TERKINI :

Sunday, April 24, 2011

‘Najib Kembalilah Ke Pangkal Jalan’

Dari TV Selangor

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kerajaan Barisan Nasional supaya lebih berusaha dalam mengurus tadbir negara Malaysia daripada ghairah melakukan politik fitnah.

Menurut Anwar, kedudukan ekonomi Malaysia dilihat semakin hari semakin meruncing akibat ketidaktelusan sistem pentadbiran negara dan pemimpinya sehingga menyebabkan keyakinan pelabur asing terus berkurangan.

“Masalahnya Najib tak terjawab. Ekonomi merudum, harga barang naik, rakyat susah. Kes pembunuhan tak jawab. Dia cuba cakap pasal pornografi, lucah. Kes Anwar dengan akhlak yang sangat buruk,” kata Anwar di hadapan lebih dua ribu rakyat Manjung dan Lumut yang menghadiri ceramah beliau semalam.

Kemunculan video seks yang didakwa mirip Anwar oleh Trio Datuk T iaitu bekas Ketua Pemuda Umno Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Syazrel Eskay dan bekas bendahari Perkasa Datuk Syuaib Lazim yang memaparkan tayangan tersebut di Carcosa Sri Negara Mac lalu dianggap sebagai satu lagi fitnah kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu oleh banyak pihak.

Malah media kawalan Barisan Nasional(BN) seperti Utusan Malaysia, TV 3 dan Berita Harian yang pro UMNO semakin rancak memainkan isu tersebut seolah-olah tiada isu semasa lain yang perlu diketengahkan yang menjadi kepentingan rakyat.

Jelas Anwar, berikutan keasyikkan media kawalan Umno itu menyiarkan pelbagai laporan palsu sehingga sanggup membohongi rakyat terdapat juga segelintir pengamal media yang turut tidak mempercayai hal itu serta tidak sanggup menanggung dosa fitnah terhadap beliau.

Menurutnya, seorang pekerja kanan Radio Televisen Malaysia (RTM) pernah bertemu beliau selepas tamat sebuah program di Selangor baru-baru ini dengan menceritakan perihal ini:

“Datuk tak kenal saya, saya dari RTM dan saya hendak minta ampun kerana mereka memfitnah Datuk, saya tak sanggup tanggung dosa itu dan saya minta maaf atas segalanya.” Saya kata “Minta ampun dari Allah SWT dan saya sedia maafkan sekiranya kamu memperbetulkan setiap kenyataan yang kamu nyatakan. Saudara Zunar turut memberitahu dan menunjukkan pesanan ringkas (SMS) kepada saya bahawa kenyataan dari seorang pemberita kanan Utusan Malaysia ada mengatakan “Sudah keterlaluan dan saya tak sanggup lagi bersama dengan akhbar melayu itu dimana saya telah bertugas selama 30 tahun dan terus-menerus memfitnah Ketua Pembangkang,” kata Anwar.

Justeru, Anwar menggesa Najib dan kepimpinannya kembali ke pangkal jalan supaya rakyat terus mendapat pembelaan khususnya didalam soal kemajuan dan pentadbiran Malaysia yang saban hari semakin teruk dibandingkan dengan negara lain di rantau ini.

“Ekonomi semakin berat. Harga minyak naik. Harga barang juga naik mendadak sementara mutu pendidikan jatuh. Pelaburan kita jatuh. Kalah dengan Thailand dan Indonesia dan tahun ini kalah pula dengan Filipina,” kata Anwar

“Dulu di ASEAN, kita nombor satu dari pertumbuhan ekonomi. Nombor 1 dari pelaburan Asing. Nombor 1 dari bursa saham. Harga barang naik. Pertambahan gaji guru-guru dan pekerja tidak setimpal dengan kenaikan harga dan inflasi.Namun semua ini dipadamkan sementara rasuah diteruskan dan kes komisyen RM 500 juta kapal selam didiamkan,” tambahnya lagi.

Eskay kata ‘hotel dan pelacur’. Polis kata ‘kondo dan pelajar’

KUALA LUMPUR: Terdapat banyak percanggahan antara kenyataan yang dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia dan kenyataan yang dibuat salah seorang Trio Datuk T, Datuk Eskay Shazryl Abdullah berhubung video seks palsu membabitkan Ketua Pembangkang.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar semalam, bahawa polis mengambil masa untuk menyiasat video tersebut.

“Eskay sebut kepada saya (kejadian itu) berlaku di Club House. Itu dia sebut kepada saya. Saya tidak tahu kalau dia sebut hotel kepada media.

“Polis tak perlu pergi jauh-jauh pun. Pergi cari mana-mana club house dulu.

“Tetapi polis kata kondo, mana yang betul. Saya tak nak mengajar polis. Polis sepatutnya mendapatkan ketetapan Eskay dulu, kenapa susah sangat. Kecualilah kalau mereka mahu melindungi sesuatu,” katanya ketika dihubungi keadilandaily.com.

Johari turut mempersoal kenyataan Polis bahawa pelaku wanita dalam video berkenaan adalah seorang pelajar swasta di ibu negara.

“Eskay kata pelacur, kemudian polis kata student. Yang mana betul ni? Sebab itu saya minta polis supaya siasat dulu, kerana lagi banyak buat statement lagi banyak nampak tembelang mereka,” katanya yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.

Johari adalah satu-satunya ahli parlimen Pakatan Rakyat yang ditunjukkan rakaman video seks itu oleh Trio Datuk T yang terdiri daripada Eskay, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Shuib Lazim, 21 Mac lalu.

Namun beliau menafikan sekeras-kerasnya pelaku lelaki dalam rakaman video berkenaan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan bentuk tubuh dan lenggok pelaku tersebut.

Justeru Johari ketika dihubungi memberi amaran kepada pihak polis supaya tidak bermain politik dan laksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab serta profesional.

“Saya mendesak dan menasihati pihak polis supaya lengkapkan siasatan secara profesional sebelum membuat sebarang kenyataan. Kalau dah kenal pasti individu dalam video itu, tak payah buat kenyataan. Kerja polis adalah siasat secara profesional.

“Polis jangan main politik, polis sepatutnya lanksanakan tanggungjawab dengan profesional. Kerja polis adalah menjaga keselamatan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan orang ramai terhadap polis sangat tinggi, tetapi rakyat di bawah sudah hilang keyakinan,” katanya.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa polis sudah mengenal pasti identiti wanita yang dikaitkan dalam video berkenaan iaitu seorang pelajar sebuah kolej swasta di ibu kota, berusia 26 tahun yang juga seorang warga China.

Polis juga menyatakan rakaman itu dikenalpasti dilakukan di sebuah kondominium.

Ia bertentangan sama sekali dengan kenyataan Eskay bahawa wanita berkenaan adalah seorang pelacur warganegara China dan kejadian tersebut berlaku di sebuah hotel di ibu negara.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12051

30 calon MCLM akan bertanding pada pilihan raya umum di Malaysia

BANGKOK - Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) yang dipimpin pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, merancang untuk meletakkan 30 calon untuk bertanding pada pilihan raya umum di Malaysia.

Presiden MCLM Haris Ibrahim berkata, calon-calon itu akan bertanding kerusi parlimen sebagai calon Bebas kerana MCLM bukan sebuah parti politik.

"Kita telah melantik agensi pengurusan risiko (penyiasat persendirian) untuk meneliti latar belakang termasuk biodata, harta dan status kewangan dan juga memantau bakal calon," katanya dalam dialog MCLM dengan rakyat Malaysia yang menetap di sini, malam tadi.

Beliau berkata, MCLM yang ditubuhkan pada 2004 belum mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan tetapi mereka telah dibenarkan bergiat secara sah di London, Oktober tahun lalu.

Haris berkata, beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum itu kerana beliau akan berkempen untuk calon-calonnya.

Raja Petra, pengasas dan editor blog Malaysia Today yang juga Pengerusi MCLM berkata: "Kami mahu menukar kerajaan tetapi bukan untuk menjadi kerajaan.

Kami mahu menjadi sebahagian daripada pergerakan untuk menukar kerajaan" Beliau berkata MCLM sedang dalam proses untuk menubuhkan cawangannya di bandar-bandar utama di dunia. Thailand merupakan cawangan ketiga selepas Australia dan New Zealand.

Raja Petra, lari meninggalkan Malaysia pada 2008 selepas didakwa memfitnah tiga orang termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui akuan bersumpahnya berhubung pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Semasa dialog itu, beliau mengulangi pendiriannya bahawa beliau telah didakwa secara salah kerana beliau tidak membuat tuduhan terhadap mereka tetapi terhadap sumbernya, seorang pegawai tentera berpangkat kolonel yang memberikannya maklumat.

Raja Petra berkata, pergerakan itu mengenengahkan agenda Malaysia dan bukan berdasarkan agenda perkauman.

"Sebagai contoh, MCLM boleh menggerakkan demonstrasi anti-ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di seluruh bandar utama di dunia serentak dengan Kuala Lumpur pada masa depan," kata Haris.- Bernama

Azizan, Exco Pas kekal jawatan

ALOR SETAR - Pemilihan jawatankuasa parti di enam Pas kawasan sejak kelmarin menyaksikan beberapa pemimpin utama Kerajaan Negeri termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengekalkan jawatan di kawasan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pas negeri, Musoddak Ahmad berkata, dalam mesyuarat agung tahunan Pas kawasan Jerai yang diadakan petang semalam, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berjaya mengekalkan jawatan Yang Dipertua (YDP) tanpa bertanding, bersama Timbalan YDP, Makhtar Abdul Hamid dan Naib YDP, Che Me Ahmad.

Menurutnya, pemilihan Pas Kawasan Alor Setar turut menyaksikan penyandang YDP, Dr Ismail Salleh menang tanpa bertanding, disusuli Timbalan dan Naib YDP baru iaitu Zulkifli Yahaya dan Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Yahya.

“Di Merbok, Exco Belia dan Sukan, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib dilantik sebagai YDP baru setelah menang pertandingan dua penjuru, begitu juga Exco Penerangan, Abdul Ghani Ahmad (Jerlun), Exco Perumahan, Datuk Ir Phahrolrazi (Kuala Kedah) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh (Sungai Petani).

“Bagaimanapun, berlaku sedikit kejutan di Baling dan Kulim Bandar Baharu apabila ADUN Jeneri, Mohd Yahya Abdullah gagal mempertahankan jawatan YDP Pas Baling setelah tewas di tangan Ahli Parlimen Sik, Che Ya Che Nik, manakala Pegawai Khas Menteri Besar, Hassan Razak turut mengekal jawatan YDP Kulim Bandar Baharu setelah mengetepikan cabaran sengit ADUN Kulim Bandar Baharu, Yaakub Hussin,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian lewat petang semalam.

Musoddak berkata, kejutan lain yang berlaku di Baling apabila Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor turut tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan YDP Sik di tangan Bakar Baqilani Hassan.

Menurutnya, di sebalik kejutan dan keputusan luar jangkaan yang dicatatkan di beberapa Pas kawasan, keseluruhan perjalanan pemilihan lancar dan tidak mempunyai sebarang masalah setelah satu jawatankuasa khas bagi dibentuk memantau proses pemilihan.

“Enam mesyuarat agung Pas kawasan yang dijalankan pada minggu ini iaitu di Sik, Jerai, Kulim Bandar Baharu, Kuala Kedah, Baling dan Kubang Pasu menjadikan keseluruhan 12 Pas kawasan telah menjalankan mesyuarat bermula 1 April lalu.

“Keputusan di Kubang Pasu masih belum diketahui setakat ini (semalam) manakala baki tiga kawasan iaitu Padang Terap, Padang Serai dan Pendang akan dilaksanakan akhir bulan ini,” katanya.

Musoddak berkata, terdapat beberapa aduan tidak puas hati calon dikemukakan kepadanya sepanjang perjalanan pemilihan parti, bagaimanapun dapat diselesaikan dengan berkesan.

“Untuk maklumat pencalonan jawatankuasa Pas Pusat oleh setiap kawasan, ianya perlu dirujuk kepada jawatankuasa kepimpinan Pas kawasan baru kerana sebahagian besar mereka baru adakam mesyuarat pertama,” katanya.

Hadi perlu dibantu oleh profesional - Husam Musa

Datuk Husam Musa , Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata, kepimpinan Hadi selaku presiden parti masih diperlukan, cuma ia perlu mengambil tindakan untuk memperkasakan kedudukannya.

Justeru kata beliau, usaha yang perlu diberi perhatian ialah sasaran menjatuhkan Barisan Nasional (BN), bukannya Hadi selaku salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

“Isu presiden dicabar atau tidak, kita tidak perlu memberi respons secara berlebihan, nanti orang akan kata presiden kita ada masalah. Tapi sebenarnya tidak ada... yang nak jatuhkan Hadi adalah Barisan Nasional bukan PAS,” katanya.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan ini berkata, PAS kawasan Kerian yang diterajui juga telah mencalonkan Hadi sebagai presiden keraba beliau adalah orang yang paling layak untuk menerajui PAS.

Kata Husam (gambar), Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang perlu memberikan ruang kepada profesional dan muka baru supaya terlibat dalam barisan kepimpinan PAS.

“Pada pendapat saya Hadi perlu dibantu oleh profesional untuk memperkuatkan dan memperkasakan PAS, perlu dapatkan khidmat nasihat dari orang luar.

“Kita ada ramai profesional dan anak muda dalam PAS, beri sedikit ruang yang lebih kepada mereka. Selain itu, kita juga perlu melakukan transformasi dalam usaha memperkukuhkan PAS,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari bahawa Hadi libiliti kepada PAS, Husam menegaskan pemimpin veteren itu bukan seperti yang didakwa.

“Itu pendapat beliau (Aziz), akaun beliau dengan akaun saya lain... tidak sama.Baca kenyataan penuhnya di sini

Alhamdulillah..IGP dah keluar hospital

Ismail dimasukkan ke hospital Jumaat lalu. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 24 April — Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini dibenarkan keluar dari wad Hospital Pantai Kuala Lumpur selepas dirawat akibat kepenatan sejak Jumaat lepas.

Setiausaha Polis Bukit Aman Datuk Ghazali Md Amin berkata Ismail dibenarkan pulang pada 1.30 tengah hari selepas berehat selama tiga hari.

“Pada masa ini kesihatan beliau adalah di tahap yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Laporan Bernama Online berkata, difahamkan, beliau telah pulang ke kediamannya di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dan akan berehat untuk beberapa hari sebelum kembali bertugas.

Ismail, 57, dimasukkan ke hospital itu selepas mengadu tidak sihat ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, Jumaat lalu.

MCA minta pulau Utusan, apa kata Pemuda Umno

KOTA BHARU, 24 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) mencabar Pergerakan Pemuda Umno untuk menyatakan pendirian terhadap gesaan Timbalan ketua publisiti MCA, Loh Seng Kok agar akhbar lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia dipulaukan oleh rakyat Malaysia.

Gesaan ini dilaporkan oleh laman web berita dalam talian Malaysiakini pada 23 April 2011.

Ini ekoran rencana yang ditulis oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan minggu lepas yang mencadangkan agar digerakkan kempen ‘1Melayu, 1Bumi’.

Pemuda PAS Kelantan, kata Ketua Penerangannya Ahmad Fadhli Shaari, menyanggah kenyataan Presiden UMNO bahawa cadangan tersebut merupakan cadangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan kerajaan.

Hakikatnya, kata beliau, Utusan Malaysia merupakan lidah rasmi Umno dan sebarang tulisan yang tersiar di dalamnya khususnya yang berkaitan dengan sidang pengarangnya sendiri harus dipikul tanggungjawabnya oleh Umno.

Justeru, Fadhli (gambar) berkata, Pemuda PAS Kelantan melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh MCA merupakan satu cabaran kepada Umno yang mengaku memperjuangkan bangsa Melayu.

"Jika selama ini mereka sering menuduh bahawa PAS telah menjadi kuda tunggangan DAP, maka hari ini apabila MCA secara terang menyelar lidah rasmi Umno, adakah Umno berani untuk bersuara?" katanya dalam satu kenyataan.

Pemuda PAS Kelantan beranggapan, sekiranya Umno khususnya Pergerakan Pemudanya hanya diam membisu, bererti mereka sendiri sudah merelakan diri menjadi kuda tunggangan MCA.

"Sepatutnya, pada masa inilah Pemuda UMNO perlu menunjukkan kejantanan mereka tampil ke hadapan membela suara rasmi mereka yang dianggap pembela bangsa Melayu selama ini," katanya.

Hakikatnya, kata Fadhli, seruan Utusan Malaysia itu hanyalah mengulangi pendirian politik perkauman yang diamalkan oleh Umno selama ini.

Pemuda PAS Kelantan katanya yakin, masyarakat Malaysia semakin menyedari permainan politik yang merbahaya ini dan akan menolak politik perkauman yang diamalkan oleh Umno dana rakan-rakan parti politik di dalam komponen Barisan Nasional. [HarakahDaily]

Pemuda Pas Kedah bidas kenyataan Naib Canselor

ALOR SETAR - Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak digesa memohon maaf terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berikutan kenyataannya kelmarin, yang dianggap tidak menghormati pemimpin tertinggi negeri.

Desakan itu dibuat oleh Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) berikutan kenyataan lantang Dr Mohamed Mustafa yang menyifatkan Azizan hanya layak mengurus sekolah pondok, setelah Azizan mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan UUM untuk diambil alih Kerajaan Negeri apabila universiti itu mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta setahun.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, DPPNK memandang pandang serius perkara ini kerana selaku pegawai kerajaan, beliau tidak sepatutnya bertindak seperti itu,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri berhak terima atau tolak permohonan rebat cukai tanah.

“Ia tidak terkecuali pada mana-mana tuan tanah, sama ada golongan berada atau petani sekalipun. Tiada yang merungut pun kecuali UUM, mungkin kerana mereka faham tanggung jawab sebagai pemilik tanah,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Dr Mohamed Mustafa yang mempertikai kemampuan Kerajaan Negeri untuk mengurus UUM kerana memerlukan bajet yang tinggi, mencecah RM300 juta setahun untuk mengurus 15,000 pelajarnya, Muhammad Sanusi berkata, Kerajaan Negeri mampu mengurus 2 juta penduduk hanya dengan pendapatan RM500 juta.

“Cukai tanah yang perlu dibayar UUM cuma 0.6 peratus daripada bajet berkenaan,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mempertikai tujuan isu cukai tanah dan bekalan air di UUM dibangkitkan oleh Dr Mohamed Mustafa, memandangkan KPT sebelum ini tidak pernah mempersoal pembayaran cukai tanah terbabit.

Menurutnya, kewibawaan Azizan untuk mentadbir sebuah pusat pengajian tidak harus dipertikaikan, berikutan beliau berpengalaman selama 21 tahun dalam bidang IPT.

“Azizan pernah menjadi Ketua Jabatan di UKM, selain antara pengasas UIA dan menubuhkan fakulti syariah dan undang-undang di Universiti Mindanao, Filipina. Beliau juga yang memperluas program Kolej Universiti Insaniah daripada tujuh program kepada 42, malah membina kampus induk di Kuala Ketil dengan sumber terhad tanpa bantuan kewangan Pusat,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, UUM tidak perlu memandang rendah terhadap pengurusan sekolah pondok, kerana pentadbiran pondok sekarang lebih baik.[Sinar Harian]

Antara Beng Hock dan Sarbani

Apabila mayat mendiang Teoh Beng Hock dijumpai dalam keadaan terlungkup pada pagi 16 Julai 2009 di bumbung di kaki bangunan Plaza Masalam ia mencetuskan pelbagai spekulasi. Mendiang merupakan Pembantu Khas kepada EXCO Selangor yang juga Pengerusi DAP Negeri ketika itu Ean Yong Hian Wah. Beliau sehari sebelumnya dipanggil untuk siasatan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor, atas pertuduhan rasuah di tingkat 14 bangunan berkenaan.

Bagaimana seorang anak muda yang dijadualkan berkahwin keesokan harinya boleh “terjatuh” dari tingkat 14 bangunan berkenaan sedangkan beliau dilaporkan memberi kerjasama dalam siasatan SPRM itu, dan beliau juga dikenali sebagai seorang yang peramah dan baik peribadinya.

Berita kematian mengejut Beng Hock itu mendapat liputan meluas khasnya dikalangan masyarakat Cina Malaysia. DAP serta-merta melancarkan kempen “Justice for Beng Hock” apabila mengesyaki kematian mendiang ini mungkin berpunca dari pihak ketiga lantas menunutut siasatan oleh sebuah suruhanjaya terbuka. DAP malah membawa insiden kematian tragis mendiang ini kemana sahaja ia pergi termasuklah dalam kempen-kempen pilihanraya kecil dan ternyata ia berjaya membangkitkan sentimen simpati khasnya dikalangan pengundi Cina yang semakin marah kepada parti pemerintah apabila tidak berpuas hati dengan punca kematian mendiang.

Sehingga hari ini hasil dari desakan banyak pihak kerajaan telah pun menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang sedang menyiasat punca sebenar kematian Beng Hock. Pihak Suruhanjaya masih belum mengeluarkan keputusannya.

Namun benarlah sebagaimana ditulis oleh bekas PM Tun Dr Mahathir di dalam memoirnya “A doctor in the house” bahawa politik perkauman tetap wujud dalam Negara Malaysia yang berbilang kaum ini walaupun dikalangan yang maju dan terpelajar. Lantas dalam kes mendiang Beng Hock ini walaupun sentimen simpati masyarakat Cina terhadap mendiang dan dalam hal ini terhadap DAP begitu menebal tetapi kaum lain khasnya orang-orang Melayu tidak pula menganggapnya sebagai sesuatu yang luarbiasa.

Tambahan pula ada golongan politik tertentu yang mereka-reka dan mencanang-canangkan cerita kononnya kematian mendiang adalah berpunca dari “bunuh diri” tanpa melibatkan mana-mana pihak lain.

Maka jadilah orang Melayu rata-rata tidak berasa apa-apa berikutan kematian tragis itu walaupun ianya hangat dikalangan masyarakat Cina sehingga mencabar kredibiliti kerajaan BN. Hanya PAS sahaja sebagai anggota Pakatan Rakyat yang merupakan kelompok Melayu yang membawa isu ini itupun tidak tanpa diperli dan dicaci oleh rakan-rakan mereka dari Umno kononnya PAS membela seorang Cina yang mati bunuh diri!

Gambar hodoh yang mewarnai imej pihak SPRM ekoran kematian Beng Hock itu terus terlekat dikalangan setengah-setengah pihak khasnya dikalangan masyarakat Cina walaupun dikalangan orang-orang Melayu ia agak “suam”.

Tiba-tiba dengan takdir Allah swt tanpa diduga berlaku lagi satu insiden “kematian mengejut” seumpama Beng Hock pada 6 April baru-baru ini. Berlaku sekali lagi juga di bangunan SPRM dan simati sebagaimana Beng Hock juga sedang disiasat oleh pihak SPRM! Cuma kali ini yang meninggal dunia adalah seorang Melayu Islam.

Mayat Penolong Pengarah Kastam Selangor, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed dijumpai di tingkat bawah dalam keadaan tertiarap dengan kecederaan serius di bahagian kepalanya dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cocharane Kuala Lumpur.

Lalu timbullah seribu satu tandatanya. Masyakarat Cina yang sudah sedia bersimpati terhadap Beng Hock akan semakin serabut kepala mereka memikirkan bagaimana insiden yang sama boleh berlaku selang tak sampai dua tahun sedang siasatan Suruhanjaya Diraja terhadap Beng Hock pun belum selesai. Bagi masyarakat Melayu pula sudah tentu melihat gambar wajah ibu Allahyarham pengsan semasa hari pengkebumian allahyarham sudah cukup menyayat hati sesiapa sahaja yang prihatin.

Laporan-laporan mengenai peribadi allahyarham oleh rakan-rakan dan kenalan beliau mencurah-curah dalam laman-laman web dan blog sekaligus semakin mencetuskan kemusykilan dan syak wasangka. Bagaimana seorang pegawai kanan yang baik peribadinya dan dijadul akan mengerjakan haji boleh bertindak “bunuh diri”?

Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan bahawa kematian Beng Hock tidak seharusnya disama atau dikaitkan dengan kematian Ahmad Sarbani. Kita menghormati pandangan beliau, walaubagaimanapun hak rakyat untuk tahu dimana bezanya juga perlu dihormati kerana berdasarkan apa yang ada tanpa pengesahan dari mana-mana pihak rakyat lebih yakin bahawa kematian Beng Hock dan kini Ahmad Sarbani adalah berpunca dari tindakan pihak ketiga dan bukannya “bunuh diri”.

Dan yang sahnya kini imej pihak SPRM bukan sahaja tercalar di mata masyarakat Cina dan Melayu tetapi hodoh dan tercalar di mata seluruh rakyat dan tidak mustahil diperingkat antarabangsa juga ekoran kedua-dua kejadian ini.

Apa yang penting diperingkat ini adalah untuk meyakinkan rakyat akan punca sebenar kematian kedua-dua hamba Allah ini. Jangan ada mana-mana pihak diselindungi aatu dibenar menyelindungi kebenaran. Apa yang kelihatan sudah hampir dua tahun berlalu namun sehingga hari ini punca sebenar kematian Beng Hock tidak disahkan manakala kaum keluarga dan kenalan Ahmad Sarbani juga berhak mengetahu punca kematian mengejut allahyarham itu.

Pihak kerajaan menanggung beban menjernihkan keadaan kerana atas prinsip akauntabiliti mereka perlu bertanggungjawab atas tindakan para pegawai mereka kecuali dapat dibuktikan ada elemen jenayah pada mana-mana individu atau golongan yang berkaitan.

Saya yakin isu kematian Beng Hock dan Ahmad Sarbani akan terus diperkatakan oleh rakyat dan tiada siapa boleh menafikan hak mereka untuk bersuara. Kini ia bukan lagi isu perkauman kerana yang mati adalah dari dua golongan kaum terbesar dalam Negara. Rata-rata rakyat kini tanpa mengira ras kaum menuntut agar keadilan diberikan kepada kaum keluarga kedua-dua pihak.

Jika hari ini Beng Hock dan Ahmad Sarbani boleh mati dalam keadaan mengejut sedang siasatan terhadap mereka belum pun selesai, bagaimana esok? Siapa lagi akan mati di kaki bangunan SPRM? Sehingga segala kemusykilan rakyat terjawab dengan penuh meyakinkan, maka kerajaan BN pusat akan menanggung derita hukuman rakyat ekoran kedua-dua insiden malang ini.

Berilah keadilan buat Beng Hock dan Ahmad Sarbani!

ARTIKEL INI TERBIT DALAM AKHBAR MINGGUAN SIASAH BIL. 0260
http://n32.blogspot.com

02.05 | Guar Stesyen - Bersama Timb Speaker DUN Kedah


MURID OBESITI BUKAN KERANA NASI LEMAK KANTIN.

MURID OBESITI BUKAN KERANA NASI LEMAK KANTIN.

Oleh : rahimothman
Sila rujuk - http://www.bernama.com

Tidak wajar seorang menteri, membuat kenyataan yang kurang tepat, dimana murid menjadi gemuk disebabkan nasi lemak yang dijual di kantin sekolah!. Maka menteri berkenaan menyarankan agar pengusaha kantin dilarang menjual nasi lemak!! Lucu! lagi melucukan!!

Setelah lebih 50 tahun negara kita merdeka dan setelah 50 tahun juga pengusaha-pengusaha kantin beroperasi di sekolah, baru sekarang kedengaran suara yang agak sumbang ini.

Menteri kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai mendakwa pengusaha kantin menjual makanan
yang mengandungi gula, garam dan lemak berlebihan yang menyumbang kepada masaalah obesiti dikalangan pelajar. Betulkah begitu? Takkan lah mereka menggunakan bahan-bahan tersebut secara berlebihan. Mustahil ! bahan itu bukan dapat percuma, mahal pulak tu! Kalau nak kata bahan –bahan itu kurang dalam masakan yang disediakan mungkin betul! dan ada lojiknya! Sebab? pengusaha tentu nak jimat kos!,, gula mahal, santan kelapa mahal!

Dan mengikut pengalaman penulis, kebanyakan kantin sekolah menjual nasi lemak yang tak lemak, atau sangat kurang lemaknya! Sambal bilisnya entah kemana! Telur rebusnya kekadang ada, kekadang tiada! Yang lebihnya bawang!! Tetapi pelajar sekolah tak ada pilihan, mahu tak mahu terpaksa telan! Sepatutnya kualiti nasi lemak itu yang jadi isu! bukan isu obesiti, bukan isu nak larang jual nasi lemak di kantin!!
,
Janganlah isu yang tak sepatutnya menjadi isu ini diperbesarkan!. Kepada Pak Menteri janganlah bercakap dengan sewenang-wenang. Jangan nanti pengusaha kantin yang menjadi mangsa kerugian, apabila makanan tradisi yang telah menjadi kelaziman, dan menjadi kegemaran ramai tak boleh dijual lagi! Tidakkah terfikir bagaimana nak menyekat penjaja-penjaja bebas yang bermaharajalela diluar pagar sekolah? Kalau nak dikira risiko dari bahan-gahan jualan mereka lagi dasyat!!

Berbalik kepada isu obesiti ini. Adakah Kementerian pelajaran atau kementerian kesihatan sudah membuat kajian?. Berapa peratus keseluruhan pelajar di Malaysia menghadapi masaalah obesiti?
Berapa peratus pelajar obesiti dari setiap sekolah dan berapa peratus pula dari setiap kelas? Rasanya mengikut pengalaman penulis, setiap kelas yang mempunyai 30 orang, murid yang obesiti purata 2 orang saja. Bermakna disekitar 6.6% dan ini bukanlah paras yang membimbangkan.

Kesimpulannya, masalah anak-anak atau pelajar sekolah yang menghadapi masaalah obesiti ini sebenarnya bermula dari rumah dan persekitaran, bukan berpunca dari kantin sekolah!!

Semenjak anak-anak ini lahir lagi mereka sentiasa di dalam jagaan dan pemerhatian ibubapa atau keluarga mereka. Makan minum mereka seharusnya dalam pengetahuan ibubapa Apabila kanak-kanak ini masuk saja ke darjah satu atau pra sekolah, fizikal mereka sudah pun dapat dilihat sama ada mereka berbadan normal atau berpotensi untuk menjadi pelajar yang obesiti (gemuk). Realitinya masaalah obesiti ini memang dibawa dari rumah. Silapnya tentulah dari ibubapa sendiri!, Kenapa pula pihak sekolah atau kantin sekolah yang hendak dikambinghitamkan? Kenapa pula rezeki pengusaha kantin hendak disekat?

Nasi lemak sudah menjadi makanan tradisi masyarakat Malaysia khasnya Melayu. Makan nasi lemak memang mengenyangkan! cuma si pemakannya yang harus mengawal diri, terserah pada diri masing-masing! Sebahagian besar pelajar sudah mampu berfikir. Bagi pelajar ditahap satu ibubapalah yang berperanan mendidik mereka mengamalkan cara pemakanan yang sihat dan seimbang!

http://rahimho.blogspot.com/

Menilai tahap kecekapan pengurusan UUM


Siti Salasiah Salamun

Universiti Utara Malaysia (UUM) dikenali (bukan terkenal) sebagai universiti yang banyak memfokuskan bidang pengajian kepada falsafah dan pengaplikasian pengurusan. Kami sebagai graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) merasa terpanggil untuk mengemukakan komentar tentang isu-isu yang menyentuh kepada aspek tata-kelola universiti pengurusan ini.

Isu terbaru yang melanda UUM ialah mengenai isu air dan isu cukai tanah yang mana telah mengheret kerajaan PAS Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Jentera media diperkakaskan sepenuhnya oleh rejim Umno BN, apa yang menjadikan isu ini bertambah panas ialah apabila kesalahan tersebut dibebankan sepenuhnya ke atas bahu kerajaan PAS Kedah walaupun pada hakikatnya masalah ini berpunca daripada kelemahan yang ketara oleh pentadbiran dan pengurusan UUM untuk menangani masalah ini dari akar umbinya.

Apabila memperkatakan mengenai isu air, hal ini sebenarnya melibatkan dua persoalan yang utama iaitu, kegagalan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri untuk membekalkan air secukupnya kepada UUM atau masalah infrastruktur yang tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan pusat justeru infrastruktur universiti terletak sepenuhnya dalam tanggungjawab kerajaan pusat iaitu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Utusan Malaysia melaporkan bahawa masalah ini berpunca daripada persoalan yang pertama walaupun pada hakikatnya pengurusan UUMlah yang patut disalahkan kerana gagal menangani masalah ini. Dilaporkan juga bahawa UUM menghabiskan purata sebanyak RM80,000 untuk bekalan air dengan menyewa lori untuk mengangkut air setiap bulan. Bayangkan jika duit yang dibazirkan ini digunakan untuk menyelenggarakan infrastruktur yang sedia ada, saya percaya bahawa pembaziran ini dapat dielakkan.

Persoalan lain yang turut terkait dengan isu air ini ialah tidak semua Dewan Penginapan Pelajar (DPP) mengalami masalah ini bahkan hanya segelintir sahaja. Namun media membesar-besarkan isu ini untuk menunjukkan bahawa seluruh universiti ‘kelam kabut’ kerana isu ketiadaan air ini. Saya difahamkan bahawa DPP yang berada di luar kampus utama iaitu DPP Bank Rakyat dan DPP SME Bank tidak pula mengalami masalah ini.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah melalui portal kerajaan negeri, dipetik sebagai berkata bahawa kelemahan ini berpunca daripada kelemahan pengurusan universiti yang gagal untuk menaiktaraf infrastruktur ada sesuai dengan pertambahan mahasiswa yang semakin meningkat. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut menegaskan bahawa pihaknya telah membawa isu ini kepada kerajaan pusat (merujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi) namun tidak berhasil.

Isu air ini sebenarnya telah berlaku sejak pemerintahan rejim Umno BN memerintah Kedah sebelum diambil alih oleh Pakatan Rakyat. Hal ini bermakna kerajaan Umno BN sememangnya gagal membantu menyelesaikan masalah ini dan pemimpin sebelum ini yang patut dipersalahkan.

Isu yang seiring dengan isu air adalah mengenai isu cukai tanah. Dilaporkan bahawa kerajaan negeri menaikkan cukai tanah sehingga sepuluh kali ganda sejak mengambil alih pemerintahan negeri. UUM juga dilaporkan bahawa perlu membayar sebanyak RM1.8 juta setahun berbanding RM150,000 sebelum ini.

Fitnah yang berterusan terus dihamburkan kepada kerajaan PAS Kedah dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri mengaut keuntungan daripada institut pengajian tinggi (IPT) itu. Kerajaan Pusat juga mendakwa bahawa mereka ingin untuk bersahabat dan menjalin lebih banyak kerja dengan kerajaan negeri. Jika ini disebutkan dengan hati yang tulus, selesaikanlah masalah air yang telah sekian lama berlaku dan jangan hanya tau menyalahkan kerajaan negeri.

Dalam Harakahdaily.net, Menteri Besar Kedah mengeluarkan kenyataan bahawa, tempoh pemberian rebat kepada universiti itu telah berakhir, dan oleh kerana itulah UUM perlu membayar penuh. Namun, jika UUM tidak mampu untuk membayar cukai tersebut, UUM boleh memohon untuk mendapatkan rebat semula. Kenyataan yang dikeluarkan ini tidak ‘sampai’ kepada masyarakat kerana semua media massa adalah pro kerajaan dan sememangnya kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat adalah ‘haram’ dikeluarkan di media massa ini. Hal ini akan menampakkan bahawa PR sememangnya lemah dan tidak mampu untuk mentadbir negeri yang dimenanginya ketika pilihan raya yang lalu.

Saya sangat berharap agar mahasiswa UUM bijak untuk menilai situasi ini dan jangan hanya menuduh membabi buta tanpa mendapatkan berita daripada sumber yang benar. Mahasiswa perlu bersuara jika hak anda dicabuli. Jangan hanya menjadi mahasiswa yang bisu dan pekak, hanya mengikut telunjuk universiti yang nyata telah memanipulasi anda untuk menampakkan bahawa kesalahan perlu ditanggung oleh kerajaan yang sedang memerintah! [HarakahDaily]

Wan Jamak sasar Kedah juara


WAN JAMAK (tengah) menerima surat pelantikan daripada Dr. Hamdan di Alor Setar semalam.

SIFU baru skuad Hijau Kuning, Wan Jamak Wan Hassan menetapkan sasaran peribadi untuk membantu Kedah muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Negeri Sembilan itu mengakui berdepan tugas berat untuk memastikan skuad Hijau Kuning berada di landasan yang tepat selepas mengambil alih jawatan tersebut daripada Ahmad Yusoff pada pertengahan musim ini.

Wan Jamak memberitahu, beliau sudah bersedia memikul tanggungjawab itu dengan mendapat bantuan semua pihak di sebalik harapan tinggi yang disandarkan peminat dan majikan barunya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Jelasnya, menerusi dua sasaran besar itu menjadikan pasukan akan lebih fokus bagi mencapai keputusan yang terbaik apabila musim ini berakhir.

“Sekiranya kita sasar yang terbaik, kita mungkin dapat mencapai keputusan yang baik. Saya akan bekerjasama dengan semua pihak khususnya penolong jurulatih dan para pemain untuk cuba mempertingkatkan lagi prestasi pasukan Kedah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis memperkenalkan beliau dan menandatangani kontrak bersama skuad Sang Kenari di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.

Turut hadir Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib; pengurus pasukan, Datuk Khazali Din, ahli jawatankuasa eksekutif KFA; penolong-penolong jurulatih dan para pemain pasukan bola sepak Kedah.

Ujar Wan Jamak, pada mulanya beliau bercadang untuk berehat sehingga penghujung musim ini, namun mengakui tidak boleh 'duduk diam' kerana bola sepak sudah menjadi darah dagingnya.

Setelah mendapat tawaran daripada KFA, katanya, beliau memilih untuk menerima jawatan berkenaan kerana melihat Hijau Kuning mempunyai ramai pemain muda yang berpontensi dan berbakat.

“Saya juga melihat Kedah dibarisi ramai pemain anak negeri ini sekali gus menjadikan sikap kekitaan atau kenegerian begitu tinggi.

“Ini menjanjikan komitmen daripada para pemain untuk memberikan yang terbaik bagi melonjakkan nama Kedah,” katanya yang akan mengendalikan sepenuhnya skuad Sang Kenari mulai Khamis ini.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, selepas menyaring beberapa nama, KFA melihat Wan Jamak sebagai calon terbaik mengisi jawatan jurulatih berikutan prestasinya yang cemerlang ketika membimbing Negeri Sembilan.

Katanya, di sebalik peletakan jawatan Wan Jamak sebagai jurulatih skuad Hoben Jang Hoben, KFA menyedari dia memiliki reputasi memberangsangkan apabila membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia dan Piala FA di bawah kendaliannya.

“KFA menetapkan sasaran Kedah berada pada kedudukan ketiga terbaik Liga Super dan mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir Piala Malaysia dengan pelantikan Wan Jamak,” katanya.

BN optimis menangi hati rakyat Kedah

Beliau disenangi para wartawan dalam menyalurkan maklumat untuk dipaparkan kepada umum. Malah, ketika temu bualnya eksklusif bersama ketika kunjungan ke Kumpulan Media Karangkraf, penulis begitu teruja melihat kepetahannya berbicara dan menghuraikan persoalan demi persoalan yang diajukan wartawan.

Sebagai anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mukhriz Mahathir (MM) sedikitpun tidak mengambil kesempatan diatas ‘title’ bapanya untuk meraih sokongan.

Malah, pada permulaan pembabitannya dalam dunia politik tanah air, beliau sering mengalami kekalahan demi kekalahan sebelum menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Ikuti temu bual Sinar Harian, MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN, SALWANI MD ZAIN dan NORHASPIDA YATIM bagi mendekati ahli politik yang memiliki identiti tersendiri ini.

Soalan : Sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk sebagai ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Kubang Pasu. Jadi, bagaimana penerimaan ‘orang lama’ terhadap jawatan yang disandang Datuk sekarang?

MM: Saya difahamkan, keputusan Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri,
Datuk seri Najib Tun Razak itu sebagai kehendak beliau untuk memastikan bahawa setiap Ketua Bahagian tertumpu kepada kawasan masing-masing. Sebab itulah, hanya seorang sahaja iaitu Ketua Bahagian Alor Setar, Datuk Paduka Ahmad Bashah yang menerajui Badan
Perhubungan UMNO Negeri Kedah. Selain itu, saya, Setiausaha Perhubungan, Ketua Penerangan, semuanya daripada kalangan bukan Ketua Bahagian. Bendahari pun sama, semua jawatan-jawatan selepas Pengerusi itu, dipegang oleh individu yang bukan Ketua Bahagian.

Ini adalah pendekatan baru yang diambil untuk Kedah, di mana kita faham bahawa kerja-kerja untuk meyakinkan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya akan datang terletak atas bahu ketua bahagian masingmasing. Jadi, beliau tidak mahu tumpuannya itu lari sekiranya beliau terlibat juga dalam pengurusan negeri.

Soalan :Datuk, dari segi penerimaan mereka, adakah berlaku kesukaran memandangkan kebanyakan daripada mereka adalah orang lama dalam dunia politik?

MM: Apabila telah diputuskan presiden parti sendiri, saya rasa ia tiada masalah. Malah, siapapun yang dilantik, katalah dalam kalangan Ketua Bahagian sekalipun, Ketua Bahagian yang lain pun perlu melalui proses penerimaan itu juga. Sebenarnya, ia tidak bergantung kepada siapa yang dilantik, tetapi secara prinsipnya, kita semua faham bahawa tumpuan kepada kawasan masing-masing itu satu keutamaan.

Soalan : Datuk diberi harapan untuk mengembalikan Kedah kepada BN, pada pandangan Datuk, dalam tempoh berapa lama ia dapat direalisasikan?

MM: Walaupun kita rasa semakin hari semakin bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya, secara peribadinya, saya harap pilihan raya umum (PRU) itu tidak berlaku terlalu awal kerana kita perlukan sedikit masa lagi untuk memulihkan keadaan. Maksudnya, sekiranya wujud masalah di setiap bahagian atau kawasan, inilah yang perlu kita atasi secepat mungkin.

Selain itu, kita masih terus berusaha meyakinkan rakyat secara langsung dengan program, seperti penglibatan (turun padang), yang berunsurkan ‘touch point’ untuk rakyat supaya mereka lihat bahawa BN lebih layak untuk diberi mandat memerintah negeri tersebut.
Dalam masa sama, saya melihat juga Kerajaan Negeri sedia ada sekarang tidak menjalankan tugas sebaik mungkin.

Soalan : Berapa lama Datuk fikirkan masa yang sesuai untuk pulihkan UMNO Kedah, supaya dapat menjadi ‘winable vehicles’?

MM: Tempoh masa adalah satu perkara dan YAB Presiden parti sendiri memberitahu yang agak penting adalah pilihan calon. Sekalipun kita buat kerja secara bersungguh-sungguh, tetapi akhirnya kita letakkan calon yang tidak boleh menang, ia akan menyebabkan kalah juga.

'Hanya layak urus sekolah pondok' - Naib Canselor UUM

ALOR SETAR - Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) membidas cabaran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk mengambil alihnya daripada Kerajaan Pusat dan menyifatkan Kerajaan Negeri hanya layak mengurus sekolah pondok.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan Kerajaan Negeri bercakap di luar konteks dan mempertikaikan kredibiliti pengurusan universiti, sedangkan UUM hanya meminta masalah bekalan air dan kenaikan cukai tanah diselesaikan.

Menurutnya, UUM adalah di bawah kelolaan Kerajaan Pusat sebagaimana diperuntukkan perlembagaan dan Kerajaan Negeri tidak berhak mengambil alih pengurusan universiti sekiranya tidak mendapat keizinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sekalipun Perdana Menteri merestui hasrat Kerajaan Negeri, adakah mereka mampu menampung peruntukan perbelanjaan tahunan UUM yang menelan kos hampir RM300 juta, hampir sama dengan bajet tahunan Kerajaan Negeri?

“Selain itu, rakyat Kedah sedia maklum kegagalan Kerajaan Negeri menjaga sekolah pondoknya dan kebajikan rakyat dengan baik sehingga tercetus pelbagai masalah dalaman yang gagal diselesaikan.

“Justeru, Kerajaan Negeri tidak perlu tambah beban, sebaliknya bantu UUM selesaikan masalah berbangkit kerana kami memang tiada masalah pengurusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mengenai soal pembayaran cukai tanah yang menjadi pertikaian UUM dan Kerajaan Negeri, Mohamed Mustafa menegaskan perjanjian rebat air dari RM1.7 juta setahun kepada RM100,000 selama dua tahun yang diuar-uarkan Kerajaan Negeri sebenarnya tidak pernah wujud.

Menurutnya, sewaktu pemerintahan Kerajaan Negeri terdahulu, bayaran cukai tanah paling tinggi dikenakan UUM hanya RM300,000 dan dikurangkan kepada RM100,000 setelah dibuat rayuan.

“Pengurangan cukai selama dua tahun itu diberikan Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) kepada UUM atas dasar tanggungjawab sosial, lebih-lebih lagi UUM bukan merupakan satu organisasi berasaskan keuntungan.

“Perkara sama berlaku pada universiti awam di Lembah Klang yang hanya dikenakan cukai tanah rendah walaupun nilai harga tanah di sana lebih mahal berbanding Kedah.

“Saya tidak nafikan peruntukan memang ada namun tidak bermakna Kerajaan Negeri tidak boleh bertimbang rasa kerana wang lebihan boleh digunakan untuk membiayai kebajikan pelajar,” katanya.

Mohamed Mustafa turut menjelaskan UUM tidak mempunyai motif politik terhadap tindakannya mendedahkan isu cukai tanah dan bekalan air melalui media.

“Sebelum ini, kita menyerahkan enam surat rayuan kepada Kerajaan Negeri berhubung isu tanah tetapi dipandang sepi, malah tiada seorang pegawai Kerajaan Negeri dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) hadir meninjau masalah kami.

“Saya sedia berjumpa dengan Menteri Besar (Azizan) pada bila-bila masa sekiranya diberikan peluang memandangkan tujuan kami hanya mencari penyelesaian,” katanya.

Usah layan lelaki Afrika di Facebook

PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia terutama wanita dinasihatkan supaya menolak permintaan daripada mana-mana lelaki Afrika yang mahu berkenalan menerusi laman sosial Facebook bagi mengelak diperdaya menjadi 'keldai dadah'.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, daripada 1,880 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara setakat 31 Mac lepas, seramai 833 orang adalah bersabit kes dadah.

"Mereka terdiri daripada 675 lelaki dan 158 wanita yang ada antaranya terpedaya menjadi keldai dadah selepas berkenalan dengan lelaki warga asing khususnya warga Afrika menerusi laman sosial itu.

"Facebook itu tidak ada masalah. Tetapi jika disalahgunakan boleh jadi musuh ketat. Saya minta kalau ada lelaki Afrika ingin berkenalan dalam Facebook, block (halang) sahaja," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Keluarga Wisma Putra di sini semalam.

Kenari kena baham dek Harimau Muda A

Harimau Muda A pula menebus kekalahan 1-0 ke atas Kedah pada Rabu lalu apabila menang 2-1 di Stadium Darul Aman.

Penyerang kebangsaan, Izzaq Faris Ramlan membuka tirai jaringan pada minit ke-29 sebelum Mohd. Fandi Othman menambah jaringan Harimau Muda A pada minit ke-55 hasil daripada sepakan percuma. Kedah mendapat gol tunggal melalui sepakan penalti yang diambil Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...