TERKINI :

Wednesday, April 13, 2011

Selepas kecewa dengan suasana di Sarawak Najib hentam Presiden PAS laksanakan Politik Jahat..!!

Najib disambut dingin di Pekan Pusa

BETING MARO, 13 April: Dua hari lagi menjelang pilihan raya negeri Sarawak, Barisan Nasional (BN) kelihatan semakin terdesak apabila isu membabitkan Tan Sri Taib Mahmud terpaksa dijawab satu persatu.

Namun isu bila Ketua Menteri itu akan meletak dan siapa pengganti nampaknya belum mampu dirungkai BN. Ini menyebabkan aktiviti kempen jentera BN kurang mendapat sambutan.

Hari ini terbukti lagi apabila kehadiran Datuk Seri Najib Razak di Pekan Pusa disambut tidak lebih 100 penyokong BN.

Lebih memalukan lagi apabila program kempen Najib yang diadakan sejurus selepas itu semakin kurang bilangan pendengar. Kalau hendak dihitung 50 orang pun sukar.

Perdana Menteri datang menggunakan helikopter. Pemimpin BN tidak serik menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan biar pun seorang terbunuh pada kemalangan helikopter kelmarin.

Najib difahamkan terpaksa berkempen di Beting Maro memandangkan terdapat bayangan BN sukar mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya kali ini.

Isu calon yang tidak dipersetujui akar umbi penyokong BN kini sukar ditangani. Keputusan Taib mengenepikan Bolhassan Di, penyandang sebelum ini juga makin payah diselesaikan.

Selain itu dan kemenangan kecil Bolhassan pada pilihan raya sebelum ini dengan 895 undi menyebabkan situasi cemas melanda BN.

Menurut krew Kelantantv yang berada di Beting Maro sejak Ahad lalu, kedatangan Najib turut disambut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, Presiden PAS turut tampil bersalam dengan Najib ketika Perdana Menteri datang ke Pasar Pusa.

Ketika itu pemimpin PAS dan sebahagiannya daripada Kelantan sedang minum pagi bersama calon PAS Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

”Sambutan penduduk Pusa terhadap Najib amat dingin sekali. Tidak ramai sebagaimana dijangka walaupun BN buat pengumuman termasuk melalui TV meminta rakyat Pusa keluar menyambut Perdana Menteri.

”Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya. Ketika ucapannya, beliau menghentam Presiden PAS apabila menyebut ’orang PAS bila sambut, peluk kita nampak baik tapi politiknya jahat," beritahu jurucakap Kelantantv.

Kempen Najib

Najib difahamkan tiba di Kuching malam tadi. Beliau dijangka menghabiskan masa berkempen di bahagian tengah Sarawak iaitu Pusa, Sebuyau dan Batang Sadong sehingga esok.

Dua hari lalu beliau berkempen di Beladin, salah satu Daerah Mengundi di Dun Beting Maro yang hanya boleh dihubungi melalui feri menyeberangi Sungai Saribas.

Turut berkempen membantu calon BN di Beladin, semalam Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom.

”Tinggal dua hari kempen sebelum hari pengundian Sabtu ini ternyata BN berada dalam keadaan tersepit apabila pelbagai isu membabitkan Taib terutamanya tanah adat langsung tidak disentuh Najib semasa melawat Beladin,” katanya.

Penduduk di Beladin juga dikatakan menuntut janji yang tidak ditunaikan sehingga kini termasuk membayar pampasan tanah.

Malam tadi Ustaz Abdul Hadi berceramah di Pusa Tengah bersama anggota jawatankuasa PAS pusat, Mohamad Sabu; Senator Mumtaz Nawi, dan
Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim.

Sambutan penduduk Pusa terhadap ceramah PAS begitu menggalakkan sekali di mana jauh lebih positif berbanding pilihanraya negeri Sarawak pada 2006.

Malah anak-anak muda tidak kekok melaungkan kata-kata 'Hidup PAS' dan didapati mereka memberi sokongan padu terhadap Abang Mat.

Jentera pembantu kempen dari Dewan Pemuda Kelantan diketuai Abdul Latif Abdul Rahman turut mengadakan acara sukan bersama belia dan anak muda di Kampung Pusa Tengah semalam.

BN semakin sukar

Sementara itu pegawai penyelidik dari Pusat Kajian Strategik Kelantan, Zainal Abidin Husien (gambar) berkata, momentum yang berlaku di semenanjung pada 2008 ternyata telah hanyut ke Sarawak.

”Sebelum ini kita boleh lihat gerak kerja kempen parti selain BN sukar mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan.

”Kempen PAS di Beting Maro pada pilihan raya negeri lalu pun berdepan dengan pelbagai kesukaran. Namun sekarang berubah 360 darjah. Penduduk boleh menerima PAS dan Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya juga isu yang paling penting BN sehingga kini belum mampu memecah benteng keutuhan Pakatan Rakyat biar pun cuba membawa isu video lucah dengan andaian Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak rakyat Sarawak.

Sebaliknya kata beliau apa yang berlaku sekarang, kehadiran pemimpin Pakatan mendapat sambutan hangat.

Ceramah Muryidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin utama DAP di bandar Kuching malam 10 April lalu mendapat sambutan luar jangka.

”Apa pun keputusan pilihan raya Sarawak ini akan mempengaruhi sentimen politik di Semenanjung. Semangat Pakatan sudah diterima rakyat, kata orang boleh jalan sekarang.

”Kalau dahulu orang masih ragu-ragu, sekarang tidak lagi. Malah usaha media pro BN menghodohkan wajah pemimpin Pakatan nampak belum berjaya bahkan menyatukan penyokong Pakatan,” ujarnya.

Beliau yang mempunyai kelulusan dalam Sarjana Sains Politik dari USM berkata, keputusan pilihan raya Sarawak menjadi petunjuk kepada pilihan raya umum ke-13.

PATUTLAH NAJIB & TAIB CEMAS...!!!!

17 kerusi dalam tangan Pakatan, 11 dalam rebutan?

KUCHING, 13 April: Sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak didakwa sudah dalam genggaman Pakatan Rakyat manakala 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila kepada Pakatan.

Dari 71 kerusi yang dipertandingkan, BN pula setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi, kata Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya di sini.

Beliau yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) berkata, biarpun maklumat itu hanya sekadar pandangan pemerhati politik, namun ianya sesuai dengan sokongan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat setakat ini.

Maka tidak hairanlah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu bimbang sehingga beliau terpaksa turun sendiri berkempen di Sarawak.

"Najib memang tergugat, saya mendapat maklumat BN hanya boleh menang 43 kerusi yang mana mereka rasa betul-betul selamat. 17 kerusi milik pembangkang manakala 11 lagi jadi pertarungan sebenar," katanya.

Turut serta pada sidang media itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

Keadaan itu juga jelas beliau menyebabkan Najib kini seperti hilang kepercayaan kepada timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi jentera pilihan raya BN.

Ianya juga ditambah dengan faktor kebencian rakyat terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Hampir seluruhnya kekayaan negeri ini dibolot secara rakus bukan sahaja oleh dirinya (Taib), tetapi juga oleh suku sakatnya, abang, adik, ipar dan menantu.

"Maka amat wajar Najib kalau berani menyatakan siapa pengganti Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.

"Ataukah ini mainan Najib, atau mainan Muhyiddin dengan Taib Mahmud untuk mensabotaj Najib,"soalnya lagi.

Kebangkitan rakyat pada pilihan raya Sarawak kali ini dapat dilihat dengan jelas apabila penyertaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini disambut bagai menatang minyak yang penuh.

Ceramah-ceramah Pakatan Rakyat juga turut mendapat sambutan luar biasa khususnya masyarakat Cina, apatah lagi dengan kehadiran pemimin utama PAS, PKR dan DAP seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Keadaan itu menyebabkan BN kini tidak senang duduk dan mula menumpukan kepada kawasan pedalaman yang mempunyai penduduk majoriti Melayu, Melanau dan Iban.

"BN kini sedang memperkemas bala tentera, bukan jentera tetapi wang ringgit mereka,"kata Dzulkefly lagi.

Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, semua kerusi ditandingi pembangkang termasuk Pakatan Rakyat iaitu PKR 47 kerusi, DAP 15 dan PAS 5, manakala Snap bertanding di 27 kerusi.

PAS kenal Anwar... dan pemimpin Umno

Ahmad Tajdid

Pengerusi Gerakan Anti-Penyelewengan Selangor (Gaps) yang juga bekas Setiausaha Angkatan Muda KeADILan (AMK), Sd. Johari Md. Yasin dilaporkan kesal kerana PAS masih gagal diyakinkan dengan fitnah video seks membabitkan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menuduh PAS masih bersekongkol dengan Anwar meskipun diyakini mengetahui siapakah sebenarnya pemimpin pembangkang itu.

"Saya amat yakin PAS tahu kebenaran kes yang dihadapi Anwar namun dibutakan oleh matlamat politik yang mengatasi perjuangan kononnya berasaskan Islam," kata Sd. Johari seperti dipetik Utusan Online.

Nampaknya isu video lucah yang dicetuskan Trio Umno @ Dato' T masih terus mendominasi laporan media massa pro-Umno meskipun ia gagal meyakinkan rakyat. Walaupun penafian telah dibuat Anwar dan keluarganya tentang video itu, namun ia langsung tidak diendahkan lawan politik Anwar.

Malah kini isu jam tangan Omega pula dimainkan sedangkan polis sendiri menyatakan tiada keperluan untuk mendapatkan jam tangan Omega itu daripada Anwar.

Isu video lucah itu juga nampaknya lebih diberi perhatian NGO-NGO Melayu dan ahli akademik Melayu pro-Umno seperti Prof Kamarudin Kachar dan Prof Ramlah Adam berbanding isu-isu lain yang menyentuh survival dan kepentingan orang Melayu yang lebih mendesak.

Mereka tidak langsung prihatin dengan pengakuan Perdana Menteri bahawa RM52 bilion pegangan saham Melayu-Bumiputera hilang di Bursa Malaysia dan hanya berbaki RM2 bilion sahaja; tetapi amat prihatin dengan video lucah berimej kabur yang kononnya membabitkan Anwar.

Kaya sangatkah Melayu dan tinggi menjulangkah kedudukan ekonomi mereka hinggakan lesapnya RM52 bilion (RM52 ribu juta) saham Melayu di Bursa Malaysia langsung tidak dipedulikan; sedangkan
hanya RM1 bilion diperuntukkan sebagai modal permulaan oleh kerajaan BN melalui Unit Peneraju Agenda BUmiputera (Teraju) bagi membolehkan syarikat Bumiputera berskala besar disenaraikan dalam pasaran saham!

Sejak bila pula persoalan akhlak pemimpin menjadi perhatian utama Umno dan para penyokongnya sedangkan parti itu sendiri dipenuhi kebejatan akhlak dan moral para pemimpinnya sejak sekian lama?

Sd Johari mempertikaikan sikap PAS yang kononnya masih mahu bersama Anwar sedangkan mengetahui 'cerita sebenar' tentang Ketua Pembangkang itu. Soalnya, apakah pertuduhan yang dikaitkan dengan Anwar itu disertakan dengan bukti 'prima facie' dan 'melangkaui keraguan yang munasabah'?

Adakah Sd Johari dan individu yang bersekongkol dengannya mengetahui tentang beratnya dosa menuduh seseorang itu berzina sedangkan gagal mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil?

Jenayah qazaf yang dilakukan Sd Johari, Umno, NGO-NGO tunggangan Umno, Utusan Malaysia, Kosmo!, TV3 dan lain-lainnya sebenarnya sama berat dengan dosa berzina. Dan adakah mereka yang terbabit dengan 'pesta qazaf' itu bersedia untuk menghadapi hukuman Allah SWT di akhirat kelak?

Jika bukti yang dihadapkan untuk mensabitkan Anwar dengan kegiatan tidak bermoral sudah memadai dan boleh diambil kira, puluhan kes berkaitan moral membabitkan pemimpin Umno juga boleh meyakinkan pemimpin PAS dan dijadikan modal politik. Tapi itu bukanlah budaya PAS yang gagal difahami Umno.

PAS menyedari peri pentingnya seseorang muslim memahami tentang keperluan syariat diturunkan (maqasid syariah) iaitu untuk menjaga agama (akidah), nyawa, maruah, zuriat dan harta manusia. Kepentingan menjaga lima perkara itulah menyebabkan pembuktian terhadap perkara-perkara berhubung jenayah syariah begitu dititikberatkan Islam.

Tuduhan melakukan zina adalah sesuatu yang berat di sisi syariat kerana ia membabitkan soal maruah dan zuriat manusia. Malah menurut pandangan ulama, menyembunyikan perbuatan maksiat dan bertaubat kepada Allah lebih utama daripada mengakuinya di hadapan hakim bagi dikenakan hukuman hudud.

Anwar bukanlah individu yang terkenal dengan perbuatan dan amalan maksiat berbanding sebahagian pemimpin Umno.

Seperti bidasan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali ketika menjawab isu 'kaki botol' membabitkan bekas calon KeADILan PRK Hulu Selangor, Dato' Zaid Ibrahim: "Semua Perdana Menteri minum arak kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi."

Sehubungan itu Mustafa menasihati Umno supaya tidak memainkan isu-isu menyerang peribadi lawan kerana mereka (pemimpin Umno) juga terdedah dengan pelbagai kelemahan masa kini dan masa silam!

Tidak hairanlah apabila seorang pemimpin muda KeADILan, Che'gu Bard mengakui pernah ditawarkan dua klip video seks membabitkan Ketua Pemuda Umno dan isteri seorang pemimpin negara.

Dan cerita-cerita skandal seks berkaitan pemimpin Umno bukanlah sesuatu yang asing pada pengetahuan pemimpin PAS. Ada di antaranya membabitkan pengakuan si suami tentang kecurangan isterinya, seorang pemimpin Wanita Umno.

Kesimpulannya, jika bukti mengaitkan Anwar dalam isu video seks ini cukup kuat untuk menjarakkan PAS dengan Anwar dan KeADILan seperti diharapkan Sd Johari, maka ia pasti menjadi hujah paling kuat untuk PAS terus menolak Umno bagi menentang kebejatan moral dan akhlak para pemimpinnya!

Saingan makin sengit, Pakatan mula rasai peluang cerah berbanding 2006

KUCHING, 13 April – Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yakin bahawa mereka boleh menawan undi kawasan bandar pada hari penentuan pilihan raya negeri Sabtu ini, tetapi Barisan Nasional (BN) kelihatan memiliki sokongan yang cukup untuk memastikan ia boleh memperoleh majoriti dua pertiga kerusi.

Bagaimanapun laporan-laporan positif kelihatan terus memihak kepada PR di kesemua 71 kerusi yang dipertandingkan - memberikan harapan kepada perikatan berusia tiga tahun itu memberi cabaran sengit kepada BN yang tidak pernah disaksikan.

Meskipun pemimpin-pemimpin PR cukup berhati-hati, kehadiran penyokong dengan konsisten pada ceramah-ceramah yang diadakan sejak seminggu lalu dan respons cukup menggalakkan daripada penduduk setempat membolehkan mereka mengakui akan peningkatan sokongan di luar jangkaan mereka.

Ketiga-tiga parti komponen PR – PKR, DAP dan PAS – telah mengisytiharkan bahawa mereka akan menambah kerusi berbanding kedudukan lima tahun lalu jika pun Sarawak tidak jatuh ke tangan mereka.

Gerak-geri risikan menunjukkan mereka memperoleh respons yang semakin meningkat sejak hari penamaan calon Rabu lalu.

Wong Ho Leng dari DAP memberitahu The Malaysian Insider, situasi hari ini lebih menggalakkan dan meyakinkan berbanding ketika pilihan raya kecil kerusi Parliemn Sibu, Mei lalu.

Beliau membuat kejutan dengan memenangi kerusi itu daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).

“Kali ini lebih baik. Di Sibu, keadaan menjadi lebih positif ketika menuju penghujung. Tetapi di sini, sokongan sudah kelihatan sejak hari pertama (selepas penamaan calon). Saya berharap dapat mengekalkan persekitaran,” katanya lagi.

Wong menyenaraikan lima kerusi disandang BN yang cukup meyakinkan DAP iaitu Repok, Pujut, Piasau, Bawang Assan dan Batu Kawah.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga yakin yang partinya akan meningkatkan undi popular pada jumlah yang signifikan.

“Selalunya, kami membandingkan dengan pilihan raya negeri sebelum ini dan dari sini, adalah jelas dan terlalu sukar untuk menafikan respons baik khususnya di kawasan-kawasan pedalaman,” kata Ahli Parlimen Machang ini.

Beliau menambah PKR yakin ia akan memperlihatkan keputusan baik di tiga kawasan yang sebelum ini dimenangi BN dengan majoriti kecil iaitu Saribas, Ba’Kelalan dan Senadin.

Rakan sejawatannya dari PAS Datuk Mustafa Ali pula berkata, respons pengundi sangat menggalakkan sehingga pemimpin-pemimpin setempat parti itu kini “terlalu yakin” akan peluang mereka.

“BN memandang mudah perubahan semasa. Saya boleh melihat sesetengah pemimpin setempat dan jentera mereka terlalu yakin dengan peluang kami (pada kali ini). Saya minta mereka tidak (terlalu yakin),” katanya.

Umumnya bagi PR, ini adalah pilihan raya negeri pertama sejak ia dibentuk tiga tahun lalu khususnya selepas menyaksikan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008.

Perikatan itu menggunakan pilihan raya negeri ini sebagai raptai menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan tahun ini.

Sementara pilihan raya negeri ini dilihat sebagai pungutan suara ke atas populariti BN yang semakin terhakis di Malaysia Timur, ia juga dilihat sebagai ujian kepada PR untuk membuktikan popularitinya yang semakin meningkat sejak tsunami politik 2008.

Bagaimanapun sumber-sumber pembangkang risau dengan khabar angin mengatakan BN akan membuat usaha akhir dalam kempennya dengan memberi ‘buah tangan’ lumayan kepada Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), yang hubungannya dengan PR terjejas beberapa hari sebelum penamaan calon, dan bertanding di 26 kerusi yang disaingi PKR.

Ini, menurut beberapa sumber, dilakukan untuk memecahkan undi bakal diperoleh pembangkang dan memastikan kemenangan BN.

Wong juga mengakui mendengar khabar angin sedemikian tetapi enggan membuat spekulasi mengenainya.

Ketika ditemui di ibu pejabat PKR di Satok di sini, Saifuddin juga melahirkan kebimbangan yang sama.

“Kami tidak menafikan bahawa kami menerima sokongan permulaan yang baik, tetapi isunya sekarang ialah sama ada kami boleh mengekalkan (sokongan) sehingga Sabtu ini,” katanya.

“(Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) berada di sini dan beliau macam Santa Claus, memberikan buah tangan.

“Ini satu kekurangan besar bagi kami,” katanya lagi.

Najib secara perubadi mengetuai kempen sejak Ahad lalum situasi yang tidak pernah disaksikan masa-masa lalu.

Meskipun begitu pemimpin-pemimpin PR kelihatan yakin bahawa mereka telah menerokai kedudukan lebih baik sejak enam hari lalu meskipun di kawasan-kawasan yang sebelum ini sebagai dilihat kubu kuat BN.

Bagi PR satu lagi faktor besar yang mendorong kempennya ialah peningkatan rasa tidak puas hati pengundi terhadap kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.[MI]

Media diarah tidak lagi siarkan perhimpunan Pakatan

BN yang kini dilihat semakin goyah menjelang pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini, terus memperkuatkan cengkamannya ke atas media arus perdana .

NONEDengan portal berita, termasuk Malaysiakini dan Sarawak Report, yang telah menerbitkan laporan kritikal mengenai ketua menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, tidak dapat diakses akibat serangan siber, rangkaian televisyen telah diarahkan jangan menyiarkan rali dan ceramah-ceramah Pakatan Rakyat.

Sumber yang rapat dengan gergasi media yang dikaitkan dengan Umno itu - Media Prima - memberitahu Malaysiakini bahawa semua rangkaian televisyen miliknya telah diarahkan supaya tidak menyiarkan ceramah harian Pakatan yang berjaya menarik kehadiran ribuan orang.

azlan“Visual rali mega tidak sama sekali boleh disiarkan meskipun ia berkaitan dengan pilihan raya,” kata sumber dalaman itu.

Media Prima memiliki semua rangkaian televisyen swasta percuma di negara ini -TV3, ntv7, 8TV and TV9.

Selain televisyen, akhbar Cina juga diberi tekanan selepas BN dikatakan mungkin tumbang di beberapa kawasan yang mempunyai pengundi majoriti masyarakat Cina.

sarawak election pkr ceramah miri 120411 crowd 02“Walaupun belum diberi arahan, kita mesti berhati-hati dengan laporan berita. Saya tidak fikir, kita mampu lagi memberi liputan pada ratio 60:40 bagi BN dan Pakatan, kita sekarang terpaksa menukarnya kepada 70:30,” kata seorang editor akhbar harian Cina.“Sejak dua atau tiga lalu, liputan ke atas kami telah berkurangan dengan begitu ketara sekali,” kata seorang pekerja kempen DAP.

Ceramah@Sarawak : Saifuddin Nasution - Bolasepak antara keluarga Taib Sahaja...





Kedegilan Taib Buat BN Goyah


KUCHING 13 APRIL : Tinggal beberapa hari sebelum hari penentuan bagi pilihanraya negeri ke 10 Sabtu ini, kelihatan bagai ada sesuatu yang tidak kena pada Barisan Nasional (BN) Sarawak hanya kerana ketaksuban seorang pemimpin untuk terus kekal berkuasa di Bumi Kenyalang.

Keengganan Ketua Menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk menetapkan tarikh untuk beliau melepaskan jawatannya dan enggan menerima hakikat bahawa perikatan itu kini berhadapan dengan cabaran sengit dari Pakatan Rakyat serta hanya bergantung pada mereka dari luar kitaran politik, termasuk kuasa ghaib, dilihat sebagai memeningkan keadaan dan turut perakui beberapa pegawai jentera BN.

Taib genap tiga dekad menjadi ketua menteri Sarawak pada 26 Mac lalu.

Malah kedegilan Taib yang tidak mahu menerima hakikat bahawa beliau sebenarnya menjadi punca kepada setiap serangan negatif mengenai kepimpinan perikatan itu di Sarawak juga mengundang rasa kecewa pegawai-pegawai BN.

“Perdana Menteri telah menawarkan jalan keluar untuk membantu mengatasi kerosakan yang dialami serta memberikan laluan untuk menentukan peringkatnya sendiri untuk berhenti (sebagai Ketua Menteri).

“Tetapi beliau tidak mempedulikan masa depan BN hanya kerana kepentingan diri,”kata satu sumber BN kepada The Malaysian Insider dengan merujuk kepada jaminan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak pada Ahad lalu bahawa peralihan kepimpinan akan berlaku dengan segera selepas pilihan raya negeri ke-10 ini.

Menurut kepimpinan BN lagi, pihaknya yakin kedegilan Taib akan menyebabkan mereka keciciran banyak kawasan di Dewan Undangan Negeri yang memperuntukkan 71 kerusi dimana Pakatan Rakyat dilihat akan menang hampir 20 kerusi.

“Malah beliau juga tidak berkempen dengan efektif dan berfokus. Keengganan beliau mendengar (pandangan ramai) akan menjejaskan BN,” kata satu lagi sumber.

Pada pilihan raya negeri 2006, pembangkang hanya menang tujuh kerusi.

Prestasi pembangkang yang sentiasa membara juga dilihat akan memberikan nafas baru kepada mereka menghadapi cabaran kali ini dan kemungkinan menggugat rancangan Najib untuk memanggil pilihan raya umum tahun ini.

Sejak sekian lama Barisan Nasional menganggap Sarawak sebagai negeri yang selamat bagi parti itu kerana Taib mengawal ketat kepimpinan dengan mengetepikan suara-suara yang membangkang kerajaan negeri.

Bagaimanapun pendedahan demi pendedahan mengenai kekayaan keluarga beliau dan keberkesanan Internet dan Radio Free Sarawak yang membangkitkan persoalan-persoalan mengenai nepotisme dan kronisme telah berubah menjadi ancaman kepada peluang BN kali ini.

Pemimpin-pemimpin BN juga merasakan Taib menjadi balasan nombor satu dalam menghadapi kesan-kesan yang dilalui sekarang.

“Taib sedang mencari laluan keluar yang selamat dan mahukan seorang pengganti yang akan memberikannya jaminan itu,” kata seorang pemimpin Umno.

“Beliau juga mahu meletakkan seorang yang beliau boleh kawal seperti Dr Mahathir memilih Pak Lah,” kata pemimpin Umno itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menggantikannya sebagai perdana menteri pada 2003.

Pengundian pilihan raya negeri diadakan Sabtu ini.

Siapa Lebih Bijak Berpolitik, Najib Atau Taib?

Ditulis oleh Wira Arjuna

SHAH ALAM 13 APRIL : Perdana Menteri Najib Tun Razak perlu mengimbau pengalamannya sendiri sebelum menyajikan alasan soal pengganti Taib Mahmud harus mengikut jadual perubahan yang dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin itu.

Taib malam tadi mengesahkan bahawa beliau akan terus berkuasa untuk beberapa tahun lagi, namun Najib, mungkin kerana peka kepada sentimen rakyat Sarawak tidak mahu memberi pengesahan.

Namun Najib harus berpandukan isu pengganti Taib ini kepada pengalaman dirinya sendiri ketika ditabalkan menjadi Perdana Menteri.

Sejurus selepas Barisan Nasional hilang kuasa di empat negeri dan kelebihan majoriti dua pertiga di Parlimen pada Mac 2008, pemimpin-pemimpin kanan Umno, dengan sokongan Mahathir Mohamad menggerakkan agenda untuk memaksa Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan.

Tawaran Abdullah sendiri untuk berundur selepas dua tahun ditolak oleh pemimpin berkenaan. Yang paling lantang mengkritik pelan itu adalah Muhyiddin Yassin kerana berpeluang menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri jika Pak Lah berundur.

Tentunya yang mengaut keuntungan paling besar adalah Najib selaku Perdana Menteri baru. Seorang lagi yang tersenyum lebar adalah Mahathir, kerana peralihan kuasa itu sekali lagi memberi beliau pengaruh untuk membina masa depan anaknya Mukriz dalam Umno.

Hakikatnya adalah, pelan peralihan dua tahun yang ditawarkan oleh Abdullah ditolak dan Najib dan Muhyiddin diangkat menerajui Umno dan Malaysia pada April 2009.

Ketika itu, tidak timbul soal “rakyat akan terkejut jika ada peralihan mendadak atau pelan menggantikan Taib disusun dengan rapi supaya tidak merencatkan masa depan rakyat dan negara,” seperti mana yang dicanang oleh Najib dan Taib di Sarawak ketika ini.

Yang penting bagi Najib dan Muhyiddin ketika itu ialah mengambil kesempatan atas “kelemahan” Pak Lah dan merebut kuasa untuk diri mereka sendiri dengan meniupkan sentiment anti-Pak Lah dalam Umno ketika itu.

Di Sarawak, Najib tentunya akur bahawa sebilangan besar rakyat Sarawak mahukan Taib berundur dengan kadar segera.

Kehadiran orang ramai di ceramah-ceramah pembangkang sejak 6 April lalu mencerminkan sentimen sedemikian di peringkat akar umbi.

Meskipun demikian, Taib sekali lagi menegaskan beliau akan terus menjadi Ketua Menteri untuk beberapa tahun yang akan datang.

Di Sarawak, Taib memegang kuasa mutlak untuk menentukan hala tuju politik beliau dan parti-parti BN di negeri itu. Mahathir sendiri gagal untuk memujuk Taib berundur pada tahun 2000.

Tidak ada apa-apa yang berubah sejak itu.

Hakikat bahawa Najib tidak “berani’ mengulas kebingkasan Taib menyifatkan sebagai “bodoh” tindakan-tindakan yang diambil oleh Putrajaya untuk menyelesaikan kemelut Al-Kitab menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri sendiri tunduk kepada telunjuk Taib.

Rakyat amat sangsi bahawa wujud sebarang persetujuan antara Taib dan Najib berhubung pengunduran Ketua Menteri itu. Ini lebih-lebih lagi apabila Taib masih lantang mengumumkan beliau akan terus berkuasa “untuk beberapa tahun akan datang.”.

Jika ada pun sebarang pelan peralihan kuasa, Najib dan Taib harus mendedahkannya kerana rakyat perlu menilai sama ada mereka menerima rancangan sedemikian atau tidak sebelum mengundi pada Sabtu ini.

Pengalaman BN pada masa-masa lalu, membuktikan Malaysia tidak pernah mempunyai pelan peralihan kuasa yang dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Lihat sahaja bagaimana Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, malah Mahathir sendiri mengejutkan rakyat dengan persaraan mereka.

Dalam kes Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein, persaraan mereka terikat kepada politik dalaman Umno yang berhubung kait dengan Tun Mahathir.

Dan persaraan Mahathir sendiri didorong oleh kesedaran bahawa jangka hayatnya sebagai Presiden Umno sudah luput kerana orang Melayu semakin menolaknya.

Jadi soal pengunduran Taib tidak harus menimbulkan kesangsian bahawa Sarawak akan “kelam kabut” jika beliau berundur secara mendadak .

Jika Malaysia boleh melalui peralihan kuasa sedemikian, Sarawak tentu boleh!

Kita percaya jika Taib, BN dan Putrajaya tidak mengasuh dan menyediakan pemimpin pelapis untuk mengambil alih daripada Taib sehingga sekarang, maka mereka dengan sendirinya telah gagal melaksanakan amanah rakyat.

Namun yang lebih membimbangkan adalah kenyataan Taib bahawa beliau akan berkuasa untuk beberapa tahun akan datang, bermaksud cengkaman beliau ke atas negeri ini akan berterusan sekurang-kurangnya untuk masa terdekat.

Jawatan Kosong di Pej Zakat Kedah.

Jabatan Zakat Negeri Kedah Darul Aman merupakan di antara institusi kutipan dan agihan zakat terbaik di Malaysia,kami mempelawa anda sebagai anak kelahiran negeri Kedah dan rakyat Malaysia yang mempunyai kebolehan dan berketerampilan untuk menyertai kami.


Jawatan : Pegawai Zakat (Korporat)
Gred : S 41
Status Jawatan : Tetap
Tarikh Tutup Iklan : 25 April 2011

klik disini untuk download iklan sepenuhnya

Risaunya PM & TPM kiranya berlaku tsunami politik di Sarawak

Kempen pilihanraya Negeri Sarawak sampai kemuncak dan dua hari lagi sebelum hari mengundi adalah merupakan peluang terakhir persiapan mendepani pengundi. Pilihanraya di Sarawak kali ini berbeza dari pilihanraya-pilihanraya sebelum dari ini. Buat pertama kalinya semua kerusi Dewan Undangan Negeri yang berjumlah 71 kerusi itu ditandingi. Pada kebiasaan yang lepas pada hari penamaan calon terdapat kerusi-kerusi dimenangi oleh pihak kerajaan tanpa bertanding, tetapi tidak kali ini. Mood rakyat juga pada kali ini berubah dan lebih terbuka.

Dua isu utama yang dimainkan oleh kedua belah pihak, selain dari isu pembangunan dan tiadanya pembangunan, ialah isu peribadi yang berhubung dengan Ketua Pembangkang Dato` Seri Anwar Ibrahim dari (PKR-Pakatan Rakyat) dan pimpinan di Sarawak Tan Sri Taib Mahmud (BN). Serangan terhadap Anwar mencerminkan betapa takutnya BN terhadap kepimpinan Anwar dari Pakatan Rakyat yang kali ini mendapat sambutan hangat di kalangan rakyat yang nampaknya dahagakan perubahan. BN kelihatan sebagai tidak peka dengan isu fitnah dan seks yang bagi rakyat sudah muak dan jijik. Budaya fitnah dan seks ini dimainkan sejak 20 tahun lepas dan ianya mempalitkan imej buruk bukan saja kepada yang dituduh dan difitnah, tetapi merosakkan imej rakyat dan negara.

Tiada negara seperti Malaysia yang terpalit dengan imej buruk sedemikian. Tiada kerja lainkah yang patut diberi perhatian bagi menarik sokongan rakyat bagi membangunkan Negara dan rakyat ? Anihnya semua media diperguna dan mengiakan menurut rentak dan kehendak pemerintah. Namun isu fitnah dan seks yang lebih bersifat basi ini tidak memberi selera bagi rakyat menerimanya. Yang mendukung dan menyerang ialah dari musuh politik dan kawan-kawan dulu yang telah berpaling tadah dan orang kenal siapa mereka.

Sebaliknya serangan politik terhadap BN di Sarawak tertumpu kepada Taib Mahmud yang dilihat sudah tidak releven dengan kepimpinan semasa di Sarawak. Sebelum dari penamaan calon ramai beranggapan benar-benar beliau mau menarik diri, rupanya terus bertanding dengan kenyataan akan menyerahkan kepimpinan selepas membuat penyusunan dan kepastian dengan pimpinan baru. Tindak tanduk beliau tidak disenangi rakyat, beliau dituduh sepanjang 30 tahun berkuasa, bukan saja menghimpun harta bagi diri tetapi keluarga yang menampilkan kekayaan melampau.

Isu ini digunakan sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat, juga menjelaskan kepada mereka Sarawak sebagai sebuah negeri yang kaya, tetapi kekayaan tidak sampai kepada rakyat jelata. Penerangan-penerangan dari pihak Pakatan, mendapat sambutan rakyat. Di mana penerangan dibuat, khususnya dari pihak pimpinan Pakatan Rakyat mendapat sambutan yang luar biasa. Penambahan sokongan merisaukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyebabkan mereka berdua, tidak senang duduk dan terpaksa turun berkali-kali berkempen dan memberi jaminan tentang Taib Mahmud yang akan berundur. Pada kebiasaan bagi Perdana Menteri, jika pun datang, tidak sekerap sedemikian. Ini mencerminkan kebimbangan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kemungkinan luar dugaan berlaku `Tsunami Politik Di Sarawak`. Andainya Sarawak jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, maka gelap masa depan Najib dan Muhyiddin, kerana ianya sebagai tsunami yang akan menenggelamkan pengaruh BN pada pilihanraya ke 13 akan datang.

Bagi menjaminkan kedudukan dikerah segala tenaga, peralatan kerajaan, media dan segala ruang dan kesempatan berkubu bertahan. Dalam pada itu mereka juga tidak sunyi menggunakan isu perkauman dengan melebalkan Pakatan sebagai mereka yang di luar dan bukan tempatan yang datang mau merosak dan budaya kehidupan rakyat Sarawak, namun rakyat faham dan tidak mudah dikelirukan.

Namun melihat kepada perubahan yang berlaku, jika pun tidak benar-benar tsunami politik berlaku di Sarawak, sekurang-kurangnya ombak politik akan merubah landskep politik Sarawak. Kita menjangka kerusi BN di Sarawak akan terhakis dan berkurang dan kemungkinan tidak dapat bertahan dengan dua pertiga majoriti. Dengan keputusan yang memperlihatkan makin berkurangnya pengaruh BN di Sarawak sudah cukup merisaukan Najib dan Muhyiddin dan membimbangkan mereka untuk menempuh pilihanraya ke 13.

Sekian.

Dipetik daripada blog Dr Shafie Abu Bakar (ADUN Bangi)

KM Bini Segak Rakyat Hidup Merempat...










Kezaliman ke atas suku kaum pribumi Sarawak oleh mereka mereka yang berkuasa...





Taib pernah janji mahu letak jawatan pada tahun 1995

Laporan akhbar Straits Times pada tahun 1995, pernah menyiarkan kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Pehin Taib Mahmud yang pada masa itu berjanji untuk meletakkan jawatan dalam masa lima tahun. Kalau Taib Mahmud tidak memungkiri janji ini dahulu, hari ini tiada rakyat Sarawak yang menolak Barisan Nasional kerana berang dengan perompak besar ini.

Sepatutnya sejak tahun 2000 (11 tahun dulu) lagi Taib Mahmud sudah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak jika dia memenuhi janjinya. Di sini bukti jelas menunjukkan bahawa pemimpin kebanggaan gerombolan songkok tinggi ini adalah penipu besar.



Walau bagaimanapun, pihak Pakatan Rakyat seharusnya berterima kasih dengan penipuan Taib Mahmud ini. Dengan adanya pemimpin Barisan Nasional yang merompak harta rakyat, gila kuasa, kronisme dan nepotisme seperti ini, maka tugas Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Barisan nasional di Sarawak menjadi semakin mudah. Terima kasih kepada Taib Mahmud kerana telah gagal mentadbir Sarawak dengan baik dan jujur.


ReJaM© "Kalau Taib Mahmud letak jawatan, Pakatan Rakyat lagi pening kepala nak menang kah kah kah..."

Tudia tak main dah bilion-bilion..lanie sebut pulak trilion-trilion....!!!

Sasar RM5.8 trilion
Oleh Kamarulzaidi Kamis, Syuhada Choo Abdullah dan Suffian A Bakar
bhnews@bharian.com.my

NAJIB ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
NAJIB ketika menyampaikan ucaptama pada
Persidangan Invest Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.


Inisiatif baru CMP2 pastikan pasaran modal negara kekal menarik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beberapa inisiatif baru menerusi pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal Kedua (CMP2) bagi memastikan pasaran modal negara kekal menarik di kalangan pelabur serta merancakkan lagi Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) selaras matlamat menjadi negara maju pada 2020.

Ia dibuat ketika pasaran dunia khususnya Asia bersaing sengit merebut modal bagi meraih pertumbuhan tinggi dalam ekonomi dan daya saing perniagaan, sekali gus memakmurkan negara masing-masing.

Perdana Menteri berkata, CMP2 bagi tempoh 10 tahun akan datang, menggariskan langkah mengurangkan kerenah birokrasi bagi kelulusan perniagaan, meningkatkan penjanaan dana bagi modal perniagaan, memperuntukkan lebih banyak dana dalam industri modal teroka dan ekuiti persendirian serta meningkatkan akses kepada pasaran bon bagi merangsang pelaksanaan projek besar.

Katanya, kerajaan sedar cabaran ekonomi Malaysia pada 2011 sangat berbeza berbanding 2001, iaitu ketika Pelan Induk Pasaran Modal pertama dilancarkan.
Masalah baru menuntut penyelesaian baru dan CMP2 menjanjikan saiz pasaran modal yang lebih besar.

“Berdasarkan jangkaan semasa, saiz pasaran modal kita akan menjadi lebih sekali ganda kepada RM4.5 trilion pada 2020 dan dengan pengantarabangsaan, angka itu boleh meningkat kepada RM5.8 trilion dalam tempoh itu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata satu skim dana pencen swasta akan ditubuhkan menjelang akhir tahun ini bagi menggalakkan kepelbagaian dalam pengurusan simpanan jangka panjang.

Selain itu, keupayaan pengurus dana untuk melabur secara langsung akan dipermudahkan melalui pengukuhan struktur perundangan bagi pengumpulan pelaburan.

“Meningkatkan bilangan produk pasaran derivatif adalah satu lagi perkembangan penting bagi meningkatkan kecairan pasaran, menambah baik keupayaan untuk dagangan merentasi pasaran dan lindung nilai risiko.

“Nilai semasa dagangan tahunan dalam pasaran derivatif dijangka berkembang pesat daripada RM512 bilion tahun lalu kepada RM4.2 trilion pada 2020, dengan kesan limpahan yang positif ke atas kecairan pasaran saham,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, antara keutamaan CMP2 adalah mengukuhkan peranan pasaran modal dalam menggalakkan pembentukan modal daripada peringkat permulaan kepada pembiayaan inovatif, projek besar baru dan teknologi hijau yang canggih.

Bagi menggalakkan transaksi berskala besar, katanya, akses kepada pasaran bon akan diperluas, mempertingkat minat pelabur terhadap penawaran pelbagai produk hutang dan risiko kredit, memperluas penyertaan industri pengurusan pelaburan dan pelabur runcit dalam pelaburan pendapatan tetap, serta menambah baik infrastruktur pasaran.

Mengenai Rang Undang-undang pengkorporatan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang diumumkan pada persidangan tahun lalu, Najib menjelaskan, ia telah dibentangkan di Dewan Rakyat dan dijangka akan berkuat kuasa pada Julai.

Melalui langkah itu, katanya, MIDA akan diperkasakan sepenuhnya untuk mempercepatkan membuat keputusan dan menyelaraskan agensi promosi pelaburan yang lain bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran ditambah nilai yang tinggi Malaysia dan mengembangkan sektor perkhidmatan.

“Jadi, bagi mengelakkan pertindihan dan kekeliruan, MIDA akan diperkasakan sepenuhnya bagi membuat keputusan dengan segera dan menyelaraskan kesemua agensi promosi pelaburan yang lain bagi sektor pengeluaran dan perkhidmatan Malaysia,” katanya.

Najib berkata, pengurusan ekonomi terbuka, telus dan saksama sentiasa menjadi ciri utama di Malaysia sama ada kepada peniaga ataupun kerajaan, justeru itu kerajaan sudah merencanakan beberapa pelan mencorakkan hala tuju negara dalam mengharungi dekad seterusnya serta membina momentum pertumbuhan.

Cukup sekadar lagu ini dimainkan di setiap kampung - kampung yang ada di Sarawak

Sarawak Harus Berubah!

Aku tidak mahu menulis panjang - panjang. Cukup sekadar lagu ini dimainkan di setiap kampung - kampung yang ada di Sarawak.

Orang asal harus humban Taib Mahmud. Merompak tanah kalian.

Memberi zakat kepada orang kaya



Soalan:

Dalam sebuah hadis, ada seorang sahabat nabi yang telah bersedekah dan sedekahnya telah diterima oleh orang kaya. Sungguh pun demikian, malaikat telah mendoakan kepada lelaki itu, mudah-mudahan sedekahnya akan menginsafkan si kaya agar dia juga turut bersedekah.

Jadi, apakah hukumnya jika seseorang itu memberi zakat kepada orang kaya. Adakah sah zakatnya? Bagaimana pula amalan di Selangor khususnya?

Jawapan:

Terima kasih kerana bertanya. Memang benar, ada sebuah hadis yang menyatakan kisah sedemikian. Hadis tersebut dikeluarkan oleh Imam Muslim dan diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Walau bagaimanapun, kita hendaklah membezakan di antara sedekah dan zakat. Berdasarkan maksud hadis, sedekah di dalam kisah ini lebih merujuk kepada sedekah sunat dan bukannya zakat.

Sementara itu, sedekah umumnya adalah sunat; sedangkan zakat adalah amalan fardu atau wajib. Menurut fuqaha', amal ibadah hendaklah menepati syarat dan rukunnya, baharulah amal ibadah itu dikira sah dan diterima di sisi Allah SWT.

Jika rukun dan syarat sahnya tidak dipatuhi, maka ia membawa kepada implikasi batal atau fasid (rosak) di sisi Allah SWT.

Menyentuh isu zakat, rukunnya adalah niat menunaikan zakat dan keduanya berlaku perpindahan milik harta daripada pembayar zakat (muzakki) kepada asnaf zakat (mustahiq).

Oleh itu, jika harta zakat itu tidak sampai kepada salah satu daripada lapan asnaf, ia membawa kepada tidak sahnya zakat tersebut.

Berbalik kepada persoalan utama, bolehkah zakat diberikan kepada orang-orang kaya? Adakah orang kaya termasuk ke dalam asnaf zakat? Hal ini memang menjadi perdebatan umum dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana, lazimnya sedekah dan zakat memang sering dikaitkan dengan fakir dan miskin.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW ada menukilkan sebuah hadis yang mafhumnya: "Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang yang kuat yang mampu berkerja". (riwayat Abu Daud)

Sayid Sabiq di dalam kitabnya Anasir Kekuatan Di Dalam Islam, ada menukilkan sebuah kisah Nabi SAW dengan seorang pemuda Ansar yang diajar mencari kayu sehingga mampu berdikari dan tidak sekadar mengharapkan simpati demi sesuap makanan.

Ini menunjukkan Islam tidak meraikan orang yang kaya dan mampu berkerja; dengan suka meminta-minta.

Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga ada membuat pengecualian, bahawa zakat masih boleh diberikan kepada orang-orang kaya jika mereka memerlukan zakat, sesuai dengan kondisi diri mereka.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad dapat dijadikan sandaran yang mafhumnya: "Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan ini, iaitu: (1) amil; (2) orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri (mualaf); (3) orang yang ikut berperang di jalan Allah SWT; (4) orang yang berhutang dan (5) orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkannya kembali kepada orang kaya itu."

Para fuqaha' misalnya Imam Syafie dan Hambali menyatakan, dalil di atas membolehkan lima golongan kaya ini menerima zakat demi kemaslahatan diri mereka.

Ini kerana, masing-masing daripada lima golongan itu memerlukan zakat bukanlah atas kapasiti kemiskinan; melainkan memang perlu diberikan zakat atas tujuan tertentu.

Amil misalnya, diberikan zakat sebagai imbuhan sesuai dengan usaha dan kerja keras mereka menguruskan zakat dan para asnaf lainnya.

Mualaf boleh mendapat zakat, justeru ia bertujuan melunakkan hatinya agar lebih mendekati Islam dan dengannya ia mampu menarik lebih ramai kepada Islam.

Orang yang ikut berperang diberi zakat, kerana itu adalah tugas mulia di jalan Allah (fisabilillah) dan mereka tidak lagi sempat mencari rezeki. Orang yang berhutang pula dibantu demi meringankan beban dan mengelakkan mereka menjadi fakir dan miskin kerana hutangnya.

Orang yang dipulangkan zakatnya sebagai hadiah, sudah pasti lebih berhak menikmatinya kerana namanya pun bukan lagi zakat tetapi hadiah.

Kesimpulannya, golongan kaya masih boleh menerima bantuan zakat jika mereka termasuk dalam kategori yang diizinkan ini.

Walau bagaimanapun, dalam konteks amalan semasa di Selangor, sudah pastilah golongan fakir dan miskin lebih patut diutamakan. Hal ini sesuai dengan penyusunan Allah SWT di dalam al-Quran, iaitu zakat itu hendaklah terlebih dahulu diagihkan kepada fakir dan miskin, sebelum diikuti oleh lain-lain asnaf zakat yang lapan. Wallahu a'lam.

Lima beranak nyaris maut termakan cendawan beracun


Isteri Mahdzir Baharom, Faridah Yusof menunjukkan cendawan tahun yang dimakan bersama suami dan tiga anaknya di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR 15 Mac - Lima sekeluarga nyaris maut setelah memakan cendawan liar yang beracun di Kota Sarang Semut di sini semalam.

Cendawan liar tersebut yang hanya tumbuh setahun sekali itu dikutip oleh seorang peniaga, Mahdzir Baharom, 53, di tebing Terusan Wan Mat Saman di sini kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Mahdzir berkata, dia tidak menyangka cendawan tersebut beracun kerana dia sekeluarga selalu memakan tumbuhan berkenaan.

"Saya kutip hampir setengah kilogram cendawan itu dan membawanya pulang sebelum kami sekeluarga memakannya," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Menurutnya, kira-kira pukul 2 petang dia mula muntah-muntah dan terasa pening ketika berada di Bukit Choras yang terletak 15 kilometer dari rumahnya.

Dia kemudiannya pulang bagi melihat isteri dan anak-anak.

"Sampai di rumah saya lihat isteri dan tiga lagi anak sedang terbaring lemah akibat muntah, cirit birit dan pening kerana memakan cendawan berkenaan," katanya..

Mahdzir memberitahu, dia terus menelefon abangnya yang kemudian menghubungi ambulans bagi membolehkan mereka dihantar ke HSB untuk rawatan.

Dalam pada itu, Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie berkata, salah seorang daripada lima sekeluarga berkenaan sudah dibenarkan pulang semalam manakala yang lain berada dalam keadaan stabil.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...