TERKINI :

Tuesday, May 10, 2011

UUM dah jadi Universiti Uzur Malaysia.. miskin sangat ke?

Oleh ZULKIFLI YAHAYA


Sekali lagi ruangan Nota Utara akan mengutarakan isu di sebuah universiti yang terletak di Utara tanahair iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM).

Isu cukai tanah di UUM belum berakhir. Pihak UUM masih belum putus asa untuk terus merayu buat kali ke tujuh, meminta kerajaan negeri Kedah memberikan rebat cukai tanah sehingga mereka hanya perlu membayar RM100 ribu sahaja berbanding RM1.74 juta nilai cukai tanah sebenar. UUM meminta kadar semurah itu untuk tempoh lima tahun. Cukai tanah bagi tahun 2011 sepatutnya perlu dijelaskan segera untuk mengelak dari didenda. Tarikh akhirnya ialah 1 Jun 2011.

Antara alasan yang dikemukakan UUM dalam rayuannya untuk mendapatkan rebat ialah UUM bukan institusi pengajian tinggi yang berorientasikan keuntungan. Benarkah langsung tidak berorientasikan keuntungan? Tahun lalu UUM mengumumkan keuntungan bagi syarikat-syarikat di bawah IPTA itu adalah sebanyak RM80 juta. Semua keuntungan itu dibuat di atas tanah yang dikategorikan untuk IPTA, bukan tanah premis perniagaan. Apa salahnya gunakan keuntungan besar yang ‘tidak disengajakan’ itu untuk menjelaskan cukai.

Satu lagi alasan yang diberikan ialah keluasan tanah UUM adalah 1,104.3 hektar tetapi hanya 57% dari keluasan tanah tersebut atau 627.8 hektar sahaja yang dibangunkan. Orang kampung yang mengusahakan sawah padi tetap perlu membayar cukai tanah meskipun pada tahun tertentu sawah mereka dilanda banjir.

Kadar cukai tanah yang dikenakan ke atas IPTA itu ialah RM0.20 bagi satu meter persegi, bermakna jumlah keseluruhan ialah RM1,744,357.00. Bagaimanapun berlaku pengambilan sejumlah kecil tanah UUM iaitu 3119.3662 meter persegi menyebabkan taksiran cukai berkurang menjadi RM1,743,735.00.

Kadar RM0.20 bagi satu meter persegi adalah kadar cukai tanah mengikut semakanhasil tanah pada 2005 yang menjadikan cukai tanah UUM sebanyak RM1,743,735.00. Cukai tersebut tidak dikira mengikut rebat cukai yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2008 iaitu pada kadar RM0.30 bagi satu meter persegi. Jika rebat tersebut diikuti maka cukai tanah yang baru bagi UUM ialah RM2,615,602.00!

Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah dilaporkan tidak bersetuju terhadap rebat oleh UUM itu kerana ia boleh dijadikan ‘precedent case’ atau kes duluan untuk dijadikan rujukan . Hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri Kedah dari tanah-tanah milik Persekutuan di negeri ialah RM31 juta setahun.

Jika UUM diberikan rebat, bayangkan jika semua jabatan Persekutuan tersebut, khususnya IPTA membuat rayuan terhadap kerajaan negeri menggunakan alasan yang sama yang digunakan UUM; maka ia meletakkan kerajaan negeri dalam dilema kerana tidak adil dalam melayan pembayar cukai tanah. UiTM Merbok dikenakan cukai RM0.55 untuk satu meter persegi, lebih sekali ganda dari yang ditanggung UUM. Bagaimana jika UiTM Merbok pula yang meminta rebat, kerana alasan mereka lebih kuat untuk meminta rebat?

Sepanjang tiga tahun memberi rebat pada UUM (2006-2009) kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM4,933,071.00. Sekiranya permohonan untuk mendapat jumlah rebat yang sama dipanjankan lagi selama lima tahun maka negeri akan kehilantgan hasil sebanyak RM8,218,675.00. Jumlah tersebut adalah terlalu besar untuk bukan sebuah negeri maju macam Kedah.

Jika pihak UUM masing ‘membuat bising’ kononnya kadar cukai tanah RM0.20 satu meter persegi yang dikenakan terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar, maka eloknya kita meneliti kadar cukai tanah yang dikenakan terhadap IPTA di negeri lain sebagai rujukan.

USM Pulau Pinang dikenakan cukai RM2.58 bagi setiap meter persegi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMEPS) RM0.50 satu meter persegi, IPTA di negeri Selangor RM0.39 untuk satu meter persegi. Manakala semua premis milik Pusat seperti sekolah, balai polis, hospital dan lain-lain yang didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan maka kadar untuk satu meter persegi ialah RM0.55. Semua premis tersebut tidak sibuk meminta rebat, UUM pula yang tiba-tiba menjadi Universiti Uzur Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan yang berpihak kepada UUM. Cakapnya ‘dauble standard’ kerana dia tidak mengulas hal yang sama bagi UNIMEPS atau mana-mana IPTA yang terletak di negeri-negeri ditadbir BN. Sepatutnya negeri BN menjadi contoh dalam memberi rebat ‘gila-gila’ itu kepada semua IPTA yang terdapat di negeri masing-masing, tapi ia tidak berlaku.

Di Kedah, di mana sahaja ceramah politik BN diadakan maka isu cukai tanah UUM menjadi isu wajib untuk diulas. Ini menunjukkan bahawa permohonan rebat oleh UUM terhadap kerajaan negeri bukan ikhlas demi pembangunan pendidikan tetapi lebih menjurus kepada provokasi politik.

Apabila nanti kerajaan negeri menolak maka bolehlah jentera propaganda mereka menjelaskan kepada seluruh rakyat jelata bahawa kerajaan negeri menindas institusi pengajian tinggi. Jika itulah maksud yang tersirat dari apa yang tersurat, maka ‘eloklah’ mereka meneruskan niat busuk tersebut. Kita serahkan pada rakyat untuk menilai.

Ooo Patut Laa ada sekoq dua galak bagi komen sehari dua nie.. baru balik cuci otak rupanya..

Aktivis maya UMNO terima latihan APCO di Janda Baik

Oleh: MID PANAH

Baru-baru ini bloggers dan aktivis maya serta cyber troopers Umno pergi Kursus Jentera Penulisan Dan Karikatur UMNO 2011 di Institut Latihan Umno (ILMU) di Janda Baik Pahang. Latihan disampaikan oleh pakar propaganda yang mendapat latihan khusus APCO sebuah firma Yahudi yang menjadi penasihat UMNO.

Termasuk di antara mereka ialah Timbalan Ketua Pemuda Umno Cawangan Naka, Wan Suhaizi Wan Senu atau dikenali sebagai Aktivis Umno Pekan Naka dalam facebook.

Setelah kursus tersebut selesai,apa yang dapat dikesan ialah serangan bertubi-tubi kepada Pakatan Rakyat terutama pemimpin-pemimpin PAS. Secara spesifik, merujuk peringkat Padang Terap, mereka telah bertubi-tub menyerang Facebook Pemuda Padang Terap, Yb Ustaz Nasir Zakaria dan beberapa pemimpin PAS Kawasan. Taktik dan serangan pembunuhan watak,iaitu serangan peribadi, taktik mengalih isu sebenar, taktik pecah isu, taktik provokasi, taktik menghina semua yang mereka pelajari telah digunakan.

Mereka kini bergerak dalam bentuk organisasi tersusun dan dipercayai mendapat biayaian daripada Umno. Mesyuarat Umno peringkat negeri telah membuat keputusan iaitu satu minggu satu isu akan dibangkitkan untuk menyerang Pakatan Rakyat.

Di Peringkat Daerah Padang Terap, antara isu yang terbaru dimainkan dan diapi-apikan oleh mereka ialah isu Lawatan Ahli Majlis Ke China, Terapcare, STDC, YB Ustaz Nasir, Ekspo, Konsert Battle Of The Band dan sebagainya. Isu-isu lama yang dimainkan ialah isu kronisme, air SADA, pembangunan daerah, bantuan banjir dan lain-lain.

Antara perang saraf yang mereka gunakan ialah membuat dakwaan palsu kononnya menyimpan secara rahsia rakaman salah laku pemimpin PAS Kawasan konon untuk dijadikan bahan ugutan khususnya kepada Pemuda Padang Terap.

Kepada pemberi maklumat terima kasih daun keladi.

Komplot Kristian: Apakah DAP sasarannya? Tidak…

Selepas kegagalan yang memalukan dalam agenda “1Melayu, 1Bumi”, media tradisional Umno, Utusan Malaysia dan barisan blogger mereka cuba sekali memainkan isu yang cukup sensitif dan berbahaya untuk kestabilan negara dengan menuduh bahawa para pemimpinDAP berkonspirasi dengan paderi Kristian bagi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan membolehkan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri.

Di atas permukaan, DAP dan agama Kristian dilihat sebagai sasaran sebenar Utusan. Namun, harus diingatkan di dalam politik, kebanyakan drama hanya membenarkan penonton tepi jalan melihat apa yang hendak diperlihatkan – dengan ini bermaksud ada pihak yang inginkan rakyat percaya bahawa sasaran sebenar mereka ialah DAP dan juga Kristian.

Persoalannya, adakah begitu keadaannya?

Sudah tentu tidak. DAP hanya sebuah catur yang digunakan sebagai batu lonjatan untuk melumpuh imej politik musuh yang paling digeruni Umno di minda pengundi-pengundi kawasan pedalaman. DAP bukanlah musuh terbesar Umno. Ia juga bukanlah PKR.

Musuh terbesar Umno ialah PAS.

Sebab untuk setiap kerusi Umno, jika ia kalah, kebarangkaliannya besar ia akan menjadi kerusi PAS di kawasan-kawasan pedalaman. Selepas majoriti bukan Melayu meninggalkan komponen parti Barisan Nasional kerana kebiadapannya, Umno sedar bahawa talian hayat politiknya kini bergantung sepenuhnya di tangan pengundi-pengundi kawasan pedalaman.

Dengan alasan tersebut maka pengundi-pengundi kawasan pedalaman mesti di’cuci’ minda sehingga melihat ‘tiada pilihan lain’ selain Umno. Dengan ungkapan ‘tiada pilihan lain’, ia bermaksud PAS mesti dibunuh dengan segala modal yang ada.

Membunuh DAP tidak akan membantu Umno untuk mengembalikan undi-undi bukan Melayu yang hilang, akan tetapi dengan melakar DAP seteruk parti syaitan, Umno berharap pengundi-pengundi kawasan pedalaman akan menekan PAS, ataupun lebih baik lagi memarahi PAS kerana sanggup bekerja dengan parti syaitan tersebut untuk menyingkirkan sebuah parti orang Melayu, Umno (bukan Barisan Nasional) yang sering digambarkan sebagai parti tunggal pembela orang Melayu di negara ini.

Bacalah analisis penganalisa politik Harakahdaily di bawah dan pembaca bolehlah membuat penilaian sendiri terhadap permainan terbaru Umno.

20 April:


Ekoran kejayaan DAP di Sarawak, editor Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan menggesa Umno untuk mengepalai pergerakan kontroversial “1Melayu, 1Bumi”. Ramai pemimpin Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah membela akhbar milik Umno tersebut walaupun menerima pelbagai kecaman daripada seluruh pelosok negara terhadap cadangan tersebut, yang dilihat bertembung dengan konsep 1Malaysia laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lebih mengejutkan, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, penyokong kuat Perkasa memberikan amaran supaya Utusan dan Perkasa membatalkan hasrat tersebut kerana cadangan tersebut adalah tidak baik untuk negara.

Semasa mencadangkan pergerakan “1Melayu, 1Bumi” Zaini menulis bahawa DAP berjaya menyatukan orang Cina, maka tidak salah bagi orang Melayu melancarkan seruan 1Melayu, 1Bumi kerana orang Melayu sendiri belum bersatu.

“Jika PAS degil dan tidak mahu ikut serta, gabungkan dengan puluhan NGO-NGO Melayu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di atas bumi Malaysia ini.“

komentar:


DAP digunakan sebagai alasan untuk memaksa PAS untuk bersama Umno demi orang Melayu. Umno cuba menggambarkan seolah-olah PAS ialah parti Melayu yang ‘pelik’ di mata pengundi-pengundi pedalaman yang majoritinya orang Melayu.

Malah, Umno dan Utusan cuba menjaja idea bahawa kejayaan DAP di Sarawak ialah petanda bahawa orang Cina telah menolak kepimpinan orang Melayu.

Serangan ini dipatahkan dengan hujah ringkas oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan membetulkan persepsi bahawa kejayaan DAP di Sarawak hanya membuktikan bahawa orang Cina telah menolak pemimpin Cina dalam Barisan Nasional (BN) kerana DAP hanya menang dengan mengalah calon Cina daripada BN.

Oleh itu, soal orang Cina menolak kepimpinan Melayu langsung tidak berbangkit, terang Tuan Ibrahim.

30 April:


Najib menyeru Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meninggalkan DAP dengan mendakwa bahawa parti tersebut tidak memperjuangkan Islam. Perdana Menteri juga menjemput PAS untuk menyertai Barisan Nasional untuk melaksanakan usaha memperkasakan agenda bangsa, agama dan negara.

Pada masa yang sama, MCA pula mengugut pengundi Cina dengan mengatakan bahawa parti tersebut akan menolak sebarang jawatan kabinet pada masa hadapan sekiranya terus tidak mendapat sokongan daripada kaum tersebut pada pilihanraya umum akan datang.

komentar:

Sekali lagi, Umno menggunakan DAP sebagai batu loncatan untuk membunuh persepsi politik pengundi-pengundi pedalaman terhadap PAS dengan menjemput parti Islam tersebut untuk menyertai BN bagi memperkasakan bangsa, agama dan negara walaupun mengetahui sepenuhnya PAS akan menolak usul tersebut sekali lagi kerana tidak mahu bersama memperjuangkan kemungkaran Umno dan kekal bersama Pakatan Rakyat.

Pencacai Umno, MCA pula secara diam akur dengan skrip politik Umno dan cuba menggambarkan bahawa Barisan Nasional akan menjadi kerajaan orang Melayu sahaja jika betul mereka menolak sebarang jawatan kabinet kerana orang Cina tidak menyokong mereka.

Secara tidak langsung, Umno dan MCA dengan sengaja membuka jalan kepada plot berbahaya dengan memberikan gambaran kepada pengundi-pengundi bahawa sebuah 'dikotomi berbahaya' akan wujud dengan kerajaan Melayu-dominan di satu sisi dan pembangkang yang Cina-dominan di sisi yang lain – dan semua ini terjadi kerana Pakatan Rakyat.

Kerana mengetahui bahawa PAS akan menolak sekali lagi dalam usaha ke arah menjayakan plot berbahaya tersebut, skrip politik telahpun disiap-sedia di mana Umno akan menuduh PAS lebih sanggup bekerja dengan parti yang dituduh syaitan oleh Umn iaitu DAP daripada bersama Umno untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam.

Skrip tersebut juga menggambarkan Umno bersifat baik hati dengan melupakan persengketaan lama dengan PAS dengan jemputan tidak ikhlas tersebut tanpa menghiraukan fakta bahawa parti orang Melayu Barisan Nasional tersebutlah yang menganiayai kerajaan orang Islam PAS di Kelantan selama 2 dekad yang lalu.

Pada masa yang sama, Umno juga memberitahu pengundi-pengundi pedalaman bahawa parti PAS angkuh dan mengikut telunjuk DAP menyebabkan parti tersebut meninggalkan perjuangan membela orang Melayu.

Seramai lapan pemimpin tertinggi PAS, termasuk Murshidul Am, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang sinonim walaupun berasingan bahawa parti Islam akan kekal bersama Pakatan Rakyat dengan matlamat untuk mengeluarkan Umno dari Putrajaya dalam pilihanraya umum ke 13.

1 Mei:


Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyeru PAS untuk meninggalkan perjuangan Islam jika parti Islam tersebut ingin menerima jemputan Najib untuk menyertai BN. Chua juga turut mendakwa bahawa Najib amat memahami pendirian MCA yang menolak dasar Islam PAS walaupun mengetahui bahawa perdana menteri menggunakan Islam sebagai alasan untuk kerjasama antara Umno dan PAS.

komentar:


Atas keceluparan dan sentimen anti-Islam Presiden MCA Chua Soi Lek (gambar), hasrat Umno untuk membunuh persepsi politik orang pedalaman terhadap PAS dipatahkan lagi akibat kesungguhan segelintir pemimpin MCA untuk menunjukkan kepada pengundi-pengundi Cina bahawa merekalah yang betul-betul anti Islam demi meraih sokongan.

5 Mei:


Utusan memainkan isu kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang menuduh golongan yang menentang penyatuan Umno-PAS sebagai pengkhianat Islam.

komentar:

PAS sekali lagi ditekan kerana menolak pelawaan Najib untuk berkerjasama dengan Umno atas nama Islam versi Umno yang menghalalkan judi, menghalalkan penganiayaan terhadap negeri Islam yang lain dan menganggap rasuah sebagai sebahagian daripada amalan hidup.

Mufti mempunyai wibawa yang tinggi di kalangan pengundi-pengundi Melayu di kawasan pedalaman, dan oleh sebab itu, PAS terpaksa berhati-hati untuk mengatasi perangkap Umno ini dengan menjaga wibawa seorang mufti sambil menolak penyatuan dengan Umno supaya parti Melayu Barisan Nasional tidak dapat menggunakan sebarang alasan untuk sekali lagi membunuh persepsi politik pengundi-pengundi pedalaman terhadap PAS.

Sekali lagi, persoalan ringkas berikut daripada Tuan Ibrahim (gambar bawah) cukup untuk menghalang kemaraan Umno dalam isu ini.

“Sebagai seorang mufti, Dr Juanda perlu memahami bahawa jangkauan perpaduan yang cuba dicadangkannya, perlulah sebaik-baiknya mencerminkan kehendak Islam yang syumul ini, dan lebih penting lagi meletakkan asas penyatuan bagi mencari keredhaan Allah.

"Bagi Dr Juanda dan mereka yang sama fikrah dengan pandangannya, Apakah PAS diminta mendokong kemungkaran dan kebejatan yang dilakukan oleh Umno, samada dalam aspek agama mahupun pengurusan negara?”

7 Mei:


Utusan, Pembela, Perkasa dan Dr Mahathir semuanya memainkan isu konspirasi Kristian pada masa yang sama.

Malah Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan Menteri Informasi, Telekomunikasi dan Budaya Rais Yatim turut serta memberikan kredibiliti kepada komplot yang diwar-warkan tersebut dengan memberikan amaran kepada golongan yang mempersoalkan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.

MCA, seperti biasa tidak terlalu berani bersuara dan membenarkan Umno untuk meneruskan plot jahatnya. Timbalan Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sekadar mengatakan laporan Utusan itu sebagai omong-omong tanpa memberikan sebarang kritikan terhadap Utusan yang memainkan sentimen yang berbahaya tersebut.

Menyedari permainan berbahaya Umno ini, pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Hadi telah mengingatkan bahawa perjuangan bersama Pakatan Rakyat adalah untuk menjunjung perlembagaan negara, terutamanya Islam sebagai agama persekutuan dan bersama membidas permainan Utusan yang berbahaya tersebut.

komentar:


Seperti yang diterangkan Tuan Ibrahim, dengan segala kekuatan DAP sahaja, ia adalah mustahil untuk melakukan dakwaan tersebut kerana jumlah ahli Parlimen mereka tidak mencukupi, bahkan atas nama Pakatan Rakyat sekalipun, tak mungkin PAS dan PKR akan bersetuju, lagi-lagi DAP pun tidak akan mencadangkan usul yang cukup tidak logik tersebut.

Sebagai langkah untuk membetulkan persepsi pengundi-pengundi kawasan pedalaman, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang dasar negara memerlukan persetujuan majoriti dalam parlimen yang terdiri daripada ahli parlimen yang majoritinya Islam.

“Pindaan dasar negara bukan boleh dibuat dalam mesyuarat di hotel atau dalam majlis tertutup. Sebarang pindaan perlembagaan tentu akan dibincangkan di parlimen, dan kalaulah ini terjadi, apakah wakil rakyat yang majoritinya beragama Islam akan bersepakat dan bersetuju dengan pindaan tersebut?

“Sudah tentu tidak. Lebih-lebih lagi, Pakatan Rakyat sudah awal-awal lagi mengisytiharkan bahawa kita akan mendokong sepenuhnya Perlembagaan Malaysia, lebih-lebih lagi Islam sebagai agama rasmi negara,” terang beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Jadi, jikalau sudah tahu perkara konspirasi Kristian itu tidak berasas dan tidak logik, mengapa Umno masih ingin mainkan isu yang serba berbahaya ini?

Jawapannya mudah – untuk mencipta satu ‘common enemy’ (musuh bersatu) yang tidak wujud di minda pengundi-pengundi Melayu di kawasan pedalaman supaya menekan PAS untuk bekerjasama dengan Umno untuk mengatasi kemelut buatan Umno ini.

Sekali lagi, segala plot yang Umno mainkan sasarannya ialah PAS, dan memaksa parti Islam tersebut ke satu penjuru supaya para pengundi Melayu pedalaman hanya akan lihat Umno sebagai satu-satunya pilihan yang ada untuk membela bangsa dan agama Islam pada pilihanraya depan kerana mereka tahu parti Islam tidak akan bersama mereka dalam kerja menfitnah dan menkucar-kacirkan negara.

Selepas plot menjatuhkan Anwar dengan video lucah gagal, Umno sekarang bertukar menggunakan DAP sebagai batu loncatan untuk memainkan sentimen pengundi-pengundi Melayu pedalaman terhadap PAS, dengan menuduh parti Islam tersebut tidak berupaya untuk mempertahankan mereka dan menjadi kuda tunggangan kepada bukan Islam yang mereka sering gambarkan sebagai golongan dominan di Pakatan Rakyat.

Dengan memainkan isu sensitif ini juga, ia juga menunjukkan bahawa Umno tidak selesa untuk mengadakan piliharaya umum sekarang ini, kerana dengan menggunakan Kristian sebagai mangsa untuk kenakan PAS, parti Melayu Barisan Nasional itu tahu bahawa deposit kekalnya di Sarawak dan Sabah akan terjejas lebih teruk lagi berbanding keputusan pilihanraya negeri Sarawak yang lepas.

Dengan pengumunan Suruhanjaya Pilihanraya semalam bahawa ia sudah mula 0membuat kajian awal persempadanan semula kawasan pilihan raya, rasanya pilihanraya umum akan dipanggil selepas kawasan majoriti Melayu dipecahkan dan kawasan majoriti Cina digabungkan untuk membolehkan Umno memenangi lebih banyak kerusi dengan hanya bergantung kepada pengundi pedalaman.

Jadi, siapa lagi yang melihat DAP dan Kristian sebagai sasaran sebenar Umno? Untuk menumpaskan Umno, semua pihak berkewajiban untuk menyedarkan pengundi-pengundi Melayu pedalaman untuk menyokong PAS, yang kini semakin dilihat sebagai parti pengaman dan penstabil berbanding Umno yang suka mengkucar-kacirkan negara dengan sentimen berbahaya demi kepentingan politik. [HarakahDaily]

UMNO/BN akan terguling jika Pilihanraya pada 11/11/11

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersetuju dengan penilaian bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu masih lemah untuk menghadapi pilihanraya dalam masa yang terdekat.

Memang betul pun beberapa isu besar sedang merobok di bawah tetapi bagi UMNO mereka buat “derkkkk ajeee…”.

Yang terdekat isu gula naik 20sen bakal menghakis pengundi di kampung-kampung penyokong tegar UMNO/BN kerana teh tarik akan naik harga, apom lenggang akan naik harga, kopi o naik harga dan kenaikan ini akan dirasai sangat oleh mereka. Gologan bandar yang kaya raya mungkin tidak terasa kerana ramai di kalangan mereka tidak makan gula kerana mengidap penyakit orang kaya, jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Malah golongan-golongan elit bandar ini langsung tidak mengundi kerana mereka sudah senang lenang, mereka mengundi hanya semasa mereka susah di kampung dahulu. Istilah kenang jasa tidak ada dalam kamus hidup mereka.

UMNO/BN juga akan kehilangan pengundi-pengundi muda atau remaja yang baru masuk alam pekerjaan kerana mereka telah disenarai hitam oleh PTPTN tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada mereka.

Ramai yang menghadapi insiden perit semasa hendak keluar negara disekat oleh imigresyen lapangan terbang. Sistem yang diguna pakai oleh PTPTN untuk 'tracking' penghutang-penghutang yang sebenar nya tidak ada sistem, berterabur dan apabila mangsa mempersoalkan status mereka, pihak PTPTN hanya melepaskan batuk ditangga.

Pemuda UMNO tidak memperjuangkan isu ini kerana mereka lebih sibuk sesama mereka mengejar projek.

Perbalahan dalaman UMNO dan BN masih tidak selesai. Nampak ‘at the surface’ seperti OK tetapi di dasarnya bertokak bagai perang saudara. Boikot memboikot di antara kumpulan akibat dari pertandingan merebut jawatan masih tidak sembuh sepenuhnya malah ada bahagian-bahagian yang makin parah.

Pengundi-pengundi Cina tidak boleh diharap langsung. Pada bila-bila masa mereka boleh ‘swing’ parti mana yang mereka suka dan pada ketika dan saat ini DAP merupakan pilihan mereka.

Pengundi-pengundi Melayu masih terpinga-pinga di antara PAS dan UMNO. Mereka berpecah teruk seperti rincik-rincik timun yang nampak lahiriah sahaja banyak tetapi mudah diratah.

Apa yang MR bangkitkan ini hanyalah ‘tips of the iceberg’ masih banyak lagi isu-isu rakyat yang belum selesai khasnya pengundi-pengundi muda yang bakal bangkit seperti dalam Pilihanraya Singapura baru-baru ini.

Tidak dinafikan DS Najib ada kekuatan beliau yang tersendiri tetapi kekuatan Najib bukan jaminan kekuatan parti.

Hakikatnya UMNO/BN masih tidak stabil.

http://mummyrokiah.blogspot.com

Anwar Ibrahim : Sebab Apa Mau Tukar????






Minyak naik: BN wujud Tabung dana khas hadapi PRU – Azan

KUALA LUMPUR: Berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail mendakwa satu tabung khas akan diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebagai dana bagi parti tersebut menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

“Tidak mungkin kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak tanpa mempunyai maksud atau tujuan lain. Penstrukturan harga minyak ini adalah perlu bagi menampung jangkaan perbelanjaan besar mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kenaikan harga minyak ini sebenarnya tidak memberikan faedah langsung kepada peniaga, tetapi keuntungan tersebut ‘disedut’ oleh ‘orang tengah’ dan disalurkan ke dalam dana tabung tersebut. ‘Orang tengah’ itu adalah di kalangan pemerintah itu sendiri,” katanya.

Seperti yang dilakukan kerajaan sebelum ini, Azan menjelaskan ‘trend’ memberi amaran kepada peniaga yang menaikkan harga barangan akan dibuat bagi mencipta persepsi bahawa kerajaan telah melakukan penguatkuasaan undang-undang.

“Inilah kesan berantai yang akan berlaku akibat kenaikan terbaru petrol jenis RON 97. Saya yakin, dalam tahun ini juga minyak jenis RON 95 akan turut dinaikkan.

Menyentuh mengenai kenaikan harga gula yang dinaikkan sebanyak 20 sen yang berkuatkuasa hari ini, Azan berkata ia akan memberi kesan kepada kenaikan harga barangan keperluan lain.

“Kenaikan harga gula yang merupakan kandungan penting dalam makanan orang Malaysia memberi gambaran bahawa, akan belakunya musim kenaikan pelbagai barangan keperluan harian secara besar-besaran.

“Tetapi kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa kepada harga akhir daripada rantaian kesan kenaikan disebabkan hanya gula yang menjadi barangan kawalan, tetapi tidak kepada produk akhir.

“Begitu juga dengan kenaikan kos bahan api, maka kos tambahan atas perkhidmatan seperti kenderaan awam itu sendiri akan turut meningkat. Sudah tentu ia membebankan golongan peniaga, peruncit dan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Azan menjelaskan, kadar inflasi di Malaysia semakin meningkat, seiring dengan kenaikan harga keperluan asas.

“Sekiranya kita ada duit RM 1000 nilainya tidak akan sama lagi seperti sebelum ini, apatah lagi dengan ketiadaan kenaikan gaj mahu pun gaji minimum.

“Tambahan pula, kita masih belum lagi berhadapan dengan kekurangan stok, permintaan tinggi semasa perayaan, barangan yang disorok dan sebagainya.

“Kawalan atau pun janji penguatkuasaan kerajaan umpama ‘menanam tebu di bibir’.

“Keadaan ini adalah satu permulaan kepada kitaran lengkap kenaikan dan beban kos kehidupan yang kita akan hadapi tidak berapa lagi.” ujarnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=13022

Apa salah Kristian jadi PM, kata Bernard Dompok

May 09, 2011

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok berkata, tidak menjadi masalah jika perdana menteri Malaysia itu seorang beragama Kristian.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) itu menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri yang beragama Islam yang boleh menerajui kerajaan.

“Bagi persoalan seorang perdana menteri Kristian, apa masalahnya, saya tidak nampak.

“Lagipun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan soal agama dalam soal melantik perdana menteri, satu-satunya syarat adalah mendapat sokongan dalam Parlimen.

“Jika orang Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut, Kelabit, Cina atau India yang memenuhi peruntukan Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan, dia boleh menjadi perdana menteri negara ini,” kata Dompok.

Tambah beliau, kedudukan Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia telah diterima semua pihak.

“Semua orang bukan Islam menerima Islam dalam Perlembagaan dan di Malaysia kita bebas untuk mengamalkan agama masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun tegas Dompok, laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” tanpa mengesahkan kesahihannya akan menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum dalam negara.

“Bagaimana sebuah akhbar boleh menyiarkan laporan dengan memetik daripada penulis blog? Ia tidak bertanggungjawab. Saya telah beberapa kali ke gereja dan selama ini mereka berdoa yang baik mengenai negara, pemimpin dalam kerajaan dan rakyat Malaysia.

“Sesungguhnya doa yang dibuat itu adalah untuk kesejahteraan negara dan pemimpin-pemimpin,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?” mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri daripada kalangan penganut itu.

Utusan Malaysia juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan kelmarin.

Bagi pakar undang-undang Prof Abdul Aziz Bari berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri beragama Islam boleh menerajui kerajaan pusat dan keperluan seperti itu bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

“Peruntukan bahawa perdana menteri mesti seorang yang beragama Islam tidak selaras peruntukan di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. [Malaysian Insider]

Anak muda dan isu semasa

oleh RAHMAN SHAARI
5/8/2011 9:11:46 AM

Saya selalu teringat akan pesanan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Katanya, kita mempelajari sejarah, tidak bermakna kita mengkaji kesemua yang berlaku. Kita mengkaji perkara-perkara terpilih.

Demikian jugalah jika kita membicarakan isu semasa. Masalahnya, anak-anak muda kini (tidak semua) kekurangan pengetahuan tentang isu semasa yang terpilih.

Bicara hari ini bermaksud menyebutkan hal kemiskinan maklumat yang dimiliki anak-anak muda itu. Daripada pemerhatian, saya dapati anak-anak muda tidak mempedulikan akhbar yang dilanggan ibu bapa mereka.

Dalam kata yang lebih langsung, anak-anak muda tidak membaca akhbar. Kesukaan berhimpun dengan kawan-kawan untuk berbual-bual kosong menyebabkan mereka tidak tahu tentang hal-hal penting dalam masyarakat, apatah lagi dalam dunia di luar masyarakat mereka sendiri.

Mungkin ada menjawab, kini zaman blog dan laman web. Itu boleh diterima jika anak-anak muda menghadap komputer untuk mendapatkan maklumat, namun ada menghadap untuk maksud-maksud lain. Jika keadaan ini berterusan, mereka akan menjadi orang dewasa yang terpisah daripada pengetahuan am. Mereka mungkin pakar dalam bidang-bidang yang dipilih untuk kehidupan masing-masing, tetapi ‘miskin’ maklumat.

Secara umumnya, baik mereka mengikuti akhbar atau media alternatif, yang utama ialah perlu mengetahui isu semasa. (Bagi Hishamuddin Rasis, blog dan laman web ialah media utama). Tanpa mengetahuinya, mereka ialah manusia yang pasif terhadap pelbagai pandangan yang melibatkan kehidupan mereka sendiri.

Sebagai contoh, ketika makalah ini ditulis, terdapat polemik tentang kepentingan Bahasa Melayu dan Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran di Malaysia. Adakah anak-anak muda sedar dua trend pemikiran ini sedang berlangsung di Malaysia? Pejuang Bahasa Melayu bersungguh-sungguh berhujah mengatakan Bahasa Melayu mesti diletakkan di tempat tertinggi dalam pencarian ilmu. Pihak yang satu lagi tidak mempercayai anak-anak mereka akan betul-betul mahir jika bahasa Inggeris tidak dimajukan secara intensif.

Jika anak-anak muda tahu pandangan yang berlawanan itu sedang terjadi, apakah pandangan anak-anak muda sendiri? Orang-orang dewasa bertentangan pendapat, dan pendapat itu bukanlah untuk mereka, kerana mereka sudah berada di tahap tertentu. Yang penting ialah anak-anak muda sendiri. Adakah anak-anak muda percaya Bahasa Melayu akan menjadi kuat seperti Bahasa Inggeris jika rakyat Malaysia meletakkannya di tempat tertinggi? Atau anak-anak muda memilih bahasa Inggeris? Minggu ini, saya mengetahui ada anak muda meminta wang daripada bapanya sebanyak RM2,000 untuk bayar yuran kursus intensif bahasa Inggeris. Kursus itu akan berlangsung sebulan saja.

Dalam menghadapi polemik, anak-anak muda tidak perlu mengambil sikap menyebelah secara membuta tuli. Salah seorang daripada pejuang Bahasa Melayu telah menulis dalam akhbar Inggeris - menyatakan, Bahasa Melayu amat penting. Tulisan Prof Norhashimah Jalaluddin dalam New Straits Times, 19 April 2011 itu terlihat sebagai satu ironi, tetapi itulah yang baiknya. Norhashimah membuktikan bahawa dirinya sendiri bagus dalam Bahasa Inggeris.

Dalam bidang kesusasteraan, baru-baru ini orang bising kerana kandungan novel Interlok karya Datuk Abdullah Hussain tidak disenangi satu pihak. Adakah anak-anak muda menyedari dan mengikuti polemik tersebut?

Kekayaan pengetahuan dan maklumat kita tentang sesuatu yang berlaku di sekitar kita adalah penting. Bahkan, anak-anak muda juga perlu tahu peristiwa dunia. Dalam bidang politik, kita tahu negara-negara di dunia Arab jatuh kerana penentangan rakyat. Tanpa pembacaan, anak-anak muda mungkin sudah mendengar nama-nama pemimpin negara yang ditentang rakyatnya, tetapi jika masa diambil untuk mendapatkan analisis alangkah baiknya. Selain itu, anak-anak muda mungkin mendengar berita Osama ben Ladin mati ditembak. Adakah anak-anak muda sekalian tahu apakah corak perjuangan Osama ben Laden yang menyebabkan Amerika memburunya?

Bagaimanapun bahan-bahan bacaan adalah pelbagai. Tidak semua jenis maklumat disukai anak-anak muda. Namun, jika kesemua jenis maklumat tidak digemari oleh anak-anak muda, maka itu adalah sesuatu yang malang. Bacalah akhbar, atau sumber lain, untuk anak-anak muda memperoleh maklumat isu semasa. Seperti disebutkan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tidak kesemua peristiwa dan perkara perlu diketahui, tetapi janganlah pula apa-apa pun tidak diketahui.

Tu dia RM23juta lagi mai masuk Kedah....hebat hebat...makasih la noo...!!

Projek RM23 juta tingkat hasil

PADANG TERAP - Sebanyak 822 keluarga petani dari lapan kampung di Mukim Pedu dan Mukim Tekai Kiri di daerah ini berbangga menjadi golongan pertama yang meraih manfaat daripada Projek Pembangunan Sistem Pengairan Berpusat Bukit Sena yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu mampu meningkatkan hasil daripada tiga tan sehektar kepada lima tan.

Projek yang membabitkan kos RM23 juta itu membabitkan kerja pemasangan paip sepanjang 78 kilometer, menyediakan enam pam elektrik, membina 177 saluran keluar air, 13 kawal injap, satu ‘substation’ Tenaga Nasional Berhad (TNB), menaik taraf 15 kilometer jalan ladang, menaik taraf 10 kilometer sistem saliran, bilik operasi dan sistem kawalan Scada.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau mahu semua pihak berganding bahu dan bekerjasama dalam memberikan komitmen bagi memastikan projek berkenaan berjaya.

Menurutnya, projek secara berpusat berkenaan disifatkan sebagai melakar sejarah transformasi sistem pengairan yang moden serta canggih.

“Walaupun projek pembangunan ini memakan masa hampir dua tahun mulai 2 September 2008 dengan kos RM23 Juta untuk disiapkan sepenuhnya, besar harapan saya supaya dapat memberi manfaat kepada 822 keluarga petani.

“Dari tanaman padi satu kali setahun kepada dua kali setahun dan meningkatkan hasil padi secara tidak langsung dapat meningkatkan hasil pendapatan para petani,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Pengairan Berpusat di Kampung Bukit Sena, dekat sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Rihan Sarif, Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Azahari Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan ADUN Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim.

Noh berkata, Kerajaan Pusat juga mahu melihat penglibatan golongan petani di dalam memastikan penanaman padi lebih teratur .

Menurutnya, petani juga boleh membuka lebih banyak kawasan tanaman yang tidak bertanam dan boleh mencapai matlamat tanaman dua kali setahun melalui jadual yang lebih tersusun.

“Penggunaan sistem paip ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh petani, tanggungjawab mengurus sistem pengairan ini adalah satu amanah dan tugas yang amat mencabar,” katanya.

Kalau UMNO Kalah, yang akan Menang ialah PAS, bukan DAP.

Sedarkah kita ditipu UMNO? Ke hulu ke hilir UMNO menjaja kononnya Melayu dalam bahaya kerana UMNO sudah lemah. Maka, bahayanya adalah DAP akan berkuasa dan Melayu akan hilang segala-galanya.

Sedarkah UMNO bahawa 90% kerusi mereka di Semenanjung ditandingi oleh PAS? Apabila UMNO kalah, yang menang adalah PAS, bukan DAP. Malahan seluruh MAlaysia sepanjang sejarah pilihanraya Malaysia, kita boleh bilang dengan jari kerusi UMNO yang ditandingi DAP.

Dengan kata lain, kalau UMNO kalah tersepuk menyembah bumi, yang akan bangun di atas debu UMNO itu adalah PAS. Hak orang Melayu dan Islam tetap terjamin dengan PAS berkuasa.

Orang Melayu tidak perlu takut untuk berubah kerana hak mereka lebih terjamin di bawah PAS berbanding UMNO.

Nak harap apa dengan UMNO? Agama sendiri mereka gadai. Cuti hari Jumaat pun mereka gadai tukar pada Hari Ahad.

Tulang Besi
http://www.malaysiawaves.com

'Beri rebat yuran pengajian dulu'


ALOR SETAR - Universiti Utara Malaysia (UUM) diminta supaya memberi rebat yuran pengajian kepada pelajarnya terlebih dahulu, sebelum meminta Kerajaan Negeri menunaikan permintaan universiti itu mendapatkan rebat cukai tanah.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Zulkifli Yahaya berkata, sekiranya banyak pihak mendakwa Kerajaan Negeri tidak prihatin kerana menolak permohonan rebat UUM, universiti itu pula diminta memberi rebat yuran pengajian sebagai tanda prihatin kepada pelajarnya.

“Ini bukan soal prihatin atau sebaliknya, tetapi berdasarkan undang-undang. Mengapa UUM tidak beri rebat pada pelajarnya jika prihatin dengan kebajikan mereka, kalau UUM sendiri tidak mampu beri rebat, jadi jangan pula meminta pada Kerajaan Negeri,” katanya, mengulas beberapa kenyataan pemimpin UMNO yang membidas tindakan Kerajaan Negeri dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menolak permohonan rebat cukai UUM, seperti mana yang diberikan ketika Kedah ditadbir Barisan Nasional (BN).

Zulkifli berkata, situasi ini hanya berlaku di Kedah, tetapi tidak di negeri-negeri lain, terutama bawah Kerajaan BN, dan menyifatkan ianya hanya helah politik.

“Mengapa Kerajaan Negeri Perlis yang diperintah BN tidak memberi rebat kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang kadar cukainya jauh lebih tinggi berbanding UUM?” katanya.

Menurutnya, ekoran daripada pemberian rebat, Kerajaan Negeri terdahulu telah hilang hasil mencecah RM4,933,071.00, menyebabkan perbelanjaan pengurusan negeri terutamanya dalam bidang kebajikan rakyat diambil alih oleh Pusat ekoran kelemahan Kerajaan Negeri ketika itu.

“Sekarang Kerajaan Negeri perlu berdikari. Walaupun Kedah masih menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, namun Kedah adalah antara negeri yang dianaktirikan oleh Pusat. Contohnya, ramai penerima bantuan e-Kasih ditamatkan bantuan bulanan oleh Pusat sedangkan mereka adalah penerima bantuan Kerajaan Negeri bawah e-Sinar,” katanya.

Zulkifli berkata, selain mencari dana untuk pembangunan negeri, Kerajaan Negeri juga terpaksa menjelaskan hutang tinggalan BN lalu mencecah RM2.3 bilion, di mana RM1.83 bilion adalah hutang berkaitan air.

“Disebabkan prihatin kebajikan rakyat, Kerajaan Negeri akan pastikan setiap sen digunakan untuk kesejahteraan mereka," katanya.

Zulkifli turut membidas UUM mempertikai cukai tanah kerana syarikat milik UUM memperoleh keuntungan RM80 juta tahun lalu.

“Mereka kata bukan berorientasikan perniagaan, tetapi premis dan tanah yang cukainya berstatus IPTA hanya dikenakan 20 sen meter persegi. Ini menunjukkan mereka mampu bayar ikut kadar sebenar,” katanya.

Ayat Standard K'jaan BN bila naik barang...!!

Harga gula naik 20 sen

PUTRAJAYA - Kerajaan semalam mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen daripada RM2.10 kepada RM2.30 sekilogram mulai hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom berkata, langkah untuk merasionalisasikan harga runcit gula itu dibuat selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) semalam.

"Kerajaan telah membuat keputusan untuk merasionalisasikan subsidi dan dalam hal ini, MPEN menetapkan subsidi tanggungan kerajaan untuk gula perlu diturunkan lagi," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, walaupun berlaku kenaikan, harga runcit gula di Malaysia masih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.[ayat standard KERAJAAN BN]

Sebagai contoh, katanya, harga runcit gula di Indonesia ialah RM3.80 sekilogram, Singapura (RM3.61), Thailand (RM2.31) dan Filipina (RM4.50).

Penduduk diharap sabar

KAMPUNG TITI PANJANG – Penduduk Kampung Titi Panjang memohon tindakan supaya kerja naik taraf boleh dilaksanakan berhubung titi berlubang dan usang yang dijadikan laluan utama mereka.

Pembantu Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, K Suppaiah melalui aduan menerusi Majlis Ketua Kampung berkata, dua penduduk jatuh ketika melalui titi berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, dua penduduk itu mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki.

“Titi yang menjadi penghubung orang ramai untuk keluar masuk ke kawasan ini sudah merbahaya kerana dua penunggang motosikal yang juga penduduk kampung ini terjatuh disebabkan binaan titi yang sudah reput.

“Dikatakan kemudahan titi ini juga berusia kira-kira 50 tahun dan ini menyebabkan ia perlu tindakan segera kerana bimbang sekiranya lebih ramai penduduk yang menjadi mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Suppaiah, aduan berkenaan sudah pun dipanjangkan kepada Jabatan Kerja Raya untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, kita berharap penduduk bersabar sehingga tindakan daripada pihak sepatutnya dijalankan dan sentiasa berhati-hati serta mengutamakan keselamatan sepanjang masa terutama anak-anak dan keluarga,” katanya.

Menurutnya, pihaknya baru sahaja menjalankan kerja mencuci longkang dan menaik taraf kemudahan jalan raya di kampung yang sama sebelum ini.

Status Pulau Pinang dikaji

Memo Editor

ALOR SETAR - Satu jawatankuasa khas terdiri daripada beberapa pakar sejarah Kedah ditubuhkan Kerajaan Negeri sejak awal tahun ini bagi mengkaji bayaran pajakan dan status Pulau Pinang sebagai wilayah Kedah.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf berkata, penubuhan jawatankuasa itu diputuskan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 15 Disember 2010 dan mesyuarat pertama telah dijalankan pada 4 Januari lalu.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu ekoran daripada apa yang dibangkitkan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang menuntut nilai pajakan Pulau Pinang dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM10 juta setahun.

“Mesyuarat pertama kali dihadiri Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Puad Md Ali, Mohd Sharif Abu Samah sebagai wakil Kerajaan Negeri dan beberapa pakar sejarah seperti Timbalan Pengerusi PSMCK, Profesor Madya Dr Mohd Isa Md Osman, pensyarah sejarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Dr Salleh Buang, ahli PSMCK, Datuk Syed Azizan Syed Mohd Idros dan Datuk Shaarani Hassan.

“Antara dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah mencari kaedah terbaik untuk mendapatkan salinan manuskrip perjanjian asal di antara Kerajaan Kedah, Siam dan Inggeris berhubung nilai pajakan Pulau Pinang yang kini disimpan di Bangladesh.

“Mesyuarat kali kedua juga bakal membincangkan kesinambungan daripada perbincangan awal dalam mesyuarat pertama di samping mengkaji bukti-bukti sokongan lain bagi membolehkan tuntutan pajakan Kerajaan Negeri diperkenan Kerajaan Pusat,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.

Dr Wan Shamsudin berkata, mesyuarat kali kedua yang diadakan baru-baru ini turut membincangkan tarikh sesuai untuk diadakan sesi forum berhubung tuntutan kenaikan nilai pajakan Pulau Pinang oleh Kedah yang dijangka bakal dihadiri Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

“Kita menjangkakan sesi forum itu akan dilaksanakan sebelum baginda Tuanku dinobatkan sebagai Yang Dipertuan Agong seterusnya pada November ini.

“Ianya penting untuk mendapatkan perkenan Tuanku berhubung tuntutan Kerajaan Negeri,” katanya.

Dr Wan Shamsudin turut menyuarakan keyakinan segala kenaikan nilai tuntutan pajakan yang dikemukakan Kerajaan Negeri akan dapat direalisasikan, hanya sekiranya disokong bukti kukuh dan mendapat sokongan Sultan Kedah dan rakyat.

Kedah tewas 2-0 di gelanggang sendiri pada Selangor

Selangor rampas teraju liga


PEMAIN Kedah, Mohd. Azmi Muslim (tengah) dicabar dua pemain Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam.

KUALA LUMPUR - Selangor merampas semula teraju carta persaingan bola sepak Liga Super 2011 biarpun sekurang-kurangnya mungkin buat sehari selepas menundukkan Kedah 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Dengan Kelantan hanya akan menentang Negeri Sembilan hari ini, anak buah K. Devan melangkau pencabar terdekatnya dengan memungut 42 mata hasil jaringan Fadzli Saari dan Rudie Ramli pada minit ke-59 dan ke-87.

Buat seketika, Merah Kuning agak selesa di tangga teratas apatah lagi dibantu dengan kekalahan pencabar dari tempat ketiga, Terengganu 2-1 kepada Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Kekalahan Kedah pula membuka peluang Perak memintasnya di tangga keempat biarpun terpaksa mengikat Harimau Muda A 1-1 di Stadium Shah Alam menerusi jaringan penyamaan Wan Hossen Wan Ghani pada minit ke-47.

Seladang dikejutkan dengan jaringan pendahuluan pemain skuad Bawah 21 negara, Gary Steven Robbat selepas menyudahkan hantaran Ferris Danial dari sebelah kiri pada penghujung babak pertama.

Perak terikat 28 mata dengan Kedah tetapi dipisahkan menerusi perbezaan gol sementara Harimau Muda A kekal di tangga ketujuh liga tetapi cuba disaingi Johor FC yang turut berkongsi 23 mata.

Gol Indra Putra Mahayuddin dan Badrul Hisani Rahman pada minit kedua dan 86 pula menjulang T-Team ke tangga kesembilan setelah menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bekas pemain negara, Liew Kit Kong terlepas peluang merapatkan jurang gol gara-gara mensia-siakan sepakan penalti pelawat yang diperoleh dalam masa kecederaan babak kedua.

Azizan-Aziz bersembang dua jam di pejabat Menteri Besar

oleh KedahLa


ALOR SETAR, 9 Mei 2011 – Sikap terbuka Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Razak membuahkan hasil yang baik apabila wakil Badan Perhubungan UMNO Kedah melalui Pengerusi Biro Pendidikan, Dato’ Abdul Aziz Sheikh Fadzir hadir di pejabatnya untuk menyerahkan rayuan pengekalan rebat cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Kerajaan negeri akan menimbang semula rayuan itu tapi kita minta ia dibuat terus oleh Kementerian Pengajian Tinggi kerana kementerian itu bertanggungjawab mentadbir UUM secara langsung,” kata Azizan.

Tambahnya lagi, walaupun kerajaan negeri menerima kekangan dari kerajaan pusat namun perkara-perkara yang melibatkan pendidikan adalah menjadi keperluan dan sebahagian agenda kerajaan negeri.

“Saya memang menerima surat dari pihak UUM mengenai rayuan berkenaan tetapi buat masa sekarang kita belum mendapat sokongan dari Pejabat Tanah dan Galian. Mereka memikirkan pengurangan tersebut akan mengurangkan pendapatan kerajaan negeri hampir RM8 juta.

“Walau bagaimana pun mereka bersetuju membawa perkara tersebut ke peringkat kerajaan negeri untuk dibincangkan,” tegasnya lagi.

Pertemuan wakil Perhubungan UMNO Kedah bersamanya juga turut menceritakan agenda-agenda kerajaan negeri yang dilaksanakan untuk kebaikan rakyat Kedah. Pertemuan yang berlangsung hampir dua jam dalam suasana penuh kemesraan itu memperlihatkan sikap terbukanya untuk kebaikan rakyat Kedah tanpa mengira fahaman politik.

Dengan penjelasan dari beliau sendiri, secara tidak langsung menolak dakwaan dan spekulasi liar tidak berasas yang dibangkitkan mengenai isu tersebut.

Selesai perbincangan Menteri Besar dan rombongan dari Badan Perhubungan UMNO Kedah itu sama-sama menikmati makan tengahari di pejabat Menteri Besar.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...