TERKINI :

Monday, April 18, 2011

PRN Sarawak : Jika Najib panik..tidakah PAS juga harus panik..????

PRN Sarawak: Najib harus panik, tapi PAS...

Sesungguhnya, matlamat Pakatan Rakyat untuk menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional gagal pada malam 16 April 2011. Namun demikian, seandainya ditelitikan keputusan PRN Sarawak, Pengerusi BN Najib Razak seharusnya berasa lebih tertekan dan panik, lebih-lebih lagi apabila statistik menunjukkan bahawa BN hanya memperolehi 55% undi popular.

Demikianlah komentar daripada AJK Pusat PAS, Dzulkefly Ahmad (gambar kiri)ketika dihubungi MerdekaReview untuk mengulas keputusan PRN Sarawak. Secara lebih terperinci, dua etnik besar, iaitu kaum Cina dan Iban memberi isyarat kepada BN bahawa mereka berpotensi untuk mencetuskan perubahan yang lebih besar dalam PRU yang akan datang, kata Dzulkefly Ahmad.

Dengan segala yang berlaku, beliau yakin bahawa rakyat lebih bersedia untuk memberi ruang kepada pembangkang dalam pertandingan kerusi parlimen menjelang PRU ke-13, lantas beliau meramalkan bahawa Najib tidak akan mengadakan PRU ke-13 dalam tahun ini. Jikalau inilah situasinya, maka PR bakal mempunyai masa dan ruang yang lebih, malah peluang yang lebih cerah dalam gandingan PAS, DAP dan PKR untuk melakukan pecutan, katanya.

Komitmen pimpinan DAP mengundang kemenangan

Ahli parlimen Kuala Selangor ini juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada rakan partinya, DAP yang memenangi 12 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan. Sungguhpun sesetengah menganggap DAP bertanding di kawasan bandar, yang sudah menunjukkan kecenderungan untuk menyokong PR, namun Dzulkefly Ahmad menganggap jentera penerangan DAP cukup hebat - dengan banner, billboard, poster, aktiviti lawatan dan sebagainya yang cukup menarik.

Keputusan PRN Sarawak 2011 sebenarnya sejajar dengan keupayaan parti komponen yang berkempen dengan pendekatan sendiri, hampir secara terpisah. Beliau mengakui, DAP menumpaskan SUPP dengan kekuatan parti tersebut yang sudah 30 tahun bertapak di bumi kenyalang, selain sokongan daripada masyarakat Cina di bandar.

Lebih penting, pimpinan tertinggi DAP dilihat begitu komited untuk berkempen sepanjang PRN Sarawak. Dzulkefly sendiri melalui Stutong, Kuching pada malam 15 April, terkagum dengan perhimpunan puluhan ribu orang di situ - seolah-olah pesta yang besar. "DAP mendapat sentuhan terbaiknya," kata Dzulkefly Ahmad.

Bagaimana pula "sentuhan PAS"? Persoalan menyusul kemudian, diajukan kepada Dzulkefly Ahmad - mengapa PAS gagal "memanfaatkan" sentimen "Undur Taib" untuk memenangkan kerusi bagi partinya?

Beliau terpaksa menjawab dengan cukup berwaspada. Malah sebelum ini apabila beliau menyatakan kekaguman diri terhadap komitmen pimpinan DAP, beliau juga berdepan dengan soalan sebaliknya, iaitu "sejauh mana pula komitmen pimpinan PAS"?

PAS gagal tampil sebagai sebahagian daripada PR

Dzulkefly terpaksa berdepan dengan kekalahan partinya. "PAS dalam penampilan ketiga dalam PRN Sarawak mencari-cari sentuhannya. Pada saya, ...gagal digarap dengan baik, sedikit sebanyak oleh PAS, atau dengan kata lain gagal menampilkan partinya sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat dan agenda perubahan Pakatan Rakyat."

Ia berdasarkan pengalaman dirinya. Seorang kawan adik iparnya yang bekerja di Sarawak, pro-pembangkang dalam pendirian politiknya berkata, beliau gagal mencari logo DAP atau PKR dalam kertas undi di kawasan PAS bertanding, maka beliau akhirnya memangkah dacing (Barisan Nasional).

Mesej di sebaliknya, "PAS gagal menampilkan dirinya sebagai parti yang sinonim dengan DAP dan PKR. Itu bermaksud, PAS gagal memberi mesej yang jelas kepada pengundi bahawa sokongan terhadap PAS adalah bersamaan sokongan terhadap DAP mahupun PKR."

PAS bertanding di lima kawasan, iaitu Tanjung Datu, Beting Maro, Muara Tuang, Sebuyau dan Sadong Jaya. Selain Beting Maro menunjukkan "kemajuan" dengan perbezaan 391 undi (berbanding 896 undi pada tahun 2006), PAS tewas di Muara Tuang dengan perbezaan 7,843 undi dan Tanjung Datu dengan perbezaan 3,216 undi. Apa yang menarik, kedua-dua DUN Muara Tuang dan Tanjung Datu mempunyai populasi kira-kira 50% daripada kaum Cina dan Iban.

MerdekaReview dimaklumkan bahawa pemimpin DAP tidak diundang untuk berceramah di kawasan Muara Tuang dan Tanjung Datu. Dzulkefly Ahmad kelihatan sukar untuk mempertahankan keadaan sebegitu, cuba membela partinya dengan berkata "tempoh kempen yang terlalu singkat".

Strategi berperang sering disesuaikan dengan keadaan yang sebenar. Maka persoalannya, dengan tempoh kempen selama 10 hari, apakah mesej yang dibawa oleh PAS di Sarawak untuk mengolah sokongan rakyat? Apakah pendekatan "berdakwah" sebagaimana yang dilakukan di Semenajung itu strategi yang tepat untuk menghadapi pertarungan 10 hari?

Dzulkefly terpaksa mengakui, "Mesejnya kurang jelas untuk menonjolkan PAS bersepakat dengan PKR dan DAP." Jelas, beliau enggan secara terbuka mengkritik partinya dalam media, hanya memberi jawapan "mungkin lebih baik jika kami tumpu dengan agenda perubahan bersama Pakatan Rakyat, isu tumbangkan Taib Mahmud...yang lebih mudah untuk diterima masyarakat tempatan dalam masa yang singkat."

Bagaimanapun, Dzulkefly Ahmad menganggap jentera PAS telah bekerja bersungguh-sungguh, dan tidak harus dipersalahkan berikutan kekalahan tersebut. Beliau kekal optimis, melihat kemajuan yang tercapai di Beting Maro, mengharapkan PR untuk mengisi ruang yang sedia ada untuk menumbangkan BN dalam PRU ke-13.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.[Merdeka Review]

WikiLeaks: Media bohong kerajaan minta bantuan AS tentang F5

KUALA LUMPUR, 18 April: WikiLeaks melaporkan bahawa media tradisional negara telah membuat laporan palsu mengenai kehilangan jet engin F5, yang didakwa lesap secara tetiba pada 2008.

Berdasarkan kabel diplomasi Amerika Syarikat (AS) yang diledakkan WikiLekas, seorang anggota Kementerian Luar Negeri telah memberitahu Kedutaan AS di Kuala Lumpur bahawa media tradisional negara telah mengeluarkan ‘banyak kenyataan menyeleweng dan silap’ mengenai kehilangan dua engin jet buatan AS pada Disember 2009.

Kedutaan AS turut melaporkan kepada kerajaan AS bahawa mereka susah untuk mempercayai penjelasan kerajaan Malaysia mengenai skandal tersebut.

“Kami berkongsi ketidakpercayaan yang dicetuskan di dunia blogger mengenai kes dan penjelasan kerajaan mengenai orang di belakang skandal ini,” kata kabel itu lagi.

Mengikut kabel itu lagi, Kementerian Pertahanan yang di bawah jagaan Perdana Menteri, Najib Razak ketika itu turut didakwa cuba mengelak daripada memberikan penjelasan bagaimana kes ini dikendalikan..

Kedutaan AS juga berpendapat Kementerian Luar Negara cuba menjauhkan diri daripada skandal tersebut.

Kabel yang bertarikh 10 Januari 2010 ditulis oleh kaunselor politik, Brian McFeeters dan ditandatangani Duta AS James Keith turut menamakan pegawai Malaysia yang dimaksudkan iaitu Mohamed Radzi Jamaluddin, pembantu setiausaha jabatan Amerika dari Kementerian Luar Negeri.

Radzi dilaporkan berkata media tradisional telah berbohong melaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah meminta bantuan daripada AS dalam skandal enjin jet F5, kerana sekiranya benar, permintaan tersebut akan melalui Kementerian Luar Negeri.

Dalam tulisannya, McFeeters turut melaporkan bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan sedemikian daripada Malaysia.

Sebanyak 3 kabel didedahkan oleh WikiLeaks minggu lepas, menyentuh mengenai skandal kehilangan enjin jet F5. Enjin J85-21 yang dibuat oleh General Electric digunakan dalan Northrop F-5 jet ringan sejak 1970 masih digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (RMAF).

Berita kehilangan engin jet mula-mula diledakkan oleh Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi pda 19 Disember 2009, hari yang bertembung dengan konvesyen Pakatan Rakyat yang pertama, di mana Kedutaan AS berpendapat satu peristiwa yang mungkin menenggelamkan pengumuman kementerian tersebut.

RMAF turut didakwa tiga kali gagal untuk memaklumkan peristiwa tersebut kepada AS, dimana kabel itu melaporkan AS hanya dimaklumkan pada awal Januari 2010.

Difahamkan enjin jet termaktub dalam perlembagaan pertahanan AS (United States Munitions List), di mana pemindahan secara tidak sah adalah bercanggah dengan perkara 3 dalam Arms Export Control Act, di mana kehilangan jet engin J-85 di Malaysia tertakluk kepada undang-undang ini.

Sementara itu, kabel turut melaporkan bahawa Kedutaaan AS turut menyoal pegawai daripada Malaysia mengenai lokasi spesifik enjin yang didakwa kecurian ekoran laporan media tradisional yang mengatakan bahawa engin tersebut sudah dijual kepada satu syarikat antarabangsa yang berpusat di Amerika Selatan.

“Mereka mungkin tak tahu lokasi atau disuruh merahsiakan info ini sehingga polis menghabiskan siasatan. Malaysia juga tidak memberikan penjelasan yang cukup, kenapa, selepas dua tahun, perkara ini tiba-tiba menjadi pengetahuan umum,” kata kabel itu lagi.

Kabel itu turut menyatakan bahawa terdapat laporan portal berita berkecuali yang melaporkan bahawa enjin tersebut mungkin telah tiba di Timur Tengah, terutamanya Iran, sebagaimana yang dinyatakan pihak polis di awal laporan media tradisional ketika kes ini diledakkan.

Di satu sidang akhbar, kabel itu berkata Peguam Negara, Abdul Ghani Patail telah dilaporkan berada dalam keadaan defensif ketika ditanya mengenai hubungan denga Iran, dan semua laporan mengenai kemungkinan enjin yang hilang tersebut kini berada di Timur Tengah atau Iran hilang daripada paparan media tradisional.[HarakahDaily]

Analisa kerusi Parlimen Sarawak menurut PRN

Shaharul Shafie

Berakhirnya musim ‘panas’ di Sarawak, kini beralih kepada teka-teki bilakah akan pula terjadinya musim ‘panas’ seluruh negara. Mungkinkah pilihanraya umum akan datang diadakan semasa musim panas di Malaysia? Seandainya di Malaysia ada musim panas atau summer sepertimana di negara-negara hemisfera utara, mungkin PRU diadakan pada bila-bila masa di antara bulan Jun sehingga Ogos tahun ini. Petandanya sudah sedikit nampak sepertimana di masa lalu, apabila guru-guru besar dan para pengetua menerima surat untuk menyegerakan apa-apa bentuk ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Maklumlah sekolah-sekolah kenalah ditutup beberapa hari bagi memberi peluang kepada penyediaan menjelang hari mengundi dan proses mengundi.

Bagi penulis, tidak kisahlah bilakah PRU13. Ini kerana penulis yakin perkara ini pastinya membuntukan pemikiran Perdana Menteri yang disayangi ramai, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Bukannya senang untuk Najib meletakkan tarikh atau tempoh lebih-lebih lagi melihat faktor ‘kemenangan’ di Sarawak yang mempunyai beberapa persoalan-persoalan yang tersirat di sebalik kemenangan itu. Selain faktor persepsi pengundi, yang turut memburukkan peluang BN di peringkat Pusat pastinya ialah untuk mengadakan pilihanraya sebelum keadaan ekonomi dunia memasuki fasa pra-gawat setelah lebih dua tahun berada di peringkat pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan stabil.

Kelemahan ekonomi mikro dan kadar pengangguran meningkat mampu terus menggugat BN

Pastinya kitaran ekonomi akan ada naik dan turunnya. Hanya bila-bila masanya graf ekonomi negara selaras dengan ekonomi dunia pasti kembali menunjukkan penguncupan. Apabila ini berlaku, kebanyakan kerajaan di dunia ini mampu tumbang jika pilihanraya diadakan semasa penguncupan ini berlaku. Di Malaysia, penguncupan ekonomi pastinya melibatkan para peniaga yang kebanyakannya terdiri dari kaum Cina. Meskipun kini makro ekonomi nampak bagus, boleh dikatakan 70 peratus kaum Cina sudah pun menolak kerajaan BN, bagaimana pula jika ekonomi semakin menguncup, lebih teruk lagilah sokongan kaum Cina kepada BN.

Pada PRU 1999, kemenangan BN di bawah mantan PM, Tun Mahathir Mohamad adalah disebabkan oleh kemampuan beliau mengemudi ekonomi negara menghadapi tempoh kemelesetan ekonomi ketika itu yang menyebabkan kaum Cina menyokongnya secara berpadu. Hanya pengundi Melayu yang dilihat beralih sokongan kepada parti pembangkang ketika itu seperti PAS dan PKN (nama dulu untuk PKR). Situasi Umno kehilangan undi Melayu itu jelas nampak apabila negeri-negeri Melayu seperti Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan PAS sementara di Kedah Umno dan PAS hanya berselisih 2 kerusi dan PAS menawan banyak kerusi di dalam DUN Pahang serta Selangor.

Kini, isu sedunia yang turut melanda negara yang menyebabkan kejatuhan Tunisia dan Mesir serta mengganggu gugat kestabilan banyak negara Arab ialah isu pengangguran tegar. Di Malaysia meskipun makro ekonomi adalah baik, kini seramai 300,000 pemuda dan bekas pekerja yang terpaksa dihentikan bekerja oleh syarikat-syarikat yang mula menggunakan sistem automasi teknologi maklumat bagi mengurangkan keperluan kepada tenaga buruh Malaysia. Jumlah 300,000 ini kebanyakannya ialah pengganggur graduan Melayu yang kebanyakannya mengharapkan pekerjaan dan pastinya kemarahan mereka sukar dibendung dan mampu ditunjukkan di dalam bentuk kertas undi.

Pakatan mampu menambah sehingga 10 kerusi Parlimen dari Sarawak

Dengan Sabah dan Sarawak yang selama ini dianggap sebagai ‘deposit tetap’ BN, kini ternyata sudah tidak lagi berikutan keputusan pilihanraya DUN Sarawak yang dilangsungkan dua hari lepas. Di negeri Sarawak, Dewan Rakyat memiliki 31 kerusi dan di Sabah pula 25 kerusi. Kini di Parlimen, BN Sarawak memiliki 29 kerusi tersebut manakala selebihnya lagi iaitu 2 kerusi milik DAP. Melihat kepada keputusan di kesemua 71 kerusi DUN Sarawak, ia memberikan gambaran jelas jika dilihat undi-undi yang dijumlahkan di peringkat DUN diselaraskan bagi Parlimen, BN berpotensi besar kehilangan sehingga 10 kerusi Parlimennya di Sarawak kepada DAP dan PKR dalam PRU nanti.

Dengan kemenangan 13 kerusi DAP dalam PRN Sarawak baru ini, jelas sekali kerusi Parlimen yang dimiliki sekarang iaitu Kuching akan terus kekal dalam PRU 13 nanti. Ini kerana kerusi-kerusi DUN di bawah Parlimen Kuching seperti Pending dan Padungan dimenangi oleh DAP. Manakala di bawah Parlimen Sibu, dari 3 kerusi DUNnya, DAP menang besar di DUN teramai pengundi iaitu di DUN Pelawan meskipun dua DUN lagi iaitu Bawang Assan dan Nangka dimenangi masing-masing oleh SUPP dan BN. DAP memang kalah di Bawang Assan tetapi tipis. Namun begitu, menjumlahkan undi yang diterima oleh BN dan Pakatan Rakyat (PR) di ketiga-tiga DUN di sini menampakkan keadaan menjadikan Sibu kawasan Kelabu bagi kedua-dua pihak. Jumlah diperolehi oleh BN di Parlimen Sibu ialah 21,953 undi manakala PR pula mendapat 21,234 dengan majoriti 719.

Parlimen Sibu boleh dirampas BN jika ada perpindahan pengundi Bumiputera Islam?

Kita menjangkakan BN boleh kembali merampas Sibu jika persempadanan semula dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) melibatkan kerusi DUN Dalat di bawah Parlimen Mukah yang bersebelahan dengan Parlimen Sibu dengan DUN Nangka yang kebanyakannya pengundi Melayu. Jika SPR dapat melakukan strategi persempadanan ataupun perpindahan pengundi dengan memasukkan sedikit kawasan DUN Dalat yang juga bermajoriti Melayu-Melanau sekurang-kurangnya 1,000 ke 2,000 pengundi ke dalam DUN Nangka di bawah Sibu, pastinya BN mampu merampas Sibu semula walaupun dengan majoriti yang kecil. Selain DUN Dalat, satu lagi DUN di bawah Parlimen Mukah ialah DUN Balingian yang ditandingi sendiri oleh Ketua Menteri, Tan Sri Pehin Taib Mahmud. Oleh itu, dengan penjelasan yang diberikan penulis mengenai strategi yang mungkin dilakukan oleh SPR sebelum PRU akan datang, semoga PR perlulah mula berhati-hati dan mengambil perhatian.

Walaupun DAP berhadapan kemungkinan kehilangan Sibu berdasarkan trend pengundian dua hari lepas, di dalam PRU akan datang, DAP masih boleh meningkatkan usaha bagi merampas Bawang Assan atau menutup jurang majoriti. Setiausaha Agung SUPP, Datuk Wong Soon Koh menewaskan calon DAP, Alice Lau dengan majoriti 1,808 pada PRN minggu lepas berbanding dengan majoriti beliau perolehi sebanyak 2,504 semasa PRN 2006. Apa yang penulis andaikan di sini ialah mengambil konsep penjumlahan kesemua kerusi DUN di bawah sesuatu kerusi Parlimen bagi membayangkan kemungkinan di dalam PRU akan datang. Namun begitu, andaian begini tidak semestinya benar kerana setiap pengundi berhak memilih calon masing-masing yang mungkin berbeza parti di dalam setiap kertas undi DUN dan Parlimen. Memang tidak dinafikan, ramai pengundi yang memilih parti-parti yang lain di setiap kertas undi DUN dan Parlimen tetapi majoritinya lebih memilih parti yang sama mewakili mereka sama ada di Parlimen mahupun di DUN terutamanya di Sarawak. Namun begitu. kaedah penjumlahan ini adalah satu bentuk kaedah ramalan yang boleh difikirkan sebagai perancangan dan juga amaran bagi menyediakan pelan bertindak.

Lima kerusi parlimen Sarawak dalam tangan DAP sahaja

Dengan keputusan PRN Sarawak yang terbaru ini, dengan kaedah penjumlahan ini, DAP mampu merampas sehingga 5 kerusi Parlimen Sarawak di dalam PRU nanti. Yang pastinya DAP boleh merampas kerusi Parlimen Stampin, Sarikei, Lanang dan Miri dengan majoriti besar dan mudah tetapi mampu merampas Parlimen Bintulu dengan majoriti kecil. Bagi Parlimen Stampin, PR telah memenangi dengan besar di DUN Batu Kawah dan Kota Sentosa melalui DAP dan DUN Batu Lintang melalui PKR.

Di Parlimen Sarikei, kedua-dua kerusi DUNnya iaitu Repok dan Maradong dimiliki melalui DAP manakala di Parlimen Lanang, DAP menguasai kedua-dua DUN Bukit Assek dan menang tipis di DUN Dudong. Lonjakan penguasaan di Lanang adalah disebabkan populariti penyandangnya, Wong Ho Leng yang juga Ketua Pembangkang DUN Sarawak dan ahli Parlimen Sibu yang memperolehi majoriti melebihi 8,000 undi di DUN Bukit Assek.

Di Parlimen Miri pula, di mana salah satu kerusi DUNnya iaitu DUN Piasau yang menyaksikan kekalahan Presiden SUPP/BN, Tan Sri George Chan kepada calon muda DAP, Ling Sie Kiong. Dua DUN lagi, Pujut dan Senadin masing-masing dimenangi oleh DAP dan BN. Di DUN Senadin, PKR mewakili PR hanya kalah tipis 58 undi kepada calon BN.

Sementara itu, kedudukan ‘kelabu’ bagi DAP untuk menang mampu dicapai di Parlimen Bintulu meskipun dua daripada tiga DUNnya dimenangi oleh BN di Jepak dan Kemena. DAP berjaya mengekalkan kerusi DUN Kidurong dengan menambah majoriti sehingga 7,000 undi jika dibandingkan dengan majoriti sebanyak 1,664 pada PRN 2006. Yang menarik di Bintulu ialah, DUN Jepak adalah penempatan Melayu Bumiputera Islam dan DUN Kemena lebih ke pedalaman dihuni oleh pengundi Bumiputera bukan Islam. Jumlah pengundi berdaftar di Jepak dan Kemena jika dicampurkan adalah menyamai jumlah pengundi berdaftar di Kidurong sendiri yang kebanyakannya kaum Cina yang tinggal di bandar Bintulu sendiri.

PKR boleh tambah 4 kerusi Parlimen tetapi tentangan sengit dijangkakan

Bagi PKR pula, dengan meningkatkan penguasaan mereka di 3 kerusi DUN dan pertambahan undi di banyak kerusi DUN yang mempunyai komposisi pengundi Cina dan di kawasan bandar juga membolehkan mereka memberi cabaran kepada BN Sarawak dalam PRU akan datang. Tentangan yang boleh dikatakan boleh mencabar BN ialah di Parlimen Saratok di mana salah satu DUNnya dimenangi oleh PKR di DUN Krian dan satu lagi DUN Kelaka yang dimenangi oleh BN.

Namun begitu, keadaan nampak lebih mudah di Parlimen Selangau dengan pengundi berjumlah hampir 22,000 orang yang menempatkan DUN Tamin dan Kakus. Meskipun PKR tewas di kedua-dua kerusi itu yang dimenangi oleh PRS/BN yang penduduknya bermajoriti bumiputera bukan Islam, fakta menarik ialah kemampuan PKR mengurangkan majoriti BN di kedua-dua DUN tersebut jika dicampur dari 5,229 undi pada PRN 2006 kepada hanya 1,894 undi pada kali ini. Lagi menarik ialah ketika PRU 2008, Parlimen Selangau ini dimenangi BN tanpa bertanding melalui calonnya Joseph Entulu Belaun. Melihat situasi ini, PKR berkemampuan bertanding di sini di dalam PRU 13 nanti. Yang istimewa juga mengenai Parlimen Selangau ialah di sinilah terletaknya empangan Bakun yang menjadi kontroversi membabitkan penduduk Penan dan Orang Ulu.

Isu Empangan Bakun dan AlKitab memang sah mengurangkan undi BN kali ini di pedalaman

Empangan ini sebenarnya terletak di sempadan dengan satu lagi kerusi parlimen pedalaman iaitu Parlimen Kapit yang menempatkan dua lagi kerusi DUN iaitu Pelagus dan Katibas. Kerusi Pelaguslah yang dimenangi oleh satu-satunya calon Bebas di dalam DUN Sarawak kali ini manakala calon BN di Katibas menang dengan majoritinya dikurangkan dari 3,332 undi (PRN 2006) kepada 2,256 undi. Sebenarnya majoriti ini boleh dikurangkan lagi sehingga 1,359 undi sekiranya tiada pertandingan 3 penjuru di antara BN, SNAP dan PKR. Begitulah juga keadaannya di Pelagus sekiranya tiada pertandingan 3 penjuru antara BN, PKR dan Bebas, jika dikira undi yang diperolehi oleh semua calon pembangkang akan mendapat hampir 7,000 undi dan calon BN dari PRS hanya mendapat 3,000 undi. Sekiranya dalam PRU akan datang, parti-parti pembangkang boleh mengelakkan situasi pertandingan banyak penjuru, maka Parlimen Kapit juga dengan mudah boleh ditawan PR.

Sememangnya dalam PRN kali ini, isu Penan dan Bakun sebenarnya banyak merubah undi penduduk di Parlimen Selangau dan Kapit yang sebelum ini dilihat menyokong PRS/BN. Dari tinjauan jumlah pengundi yang keluar mengundi di DUN Kakus,Tamin,Pelagus dan Katibas yang masing-masing mempunyai dua DUN terletak bawah Parlimen Selangau dan Kapit yang berjumlah 30,268 pengundi. Jumlah undi popular diperolehi oleh BN ialah 14,593 undi manakala pembangkang(termasuk undi PKR,PCM,SNAP dan Bebas) ialah 15,675 undi. Ini bermakna dalam PRN kali ini, pengundi bumiputera bukan Islam sebenarnya telah beralih dengan banyaknya dari BN kepada pembangkang ekoran isu Bakun dan juga isu penggunaan nama Allah dan AlKitab kerana rata-ratanya beragama Kristian.

PKR juga mampu berikan tentangan tetapi sengit sekali di dalam Parlimen Lawas, di mana terletaknya kerusi DUN Be’kalalan yang dimenangi oleh Ketua PKR Sarawak, Baru Bian dan satu kerusi lagi, DUN Bukit Sari yang kebanyakannya adalah Melayu berketurunan Brunei. Bukit Sari dimenangi oleh calon Melayu dari PBB/BN. Pertandingan sengit dijangkakan di Lawas kerana komposisi Parlimen ini ialah 60% pengundi Melayu yang majoritinya dari DUN Bukit Sari dan 40% adalah kaum Iban/Dayak yang kebanyakannya dari Be’kalalan. Namun, jika Baru Bian boleh menunjukkan ketrampilannya di DUN Sarawak yang mungkin dipilih sebagai Ketua Pembangkang baru di DUN Sarawak(meskipun PKR hanya menang di 3 kerusi sahaja), kotak-kotak undi kaum Iban/Dayak di Bukit Sari boleh beralih arah kepada PKR beserta pertambahan sokongan dari kaum bumiputera bukan Islam sendiri di kerusi DUN Be’kalalan sendiri.

Walaupun menang 2/3 kerusi DUN Sarawak, ternyata BN menang membentuk kerajaan dan memperolehi kuasa eksekutif,namun sepertimana dalam artikel penulis sebelum ini, PR perlulah menang ‘bergaya’ atau menang ‘motivasi’ meskipun kalah mengejar kuasa. Keputusan PRN kali ini jelas bertepatan dengan ramalan penulis di dalam artikel sebelum ini ‘Jika PR kalah pun, biarlah bergaya’. Hanya penulis tidak tepat ialah dalam artikel itu, penulis telah meramalkan BN gagal memperolehi 2/3 majoriti.

Keputusan DUN Ngemah dan DUN Telang Usan hasil tiada kesepakatan pembangkang

Penulis ada juga menulis ketidaksepakatan pembangkang terutamanya di antara PKR dan SNAP pasti memberikan masalah terutamanya perpecahan undi di sesetengah kerusi. Contohnya seperti DUN Ngemah yang sebelum ini disandang oleh Presiden PCM, Gabriel Adit Demong yang tidak bertanding bagi memberi laluan kepada calon PCM yang lain iaitu Adeh Demong. Bagi DUN Ngemah, terdapat pertandingan 5 penjuru yang akhirnya dimenangi oleh calon PRS/BN, Alexander Vincent apabila memperolehi undi sebanyak 2,361 undi. Namun begitu, jika ditambah kesemua yang diperolehi oleh calon-calon pembangkang yang lain, jumlahnya ialah 2,871 undi. Dengan ini, jika pertandingan ini adalah 2 penjuru, pastinya parti pembangkang sudah mampu menambah satu lagi kerusi di DUN Sarawak, tidak kiralah dari PCM, SNAP ataupun PKR.

Satu lagi contoh hasil daripada ketidaksefahaman PKR dan SNAP berlaku di DUN Telang Usan yang menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara BN, SNAP, PKR dan Bebas. Disebabkan perpecahan undi, calon BN menang dengan 3,597 undi. Tetapi tahukah anda dengan menjumlahkan undi yang diperolehi oleh SNAP, PKR dan Bebas, jumlah undi pembangkang adalah lebih 4,000 undi. Jika pertandingan dua penjuru, maka parti pembangkang mempunyai kelebihan bagi menduduki kerusi DUN Telang Usan.

BN menang tetapi presiden-presiden komponen BN semuanya hilang majoriti

BN mengekalkan penguasaannya di banyak kerusi walaupun majoriti yang diperolehinya jatuh dengan banyaknya, maka PR boleh mendabik menang kerana ‘menang’ moral di dalam melakukannya. Antaranya ialah di DUN Tarat, BN mendapat majoriti sebanyak 1,995 undi jika dibandingkan dengan 3,256 undi dalam PRN 2006, DUN Asajaya BN mendapat majoriti 4,489 (dulu 5,063), DUN Lambir mendapat 1,521 majoriti (dulu 2,834) dan banyak lagi DUN yang majoriti telah turun. Ini termasuklah penampilan PAS di dua kerusi DUN iaitu Beting Maro dan Sebuyau yang berjaya menurunkan majoriti BN. Di Beting Maro, majoriti diturunkan sehingga 391 undi (dulu 895) manakala di Sebuyau, majoriti terkini ialah 2,276 (dulu 2,448).

Pemimpin-pemimpin kanan parti yang merupakan Presiden dan Timbalan Presiden komponen BN Sarawak juga mengalami penurunan yang banyak di kerusi masing-masing. Selain dari Presiden SUPP yang menjadi ‘gergasi’ yang tewas di DUN Piasau, kesemua Presiden parti komponen BN Sarawak mengalami penurunan majoriti.

Antaranya ialah di DUN Pakan, Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan memperolehi majoriti 1,197 undi sedangkan dalam PRN 2006 mendapat 1,763 undi. Di DUN Baleh pula, Presiden PRS, Datuk Seri Dr James Masing memperolehi majoriti 3,898, turun hampir 1000 undi dari 4,802 undi. Bukan itu sahaja, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Alfred Jabu dari PBB juga mengalami penurunan jumlah majoriti undi dari 2,677 kepada 1,916 undi pada PRN kali ini.

Taib Mahmud hilang 25% penyokongnya dalam PRN 2006 kali ini

Yang mengejutkan juga ialah Ketua Menteri sendiri, Taib Mahmud yang mengalami penurunan yang agak banyak di DUN Balingian. Sepertimana yang kita ketahui, majoriti pemenang dikira dengan mengambil jumlah undi diperolehi oleh pemenang dan ditolak dengan jumlah undi diperolehi calon yang mendapat undi kedua tertinggi. Di Balingian berlakunya pertandingan 3 penjuru di antara Taib, PKR dan Bebas. Majoriti diperolehi Taib kali ini ialah 5,154 undi iaitu kurang 572 undi jika dibandingkan dengan majoriti dalam PRN yang lepas iaitu 5,726 undi. Namun begitu, jika undi yang diterima oleh calon PKR ditambah dengan calon Bebas(kedua tertinggi) di Balingian, secara harfiahnya majoriti sebenar di antara pengundi BN dan pembangkang, Taib sendiri telah mengalami penurunan majoriti sehingga 4,283 undi. Ini bermakna Taib telah hilang 1,443 pengundi atau 25% daripada pengundinya sebelum ini semasa PRN 2006.

Perpaduan PR Sarawak adalah isu utama kena diselesaikan

Banyak kesilapan dan masalah yang timbul di dalam PRN kali ini di pihak PR terutamanya PKR. Tidak dinafikan PAS masih jauh lagi diterima di Bumi Kenyalang dan di masa hadapan kerusinya boleh ditandingi oleh calon dari PKR berbangsa Melayu atau Bumiputera Islam. DAP terus mengungguli lebih dari 70 peratus undi kaum Cina di semua penempatan atau kotak undi Cina. Masalah SNAP dan PKR haruslah diselesaikan sebelum tibanya PRU ke 13. Isu kekayaan Taib, empangan Bakun dan AlKitab masih lagi relevan untuk digunakan oleh pembangkang dalam PRU akan datang terutamanya untuk merebut kerusi Parlimen di Sarawak. Hanya perlu pastikan usaha mengurangkan berlakunya pertandingan lebih dari 2 penjuru di kawasan-kawasan penempatan pedalaman mampu meningkatkan kemampuan PR bagi member tentangan sengit untuk merampas sehingga 10 kerusi Parlimen daripada BN di samping mengekalkan 2 kerusi Parlimen kini dipegang melalui DAP di Kuching dan Sibu (berdasarkan penjumlahan undi peringkat DUN).

Jika sentimen yang sama berlaku di kalangan pengundi Cina berterusan sehingga ke dalam PRU 13 di Semenanjung Malaysia di samping menumpukan usaha menarik undi kaum Melayu di Semenanjung bagi mengekalkan status kedudukan parlimen hari ini, ditambah dengan pertambahan kerusi dari Sarawak ke kantung PR, maka harapan BN memperolehi semula 2/3 majoriti di peringkat Parlimen sekali lagi boleh dinafikan PR. Jika ramalan ini mampu berlaku dengan kegagalan BN menambah kerusi di Parlimen, pastinya perpaduan di dalam BN sendiri boleh bergoyah. Oleh itu, bagi menghadapi PRU13, PR perlu meletakkan usaha menarik semula pengundi Melayu di Semenanjung menyokongnnya dari kalangan orang muda serta bijak menyelesaikan tuduhan-tuduhan yang melibatkan peribadi beberapa pemimpin pembangkang, isu tadbir urus di negeri-negeri PR, pengunduran pemimpin-pemimpin lama PR dan menyepadukan kempen melalui media baru mungkin mampu meletakkan BN di dalam keadaan ‘lebih panas’ dari biasa.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi. Beliau juga kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di beberapa laman web dan media cetak. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

Siasatan Selesai..Adakah datuk T akan di dakwa..???


Video seks: Siasatan ‘Datuk T’ edar bahan lucah selesai, kata polis

April 17, 2011
KUALA LUMPUR, 17 April — Laporan siasatan rakaman video aksi seks, didedahkan “Datuk T” tiga minggu lalu, yang pelakunya didakwa seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat mengikut Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah telah siap, kata polis hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.
“Bagi pihak kami (polis), siasatan telah lengkap dari setiap sudut menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah),” kata beliau dipetik Bernama Online hari ini.
Oleh itu kata beliau, terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan susulan terhadap kes ini dan sekiranya ada mana-mana perkara yang perlu disiasat semula atas arahan Peguam Negara, “kita akan siasatlah.” 
Ditanya mengenai maklum balas syarikat pengedar jam Omega mengenai identiti pemilik jam tangan itu, Acryl berkata polis tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pengedar jam berkenaan memberi maklumat berhubung identiti pemilik jam terbabit.
“Kita tunggu sahajalah . . . kami tidak boleh paksa mereka untuk beri maklumat siapa pemilik jam tangan itu,” katanya.
Jam tangan itu merupakan antara dua barang bukti, selain rakaman video seks, yang diserahkan kepada polis oleh bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuiab Lazim bagi tujuan siasatan berhubung video itu.
Susulan itu, polis telah menyerahkan kad pendaftaran jam itu kepada syarikat berkenaan bagi tujuan pengesahan siapa pemiliknya dan memberikan tempoh seminggu untuk syarikat itu memberikan jawapan.
“Identiti pemilik jam itu bukan merupakan satu isu (dalam melengkapkan siasatan), apa yang penting dalam siasatan kita (Seksyen 292) adalah siapa penayang video itu,” kata Acryl.
Pada 21 Mac lalu, video itu dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan dikenali sebagai “Datuk T” di Carcosa Seri Negara.
Misteri Datuk T yang bermaksud “Trio” itu terjawab pada satu sidang akhbar di sebuah hotel pada 23 Mac lepas apabila Rahim, Shazryl Eskay dan Shuib mengaku terlibat dalam penayangan video berkenaan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar baru-baru ini mengumumkan bahawa rakaman video seks itu adalah tulen selepas disahkan oleh pakar tempatan yang memeriksa video berkenaan. 

Altantuya: Umno-BN masuk jerat Raja Petra

Setelah tiga tahun membuat perakuan bersumpah, Raja Petra Kamaruddin (PRK) akhirnya mencapai hasratnya supaya pihak berkuasa menyiasat kandungan keterangan itu bersabit pembunuhan warga Mongolia Altantuya Sharibuu.

Namun anehnya, yang akan menjalankan siasatan bukan polis, tetapi Angkatan Tentera Malaysia yang menggantung tugas Kolonel Azmi Zainal Abidin, individu yang dinamakan oleh RPK dalam kenyataan bersumpahnya itu.

altantuya razak baginda crime scene 180707 policeRPK mendakwa beliau diberitahu dari dua sumber lain bahawa Azmi mempunyai laporan perisikan yang mengesahkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua pegawai ATM lain berada di tempat kejadian malam Altantuya dibunuh di sebuah hutan simpanan pada Oktober 2006.

Ketika itu, tidak ada siasatan dijalankan oleh mana-mana pihak, polis mahupun ATM bersabit isi kandungan kenyataan bersumpah itu.

Sebaliknya Raja Petra sendiri dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menfitnah Rosmah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Larikan diri

Khuathir terhadap keselamatan diri, Raja Petra yang ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum itu melarikan diri ke Australia dan menetap di sana dalam buangan.

NONESetelah tiga tahun berlalu, RPK mengambil keputusan dua bulan lalu untuk memberikan wawancara kepada TV3, sebuah stesen televisyen kawalan Umno.

Beliau mengumumkan dua perkara. Satu adalah RPK tidak lagi percaya Rosmah berada di tempat kejadian Altantuya dibunuh, lebih-lebih lagi setelah beliau dimaklumkan bahawa laporan perisikan yang ada pada Kolonel Azmi telah “dimusnahkan” dan tidak ada salinan pendua.

Seperkara lagi yang turut menjadi muka depan di semua akhbar adalah bahawa Anwar tidak bijak menguruskan parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

Dalam kes Rosmah-Altantuya – tentunya persoalan utama ialah kenapa hanya sekarang ATM bingkas menyiasat Kolonel Azmi yang menjadi pegawai kedua tertinggi dalam Cawangan Khas pada tahun 2008.

Tidak ada pula arahan daripada ATM ketika itu untuk Azmi membuat laporan polis bagi mengesah atau menafikan wujudnya laporan perisikan sedemikian ataupun kebenaran sama ada beliau berurus dengan ahli-ahli politik.
Dinaikkan pangkat

Sudah tentu ATM mempunyai akses kepada kenyataan bersumpah RPK pada tahun 2008 lagi, namun nampaknya tidak ada tindakan terhadap Azmi ketika itu, malah beliau dinaikkan pangkat dari Lt Kol menjadi Kolonel penuh.

Ada seperkara aneh mengenai “siasatan' yang diumumkan oleh Panglima ATM Tan Sri Azizan Ariffin Jumaat lalu.

najib rosmah and altantuya murder caseAwal-awal lagi pemimpin tertinggi ATM itu mengumumkan bahawa laporan perisikan yang melibatkan Rosmah tidak wujud sama sekali dan Azmi telah berurusan dengan pembangkang dalam kapasiti peribadi beliau.

Bila dan bagaimanakan fakta-fakta ini terkumpul jika tidak ada siasatan dijalankan sebelum ini?.

Rumusan yang lojik adalah siasatan yang bakal dijalankan oleh ATM sudah tiga tahun lewat.

Persoalan juga menjurus kepada apakah jenis pembelaan yang boleh diharapkan oleh Kolonel Azmi jika awal-awal lagi Azizan mengisytiharkan laporan Rosmah-Altantuya tidak wujud dan beliau (Azmi) bertindak secara sendirian.

altantuya razak baginda crime scene 180707 mediaKetelusan siasatan terhadap Azmi tidak akan diketahui kerana tentunya Akta Rahsia Rasmi akan tertera dalam huruf besar pada kertas siasatan berkenaan. 

Pendedahan RPK mengenai kes Altantuya yang cuba diuar-uarkan oleh media arus perdana sebenarnya menjerat kerajaan Umno, ATM dan polis sendiri.

Mereka terpaksa menjawab kenapa tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh RPK sejak tiga tahun tidak disiasat sebelum ini.
Sengaja dihilangkan

Tidak dinafikan kemungkinan laporan perisikan yang dimaksudkan oleh RPK memang tidak wujud.

Namun apakah mungkin juga laporan itu “sengaja “dihilangkan”, justeru adalah selamat untuk pihak berkenaan tampil melakukan “siasatan” sekarang?

altantuya razak baginda crime scene 180707 crossSelain ATM, adakah polis juga akan menyiasat Kol Azmi dan individu lain yang dinamakan dalam kenyataan bersumpah RPK?

“Pendedahan terbaru” RPK di TV3, kenyataan bersumpahnya tiga tahun lalu, dan keterangan bersumpah penyiasat P Balasubramaniam hanya menzahirkan keperluan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pembunuhan Altantuya.

Umum tahu bahawa tawaran terbuka Bala untuk disoal siasat mengenai pengakuannya bahawa Najib ada berhubungan dengan Altantuya tidak disambut oleh polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siapa beri arahan?

Seperti RPK, Bala juga berada “dalam buangan” di luar negara kerana bimbangkan keselamatan diri namun rela bekerjasama dengan syarat keselamatan dirinya terjamin. 

Masa sudah sampai untuk sebuah RCI ditubuhkan dan mendengar serta menilai keterangan dan bukti-bukti yang dibawa oleh Raja Petra, Bala, Deepak Jaikishen, Abdul Razak Baginda dan lain-lain.

altantuya razak baginda murder 110707 sirul escortedPersoalan-persoalan seperti siapa yang memberi arahan kepada dua pegawai polis untuk membunuh Altantuya, jika benar mereka yang bertanggung jawab, masih belum terjawab.

Begitu juga dengan hubung kait pembunuhan itu dengan komisyen RM500 juta untuk pembelian kapal selam ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Antara video lucah dan pembunuhan seorang warga asing yang melibatkan kepentingan negara, agaknya yang mana satu lebih mendesak untuk mengundang penubuhan RCI?
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulisnya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Anwar: Perjuangan bukan mudah, tapi juga bukan mustahil

Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 membuktikan perjuangan menuntut Keadilan untuk semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan bukanlah tugas mudah, namun ianya juga bukan mustahil.  Walaupun tidak mengecapi keputusan yang diingini, kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu dan berusaha memperkukuh amalan Demokratik.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh berkempen, berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam dengan kempen yang bersih, Pakatan Rakyat tetap berjaya menembusi kawasan pendalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat Barisan Nasional.

Sungguhpun demikian, sekali lagi kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya tercalar kerana wujudnya laporan bahawa Suruhanjaya itu bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan ketika hari pengundian.  Saya difahamkan petugas Parti Keadilan Rakyat dinafikan borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihanraya bersih dari penipuan.  Selain itu terdapat juga laporan wujudnya usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan Meradong.

Selain itu keengganan SPR untuk mengira semula undi di kawasan Senadin ternyata mengukuhkan lagi dakwaan ramai bahawa Suruhanjaya Pilihanraya bertindak demi kepentingan Barisan Nasional.  Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr.Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja.  Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?

Keputusan ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ianya satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh.  Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama memastikan ianya terlaksana.  Saya menyeru kepada rakyat Sarawak yang mahukan Perubahan dan cintakan Keadilan, tingkatkan usaha, jangan sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan regim yang korup ini tumbang pada pilihanraya yang akan datang.  Kepada seluruh rakyat Sarawak dan jentera Pakatan Rakyat, saya ucapkan terima kasih dan syabas kerana keberanian serta pengorbanan yg dicurahkan.  

Dengan izin Allah, kemenangan pasti tiba.

*Kenyataan Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Parlimen merangkap Ketua Umum PKR.

Tunjuk perasaan bermotif politik, bukan untuk kepentingan penduduk

http://wartakedah.net/images/stories/April2011/guaneng.jpg

ALOR SETAR, 17 April - Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kota Darulaman YB Encik Lee Guan Aik menyifatkan tunjuk perasaan oleh segelintir penduduk Batu Satu, Seberang Keretapi di sini adalah berniat jahat terhadap Pejabat Daerah Kota Setar.

Ini berikutan Pejabat Daerah Kota Setar telah memberi surat jawapan kepada surat rayuan mereka bagi mengekalkan lokasi jejambat projek landasan keretapi berkembar Ipoh-Padang Besar yang melintasi Bandaraya Alor Setar.

Menurut YB Lee Guan Aik, perkara ini tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pihak kerajaan telah melakukan kajian dan merancang yang terbaik untuk penduduk kawasan terlibat.

Katanya, menurut surat jawapan itu, laluan bawah jambatan yang dicadangkan ini akan dinaiktaraf yang membolehkan kenderaan ringan melalui jalan itu termasuklah lori kecil, kereta dan motosikal.

“Laluan bawah jambatan hanya sejauh 500 meter sahaja dari tapak jejambat yang dibatalkan pembinaannya disebabkan teknikal dan kepentingan penduduk sekitar,” katanya.

Beliau yang dibesarkan sekitar kawasan itu menegaskan kampung itu terdiri daripada 350 buah keluarga dan kebanyakan aktiviti harian mereka menggunakan laluan jalan di Simpang Kuala.

Katanya, rancangan menaiktaraf laluan bawah jambatan keretapi itu dibuat setelah pihak terlibat mengadakan mesyuarat dan berbincang setelah mengambil kira kepentingan penduduk setempat dan dari segi teknikal.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana terdapat pihak tertentu yang berkepentingan politik mempengaruhi penduduk terlibat mengadakan perhimpunan menentang projek naik taraf laluan bawah jambatan keretapi.

“Isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan kerana bukan semua penduduk kampung-kampung berkenaan tidak setuju. Saya tahu kerana saya membesar di situ dan mereka bagi alasan bimbang laluan itu akan ditenggelami banjir.

“Ujarnya lagi, kita tidak boleh elak dari banjir. Lebuhraya sekalipun terputus apabila dilanda banjir besar dan laluan yang akan dinaitaraf itu akan mengambil kira semua aspek termasuklah banjir,” katanya.

Slogan "Tangkap Taib Mahmud" kedengaran

Tahun 1998 Sarawak tidak terusik oleh ombak reformasi, malah Pilihanraya Umum 2008 pun Sarawak juga tidak terusik.  Warga Sarawak kini telah melihat dan sedar bahawa kalau Semenajung boleh berubah, maka mereka juga boleh berubah.  Semangat dan roh reformasi kini telah sampai ke Sarawak.  Warga Sarawak kini melihat gaya dan cara politik Semenanjung.  Ini didikan politik untuk Sarawak.

Semangat dan nasionalisme Dayak telah muncul.  Ini akan menumpaskan hegemoni Melanau.
Untuk pertama kalinya rakyat Sarawak mendengar slogan: TANGKAP TAIB MAHMUD!

--Hishamuddin Rais, penulis bebas

Pemenang: Taib Mahmud dan DAP

Pemenang yang terbesar semestinya Taib Mahmud.  Beliau telah mencapai prestasi yang disasarkan BN, iaitu mempertahankan majoriti dua pertiga.  Pencapaian ini meredakan tekanan dari kerajaan persekutuan yang mendesak agar beliau berundur.

Pemenang kedua besar ialah DAP yang menyapu kesemua kerusi Cina.  Jelas, mereka mewakili suara masyarakat Cina Sarawak sekarang.

Pihak yang kalah adalah SUPP, bukan sahaja Presidennya kecundang, malah calon yang dikatakan sebagai "generasi baru" juga kalah kesemuanya.  Ini bukan sahaja mencerminkan kemarahan Cina Sarawak, juga memperlihatkan kebuntuan SUPP.  Mereka gagal lagi mendakwa diri mereka mewakili kaum Cina.  SUPP tidak berbeza dengan parti Gerakan sekarang.

Persoalan pokok, mengapa BN menang di kawasan desa?  Jawapan yang mudah, tradisional dan politik wang.  Penduduk kampung bergantung kepada pemerintah untuk kemudahan asas, maka secara tradisional mereka menyokong parti pemerintah.  Mereka bimbang mereka dihukum kerajaan kerana menyokong pembangkang - lebih perit kehidupun mereka dari sekarang.  Maka mereka enggan mengambil risiko dengan memberi peluang kepada pembangkang.

Politik wang - apa lagi yang boleh dikatakan?  Saya dimaklumkan bahawa undi dibeli pada wang ribuan ringgit, di tempat yang "hangat".  Maka pemerintah menyelesaikan masalah mereka dengan wang - tidak kira betapa kuatnya pengaruh pembangkang di situ.  Untuk mereka yang kemiskinan, wang ini sudah cukup untuk perbelanjaan beberapa bulan.

Saya tidak menyalahkan pengundi yang menerima wang, saya cuma menyalahkan pemerintah yang terus memiskinkan penduduk, agar politik wang terus mendapat pasarannya.

Bagaimana dengan masa depan Sarawak?  Sarawak mempunyai masa depan yang cerah.  Pembelian undi hanya "mujarab" dalam satu dua pilihanraya ini, tetapi bukan selama-lamanya.  Pengundi muda tidak akan menerima wang secara membuta-tuli - mereka menerima wang, tetapi wang itu gagal mempengaruhi undi mereka.
Kini, semakin ramai pemuda pemudi yang bekerja di luar negeri, kerana peluang perniagaan di Sarawak dikuasai Taib Mahmud dan kroninya.  Bagaimanapun, Taib Mahmud sudah berusia 75 tahun.  Paling banyak beliau bertahan untuk satu penggal lagi.  Ketua Menteri seterusnya gagal lagi mencontohi Taib Mahmud untuk bermaharajalela.  Beliau gagal menikmati kuasa mutlak.  Dan ini satu-satunya harapan Sarawak.

--James Chin, Profesor Univerisiti Monash

UMNO Kedah terus berdiam atas pendedahan mentedarah duit GLC di dewan tempoahari..!!

Kalau tak mau orang kata kat kita, janganlah suka2 maki hamun dan fitnah orang

Bukan rahsia lagi UMNO dan sekutunya menelan duit GLC macam Seri Temin, malah sejak didedahkan dalam DUN pada 4 April lalu, belum ada pemimpin maupun pencacai UMNO termasuk penulis upahan mereka tampil menolak dokumen beraudit itu. Semuanya tunduk tak berani bersuara, takut nama depa pun ada kat mana-mana dokumen lepas ni.

Ada yang celupar memaki hamun pemimpin kerajaan dan pemimpin PAS kononnya tidoq, main teloq, pemalas, pokka hijau, haramjadah dan seumpamanya. Dituduh tak reti mentadbir, mentaliti pembangkang, perabih duit rakyat, menjahanamkan GLC dan mencari 'maru' bila menjolok di Sidang DUN.

Bila didedahkan tukang maki hamun itupun menerima duit yang tak ketahuan sebab dari Seri Temin dalam jumlah yang banyak, (RM42k pada 2007 dan RM1k pada 2005), maka dituduh kita serang salah orang pulak. 'Pipit' saja kata depa. Hah! Pipit makan besaq macam tu ka...

Persoalan Pokok dokumen yang didedahkan dalam Sidang DUN itu ialah RM 8 juta duit Seri Temin dibelanjakan untuk kepentingan UMNO, pemimpin UMNO, aktiviti parti UMNO dan pencacai UMNO. Ini baru satu syarikat. Tidak mustahil ada banyak syarikat lain lagi yang dilanyak sedemikian rupa!

Ada pencacai UMNO kata saya pulak suka cari salah orang. Betulkah? Dokumen itu sudah siap dua tahun dulu... Tersimpan begitu saja... Bukan tak mahu dedah, dah report SPRM dua tiga kes, tapi senyap begitu saja. Kita sabar sajalah. Mungkin mereka telah bertaubat, dan Allah akan ampunkan mereka.

Tapi bila mereka mula menyerang dan memaki hamun tanpa had, tak sanggup kita baca segala fitnah dan cerita karut yang direka, maka hakikat sebenar yang kita 'lupakan' demi keharmonian dan memfokus masa depan, meronta-ronta untuk dilepaskan. Biar dokumen itu yang menjawab tohmahan jahat mereka.

Cuba teliti dokumen 2 mukasurat itu, ke mana wang itu pergi? Cuba teliti senarai panjang penerima, siapa yang ambil? Itu Laporan Audit dan telah diberi teguran keras oleh Ketua Audit Negara. Kita bukan menyerang orang, tapi hanya memberi jawapan kepada persoalan yang depa juga timbulkan. Kita juga yang salah!?? Ish! Ish! Ish!

Saya seorang ahli PAS, seorang pegawai (setiausaha) yang menanggung satu amanah, seorang pemimpin di peringkat saya, saya berkewajipan mempertahankan pemimpin, jemaah, parti dan majikan saya. Saya wajib bercakap benar, membetulkan fakta dan tuduhan yang salah, memberi peringatan dan menjawab sebarang tuduhan melulu.

Ini skop kerja saya....saya buat kerja saya sebaik mungkin, berdasarkan kemampuan yang ada.

Ada pihak telah membuat laporan kepada SPRM tentang hal penyelewengan ini, kita tunggulah apa hasilnya! Sesuai dengan pencacai yang memaki hamun pemimpin saya, ini pepatah lama... Berkokok berdegar- degar, ekor bergelumang tahi...

Muhammad Sanusi Md Nor,
SETPOL MB KEDAH

Nik Aziz akur pembangkang tewas, gembira undi meningkat

KOTA BAHARU - Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akur pembangkang telah gagal menawan Sarawak pada pilihan raya negeri ke-10 semalam.

Walaupun gagal menumbangkan Barisan Nasional, beliau gembira dengan peratusan undi yang meningkat terhadap pakatan pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata ia membuktikan rakyat Sarawak semakin menerima kehadiran pembangkang di negeri itu terutama undi yang diterima DAP.

"Penduduk bandar jelas menolak Barisan Nasional (BN) dan memihak kepada DAP tetapi bagi PAS kita gembira sokongan semakin meningkat walaupun tewas kesemua kerusi," katanya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, hari ini.

Pada pilihan raya negeri itu semalam, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dengan DAP memenangi 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga manakala satu lagi kerusi dimenangi calon Bebas. - Bernama

Lupakan persengketaan lama, jangan rumitkan perkara yang remeh-temeh...

Usah besarkan perkara remeh

DERGA -“Lupakan persengketaan lama, jangan rumitkan perkara yang remeh-temeh kerana ia hanya akan menguntungkan parti lawan sahaja,” demikian ucapan ringkas Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin semasa turun padang merasmikan Program pemeriksaan Kesihatan Percuma, Derma Darah dan Pendaftaran Pemilih Baru oleh Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga di Dewan Orang Ramai, Taman Nuri, dekat sini.

Ucapan ringkas dan padat itu juga mendapat tepukan gemuruh daripada wakil parti komponen lain iaitu parti Gerakan, MIC dan MCA.

Ahmad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Pokok Sena turut menyifatkan program yang digerakkan oleh ADUN Derga, Dr Cheah Soon Hai sebagai terbaik dan turut meminta beliau hadir sama memberikan kerjasama mengadakan program seumpama itu di DUN Bukit Pinang dan Bukit Lada.

Menurutnya, perkara yang remeh-temeh boleh diatasi sekiranya ada kerjasama yang baik dan setiap pemimpin perlu memainkan peranan bagi mengelakkan masalah tersebut berlaku.

“BN diakui oleh semua rakyat dianggotai oleh parti komponen kaum terbesar di negara ini dan banyak jasa yang dilakukan oleh BN kepada rakyat.

“Bagi BN peringkat Bahagian Pokok Sena, kita akan mempertahankan DUN Derga selain merampas dua lagi DUN iaitu Bukit Pinang dan Bukit Lada daripada parti lawan pada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena merangkap Penyelaras DUN Bukit Pinang, Said Ali Said Rastan dan Pegawai Jasa DUN Derga, Rizal Rashid.

Ahmad yang juga Penyelaras Parlimen Pokok Sena berkata, beliau yang baru sahaja mengalas kembali jawatan Penyelaras Parlimen daripada Said Ali akan memastikan bahawa gerak kerja yang dilakukan sebelum ini akan terus berjalan.

Menurutnya, beliau juga turut membentuk jawatankuasa untuk memantau perkembangan semasa melibatkan pembangunan dan kebajikan rakyat di seluruh Parlimen Pokok Sena.

“Pada setiap minggu saya akan bermesyuarat dengan jawatankuasa ini untuk mengetahui perkembangan semasa dan pada waktu yang sama mahu memastikan sekurang-kurangnya dua program turun padang bertemu rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.

Sultan Kedah, rakyat terpukau

ALOR SETAR - Orang ramai cemas apabila melihat beberapa bot pasukan tentera mengejar bot pengganas di Tanjung Chali pagi semalam, yang turut mendapat bantuan sokongan kenderaan tempur dan kereta perisai kondor yang melepaskan tembakan dari atas jambatan.

Pada masa sama, beberapa penerjun membuat terjunan daripada ketinggian 8,000 kaki dengan membawa bendera Malaysia, Kedah, Angkatan Tentera Darat Malaysia, 10 briged para dan Majlis Sukan Negeri (MSN), diikuti bunyi letupan kuat.

Itulah sebahagian gimik pelancaran hampir 20 minit pasukan elit 10 briged para, Kem Terendak Melaka yang memukau hadirin, bagaikan pertempuran ala tentera sebagai kejutan pelancaran Temasya Sukan Sungai, sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah ke-83.

Inilah gimik pelancaran terbaik setakat ini yang menyaksikan bot pasukan briged mengejar bot kumpulan pengganas yang membawa replika dayung pelancaran yang amat dikehendaki untuk disimpan di kubu pertahanan berupa bangunan putih.

Di atas jambatan, kenderaan tempur (Vamtac) menurunkan anggota menggunakan teknik ‘fast roping’ ke dalam bot sambil dibantu kereta perisai kondor yang memberi tembakan dari atas jambatan.

Serangan demi serangan menggempur kubu disertai letupan bom berangkai akhirnya berjaya merampas dayung untuk dipersembahkan kepada Tuanku Abdul Halim.

Prebet Khairul Hizuan Kamil dari pasukan 17 RAMD Para, anak jati Kedah diberi penghormatan melakukan ‘flying fox’ dari atas menara menyeberangi sungai membawa dayung untuk diserahkan kepada Panglima 10 Briged Para, Brigadier Jeneral Datuk Ismet Nayan Ismail, sebelum dipersembahkan kepada Tuanku oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Temasya Sukan Sungai, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib.

Pada temasya kali ke-80 ini, 10 kategori dipertandingkan pada pertandingan akhir, menyaksikan pasukan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) muncul juara antara Jabatan Kerajaan/Badan Berkanun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juara pasukan beruniform, Pokok Sena bagi kategori antara daerah manakala Pejabat Zakat juara antara Jabatan Agama Islam /pejabat zakat.

Perak muncul juara antara negeri bagi perahu naga, Wisma Darul Aman kategori Istana Anak Bukit/Wisma Darul Aman/Yayasan Sultanah Bahiyah manakala Pegawai Tadbir Persekutuan menjuarai kategori pegawai tadbir, diikuti Bina Darulaman Berhad kategori sektor korporat.

Pasukan Puspanita pula berjaya merangkul kejuaraan bagi dua kategori, iaitu kenu perseorangan wanita vip dan kenu bergu wanita vip.

Acara kemuncak menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara pasukan yang mencatatkan masa terbaik dalam kategori masing-masing, iaitu Mada, ATM dan Pemuda Tanjung Besar.

Keputusan memihak pada pasukan ATM dengan catatan masa 4 minit 21.1 saat, menewaskan pencabar terdekat, Mada (4 minit 21.5 saat), dan di tempat ketiga Pemuda Tanjung Besar (4 minit 30.1 saat).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tuanku Abdul Halim. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pengarah Majlis Sukan Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin.

Dr Hamdan berkata, temasya sukan air tahun ini memperuntukkan hadiah wang tunai sebanyak RM55,600 bagi tiga kategori iaitu kenu, perahu naga dan perahu panjang membabitkan lebih seribu peserta.

“Saya dapat berasakan penonton terpaku melihat persembahan mantap pasukan ini yang dijayakan oleh 140 anggota,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...