TERKINI :

Monday, February 14, 2011

Dr Asri: Tidak mustahil kuasa rakyat berlaku di M'sia

Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainol Abidin berkata tidak mustahil kuasa rakyat yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak di Mesir berlaku di Malaysia jika penduduk negara ini tidak tahan dengan kekangan dan penindasan.

TV Selangor memetik beliau berkata walaupun Malaysia jauh makmur berbanding Mesir, namun, rasa tidak puas hati rakyat boleh dicetuskan oleh aspek lain seperti kebebasan bersuara yang terhakis.

"Dari segi kemiskinan kita tak sama, Mesir ada 42 peratus rakyat di bawah taraf kemiskinan. Dari segi faktor yang menyumbang ruang seperti Internet, mungkin Malaysia lebih.

“Tapi ketidakpuasan hati rakyat itu berbeza mengikut negara. Negara miskin mungkin tak puas hati kerana tak ada makanan. Negara yang lebih 'educated' mungkin tak puas hati kerana tiada kebebasan menyuarakan pendapat," katanya.

Justeru Asri berkata, mana-mana kerajaan termasuk di Malaysia terdedah kepada menghadapi kuasa rakyat di jalanan jika terlampau mengekang dan menindas penduduk khususnya bersabit hak asasi mereka.

Kuku besi

Asri berkata Mesir menjadi contoh bagaimana sebuah kerajaan kuku besi dijatuhkan semata-mata menerusi penduduk yang tidak menggunakan kekerasan, mereka hanya berbekal tekad dan iltizam untuk mengubah nasib mereka.

"Kalau ada faktor-faktor tidak puas hati itu merebak ke dalam rakyat, saya rasa tak mustahil perkara yang sama boleh berlaku. Kerana kejadian perubahan di Mesir beri pengajaran kepada semua pemerintah bahawa perubahan boleh berlaku bukan dengan cara dulu tapi dengan cara baru, kuasa rakyat turun di jalan tanpa senjata, tanpa peluru dan hanya menzahirkan pendapat mereka," katanya.

Asri menegaskan pengaruh Internet dan keluhan generasi muda tidak boleh diambil ringan dalam era globalisasi sebagaimana yang terbukti dalam kes Mesir.

"Bermula dari mereka dididik untuk meluahkan perasaan di facebook, di blog mereka, mereka luahkan di jalan raya. Tak perlu nak rosakkan harta awam, tetapi mereka turun demi kepentingan rakyat beramai-ramai. Tentera dilatih hadapi orang bersenjata tapi dilatih hadapi rakyat tak bersenjata. Jadi mereka terpinga-pinga di hadapan kuasa rakyat yang tak bersenjata," kata Asri.

Lewat malam Jumaat lalu, kerajaan Mubarak tumbang apabila melancarkan tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan berterusan kerana hilang kepercayaan ke atas pentadbiran presiden itu yang didakwa dicemari rasuah dan salah guna wang rakyat .

Dengan menggunakan rangkaian media seperti Facebook dan Twitter, sentimen anti kerajaan menular dengan luas ke seluruh negara ibarat api yang merebak. Tindakan selama 18 hari itu berjaya menyaksikan Mubarak akhirnya tunduk dan meletakkan jawatan.

Mustahil parti amal rasuah banteras rasuah

http://1.bp.blogspot.com/_FYhda-Wu-s0/TBuhaBIzGXI/AAAAAAAAAG8/pqdR6r6QxDs/s320/pencuri.gif
Harakahdaily melaporkan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berkata, rasuah bukan masalah besar negara ini kerana ia berlaku di mana-mana negara di dunia. “Rasuah di mana-mana, taklah teruk sangat. Kalau buruk dah hancur dah Malaysia ni,” kata Isa ketika memberikan ucapan di forum masa depan kepimpinan Melayu di PWTC lewat petang semalam.

Ucapan dari seorang yang memang dikenali dan diketahui umum, bukan sengaja dikorek-korek dari entah mana-mana lubang cacing bahawa beliau pernah dipecat dari jawatan Naib Presiden Umno apabila didapati terlibat dengan rasuah politik dalam pemilihan Umno. Beliau juga kehilangan jawatannya sebagai menteri.

Ucapan ini macam ucapan lain-lain pemimpin UMNO lah, berkokok tapi ekor bergelumang tahi. Pencuri tak kisah dengan curi. Perompak tak kisah dengan rompak. Pencabul tak kisah dengan cabulnya. Dari segi agama, Aisyah ra pernah berkata: ‘Kamu melihat dosa yang kamu lakukan itu seperti seekor lalat hinggap di hidung, lalu menepisnya tapi kami melihat ia seperti bukit yang mahu menghempap kami.’

Rasuah termasuk dalam dosa besar, macam judi juga. Tapi bagi pemimpin UMNO, semuanya ok. Judi boleh, rasuah bagus, tipu takpe, fitnah baik. Kalau macam ni pengerusi Felda, siaplah peneroka lepas ni. Harta benda, aset dan wang kamu tidak akan selamat kerana yang menerajuinya bukan si amanah.

Adakah Tan Sri Isa Samad nak tunggu Malaysia ni hancur dahulu, baharu nak sebut masa itu bahawa indeks rasuah kita baharu sampai tahap kritikal? Cerdiklah sedikit bercakap. Tunjukkan kita ni layak menerajui Felda, bukan sebaliknya.

Kenapa dibanding dengan negara lain? Ukuran nilai betul salah bukan hanya semata-mata dibanding dengan negara lain tapi sebagai orang Islam, kita ada hukum yang mendasari hidup dan perbuatan kita.

Peneroka-peneroka Felda sepatutnya bangkit. Sawit sudah berapa kali ditanam semula. Teknologi canggih sudah berapa kali diperkenalkan. Buruh-buruh luar yang baharu dapat kad pengenalan dah berapa ramai. Pengerusi Felda dah bertukar. Peneroka masih macam saluran 1 RTM? Buktikan peneroka tidak demikian. Dan tentunya parti perasuah tak mungkin mampu banteras rasuah.

Nik Nasri Malek,
Kemaman, Terengganu.

PDRM sahkan tiada penyelewengan Tabung Memali

Oleh: ZULKIFI YAHAYA

http://1.bp.blogspot.com/__uaXFG8IO0w/TOYrSjpq5iI/AAAAAAAADVg/zK9iNrZMMDs/s1600/memali.jpg
Di tengah-tengah isu kenaikan harga barang dalam negara dan kebangkitan rakyat Arab di luar negara tiba-tiba muncul isu Tabung Memali yang kononnya diselewengkan. Ia semacam anti klimaks, membangkitkan isu lapuk yang telah selesai dan berkubur lebih 10 tahun lalu.

Tetapi biasalah BN, Utusan Malaysia dan RTM di saat ketandusan isu, mereka jadi lalat dan langau akan menyelongkar setiap tong sampah dan jamban untuk mencari bahan busuk yang boleh dijadikan isu bagi memperbodohkan kalangan rakyat yang kurang cerdik agar mempercayai propaganda mereka. Maka terus kekallah sokongan terhadap BN bermodalkan bara fitnah yang dinyalakan saban waktu.

Halal atau haram membuat fitnah bukan persoalan mereka kerana tiada perhitungan kematian, alam barzakh, akhirat, syurga atau neraka. Yang penting bagi mereka ialah berusaha mengekalkan kuasa BN melalui apa cara sekalipun kira-kira sampai turunnya Dajal.

Media-media talibarut BN ghairah membangkitkan isu tabung Memali kerana sedar bahawa ramai pemimpin PAS yang terlibat dalam kepimpinan PAS Kedah sewaktu peristiwa berdarah Memali dan sejurus selepasnya telah pergi untuk selamanya. Mereka tidak mungkin bangun membela diri untuk menceritakan apa yang sebenarnya berlaku.

Antaranya Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Azahari Razak, Ustaz Abd Wahab Sulaiman, Cikgu Mustafa Long, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Ustaz Suhaimi Ahmad dan ramai lagi.
Fitnah oleh media talibarut BN ini dipanjangkan ke medan maya.

Puteri Umno yang sebahagian besar ahlinya belum melihat dunia sewaktu berlakunya peristiwa Memali turut memanjang fitnah isu tabung Memali dalam platform maya mereka. Mereka sama sekali tidak tahu bahawa peristiwa Memali adalah simbol kezaliman BN, menjadi ‘pembela’ kepada balu-balu dan anak mangsa Memali. Begitu jugalah umumnya generasi muda hari ini, tidak begitu memahami akan peristiwa Memali.

Maka ada baiknya kalau sebelum penjelasan mengenai tabung Memali dibuat, elok gambaran sebenar mengenai peristiwa Memali itu diperjelaskan terlebih dahulu kepada generasi terbaharu hari ini.

Peristiwa Berdarah Memali berlaku pada 19 November 1985 di sebuah perkampungan bernama Mali, Mukim Siong, Baling. Pertukaran nama Mali ke Memali dibuat oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Musa Hitam dan nama it uterus popular hingga ke hari ini.

Peristiwa itu berlaku bermula dari tindakan nekad pihak polis dan Kementeria Dalam Negeri untuk menangkap Ustaz Ibrahim Libya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ceramah-ceramahnya yang dianggap menggugat keselamatan (menggugat ‘keselamatan’ politik BN?). Ustaz Ibrahim enggan menyerah diri dan bertegas jika pihak polis mahu mengambilnya maka ambillah mayatnya sahaja.

Musa Hitam telah menghantar satu ketumbukan polis yang luar biasa kekuatan dan jumlahnya untuk menangkap Ustaz Ibrahim. Berlakulah apa yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai “massacre” atau pembunuhan beramai-ramai terhadap Ustaz Ibrahim dan pengikutnya di Memali. 14 orang kampung mati diserang, manakala empat anggota polis terbunuh.

Musa Hitam adalah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, manakala Ustaz Ibrahim adalah seorang aktivis PAS maka apa yang dilakukan oleh Musa Hitam itu adalah tindakan politik untuk menyekat kemaraan politik PAS. Kerajaan mempunyai 1001 langkah untuk menangkap Ustaz Ibrahim tanpa melalui pertumpahan darah tetapi mereka sengaja memilih tindakan yang ganas dan rakus terhadap orang kampung yang lemah.

Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia itu lebih zalim dari isu kematian Teoh Beng Hock, tetapi oleh kerana pada itu pembangkang tidak mempunyai kekuatan maka mangsa kezaliman Memali dan PAS dibuli semahu-mahunya oleh kerajaan Malaysia dan jentera propaganda mereka. Pihak yang terbabit dicop sebagai penjenayah, Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan dituduh sebagai pengamal ajaran sesat, ilmu kebal dan sebagainya. Ekoran serangan berterusan oleh jentera propaganda BN dan saluran media kedua belum wujud di Malaysia, maka imej PAS menjadi buruk. Akibatnya pada pilihanraya umum 1986, PAS hanya menang satu kerusi di Parlimen Pengkalan Chepa.

Ekoran peristiwa itulah Tabung Mangsa Memali ditubuhkan untuk membela balu-balu mangsa yang terbunuh, anak-anak yatim dan juga mangsa peristiwa Memali yang masih hidup, ditahan ISA, sakit, terlantar dan sebagainya. Ia dikendalikan oleh Badan Perhubungan PAS Kedah. Setiap sen wang derma disalurkan kepada yang layak dan berhak menerima.

Jika hari ini ada pihak memberitahu bahawa haram hukumnya memakan wang anak yatim, maka ketahuilah bahawa para pemimpin PAS Kedah pada masa itu; bermula dari Ustaz Fadzil Noor yang mengaji di Universiti Al-Azhar hinggalah kepada Aris Awang yang belajar di sekolah Cina pun lebih tahu bahawa haram juga mengambil harta orang lain yang bukan haknya. Mereka lebih tahu bahawa satu sen rezeki haram yang menumbuhkan daging di jasad kita, maka api neraka adalah lebih layak untuknya.

Tabung mangsa Memali adalah pembelaan sementara untuk mangsa. Ia bukan skim insuran untuk pembelaan sepanjang hayat. Sampai ke satu peringkat di mana anak-anak yatim mangsa Memali kesemuanya sudah akil baligh dan para balu mangsa Memali pun sudah mempunyai anak-anak yang boleh berdikari, di samping ada yang mempunyai suami baru; maka Ustaz Fadzil Noor mengumumkan ketidakperluan mewujudkan tabung tersebut.

Dakwaan berlaku penyelewengan tabung Memali pernah dibuat sewaktu Ustaz Fadzil Noor masih ada. Laporan polis dibuat. Siasatan dibuat oleh unit yang paling professional dikatakan dari Bukit Aman. Pihak yang dituduh berjaya mengemukakan catatan akaun yang sempurna tanpa sepicing pun penyelewengan. Soalan cepu emas yang mesti dijawab oleh semua; Adakah pihak polis dari kerajaan BN akan membiarkan begitu sahaja penyelewengan jika ada (terutamanya kewangan) dalam PAS tanpa diambil tindakan atau pendakwaan? Jika polis Malaysia buat begitu ia termasuk dalam lapan benda ajaib di dunia.

Cukuplah itu sebagai jawapan kepada pihak BN yang membuat fitnah kononnya terdapat penyelewengan dalam tabung Memali. Walaupun jawapan yang terperinci ada tapi ia tidak semesti perlu didedahkan. Macam seseorang dituduh tidak bersunat. Bukti yang nyata untuk menolak fitnah itu ialah dengan menyelak kain biar semua orang tengok. Tapi orang yang cerdik tidak perlu buat sampai ke situ.

Persamaan Ben Ali dan Mahathir

Subky Latif   
http://www.aizuddindanian.com/voi/images/tun_m.jpg

TUN Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri Malaysia selama 22   tahun dan Zaine al Abidene jadi Presiden Tunisia selama 25 tahun. Kira-kira sama lama.

Zaine al Abidene sebelum menjadi Presiden adalah Perdana Menteri di bawah Presiden Habib Bourgiba. Keduanya berbalah. Sebelum dia dipecat Presiden, dia merampus kuasa dan menjadi Presiden.

Dr. Mahathir berbalah dengan pemimpinnya Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra. Dia dipecat dari partinya, Umno. Selepas Tunku dipaksa berundur, Dr. Mahathir dapat kembali dalam Umno dan kemudiannya jadi Perdana Menteri.

Kedua-duanya sama-sama keras terhadap orang bawah dan rakyat.

Ada satu lagi persamaan antara keduanya. Dr. Mahathir dikatakan bertanya Presiden Ben Ali bagaimana dia menghadapi kaum muda yang berpelajaran tinggi sehingga mereka menyoal kepimpinannya dan pemerintahannya.

Senang saja. Ben Ali menjadikan mereka orang yang berhutang sepanjang hidup. Sebaik mereka lulus universiti dan mendapat pekerjaan dan yang tidak lulus universiti pun dapat pekerjaan, maka mereka diberi kemudahan untuk membeli kenderaan.

Mereka pun jadi orang yang berhutang. Sebahagian dari pendapatan mereka digunakan untuk membayar ansuran hutang motokar. Menampung perbelanjaan motokar seperti menampung seorang isteri.

Selagi hutang motokar itu tidak selesai, maka tidak banyak memikirkan hal lain selain dari menjelaskan hutang itu. Mereka akan menghadapi masalah kiranya hutung motokar tidak dijelaskan. Biasanya mereka menunaikan beban itu.

Sekali seseorang itu bermotokar, maka dia mesti sepanjang hidupnya bermotokar. Sebaik hutang itu selesai motokar pula tua terpaksa diganti baru. Maka dia menyambung hutang lagi sehingga tua.

Kemudian mereka diberi kemudahan pinjaman membeli rumah. Kadang-kadang sampai usia bersara hutang rumah belum selesai.

Sepanjang hidup rakyat seperti itu sebok menanggung hutang. Justeru itu mereka tidak boleh berfikir untuk berlawan dengan kerajaan kerana ada risiko  berlawan dengan kerajaan. Kalau ditakdirkan dia hilang pekerjaan, maka bagaimana dia hendak menjelaskan ansuran hutang motokar dan rumah?

Oleh kerana itu orang cerdik pandai yang berhutang itu tidak banyak memikirkan kerajaan dan pimpinannya baik atau tidak, kerana tanggungjawab utama mereka ialah sebok menjelaskan hutang.

Dr. Mahathir pun berkongsi pengalaman yang sama. Sebelum Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, lulusan sekolah menengah dan lulusan unversiti yang bekerja membeli motokar dulu. Mereka juga ada kemudahan membeli rumah.

Kerajaan menyediakan pinjaman itu.

Kerajaan Dr. Mahathir membuka peluang mudah memiliki motokar. Kerana Malaysia sendiri membina lebih dari satu kilang membuat motokar, bukan saja orang senang membeli motokar, orang juga senang bertukar motokar.

Dr. Mahathir juga menukar sistem biasiswa bagi mahasiswa berjalan sejak di zaman British dulu kepada sistem pinjaman. Setiap pelajar diberi hak untuk membuat pijaman pelajaran.

Maka sebelum pelajar itu keluar universiti, mereka sudah jadi orang yang berhutang. Sebaik saja mereka dapat pekerjaan, maka mereka mula membayar hutang.

Rakyat Tunisia hanya menjadi orang yang berhutang selepas keluar dari universiti. Rakyat Malaysia sudah jadi orang yang berhutang sebaik saja masuk universiti. Beban hutang itu akan bertambah apabila mereka membeli motokar dan membeli rumah.

Oleh itu mereka sebok sepanjang hidup bekerja untuk menyelesaikan hutang. Beban hutang itu mungkin selesai apabila masing-masing bersara. Orang masuk usia bersara tidak lagi banyak memikirkan tentang politik dan kerajaan. Orang yang penat ini biasanya memilih untuk berehat.

Apa yang dibuat oleh Ben Ali itu berjaya menyelamatkan politiknya  hingga sampai 23 tahun. Memang pelannya lojik dan menasabah.

Tetapi rakyat Tunisia akhirnya tidak lagi memikirkan mereka berhutang atau tidak. Dimulai oleh orang tidak ada pekerjaan di jalan-jalan bangkit menyoal pemerintahan Ben Ali. Mereka disokong oleh orang-orang yang berhutang, mereka hambat Ben Ali hingga tidak ada negara hendak menerimanya sebagai orang buangan.

Dr. Mahathir lebih cerdik. Sebelum orang berhutang hambat dia, dia berhenti dulu. Ben Ali bukan tidak cerdik, tetapi dia pun tidak sangka rakyat Tunisia rupanya sudah cerdik belaka.


Debat Budak-Budak Ala Ali Rustam

Berdebat cara Ali Rustam macam budak-budak

JASIN, 14 Feb: Pelbagai pihak menyifatkan cabaran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mencabar pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) berdebat dengan cara berceramah bersebelahan sebagai kebudak-budakan dan tidak matang.

Akhbar semalam melaporkan, Mohd Ali (gambar) berkata beliau boleh menjawab apa yang diperkatakan oleh penceramah PAS secara terus dengan berceramah di sebelah ceramah PAS.

Timbalan Ketua Penerangan PAS negeri, Yusof Wahab berkata Ali Rustam tidak faham maksud debat sebenar.

"Cadangan beliau untuk berdebat secara bersebelahan adalah cadangan yang menggelikan dan kebudak-budakan.

"Itu bukan debat,  itu melolong dari jauh yang menyebabkan pendengar dari kedua-dua pihak tidak akan mendengar apa yang diperkatakan oleh pendebat," ujarnya.

Menurutnya, Pengerusi Perhubungan Umno Melaka itu sebenarnya takut untuk berdebat secara profesional kerana tidak mampu berhujah dan tidak ada fakta yang boleh menjawab apa yang diperatakan oleh pimpinan PR.

Ahli Jawatankuasa Keselematan Jentera Pilihanraya Dun Merlimau, Johar Dawi secara sinis pula mencadangkan jika Ali Rustam takut untuk berdebat dengan pimpinan PAS lebih baik diam.

"Kalau takut untuk berdebat beliau sepatutnya berdiam diri dan tidak membuat cadangan yang menyebabkan rakyat tergelak kerana komedi yang dibuat oleh beliau.

"Inikah 'standard' seorang Ketua Menteri yang memerintah sebuah negeri yang dikatakan maju, otak dan minda dia sendiripun belum maju," ujar Jauhar dengan sinis.

Petugas Pejabat Penerangan PAS Dun Merlimau, Irwan Aziz pula berkata setahunya PAS Melaka sudah lama menyahut cabaran Ali namun sehingga kini tidak bersedia untuk berdebat dengan PAS secara profesional.

Katanya, cabaran Ali Rustam sudah lama disahut oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani tetapi sering berdolak dalik dan memberikan alasan.

"Tindakan beliau yang mencadangkan debat dilaksanakan secara bersebelahan amat menggelikan hati dan membuktikan beliau tidak berani berdebat secara berdepan.

"Mana ada orang berdebat dari jauh atau bersebelahan, di Amerika dan lain-lain Negara maju pimpinan mereka berdebat di atas pentas yang sama, rakyat dan wakil media bertanya secara spontan dan kedua-dua pendebat menjawabnya," ujarnya.

Menurutnya, tindakan Ali Rustam yang mencadangkan debat dilaksanakan secara berselahan merupakan debat cara orang penakut dan tidak berani berdepan.

Kepada SADA & K'jaan Negeri.. Takan hangpa nak tengok 20thn lagi kot untuk selesai masalah ini..???

20 tahun krisis air tidak selesai

AIR PUTEH – Lebih 100 keluarga di Rancangan Tanah Pinggir (RTP) Bukit Mak Inson dekat sini terus mengeluh apabila kawasan penempatan itu mengalami masalah gangguan bekalan air lebih 20 tahun sehinggakan kadangkala bekalan terbabit terus terputus lebih berminggu-minggu lamanya.

Tinjauan Sinar Harian ke penempatan terbabit mendapati setiap rumah penduduk di situ disediakan beberapa tong dan bekas lain di hadapan rumah mereka kerana difahamkan untuk mengisi air yang dihantar lori.

Penduduk, Mohd Tarmizi Omar, 32, berkata, penduduk di sini masih dalam pertanyaan mengenai masalah air yang melanda kawasan ini yang sudah pada tahap serius, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian yang diambil pihak berkenaan.

“Masalah ketiadaan bekalan air yang melanda kawasan ini bukan lagi perkara baru, namun sudah lebih 20 tahun dan masih tiada penyelesaian yang dapat dilakukan sehinggakan penduduk hairan mengapa masalah ini tidak langsung diambil tindakan sedangkan kawasan lain memperoleh bekalan air selama 24 jam.

“Penduduk di kawasan ini hanya memperoleh bekalan air pada waktu tengah malam sahaja dan lebih membebankan penduduk apabila bekalan air di kawasan ini sudah terputus lebih seminggu,” katanya.

Mohd Tarmizi berkata, pihak berkenaan tidak memaklumkan mengenai ketiadaan bekalan itu kepada penduduk kawasan ini sehingga menyebabkan mereka tidak sempat menyimpan bekalan air untuk kegunaan harian.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Noor Harum, 36, berkata kedudukan rumah yang tinggi dari jalan utama bukannya penyebab masalah ini berlaku memandangkan teknologi masa kini semakin canggih dan ia boleh diselesaikan segera.

“Bekalan air yang terputus lebih seminggu ini menyebabkan penduduk tidak dapat menjalankan kerja harian seperti membasuh baju dan pinggan serta makan minum.

“Bekalan air yang dihantar lori ke kawasan ini tidak mencukupi kerana yang dihantar adalah terhad dan terpaksa berebut sesama jiran,” katanya.

Bagi Siti Murni Mohd Nayan, 48, setelah berbelas tahun dia menetap di sini, hanya sekali dapat merasai bekalan air iaitu pada hari raya memandangkan setiap kali musim perayaan kawasan itu terus terputus bekalan air serta sambutan perayaan penduduk di situ tidak pernah sempurna setiap tahun.

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan banyak aduan dihantar kepada pihak berkenaan dan terdapat juga laporan disiarkan melalui akhbar dan televisyen sebelum ini, namun ia masih juga gagal mendapat penyelesaian.

DAIM RAMAL KEDAH, SELANGOR SUKAR DIPERTAHAN PAKATAN

Ahmad Lutfi Othman,

Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin jarang bersuara tetapi sesekali beliau membuat ramalan politik, agak menarik juga untuk disorot. Setahun sebelum PRU12, beliau menjangkakan BN akan menghadapi tentangan cukup sengit di beberapa kawasan panas, iaitu Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Hasilnya BN tersungkur di tiga negeri berkenaan, ditambah satu lagi Perak.

Baru-baru ini, dalam wawancara dengan akhbar China Press, Daim meletakkan Kelantan dan Pulau Pinang sebagai negeri selamat buat Pakatan Rakyat. Meskipun media yang dikontrol BN sering menggambarkan pentadbiran Lim Guan Eng tidak henti-henti berdepan masalah dan rungutan rakyat, Daim melihat kerajaan Pulau Pinang tetap kuat dan tiada petanda akan berlaku peralihan kuasa dalam PRU13.

Begitu juga dengan situasi di Kelantan. Bagi Daim, kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz begitu disayangi rakyat. Bagaimanapun, pertembungan BN dan Pakatan tetap mendebarkan di Selangor, Kedah dan Perak. Keputusan akhirnya dilihat bergantung kepada calon yang dipilih dan kualiti menteri besarnya.

Daim, bekas Ahli Parlimen Merbok turut memandang tinggi Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, yang juga katanya, disukai rakyat. Ustaz Azizan, tambahnya peramah dan senang didekati. Selain Daim, secara terbuka, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menghormati gaya pentadbiran Ustaz Azizan.

Keupayaan Pakatan mempertahankan Selangor dipersoal Daim. Sasarannya lebih tertumpu kepada cara Abdul Khalid Ibrahim menerajui kerajaan negeri, yang didakwanya lebih mirip seperti seorang CEO sebuah syarikat. Rakyat, katanya, mahu melihat sebuah kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat, bersih dan cekap. Peranan Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri juga dikritik.

Saya tidak pasti mengapa Daim tidak merangkaikan Terengganu sebagai negeri yang juga cukup berpotensi untuk direbut Pakatan. Negeri yang pernah ditadbir PAS (2004-2008) kini menghadapi masalah besar daripada segi kewangan dan juga politik dalaman Umno. Pentadbiran Ahmad Said goyah dan menerima banyak kritikan khususnya daripada penyokong Umno sendiri. Rasanya jika Pakatan berupaya menampilkan calon-calon terbaik, dalam keadaan wibawa menteri besar sekarang dipertikai, Daim perlu memasukkan Terengganu dalam senarai "kawasan panas".

Di mana-mana pun, sifat politik cukup dinamik. Tekaan hari ini boleh meleset atau diperkukuhkan lagi jika situasi politiknya berubah. Ramalan Daim tidak terkecuali. Kebijaksanaan rakyat dan kesungguhan parti-parti bertanding bakal menentukan keputusan akhirnya. -- lutfi_detik@yahoo.com

Utusan Didakwa Berbohong !!!

BUKIT MERTAJAM,13 Feb: Akhbar Utusan Malaysia sekali lagi dibidas oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang setelah memaparkan berita bertajuk ' MPSP roboh 1,000 gerai' sepertimana yang tersiar pada 8 Februari yang lalu.

Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali semasa ditemui berkata berita dan angka yang dipaparkan tidak benar dan berunsur fitnah untuk mengaibkan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR).

Amir juga berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Direktorat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyatakan hanya 10 buah premis sahaja yang dirobohkan oleh pihak penguatkuasa MPSP pada hari kejadian iaitu 7 Februari yang lalu.

"Apa yang cuba ditimbulkan oleh akhbar tersebut adalah untuk mensensasikan isu perobohan gerai yang ternyata dilaksanakan sepertimana yang dinyatakan dalam undang-undang penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan tersebut.

"Dalam operasi yang dilaksanakan MPSP telah bertindak mengikut garis panduan yang diberikan. Mereka juga tidak berpihak kepada mana-mana peniaga. Sebaliknya jumlah gerai yang dirobohkan melibatkan 4 kepunyaan orang Melayu, 2 Cina, 1 India dan selebihnya adalah milik warga asing, " katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Majlis MPSP memberi jaminan usaha sedang dilaksanakan bagi menempatkan semula peniaga yang terlibat di satu lokasi yang akan dikenal pasti dalam kawasan yang sama bagi memberi peluang kepada mereka meneruskan perniagaan.

Namun begitu, katanya, ia memerlukan sedikit ruang sebelum proses pelaksanaannya dijalankan.

Amir juga mengingatkan Umno dan Barisan Nasional khususnya di Pulau Pinang supaya tidak mengeruhkan suasana dengan mengapi-apikan para peniaga melalui penyiaran berita mereka bagi menimbulkan kebencian masyarakat kepada Kerajaan Negeri.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah, Ong Chin Wen serta para peniaga yang terlibat dalam perobohan gerai mereka baru-baru ini.Hrkh

BN dok tanggung hutang sebanyak RM362 000 000 000.00 sekarang nie..!!

Guna wang rakyat untuk biayai program BN, boleh pula?

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Media-media talibarut BN mengeksploit semahunya isu kononnya Kerajaan Negeri Selangor membiayai kos perundangan ADUN Sri Muda, Shuhami Shafiei yang didakwa di mahkamah kerana menghasut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Tujuannya satu, iaitu untuk membangkitkan kemarahan rakyat kononnya kerajaan Negeri Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim telah menyalahgunakan wang rakyat. Jika pembelaan kerajaan Negeri Selangor terhadap kes mahkamah Shuhaimi itu dianggap pembaziran wang rakyat, maka Kerajaan BN Pusat juga wajib dipersalahkan. Ini kerana dakwaan yang dibuat di mahkamah turut melibatkan penggunaan wang rakyat. Semua proses mahkamah tidak berlaku dengan percuma.

Jabatan Peguam Negara mempunyai hak untuk tidak mendakwa Shuhami. Apa yang ditulis Shuhami dalam blognya jauh lebih lunak dari pemimpin-pemimpin Umno memalukan, menghina dan memberi kata dua kepada Raja-raja Melayu sewaktu isu pindaan Perlembagaan pada tahun 1983 dan 1993. Apa yang diucapkan pemimpin Umno semuanya tercatat dalam laporan media-media utama Negara yang tersimpan hingga kini. Bukti itu tidak pernah hilang. Mengapa seorang pun tidak didakwa? Ertinya Kerajaan Pusatlah yang memulakan tindakan ‘membazirkan wang rakyat’ dalam isu ADUN Sri Muda itu. Mereka melakukan pendakwaan terpilih.

Jika tindakan Kerajaan Negeri Selangor itu dibantah, bagaimana pula dengan tindakan mereka menyalahgunakan wang rakyat untuk membiayai kempen politik BN. Penat rasanya saya menulis beberapa siri penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Kedah di zaman BN dulu yang menyapu secara terang-terangan wang anak syarikat kerajaan Negeri untuk kempen politik mereka, tetapi sehingga kini tindakan tidak pernah diambil oleh mana-mana pihak pun. SPRM misalnya boleh bertindak tanpa ada pihak yang membuat laporan pun, tetapi mengapa mereka memilih untuk mendiamkan diri jika pihak yang didakwa terbabit dengan penyelewengan itu adalah pemimpin BN.

Kerana Melayu mudah lupa maka saya ingin menyenaraikan semula penyalahgunaan wang rakyat di zaman BN dulu untuk kepentingan politik parti mereka. Ia sangat relevan untuk diungkitkan di saat BN begitu ‘prihatin’ dengan penyalahgunaan wang rakyat, kononnya.

1. Menjelang Pilihanraya Umum Ke 12 (PRU 12) BN Kedah telah menggunakan wang syarikat Seri Temin Development Corporation (STDC) sebanyak RM1.7 juta untuk membiayaan program kempen politik BN yang dibuat atas nama “Pemimpin Bersama Rakyat”. Kesemua 14 bahagian di Kedah mendapat RM120,000.00 setiap bahagian, manakala bahagian Padang terap mendapat RM120,000.00.

2. Menjelang PRU 12, Menteri Besar telah memberi hadiah pen berjenama kepada wartawan yang membuat liputan kempen BN menggunakan wang Permodalan Kedah Berhad. Anak syarikat Perbadanan Menteri Besar itu telah menggunakan RM66,470.00 untuk membeli 50 batang pen. 40 batang pen berharga berjenama Mont Blanc berharga RM1,190.00 setiap satu, 9 batang pen berharga RM1,840.00 setiap satu dan sebatang pen lagi berharga RM2,310.00! Pembelian tidak dilakukan melalui sebut harga atau tender, tetapi dibeli terus dari pembekal Ping Hang Trading, Bukit Kayu Hitam.

3. Menjelang PRU 12, Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah mengeluarkan wang yang banyak untuk membantu kempen politik BN. Perbelanjaan kononnya untuk membantu fakir miskin yang mucul dengan banyak di musim pilihanraya. PKB telah mengeluarkan wang tunai sejumlah RM300,000.00 pada 26 Februari 2008 dan RM200,000.00 pada 4 Mac 2008 untuk ‘sumbangan politik’ BN menghadapi pilihanraya.

4. Menjelang PRU 12 juga, dua buah syarikat iaitu Charok Indah Enterprise dan Gerbang Utara Enterprise telah diberi projek kononnya untuk kerja-kerja sosial, masing-masing sebanyak RM57,540.00 dan RM86,000.00 oleh PKB. Projek yang dilaksanakan oleh kedua kontraktor tersebut tidak pernah diputuskan oleh mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah atau mesyuarat pengurusan PKB. Antara spesifikasi ‘kerja-kerja sosial’ yang tercatat dalam rekod pembayaran itu ialah antaranya, membekalkan white board, peralatan alat tulis dan kayu ke peti undi BN dalam parlimen Kuala Kedah.

5. Menjelang PRU 12, STDC telah membelanjakan sebanyak RM78,270 untuk program politik BN di Padang Terap. Secara terperinci berikut adalah maklumat perbelanjaan STDC pada bulan Januari dan Februari 2008, di mana semua program tersebut diadakan di Padang Terap: 1/1/2008 – RM5,810.00, 1/1/2008 – RM26,150.00, 1/1/2008 – RM10,000.00. (Satu hari tiga kali mesyuarat?) 13/2/2008 – RM10,000.00, 13/2/2008 – RM7,905.90, 13/2/2008 – RM4,610.00, 13/2/2008 – RM11,700.00, 13/2.2008 – RM10,000.00. Semuanya berjumlah RM78,270.

6. Menjelang PRU 12, STDC telah menyewa khemah untuk digunakan sebagai program kempen politik BN sebanyak lebih RM300 ribu. Oleh kerana mereka telah berhutang kepada syarikat pembekal, maka pentadbiran STDC kini yang terpaksa menjelaskan hutang tersebut secara beransur-ansur.

7. Menjelang PRU 12 juga, STDC telah membekal kain tudung dengan perbelanjaan sebanyak RM20 ribu. Walaupun tidak dinyatakan kain tudung untuk siapa, tetapi tentulah kain tudung itu bukan untuk Muslimat PAS. Bukan juga untuk Wanita MCA, MIC atau Gerakan, sebab mereka tak pakai tudung. Kalau bukan untuk Wanita arau Puteri Umno, siapa lagi?

Itu cuma senarai penyalahgunaan wang rakyat oleh BN menjelang PRU 12. Hanya di Kedah. Bukan untuk semua waktu. Itu pun terbatas kepada senarai penyalahgunaan yang dibuat secara terang-terangan, tidak termasuk yang program kempen BN yang dibuat menggunakan kos dan jentera kerajaan. Macam Perdana Menteri yang turun ke mana-mana, semuanya menggunakan duit rakyat yang banyak tetapi berkempen terang-terangan supaya rakyat menyokong BN dan menolak Pakatan Rakyat. Halal pula bagi mereka.

Di zaman PR mentadbir Kedah sekarang pun ada program Mesra Rakyat yang telah dibuat di beberapa daerah. Menteri Besar cuma turun mencanang misi, visi, dasar dan program kerajaan Negeri. Tiada bendera PAS yang menyambut kedatangan beliau dan tiada kempen politik Umno, PAS. Sebab itu kakitangan kerajaan Kedah lebih selesa untuk bekerja di bawah pentadbiran kini berbanding lalu kerana mereka bekerja betul-betul untuk rakyat, bukan untuk parti pilitik tertentu.

Ada manusia dok curi BALAK di Pulau Langkawi..!!

Exco dedah hutan sekitar Langkawi makin ‘cerah’

http://www.hotelreservation.com.my/hotel/langkawi/images/tanjung_rhu_langkawi_map.jpg
ALOR SETAR - Sebahagian kawasan di beberapa lokasi hutan di pulau Langkawi didapati semakin ‘cerah’ akibat penebangan hutan dan pengusahaan tanah secara berleluasa sejak kebelakangan ini.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, S Manikumar berkata, tinjauannya melalui udara baru-baru ini agak mengejutkan apabila kebanyakan hutan di pulau legenda itu dicerobohi pihak tertentu tanpa kawalan pihak berkuasa.

Berikutan itu, semua pihak diminta membendung aktiviti penebangan itu bagi memelihara khazanah flora fauna pulau Langkawi supaya statusnya sebagai pulau pelancongan tidak terjejas.

“Keaslian flora fauna pulau Langkawi perlu dikekalkan kerana itulah aset utamanya. Pihak berkaitan perlu kaji semula dan pantau dengan ketat mengelak penebangan hutan dan pengusahaan tanah secara tidak terkawal,” katanya.

Manikumar turut mendedahkan beberapa lokasi yang dikenal pasti berlaku penebangan tidak terkawal adalah sekitar Sungai Itam (berdekatan Air Terjun Durian Perangin), kawasan persekitaran Telaga Harbour Park, Gunung Mat Cincang, Pantai Kok dan Kompleks Kraf.

Beliau tidak menafikan perkara itu berlaku kerana kelemahan sistem pentadbiran di pulau itu, yang mungkin dimanipulasi pihak tertentu.

“Saya dapati tanah kerajaan atau hutan terbiar yang diusahakan boleh dipohon oleh individu terbabit selepas tempoh ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang. Ada pula sesetengah pihak mengambil kesempatan daripada kelemahan sistem itu untuk mengaut keuntungan dengan menjadi broker tanah,” katanya.

Manikumar mendakwa terdapat juga kes yang membuat permohonan menggunakan beberapa nama ahli keluarga bagi mendapatkan geran hak milik kekal, bagi memastikan tanah berkenaan menjadi milik mereka walaupun kawasan yang dipohon itu boleh menjejaskan ekologi.

“Mungkin terdapat kelemahan dalam sistem permohonan sedia ada hingga ada pencerahan di kawasan tertentu diklasifikasikan sebagai tanah usaha. Malah aktiviti pertanian berskala besar tidak sesuai diusahakan di situ,” katanya.

Menurutnya, mereka yang rakus meneroka tanah hutan tanpa kawalan dinasihatkan supaya menghentikan perbuatan itu kerana boleh menjejaskan keunikan Langkawi.

Beliau turut meminta pihak terbabit membuat perbandingan pulau itu dengan pulau pelancongan terkemuka lain supaya timbul keinsafan untuk memelihara khazanah itu.

“Singapura dikenali sebagai pulau fantasi membeli-belah, Bali pula pulau warisan manakala Phuket lebih kepada penerokaan penuh cabaran. Identiti Langkawi ialah keunikan flora fauna dan geopark yang diiktiraf oleh Unesco. Jika tidak dihalang pencerobohan itu, kelak identitinya akan hilang,” katanya.

Menurutnya, kawalan secara sistematik perlu dibuat segera untuk menjaga kepentingan semua pihak termasuk pihak pelabur dan rakyat.

“Semua jabatan, unit dan agensi harus gembleng tenaga memastikan perkara ini dipantau untuk selamatkan Langkawi daripada diceroboh. Saya akan panjangkan isu ini kepada Menteri Besar untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Manikumar berkata, pihaknya turut memantau aktiviti itu dengan mengumpul bukti pihak yang terlibat.

:Sekiranya tidak mendapat kerjasama sewajarnya setelah diberi amaran, beliau tidak teragak-agak melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya akan guna pendekatan lembut terlebih dahulu dengan memberi teguran dan menghalang, tetapi jika tidak berkesan, biarlah SPRM pula yang siasat,” katanya.

Kebajikan jangan berpaksikan politik


LANGGAR - Badan bukan kerajaan (NGO) diminta menjalankan tugas kebajikan secara menyeluruh dan bukan menjadikan lapangan berkenaan sebagai mata serampang untuk meraih undi ataupun kepentingan politik semata-mata.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, gerak kerja amal masih belum menjadi darah daging dalam kalangan wanita Melayu di negara ini dan hanya dilakukan oleh sesetengah individu atau korporat.

Menurutnya, setiap NGO yang ditubuhkan harus mempunyai misi dan matlamat masing-masing tetapi perlu secara terperinci dan berdokumentasi dalam mengagihkan setiap sumbangan yang diterima.

“Sememangnya NGO membuat kerja, tetapi tidak nampak hasil disebabkan tidak ada rekod jelas yang dicatatkan, seharusnya kena ada salinan sebagai bukti untuk meyakinkan lagi setiap individu atau korporat untuk menyumbang pada masa hadapan.

“Kadang-kadang disebabkan oleh gerak kerja yang tidak jelas akhirnya akan menyukarkan sesebuah badan bukan kerajaan itu untuk mencari dana atau mengutip derma untuk membantu golongan sasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang sempena meraikan NGO yang baru ditubuhkan, Pertubuhan Wanita Amal Pokok Sena (Pawana) di Langgar, dekat sini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar Kedah, Toh Puan Faekah Hamzah, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Ahmad Izzat Mohd Syauki dan Pengerusi Pawana, Faridah Jaafar.

Siti Mariah berkata, selain pandai mengurus sumbangan yang diterima dan merekodkan setiap nama penerima, NGO juga perlu telus dalam soal kebajikan.

Menurutnya, ketika turun padang dan melihat keadaan golongan sasaran jangan tanya golongan berkenaan menyokong parti mana tetapi menghulurkan bantuan sekiranya memerlukan.

“Inilah tugas sebenar NGO yang menjalankan tugas kebajikan, paling penting adalah membuat kerja tanpa mengharapkan sebarang pulangan dan akhirnya golongan tertentu dengan sendiri akan menilai kerja dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Siti Mariah turut menasihatkan Pawana agar dapat mengerakkan kerja amal ini dengan sempurna.

Beliau percaya badan berkenaan mampu melakukannya dan mendapat sokongan daripada masyarakat sekiranya bekerja dengan telus.

Menurutnya, beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak terus menghukum sesetengah golongan sasaran seperti warga miskin, anak yatim, ibu tunggal dan warga emas yang sentiasa mengharap dan memohon bantuan.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...