banyak disebut ulama tafsir keturunan Nabi Muhammad. Pendapat ini dikemukakan antara lain oleh Abu Hayyan, al-Alusi sambil menyatakan mereka itu telah memenuhi seluruh penjuru.

Demikian juga Muhammad Abduh, al-Qasimi yang mengambil pendapat Ibn Jinni sambil menyatakan pendapat ini indah dengan sebab nuzul surah ini. Dan maksud keturunannya ialah anak cucu Sayyidah Fatimah puteri Rasulullah.

Dinyatakan di sini beberapa pendapat yang lain sebagaimana dinukilkan daripada kitab Zad al-Masir:

l Kebaikan yang banyak yang dikurniakan kepada Nabi. Inilah pendapat Ibn Abbas.

l Ilmu dan quran sebagaimana pendapat al-Hasan.

l Kenabian seperti pendapat Ikrimah.

l Kolam Nabi di mana manusia berhimpun padanya pada hari Akhirat. Inilah pendapat Ata'.

l Ramainya pengikut Nabi dan umatnya, seperti pendapat Abu Bakar bin 'Iyash.

Firman Allah SWT: Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.

Berkenaan dengan solat di sini ada tiga pendapat:

i. Solat hari raya haji, seperti pendapat Qatadah.

ii. Solat Subuh di Muzdalifah, sebagaimana pendapat Mujahid.

iii. Solat lima waktu. Inilah pendapat Muqatil.

Berkenaan dengan perintah korban pula ada lima pendapat:

i. Sembelihlah pada hari raya seperti riwayat Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas. Inilah pendapat Ata', Mujahid dan jumhur.

ii. Diletakkan tangan kanan atas tangan kiri ketika solat seperti riwayat Abu al-Jauza'.

iii. Mengangkat kedua tangan dengan bertakbir hingga ke leher seperti pendapat Abu Ja'far Muhammad bin Ali.

iv. Dengan makna solatlah kerana Allah dan korbanlah kerana Allah seperti pendapat al-Qurazi.

v. Hendaklah menghadap kiblat ketika korban sebagaimana dihikayatkan oleh al-Farra'.

Sayid Qutub berkata: "Setelah menerangkan nikmat yang melimpah ruah yang bertentangan dengan kempen orang kafir, Allah SWT memerintah Rasul-Nya supaya mensyukuri nikmat dengan kewajipannya yang pertama iaitu ikhlas dan tetapkan dalam hati amal ibadah kepada Allah SWT, mengerjakan solat dan menyembelih binatang korban dengan penuh keikhlasan tanpa menghiraukan kesyirikan kaum Musyrikin."

Firman Allah: Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.

Ulama khilaf siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini kepada lima pendapat:

i. Al-'As bin Wa'il al-Sahmi, seperti pendapat Ibn Abbas. Ini juga pendapat Said bin Jubair, Mujahid dan Qatadah.

ii. Abu Jahal, sebagaimana pendapat Ibn Abbas.

iii. Abu Lahab, seperti pendapat Ata'.

iv. Uqbah bin Abi Mu'it, sebagaimana pendapat Syamar bin 'Atiah.

v. Himpunan di kalangan orang Quraisy, seperti pendapat Ikrimah.

Al-Maraghi berkata: "Orang yang membenci kamu dalam apa jua keadaan adalah orang yang terputus penyebutannya untuk memperoleh kebaikan dunia dan akhirat."

Sebab utama mereka membenci petunjuk dan hikmah yang diajarkan baginda menampakkan kejahilan fikiran mereka, mencela sembahan mereka, menyeru ajaran yang berbeza dari apa yang telah mereka biasa ikuti.

Al-Hassan berkata: "Orang musyrik menyatakan keadaan Nabi Muhammad SAW itu terputus, maksudnya baginda telah menerima kegagalan, sebelum tujuan baginda tercapai. Akan tetapi Allah SWT menjelaskan bahawa musuh baginda itulah yang mengalami keadaan yang sedemikian."

Sijil halal: Kerajaan perlu tegas

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dan merasa bimbang dengan pendedahan mengenai pelbagai produk makanan yang digunakan dengan meluas oleh umat Islam mengandungi DNA babi.

Terbaru pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendedahkan keputusan oleh Jabatan Kimia Malaysia yang menguji sampel produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce mengesahkan terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalamnya.

Laporan akhbar hari ini menyatakan semua pemegang dan pemohon baru Sijil Halal Malaysia yang menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce diarah menukarkannya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan DNA babi dalam produk berkenaan.

Bagi umat Islam, sebarang isu yang berkaitan persoalan halal dan haram perlu diambil serius kerana ia sesuatu yang amat sensitif kepada mereka.

CAP juga menggesa pihak berkuasa bertindak tegas dengan menguji sampel produk berkaitan dengan sos selain daripada jenama berkenaan memandangkan begitu banyak sos yang dikeluarkan dalam negara atau pun dari luar negara.

Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana sos digunakan di dalam banyak bahan masakan di rumah dan juga di kedai, restoran dan gerai-gerai makanan terutamanya dalam makanan ala Barat.

Melalui pembangunan teknologi makanan, pemprosesan makanan menjadi semakin kompleks dan pengguna juga mempunyai pelbagai makanan yang diproses untuk dipilih dan keadaan inilah yang mendedahkan pengguna kepada pelbagai jenis makanan yang mungkin mengandungi bahan Haram.

Oleh itu, CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya menarik balik dengan segera penjualan dua produk itu yang dijual di Malaysia.

CAP menggesa rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan menghentikan segera pengambilan sos sehingga kandungannya disahkan halal oleh JAKIM.

Pengguna juga perlu mengelak daripada mengambil produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage kerana Sijil Pengesahan Halal telah ditarik balik.

Sehubungan itu, KPDNKK mestilah dengan segera mengambil tindakan untuk menarik balik sepenuhnya produk itu dari pasaran kerana ia sesuatu yang serius dan memerlukan tindakan segera.

S. M. MOHAMED IDRIS

Presiden Persatuan

Pengguna Pulau Pinang

JPN Kedah serah kepada kementerian


ALOR SETAR - Jabatan Pelajaran Kedah masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Pelajaran mengenai penangguhan agihan susu ultra-high temperature (UHT) untuk Program Susu 1Malaysia.

Pengarahnya, Mansor Lat berkata, mereka masih belum menerima apa-apa perkembangan mengenai isu berkenaan dan keputusan untuk mengagihkan semula susu itu bergantung kepada kementerian.

“Selepas penangguhan dibuat kami tidak lagi menerima sebarang aduan atau komen mengenai isu itu daripada waris atau individu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Kota Setar 2011, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung, semalam.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Setar, Saidin Bakar.

Dalam ucapannya, Mansor berkata, warga pendidik termasuk pelajar perlu menerapkan slogan ‘Bangun, Bingkas, Buat’ dalam diri masing-masing untuk memastikan segala tindakan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dapat disegerakan.

“Selain itu, pendidik perlu cepat menyelesaikan segala isu yang timbul di sekolah bagi mengelakkan perkara berkenaan menjejaskan tumpuan terhadap bidang akademik serta kokurikulum.

“Tindakan pantas akan membantu mereka terus mengekalkan kecemerlangan di pelbagai peringkat sama ada sekolah, pejabat pelajaran daerah, Jabatan Pelajaran negeri dan kementerian,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...