TERKINI :

Saturday, April 16, 2011

Dari PRN Sarawak ke PRU ke-13

Sesungguhnya, pilihan raya menjadi "pungutan suara" yang berkuasa untuk menentukan masa depan rakyat. Maka ia boleh dikatakan "referendum" untuk menguji dasar-dasar kerajaan, mahupun pandangan rakyat terhadap isu-isu tertentu. Dari perspektif Sarawak, tema besar pilihan raya negeri ini adalah "kekal-undur Taib Mahmud"; sementara dari perspektif Malaysia secara keseluruhannya pula, ia mungkin penilaian kepada gagasan "1Malaysia" oleh Perdana Menteri Najib Razak.

Apapun keputusan malam ini, dari "BN kehilangan lebih kerusi berbanding tahun 2006", kepada "penafian majoriti dua pertiga BN", hinggalah "tumbangnya kerajaan Barisan Nasional"; mahupun "mengekalkan status quo" - suasana sepanjang kempen pada hakikatnya telah menunjukkan petanda-petanda yang harus diberi perhatian.

Apabila puluhan ribu manusia membanjiri ceramah di kawasan bandar, semalam, jawapannya sudah jelas - kemenangan moral untuk Pakatan Rakyat. Najib dan Taib Mahmud tidak perlu melihat kepada peti undi untuk "mendengar suara rakyat" - hanya dengan gambar lautan manusia sudah cukup lantang untuk menjelaskan segala-galanya.

Senjata BN

Bukan dakwaan yang baru untuk mengatakan bahawa "pemimpin BN sudah lama terpisah dari akar umbi masyarakat sehingga gagal memahami masalah dan kehendak sebenar rakyat", namun kesilapan ini nampaknya tidak diperbetulkan, atau diperbaiki - sehingga Najib tersilap tafsir untuk mencatur strateginya kali ini.

Sememangnya peranan Anwar Ibrahim diiktiraf ketika "tsunami politik" melanda Semenanjung Malaysia pada 8 Mac 2008, namun terdapat sedikit perbezaan dengan keadaan PRN Sarawak 2011. Menjadikan Anwar sebagai sasaran untuk menangkis sentimen "Undur-Taib" dan ketidakpuasan lantaran pencerobohan tanah adat - jelas gagal menyelesaikan masalah.

Misalnya, Najib dilaporkan bertanya kepada penduduk tempatan sama ada mereka tahu cerita "jam tangan Omega", jelas bertujuan untuk memalit Ketua Pembangkang Parlimen dengan "klip video seks" yang tersebar. Polis dikatakan sudah mengenalpasti identiti lelaki dalam klip video seks. Malah, apabila keadaan kian terdesak, tiba-tiba wawancara eksklusif TV3 bersama Raja Petra Kamaruddin disiarkan untuk membersihkan nama Najib dan Rosmah, sebelum melontarkan kritikan terhadap Anwar.

Apakah isu "jam tangan Omega" dan "kritikan Raja Petra" relevan di Sarawak, ataupun meredakan ketidakpuasan orang asal yang marah kerana hak tanah adat dicabuli? Jawapannya bakal diketahui malam ini.

Senjata PRU ke-13 terdedah

Apa yang menariknya, pada saat-saat BN terdesak untuk menyerang dengan apa yang ada dalam tangan, ia mendedahkan wajah "1Malaysia" sebenarnya kepada seluruh warga Malaysia, yang sedang menunggu PRU ke-13. Sudah tentu senjata "RPK" akan hilang mujarabnya jikalau ingin digunakan semula dalam PRU ke-13. Agak jelas, RPK lebih berpengaruh di kalangan warga bandar, berbanding penduduk rumah panjang. Ia mungkin mencerminkan betapa terdesaknya BN untuk menggunakan senjata ini terlebih awal, dan ia mungkin lebih mengecewakan BN apabila kesannya tidak sampai sebagaimana yang diduga.

Malah, pertarungan BN kali ini mendedahkan wajah "transformasi" sebenar BN. Media internet alternatif, Sarawak Report, Free Sarawak Radio, Malaysiakini dan Harakah Daily diserang sehingga tergendala pada saat-saat genting BN - mencetuskan kemarahan warga internet. Biarpun tiada bukti di mana datangnya serangan siber sedemikian, namun "persepsi" ramai semestinya menuding jari kepada BN.

Penaburan "gula-gula" melalui peruntukan sepanjang PRN bukan strategi baru, malah "penyogokan" yang diadu selama ini. Integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi tergadai, untuk memberi laluan kepada BN yang bertekad mempertahankan kuasa.

Lebih-lebih lagi, halangan kemasukan ke Sarawak yang dikenakan ke atas aktivis seperti Steven Ng, Wong Chin Huat, Haris Ibrahim, Ambiga Sreenevasan dan Syed Ibrahim turut menonjolkan "keangkuhan" kerajaan untuk menyalahgunakan kuasa sewenang-wenangnya.

Kesemua adegan ini berlangsung di depan warga seluruh Malaysia, yang menunggu-nunggu untuk mengundi dalam PRU ke-13.

Siapa bertanggungjawab?

Apa yang pasti, PRN Sarawak cukup sengit untuk BN dan Najib. Keadaan ini diakui Najib sendiri, bahawa PRN Sarawak adalah cabaran paling sengit untuk BN dalam sejarah.

Persoalannya, siapa yang perlu dipertanggungjawabkan? Seandainya BN kehilangan banyak kerusi (sama ada majoriti dua pertiga dinafikan atau tidak), malah tumbang kerajaan negerinya - semestinya Najib akan mempersalahkan Taib Mahmud, sementara Taib (gambar kanan) pula akan menuding jari kepada BN persekutuan, misalnya isu Al-Kitab. Adegan tampar-menampar antara Najib dengan Taib akan berlanjutan.

Ia belum lagi termasuk pertimbangan sama ada "Sabah turut teruja dengan keadaan di Sarawak", "kesan pertelingkahan antara Taib Mahmud dengan persekutuan terhadap BN dalam PRU ke-13", "kemenangan PR yang menyuntik semangat baru", dan sebagainya.

Apapun kesudahannya, kemampuan Najib bakal dipertikaikan dalam BN. Curahan gula-gula nampaknya bukan jalan keluar untuk BN, kalaupun ya, itu hanya untuk sementara waktu sahaja. Politik untuk memalitkan musuh dengan "skandal seks" kelihatan seolah-olah meludah ke langit. Apakah ia harus diteruskan, atau dihentikan?

Pertarungan ini semestinya memberi petanda berwarna merah kepada Najib dan BN. PRU ke-13 kini lebih mungkin diadakan selewat-lewat yang boleh.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tiga isu perlu diberi perhatian oleh Pakatan Rakyat

oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ‘gila’ untuk mengadakan pilihanraya umum segera jika ditakdirkan BN mengalami kehilangan banyak kerusi di Sarawak. Perkembangan mutakhir menunjukkan BN hampir pasti, buat pertama kalinya, kehilangan majoriti dua pertiga di Bumi Kenyalang itu. Namun selagi peti undi belum di kira, Pakatan tidak boleh terlalu yakin hal tersebut berlaku kerana BN akan melakukan apa saja di saat terdesak.

Selepas keputusan mutlak bahawa BN kalah (macam di Perak) pun mereka sanggup lagi mencabuli demokrasi untuk terus berkuasa, apatah lagi di saat getir seperti ini. Selagi mereka ada kuasa, mereka akan buat apa saja.

Ditakdirkan BN mengalami keputusan yang teruk di Sarawak, maka tempoh untuk Najib mengadakan pilihanraya umum akan dipanjangkan lagi. Sekurang-kurangnya sehingga seluruh rakyat Malaysia agak melupakan kebangkitan rakyat Sarawak.

Pengalaman Tsunami politik 2008 tentu mengajar Najib. Kesan Tsunami agak memakan masa untuk ‘pulih’. Semua pilihanraya kecil yang terdekat dengan Mac 2008 berpihak kepada Pakatan Rakyat bahkan menunjukkan peningkatan undi. Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi BN pada PRU ke 12 pun mampu dirampas dengan majoriti lebih besar dari yang diperolehi BN.

Pasca Tsunami politik 2008, Sabah dan Sarawak dianggap ‘simpanan tetap’ BN. Jika pilihanraya kali ini Sarawak juga menjadi tempat tidak selamat bagi BN, maka tiada tempat lagi yang selamat bagi BN di negara ini. Kemenangan demi kemenangan yang dicatatkan dalam beberapa pilihanraya kecil akan dilupakan begitu saja. Ia tidak boleh lagi menjadi modal untuk dijaja oleh BN ke sana sini.

Maka secara teorinya PRU tidak akan diadakan pada tahun ini. Najib perlu mengambil masa untuk mengembeling kekuatan parti bagi meraih semula sokongan rakyat. Apabila BN ‘melambat-lambatkan permainan’ untuk mengumpul kekuatan, maka tempoh masa yang sama juga terhidang kepada Pakatan untuk membetulkan kesilapan.

Ada tiga isu besar yang dieksploit dan dimanipulasi oleh BN sehingga mereka berjaya menjauhkan sebahagian sokongan rakyat terhadap Pakatan, terutamanya orang-orang Melayu.

Pertama, ketidaksefahaman antara pemimpin-pemimpin Pakatan yang mereka cuba gambarkan. Percanggahan sikap dan tindakan beberapa pemimpin kerajaan di Selangor dijadikan rujukan kepada rakyat. Isu kandang babi di Kedah, isu arak dan judi dimanipulasi semaksimumnya oleh media-media talibarut BN.

Kedua, isu perpecahan dalaman parti KeADILan. Ia disensasikan secara besar-besaran sewaktu musim pemilihan parti itu tahun lalu. Tokoh-tokoh penting KeADILan melompat keluar parti secara bersiri, seorang demi seorang. Senarainya terlalu panjang. KeADILan, PAS dan DAP tinggal serumah. Isu dalaman KeADILan, sama ada ‘bikinan BN’ atau realiti; pastinya akan merosakkan imej Pakatan.

Ketiga, isu ‘DAP anti Melayu’. Agenda bertindak kerajaan negeri Pulau Pinang dijadikan sampel ‘bahan bukti’. Mereka juga cuba mengaitkan dengan isu-isu remeh kehadiran pemimpin bukan Islam ke masjid dan surau untuk memperbodohkan sebilangan orang Melayu yang ketinggalan dari arus perdana politik negara. Isu hasil manipulasi media-media BN, yang mereka lakukan secara bersungguh-sungguh sehingga berjaya membuahkan hasil. Rentetan dari momokan berterusan itu, Melayu dikhuatirkan akan kehilangan ketuanan Melayu jika membiarkan Pakatan berkuasa.

Saya menimbulkan semula ketiga-tiga isu tersebut bagi mengingatkan seluruh kepimpinan Pakatan bahawa, sementelahan ruang masa yang agak selesa yang akan ‘diberikan’ Najib untuk tidak mengadakan PRU umum dalam masa terdekat ini; maka gunakanlah sebaik-baiknya untuk memulihkan persepsi sebahagian rakyat yang telah berjaya dipesongkan oleh BN itu.

Rakyat mesti diyakinkan bahawa persefahaman dan kerjasama antara pemimpin Pakatan lebih mantap, DAP tidak anti Melayu, hak Melayu tidak terhakis dengan penguasaan Pakatan dan KeADILan sudah mantap dan tidak berpecah lagi.

Semua itu boleh diperbetulkan dengan penjelasan berterusan, di samping kepimpinan parti komponen Pakatan lebih berhati-hati dan jangan buat hal. Keutamaan mesti diberikan kepada pemulihan persepsi rakyat terhadap itu tersebut.

Adapun isu-isu lain seperti kononnya kegagalan menunaikan janji, kelemahan pentadbiran dan penyelewengan, itu bukan persoalan besar; kerana isu tersebut lumrah dalam mana-mana pemerintahan yang ada parti memerintah dan pembangkang. Mereka menyerang kita, kita menyerang mereka. Bahkan isu Anwar sekalipun (dalam realiti politik di Malaysia) ia sudah menjadi isu picisan. Serangan peribadi terhadap Anwar sudah ke tahap tepu.

Isu adalah alat mengubah persepsi. Sama ada kecil atau besar ia tetap perlu diberi penjelasan tetapi jika kita memilih keutamaan untuk melunaskan isu yang merebakkan ‘kanser’ dalam pemikiran masyarakat, khususnya orang Melayu; maka berilah tumpuan kepada tiga isu besar tadi.

Tanpa peralihan sokongan Melayu yang lebih besar terhadap Pakatan, maka hasrat ke Putrajaya boleh terbantut sekalipun Sarawak memberi semangat baru kebangkitan rakyat.

Twitter, SMS sebar keputusan tak rasmi; SPR kata jangan percaya

KUALA LUMPUR, 16 April — Dunia siber khususnya SMS dan Twitter sekali lagi mewarnai pilihan raya — hari ini membabitkan pilihan raya negeri bumi Kenyalang Sarawak sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan jangan percaya keputusan tidak rasmi.

Pilihan raya negeri Sarawak merupakan yang pertama ruang Twitter memainkan peranan signifikan dalam menyebarkan maklumat keputusan tidak rasmi.

Proses pengundian di SK St David Bumbok, Jalan Batu Kitang, Kuching yang terletak di kerusi DUN Batu Kawa. — Foto oleh Choo Choy May
Tiga tahun lalu SMS dan portal menjadi perhatian.

Penyokong dan pengikut kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) menyebar maklumat-maklumat berkaitan tidak rasmi — yang melibatkan pusat-pusat pengundian yang ditutup awal.

Misalnya pemegang akaun Twitter bgu_sarawak menghantar mesej sekitar 12.30 tengah hari mengatakan “keputusan tidak rasmi N70, Ba’kelalan sehingga kini PKr mendahului dengan 245 undi dan BN 223. undi rosak 3.”

Kerusi itu menyaksikan saingan sengit antara calon BN dan PKR. Tun Faisal dari Umno dalam mesejnya pula berkata, “PRN#Sarawak. Keputusan Tak Rasmi BN Mendahului di Beberapa Peti Undi, setakat jam 2.” Chang Lih Kang dalam mesejnya pula berkata, “tidak ramsi: N42 Meluan - SK Sg Merurun (PKR 88, BN 34); SK Lubok Assam - (PKR 135, BN 45).”

SMS yang diperoleh daripada jentera PKR pula berkata pihaknya mendahului di Tasik Biru, Layar, Krian, Ngemah, Tamin, Kakus, Belaga, Jepak dan Ba’kelalan.

Keputusan tidak rasmi itu diketahui lebih awal memandangkan satu pertiga pusat pengundian ditutup awal dengan lebih 1,000 ditutup pada 1 tengah hari tadi.

Sehubungan itu Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan keputusan pengundian untuk sesetengah kawasan yang diedarkan melalui internet dan khidmat pesanan ringkas sejak tengah hari tadi.

Beliau dipetik Bernama Online berkata, hanya keputusan yang dikeluarkan oleh SPR sahaja sah iaitu berdasarkan kepada maklumat yang telah diberi oleh setiap 71 pegawai pengurus pilihan raya yang telah dilantik.

“Saya telah dimaklumkan banyak sebaran dalam SMS, internet mengatakan parti tertentu telah menang pilihan raya di kawasan masing-masing. Ini maklumat tidak boleh dipercayai, hanya sumber daripada SPR sahaja yang sah,” katanya kepada pemberita.

Taib perlu berhenti berangan- Fariz Musa

BALINGIAN: Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Mahmud Taib bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak mampu menafikan majoriti 2/3 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, sebagai angan-angan kosong.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Taib yang menyatakan ramalan bahawa BN mungkin akan kehilangan sekurangnya 30 kerusi pada PRN itu, sebagai satu kesilapan.

Justeru itu, beliau menyeru Taib supaya sedar akan kebangkitan rakyat Sarawak yang luar biasa jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 2006.

“Berdasarkan kepada aktiviti, kempen dan pemerhatian, jelas membuktikan PR akan menghilangkan 2/3 kuasa Barisan Nasional (BN) atau menguasai sepenuhnya Sarawak kali ini. Beliau patut berhenti dengan angan-angan yang sia-sia memandangkan PRN sudah berlangsung.

“Taib perlu sedar bahawa mood rakyat Sarawak cukup luar biasa. Kenyataan beliau itu sebenarnya mempunyai taktik kotor untuk BN kuasai Sarawak,” kata Fariz pada Keadilandaily.com.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai rasuah dan politik wang yang tidak terkawal bermula lewat tengah malam tadi sehingga waktu subuh sebelum PRN berlangsung sejak pagi tadi.

“Kita mendapat maklumat mengenai rasuah dan pemberian wang di beberapa pondok panas BN bermula malam tadi.

“Menurut sumber, pengundi akan diberikan wang paling rendah sebanyak RM50. Pihak SPR juga seperti tidak ambil kisah dengan apa yang berlaku di sini,” ujarnya.

Video Khas Untuk Sahabatku di Sarawak... anda ada 2jam setengah saja lagi...



BN, Taib Diramal Tumbang

Dari Keadilan Daily

Barisan Nasional diramal tumbang di Sarawak dengan hanya memenangi 21 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri itu, 16 April ini.

Malah, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga diramalkan kalah dikerusi yang dipertahankannya di DUN Balingian.

Demikian hasil satu kaji selidik yang dilakukan Zentrum Future Studies, satu pusat penyelidikan bebas yang meramalkan isu sosial, politik dan ekonomi di masa depan.

Menurut hasil kajian tersebut, Pakatan Rakyat diramal berjaya memperoleh 31 kerusi, bebas 4 kerusi dan Parti Kebangsaan Sarawak, yang juga menentang BN sebanyak 15 kerusi dalam pilihan raya kali ini.

Kajian tersebut juga mendapati, Taib Mahmud hanya memperoleh 34 peratus sokongan di DUN Balingian, berbanding lawannya, Datuk Salleh Jafaruddin, yang juga sepupunya sendiri iaitu sebanyak 38 peratus.

Dalam perebutan kerusi yang sama juga menyaksikan calon KEADILAN, Suriati Abdullah dijangka menerima sekurangnya 28 peratus sokongan.

Dari segi Persepsi kepercayaan politik mengikut kaum pula, Pakatan berjaya meraih sokongan dari kaum Melayu dan Melanau dengan meraih 40 peratus sokongan, SNAP dengan 10 peratus dan masing-masing Parti Cinta Malaysia (PCM) dan bebas hanya satu peratus.

Data dari statistik itu juga menunjukkan BN ditinggalkan jauh di tempat kedua oleh Pakatan yang memperolehi 46 peratus sokongan masyarakat cina dan BN dengan 34 peratus.

SNAP sebuah parti kaum Dayak di Sarawak pula mengungguli sokongan kaum Iban apabila dijangkakan mampu meraih sokongan sebanyak 38 peratus manakala Pakatan di tempat kedua dengan 32 peratus.

BN yang mengekori di tempat ke tiga bagi persepsi sokongan kaum yang sama pada ketika ini meraih sebanyak 23 peratus sokongan dan bebas dengan tujuh peratus.

Pakatan sekali lagi meraih populariti tinggi apabila diramalkan menerima sokongan terbanyak di kalangan pengundi kaum Bidayuh dengan 40 peratus manakala SNAP mengekori rapat di tempat ke dua dengan 38 peratus.

Menurut hasil kajian PRN Sarawak prediksi period 1 itu lagi, Pakatan pula memperolehi 36 peratus dan SNAP pula sebanyak 10 peratus juga bagi masyarakat Orang Ulu.

Keluar awal nak 'nyonteng' bulan

Nazri Abdullah

BETING MARO, 16 April: Rata-rata penduduk di sini hari ini keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

Tinjaun Harakahdaily di beberapa tempat pembuangan undi mendapati, kebanyakan penduduk menunggu sejak awal pagi sebelum pusat pengundian dibuka.

Ramai di kalangan mereka turut membawa kipas tangan hijau bercetak gambar Mursyidul Am PAS dan lambang bulan.

Bagaimanapu, petugas SPR mengarahkan mereka meninggalkannya di luar kerana sebarang lambang parti tidak dibenar dibawa masuk dalam kawasan 50 meter dari tempat pengundian.

Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Azam berkata, keadaan yang ramai keluar sejak awal pagi ini sangat berbeza dengan pengundian tahun 2006. Beliau yang juga seorang pengawal keselamatan di salah sebuah bank di sini berkata, mereka hari ini keluar awal kerana tidak sabar mahu 'nyonteng' (pangkah) PAS.

"Saya sudah lama menyokong BN, ramai sini dulu sokong BN, hari ini kami keluar awal mahu nyonteng bulan,"katanya.

Ditanya apa faktor yang mebuatkan beliau mahu meninggalkan BN, beliau memberitahu kerana tidak berpuas hati dengan apa yang telah kerajaan negeri perlakukan terhadap mereka.

Ianya merujuk kepada isu tanah yang gagal diselesaikan kerajaan BN malah ada tanah yang diusahakan mereka dirampas.

"Tanah belakang rumah saya, saya tanam macam, dah dirampas dan tidak dibenar masuk lagi," katanya.

Semua 5 adik beradiknya juga katanya turut membuat perubahan sama.

Isu tanah antara isu paling besar, bukan sahaja di sini malah seluruh kawasan di Sarawak.

Ianya menjadi kemarahan setiap masyarakat di sini yang juga menjadi pencetus kepada kemarahan mereka terhadap pentadbiran Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Abang Ahmad dikerumun

Sementara itu, calon BN Raizali Gapur didakwa kurang mendapat sambutan di sini. Semalam beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Baru Beladin, iaitu tempat sama dengan calon PAS Abang Ahmad Kerdee Masagus.

Beliau juga turut menyediakan makanan dan minuman percuma yang siap dibungkus kepada ahli jemaah yang hadir.

Bagaimanapun, selepas selesai solat Jumaat, penduduk dilihat tidak berminat bertemu beliau malah calon PAS pula menjadi tumpuan mereka.

Abang Ahmad ketika ditanya berhubung perkara itu bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menyerang peribadi calon lawan dan melihat sokongan teradap beliau itu pentanda baik untuk perubahan Sarawak.

Tanya Nik Azmi, Phang: Ku Li

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan Nik Azmi Nik Daud dan John Pang tampil memberikan penjelasan mengenai pertemuan bersama pengendali Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin di pejabatnya, tiga tahun lalu.

Tengku Razaleigh melalui pembantu peribadinya, Lukman Mohd Ghani berkata, beliau tidak mahu memberikan sebarang ulasan mengenai perkara itu kerana khuatir dilabel berkomplot dalam isu berkenaan.

“Tanya Nik Azmi dan John Phang, mereka tahu. Ku Li tidak mahu dikatakan terlibat dalam pendedahan dilakukan Raja Petra yang disiarkan baru-baru ini kerana khuatir masyarakat salah tafsir sekiranya beliau mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

“Jadi, lebih sesuai sekiranya media mendapatkan penjelasan daripada Nik Azmi dan Phang supaya dapat jawapan tepat mengenainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Phang adalah bekas pensyarah universiti yang pernah terlibat dalam kempen Tengku Razaleigh bagi calon Presiden UMNO, pada 2008.

Sementara, Nik Azmi pernah berkhidmat di bawah Tengku Razaleigh ketika Ahli Parlimen Gua Musang itu menyandang jawatan Menteri Kewangan pada 1980.

Rabu lalu, TV3 menyiarkan pendedahan Raja Petra mengenai Akuan Bersumpah beliau pada 2008 mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor terbabit dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu didalangi individu tertentu.

Beliau mendakwa, individu berkenaan, Nik Azmi, Phang dan penulis blog, Din Merican telah memberikan maklumat bermotifkan kepentingan politik bagi menghalang Najib daripada menjadi Perdana Menteri.

Kes Altantuya: Pegawai Kanan ATM digantung tugas

SHAH ALAM 15 APRIL : Pengarang Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin berjaya menarik perhatian Kementerian Pertahanan bersabit dakwaan beliau mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu apabila seorang pegawai kanan tentera digantung tugas sementara untuk siasatan dilakukan.

Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa ia menggantung Kol Azmi Zainal Abidin dari tugas-tugas rasmi. Kol Azmi adalah orang kedua dalam unit cawangan khas ATM pada tahun 2008 sebelum dipindahkan ke cabang lain.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa wujud sebuah laporan ATM mensabitkan isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor dan dua pegawai tentera lain hadir di tempat kejadian malam Altantuya mati dibom pada Oktober 2006.

Dalam satu kenyataan, Azizan berkata, “pihak ATM ingin menegaskan bahawa maklumat yang disampaikan oleh Kolonel Azmi kepada Raja Petra Kamarudin adalah palsu.”

Beliau juga menegaskan laporan yang disebut oleh Raja Petra tidak pernah wujud dalam simpanan ATM.

“Tindakan Kolonel Azmi adalah bersifat peribadi dan tiada sebarang kaitan dengan ATM,” kata beliau.

Raja Petra semalam berkata beliau memberikan wawancara kepada TV3 bersabit isu itu kerana mahu menarik perhatian pihak berkuasa untuk menyiasat Kol Azmi dan pihak lain yang terlibat bersabit dokumen itu.

Dalam wawancara dengan stesen telivisyen pro-Umno itu, Raja Petra berkata dua individu yang pernah bekerja untuk Tengku Razaleigh Hamzah mengesahkan dokumen itu wujud dan mahu Raja Petra mendedahkanya.

Raja Petra membuat perakuan bersumpah (SD) pada Jun 2008 setelah blogger Din Merican turut mengesahkan bahawa Kol Azmi berjumpa dengan Datuk Seri Anwar beberapa kali dan boleh dipercayai.

Raja Petra terpaksa mencari perlindungan di Australia setelah dijejaki polis kerana membuat SD yang merujuk kepada laporan ATM itu untuk mensabitkan penglibatan Rosmah dalam pembunuhan Altantuya.

Azizan berkata, Lt Kolonel Azmi yang dimaksudkan Raja Petra adalah seorang pegawai Tentera Darat yang kini berpangkat kolonel.

Beliau ditukarkan dari Timbalan Ketua Anggota Tentera Cawangan Khas sejak 14 Januari 2008 dan kini sedang bertugas di Markas Tentera Darat, kata Azizan.

Azizan juga berkata siasatan terhadap dakwaan Raja Petra akan dilaksanakan dengan secepat mungkin dengan satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

“Hasil siasatan akan dijadikan asas terhadap tindakan yang akan diambil oleh ATM,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Azizan, pegawai kanan terbabit telah dilepaskan daripada sebarang tugas rasmi sehingga siasatan selesai.

Dalam satu temu bual bersama TV3 kelmarin, Raja Petra mendakwa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau isterinya terbabit dalam kes pembunuhan wanita Altantuya.

Beliau berkata SDnya hanya merujuk kepada maklumat yang diperolehi bersabit laporan risikan ATM itu yang memerlukan siasatan lanjut.

Ceramah Grand Finale dari DS Anwar Ibrahim - Jom Ubah..!!











VIDEO SEX - CheguBard dedah nombor plate kereta yang bawa dia malam tuu..!!

Video Lucah : Milik Siapa Kereta ini??



Kereta misteri yang membawa Badrul Hisham Shaharin (chegubard) dari Institut Jantung Negara (IJN) ke Hotel Shangri-La bagi menyaksikan video seks di satu bilik pada 21 Mac is “benar-benar pelik dan tidak dapat dikesani”.

Semakan chegubard menunjukkan kereta berkenaan mungkin digunakan oleh "seseorang yang melakukan kerja-kerja risikan pihak polis”.


Semakannya juga mendapati, kereta Volvo Sedan yang berwarna emas tidak dapat dikesan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Nombor pendaftarannya ialah WQU 1925 tidak wujud di dalam pengkalan data JPJ,” kata beliau apabil dihubungi hari ini.

Chegubard sedang menjelaskan tentang “pembongkaran” terhadap video seks semasa ceramah di hujan lebat bertemakan “Siapa Dalang Fitnah” di asjid Bandar Perda pada hari Sabtu lalu. Chegubard, yang dijemput menonton video seks berkenaan telah membuat semakan kereta misteri itu pada hari Jumaat.

Beliau dan rakannya telah dibawa ke hotel di Kuala Lumpur pada petang hari Isnin dengan menaiki kereta yang di dalamnya ada dua orang lelaki berpakaian kemas.

Chegubard, berpeluang menyaksikan klip video itu sebanyak dua kali dari jam 8 malam.

Beliau ditunjukkan video berkenaan oleh bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Risda, Abdul Rahim Tamby Chik, seorang ahli pernigaan, Shazryl Eskay Abdullah dan seorang yang tidak dikenali yang hanya dipanggil “Tengku”.

Konspirasi Darjah Tertinggi

Chegubard menyatakan beliau yakin video seks itu adalah hasildari satu konspirasi darjah tertinggi yang melibatkan ahli politik tempatan.

Beliau percaya pihak terbabik dengan video seks itu tidak serius sangat di dalam tuntutannya agar Anwar dan isterinya, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk meletak jawatan dengan pendedahan video berkenaan.

“Saya rasa mereka tidak seirus untuk memaksa Anwar dan Kak Wan berundur dari politik. Jika tidak, mereka tentunya dah bagi tape berkenaan kepada saya.

“Objektif mereka ialah untuk mengaibkan, memalukan Kak Wan dan keluarga, dan memfitnah PKR,” kata chegubard.

Beliau juga yakin beliau di pilih untuk menonton video berkenaan kerana para konspirator itu memikirkan “saya akan mengkhianati PKR berdasarkan perbezaan pandangan saya dengn pimpinan PKR waktu ini.”

Beliau berkata mereka cuba untuk memperalatkan beliau kerana beliau sentiasa lantang mengutarakan pandangan dan mengkritik segala salahlaku di dalam parti.

“Saya orang pertama untuk meminta Anwar berundur dari politik jika benar Anwar di dalam video berkenaan. Saya yakin orang yang saya lihat di dalam video sek hitam putih itu bukan Anwar,” tambahnya.

Beliau sedar beliau mungkin sudah melanggar undang-undang kerana menonton “blue film”, namun chegubard menyatakan beliau sentiasa bersedia untuk membantu pihak polis di dalam siasatan mereka terhdap kes ini.

“Namun sehingga hari ini, polis belum lagi memanggilnya,” katanya.

Pengundian bagi pilihan raya Sarawak ke-10 bermula

KUCHING - Pengundian bagi pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10 bermula pukul 8 pagi ini di mana 961,433 pemilih berdaftar akan memilih wakil rakyat bagi 71 kawasan Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

Undi pos bagi 18,363 pemilih telah dijalankan lebih awal.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang bertanding bagi penggal ketujuh memegang jawatan itu, mengetuai Barisan Nasional (BN) bertanding di kesemua 71 kerusi.

Parti pembangkang DAP bertanding di 15 kawasan, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) (26 kawasan), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (49 kawasan), PAS (5 kawasan) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) (6 kawasan). Seramai 41 orang bertanding sebagai calon Bebas.

Sebanyak 27 kawasan menyaksikan pertandingan satu lawan satu, 23 kawasan (tiga penjuru), 17 (empat penjuru), dua (lima penjuru) manakala dua lagi (enam penjuru).

BN menguasai 63 daripada 71 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri sebelum ini manakala DAP enam kerusi, PKR (1 kerusi) dan PCM juga satu kerusi tetapi ketika itu bertanding atas tiket Bebas.

Pemilih akan mengundi di 1,748 pusat mengundi yang dibuka di seluruh negeri yang keluasannya hampir menyamai Semenanjung Malaysia dan waktu pengundian berperingkat turut dilaksanakan memandangkan ada pemilih yang tinggal jauh di pedalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) antara lain menggunakan sekolah, rumah panjang, balai raya dan dewan sebagai pusat mengundi.

Pengundi paling ramai ialah di kawasan Pending (29,498 orang) manakala pengundi paling sedikit ialah di Ba'Kelalan (6,958 orang).

Helikopter akan digunakan untuk 15 pusat mengundi.

Pengundian ditutup pada 5 petang tetapi jauh lebih awal di kawasan pedalaman yang mempunyai jumlah pemilih yang agak kecil.

Keputusan pertama pilihan raya dijangka diumumkan kira-kira 8 malam.- Bernama

Harakahdaily kena serang DDoS lagi.. Ini Laman alternatif

KUALA LUMPUR, 15 April: Dua hari menjelang pilihan raya negeri Sarawak, Harakahdaily diserang siber, DDoS (Distributed Denial of Service) oleh pihak-pihak tertentu malam tadi selepas Sarawak Report dan Malaysiakini terkena serangan yang sama.

"Jam 10 malam tadi, rangkaian pembekal khidmat DNS kami telah mengalami serangan DDoS (Distributed Denial of Service), lantas menyebabkan capaian ke atas laman-laman HarakahDaily dan PAS telah terjejas," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Teknikal IT Harakahdaily.

Sehubungan itu, pasukan teknikal masih bertungkus lumus menangani serangan ini dan berjaya mengurangkan kerosakannya dengan Harakahdaily masih boleh hidup hingga kini.

Bagi menghadapi serangan ini, Pasukan Teknikal IT telah menyediakan beberapa laman alternatif untuk melawat Harakahdaily dan PAS menjelang pilihan raya Sarawak ini jika serangan ini berterusan.

Untuk Harakahdaily:-
1. harakahdaily.net
2. myharakah.net
3. harakah.net.my

Bagi laman PAS:-
1. pas.org.my
2. parti-pas.org
3. parti-islam.org

"Segala kesulitan amat dikesali. Kami sedang mengambil langkah seterusnya untuk menangani masalah ini," kata kenyataaan Pasukan Teknikal IT Harakahdaily.

Sebelum ini Sarawak Report yang banyak mendedahkan kepincangan pentadbiran kerajaan negeri Sarawak khasnya Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud, telah diserang dan terpaksa berpindah ke laman sementara.

Laman Malaysiakini juga turut diserang sehingga lumpuh samasekali. Namun kini kedua-dua laman ini sudah kembali pulih.

Yang dikesali tidak ada sebarang kenyataan dari pihak kerajaan mengenainya. Yang melahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku hanyalah kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sebelum ini Dun Selangor telah meluluskan Akta Kebebasan Maklumat yang memberi jaminan kepada semua pihak untuk bebas mendapatkan maklumat dari negeri itu.

Bayi hidap tiga jenis penyakit


BALING - Walaupun baru berusia enam bulan, Ria Qistina Kaisara Noorhisham menanggung penderitaan menghidap tiga penyakit kronik dan terpaksa mendapatkan rawatan setiap minggu di hospital.

Berasal dari Kampung Banggol Wan Mat, dekat sini, Ria Qistina menghidapi penyakit jantung, bengkak hati dan buah pinggang sejak berusia sebulan.

Ibunya, Zaimah Md Zain, 34, berkata, ketika dilahirkan anaknya dalam keadaan baik tetapi kesihatannya mulai tidak stabil sehingga doktor mengesahkannya menghidap penyakit kronik itu selepas usianya mencecah sebulan apabila keadaan badan makin susut dan tidak bermaya.

Menurutnya, anak bongsu daripada dua beradik itu terpaksa dijaga rapi sepanjang masa dan perlu mendapat rawatan setiap minggu di Hospital Pulau Pinang (HBPP), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar (HSB) dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

“Saya berharap ada pakar dapat membantu merawat anak saya kerana saya tidak mampu menanggung kos rawatan dan perbelanjaan berulang alik ke Pulau Pinang dan Alor Setar.

“Saya tidak mampu menanggung perbelanjaan setiap minggu kerana bil mencecah RM300 setiap rawatan. Suami, Noorhisham Salamun, 30, pula hanya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kereta di sini,” katanya sambil berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menyalurkan bantuan.

Menurutnya, suaminya bertungkus-lumus mencari rezeki untuk merawat anaknya itu selain terpaksa menanggung kos sara hidup termasuk membayar sewa rumah dan membesarkan seorang lagi anak, Nur Fatin Adila, 5.

Zainah berkata, keadaan anaknya makin lemah malah badannya susut dan tidak bermaya sehingga doktor mengesahkan anaknya perlu dirawat seumur hidup kerana tiada rawatan khusus untuk penyakit tiga serangkai.

“Saya reda apa yang berlaku kerana semua penyakit adalah ujian dari Allah tetapi sebagai ibu saya tetap merawatnya meskipun terpaksa menerima hakikat itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JKM Baling ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima surat permohonan bantuan daripada keluarga berkenaan dan ia dipanjangkan kepada pihak atasan.

“Ia sedang diproses bagi membolehkan bantuan disalurkan sedikit masa lagi,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan, boleh menyalurkan melalui Maybank atas nama Ria Qistina Kaisara nombor akaun 102046034997 atau menghubungi Zaimah menerusi talian 013-4923226.

MB nafi dakwaan SMS


ALOR SETAR - “Apa yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) itu tidak tepat.”

Demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung penyebaran SMS mendakwa Timbalan Dekan Kuliyyah Al-Quran Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Mohd Idrus Ismail dilucutkan jawatan manakala pelajar yang terlibat dengan demonstrasi dibuang dari kolej.

Beliau berkata, penyebaran SMS itu sengaja dibuat pihak tertentu yang mahu mengusutkan lagi kemelut yang dihadapi Kuin sejak kebelakangan ini, bermula dengan demonstrasi dan ancaman bom petrol (molotov koktel) baru-baru ini.

“Saya tidak menerima laporan mengatakan pelajar terlibat demonstrasi tempoh hari dikenakan tindakan sehingga mereka dibuang kolej. Ini bermakna dakwaan itu tidak benar,” katanya.

Azizan yang juga Pengerusi Kuin berkata, pihak pengurusan tidak memecat sebaliknya hanya melucutkan jawatan timbalan dekan terbabit.

“Dalam mana-mana kolej atau universiti, kakitangan termasuk pensyarah tidak boleh menyertai demonstrasi kerana mereka tertakluk pada etika kerja. Kita masih mengekalkan beliau dalam Kuin, cuma diberikan jawatan lain,” katanya.

Menurutnya, Mohd Idrus tidak lagi memangku jawatan sebagai timbalan dekan, namun masih merupakan kakitangan Kuin dan harus mematuhi peraturan kolej.

“Jawatan itu pula bukan kekal, sebaliknya ditukar setiap dua tahun. Ia pertukaran biasa dalam Kuin. Namun khidmatnya terpaksa ditamatkan lebih awal walaupun belum cukup dua tahun kerana disabitkan dengan tindakan yang tidak wajar,” katanya.

Azizan berkata, tidak seorang pun kakitangan mahupun pelajar Kuin dikenakan tindakan disiplin seperti memberhentikan khidmat mereka atau dibuang kolej gara-gara terbabit dalam demonstrasi itu.

Pada 1 April lalu, lebih 100 tenaga pengajar dan pelajar tahfiz Kuliyyah Al-Quran Kuin mengadakan demonstrasi bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan Kuin termasuk Menteri Besar.

Demonstrasi selepas solat Jumaat di pekarangan Kolej Kediaman Ar-Raziy itu diadakan bagi membantah tindakan pengurusan kolej mengambil alih sebahagian besar bangunan Maahad Tahfiz untuk dijadikan Sekolah Bestari.

Namun, Azizan sebelum ini menegaskan tiada surat pekeliling dikeluarkan berhubung pemindahan pelajar tahfiz Kuliyyah Al-Quran bagi menempatkan Sekolah Bestari di bangunan Maahad Tahfiz Negeri Kedah.

Azizan percaya maklumat palsu itu didalangi pihak tertentu.

Untuk RAKYAT SARAWAK... Time For Change..!!





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...