TERKINI :

Sunday, February 13, 2011

'Dr M, anda ada 7 hari untuk namakan mereka'

Karpal Singh hari ini menjadi pemimpin tinggi DAP kedua selepas penasihat parti itu, Lim Kit Siang, yang mempertikaikan dakwaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau telah bertemu dengan pemimpin pembangkang pada 1987 dan meyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan ditahan.

Karpal, yang juga pengerusi DAP dan ahli parlimen Bukit Gelugor berkata, dakwaan Dr Mahathir itu "jauh dari kebenaran" dan mencabarnya menamakan pemimpin pembangkang yang ditemuinya, bersama masa dan tempatnya.

Karpal - yang ditahan dalam Operasi Lalang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari lewat 1987 hingga awal 1989 - menafikan ada pertemuan seperti yang didakwa itu.

"Jika Dr Mahathir tidak menyahut cabaran saya kepadanya dalam masa tujuh hari, ia mesti dianggap bahawa Dr Mahathir tidak bercakap benar... Ini adalah perkara yang sangat serius bagi seorang mantan perdana menteri berbohong secara terbuka," tambahnya.

Dalam buku terbaru mengenai Dr Mahathir yang ditulis oleh wartawan Amerika Tom Plate, mantan perdana menteri dipetik sebagai berkata beliau telah bertemu dengan pemimpin pembangkang untuk memberi jaminan bahawa mereka tidak akan ditangkap.

Dr Mahathir dipetik memberitahu Plate bahawa beliau mahu "menanganinya secara berbeza", tetapi polis berkeras untuk membuat tangkapan tersebut.

Rasuah bukan masalah di negara ini - Isa Samad

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berkata, rasuah bukanlah masalah besar di negara ini kerana ia berlaku di mana-mana negara di dunia.

"Rasuah di mana-mana, taklah teruk sangat. Kalau buruk dah hancur dah Malaysia ni," kata Isa ketika memberikan ucapan di forum masa depan kepimpinan Melayu di PWTC lewat petang semalam.

Turut menjadi penal di forum tersebut adalah Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS) dan Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima) manakala moderatornya adalah Tan Sri Dr Nordin Kardi, bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketika memberikan ucapannya, Mustafa berkata, antara cabaran besar kepimpinan Melayu di negara ini adalah pelakuan rasuah yang bermaharaja lela di negara ini.

Ia kini, kata Mustafa, sudah menular ke semua pihak dari peringkat tertinggi negara, pertengahan bahkan golongan bawahan termasuk pada pelajar.

"Yang mengejutkan saya, hasil kajian yang dibuat oleh Institut Intergriti Malaysia (IIM) yang mendapati 35 peratus pelajar menjawab, mereka akan mengambil rasuah jika ada peluang," kata Mustafa.

Sebelum ini, Isa pernah dipecat dari jawatan Naib Presiden Umno apabila didapati beliau terlibat dengan rasuah politik dalam pemilihan Umno. Ekoran itu, beliau juga kehilangan jawatannya sebagai menteri.

Isa kembali semula ke ruang utama politik negara apabila dipilih sebagai calon Umno dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan dan menang.

Baru-baru ini, Isa telah dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai Pengerusi Felda. Ramai beranggapan ia berlaku hasil dari pengaruh isterinya, Datik Seri Rosmah Mansor.

"Bagi saya ia tidaklah teruk sangat...kerajaan pula tidaklah menghalalkan rasuah," kata Isa.

Sukar untuk PAS dan Umno bersatu
Dalam ucapannya juga, Isa berkata, sukar untuk PAS dan Umno bersatu kerana jika kedua-duanya bersatupun Melayu tetap tidak akan bersatu.

"Kalau PAS dan Umno bersatu, tentu ada orang akan tubuh parti Melayu yang lain. Baru-baru ini parti Kita tubuh, lepas ini parti Kami pula," kata Isa disambut tepukan sorakan gemuruh peserta di dewan PWTC yang kebanyakannya adalah penyokong Umno itu.

Kita adalah parti yang dirujuk kepada Datuk Zaid Ibrahim yang ditubuhkan baru-baru ini.

"Jadi apa yang kita minta adalah, biarlah Umno dan PAS ini bersatu atas perkara-perkara yang disepakati untuk kepentingan orang Melayu...itu dah cukup," kata Isa.

Desakan untuk PAS bersatu dengan Umno menjadi vokal di kalangan peserta Simposium Dilema Melayu itu yang rata-rata pro Umno atau anak didik Umno di kampus seluruh negara itu.

Ia dianjurkan oleh bekas pelajar pro Aspirasi iaitu kumpulan pelajar yang pro Umno dalam kampus.

Mustafa ketika mengulas isu ini berkata, menjadi dasar PAS dan Pakatan Rakyat untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam perkara-perkara kepentingan bersama dan untuk keadilan.

"Kita dalam Pakatan Rakyat bersetuju untuk mempertahankan tiga perkara pokok dalam perlembagaan iaitu Islam agama rasmi persekutuan, kedudukan Bahasa Melayu dan juga kedudukan raja-raja Melayu.

"Bahkan menjadi dasar PAS juga untuk bekerjasama dengan Umno untuk perkara-perkara kepentingan bersama atas prinsip keadilan," katanya.

CUBA SEKALI UMNO BERTANDING SECARA ANAK JANTAN, BOLEH TAK?

Oleh: WFAUZDIN NS
PRK Dun Merlimau telah ditetapkan pada 06 Mac, manakala tarikh Penamaan Calon adalah pada 26 Feb ini. Kerusi Dun Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Muhamad Hidhir Adun dari Umno akibat serangan jantung pada 20 Jan yang lalu. PR telah memutuskan untuk memberi laluan kepada PAS bertanding di kerusi tersebut.

Meskipun dikatakan AMK Pusat kelihatan seperti masih mengharap agar Ketua AMK Sdr Shamsul Iskandar diletakkan di kerusi tersebut, namun PR tetap berpegang kepada `status quo' dan ini difahami oleh AMK Melaka sendiri. Justeru itu, usahlah AMK bercakap sesuatu yang telah diputuskan. Apa yang penting PKR terutamanya AMK mesti membuktikan bahawa mereka bersedia untuk bertempur sekali lagi dengan Umno bagi membantu PAS yang kini telah berada di kubunya di Merlimau.

Tahniah, kepada Us Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Naib Presiden PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Pahang yang telah dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihanraya Kecil itu nanti. Mampukah Tuan Ibrahim Tuan Man memperbaiki imej PR terutamanya PAS di dalam pilihanraya kecil ke 16 semenjak Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu? Imej PAS sebenarnya tidaklah buruk seperti yang diperkatakan walaupun telah tewas beberapa kali sebelum ini termasuk juga rakan di dalam PR. Kita sentiasa dipaksa bertembung dengan Bn di dalam gelanggang yang tidak pernah rata. SPR yang kita harapkan boleh berlaku adil, nampaknya tidak pernah berubah dan ikatan tali pada hidungnya masih kemas.

Siapa yang tidak nampak betapa Umno/Bn menggunakan segala jentera kerajaan termasuk paling hebat jentera penerangan seperti radio dan TV setiap kali diadakan PRK adalah mereka yang buta hati. Bahkan, belum pun penamaan calon di PRK Dun Merlimau kita boleh saksikan bagaimana media kerajaan ini melaksanakan kerja jahat mereka. Ini lah juga yang dihadapi oleh Cikgu Mala di PRK Dun Tenang baru-baru ini, namun Alhamdulillah, Umno gagal untuk memalukan PAS di dalam PRK tersebut. Sebaliknya, Cikgu Mala berjaya memalukan Umno kerana Umno terpaksa gunakan seluruh jentera kerajaan dengan limpahan wang ringgit semata-mata untuk menewaskan Muslimat ini.

Kita teringin sangat untuk melihat Umno/Bn menang secara anak jantan. Boleh atau tidak Umno/Bn masuk gelanggang sama seperti PR masuk gelangang? Hilangkah maruah Umno jika tidak menggunakan media kerajaan untuk berkempen? Tidakkah Umno rasa malu dan hina setiap kali pilihanraya, maka ditaburkan wang ringit dengan projek segera kepada rakyat? Apa yang SPR boleh lakukan? Teramat benci bila menyebut SPR.

Dalam pilihan raya umum 2008 itu, Mohamad Hidhir mengalahkan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154, iaitu pengurangan hampir 3,000 undi berbanding pencapaian BN sebelumnya. Daftar Pemilih yang akan digunakan nanti mengandungi 10,679 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 10,643 pengundi biasa dan 36 pengundi pos. Daripada jumlah tersebut, seramai 64.69% pengundi adalah berbangsa Melayu, 21.11% Cina, 14.16% India dan baki 0.04% pengundi lain-lain kaum.

Betapa buruknya pilihanraya di negara ini, kita tiada pilihan kecuali masuk bertanding apatah lagi PAS memasuki pilihanraya bukan semata-mata untuk memenangi kerusi, tetapi lebih utama adalah untuk melaksanakan perjuangan Islam. Kesannya mungkin mengambil masa agak panjang tetapi sejarah yang baru tercipta di Mesir membuktikan betapa pejuang kebenaran tetap akan menang. Ayuh, kuburkan Umno hari ini, esok ataupun lusa./wfauzdin.blogspot.com

Imbasan 1987 : Operasi Lalang Rejim Mahathir




Operasi Lalang atau Weeding Operation, atau Ops Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh Polis Di Raja Malaysia bersama-sama Kementerian Dalam Negeri.

Dalam Operasi Lalang ini, 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah tahanan ISA dan pembatalan dua akhabar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.

Isu-isu sensitif diperkatakan dalam surat khabar Cina dan dibalas dengan surat khabar berbahasa Melayu. Isu-isu yang mencetuskan Peritiwa 13 Mei berulang semula seperti:

1) Lee Kim Sai antara lain menyatakan 'Melayu pun pendatang'. Hak keistimewaan Bumiputera dipertikaikan semula.

2) Tindakan Kementerian Pelajaran melantik 100 guru besar bukan berpendidikan Mandarin di sekolah jenis kebangsaan Cina telah mencetuskan rasa tidak senang di kalangan Persatuan Pendidikan Cina seperti Dong Jiau Zong, Kua Kia Soong dan lain-lain.

3) Pemimpin MCA, Gerakan, DAP dan Dong Jiao Zong telah sepakat mempertahankan 'stail' pendidikan sekolah Cina.

4) Pada 11 Oktober 1987, seramai 2000 ahli Dong Jiau Zong telah berhimnpun di Wisma Persatuan Hainan bersebelahan Tokong Thian Hou di Kuala Lumpur. Mereka mencadangkan murid-murid boikot sekolah ini selama 3 hari.

TAHANAN ISA
Antara mereka yang ditahan ialah :

Lim Kit Siang - ketua pembangkang dan Setiausaha Agung DAP
Chandra Muzaffar - Presiden ALIRAN
Karpal Singh - Timbalan Pengerusi DAP
Dato' Lim Kim Sai - Timbalan Presiden MCA
Chan Kit Chee - Ketua Perak
Kua Kia Song - Dong Jiau Zong
Lim Fong Seng - Pengerusi (Chinese Education Assosations)
Halim Arshat - Ketua Pemuda PAS
Ibrahim Ali - Ahli Parlimen Pasir Mas, UMNO
Mohamed Fahmi Ibrahim - Pemuda Pengerusi Pendidikan UMNO.

Walaupun kebanyakan tahananan telah dibebaskan sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, 40 orang telah dikeluarkan perintah penahanan dua tahun. Ini termasuk Lim Kit Siang dan Karpal Singh, 5 pemimpin parti DAP , beberapa pemimpin PAS dan ramai aktivis sosial.

Dato’ Dr. Hamdan perkenal Klinik Wakaf Sejahtera



SUNGAI LAYAR – Penduduk sekitar kawasan DUN Tanjung Dawai akan mendapat rawatan kesihatan percuma di empat tempat setiap minggu. Demikian diumumkan oleh ADUN Tanjung Dawai yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah YB Dato’ Dr. Haji Hamdan Mohamed Khalib.

YB Dr. Hamdan mengumumkan demikian di Majlis Penerangan Kerajaan Negeri ‘Road Show Bajet 2011’ yang diadakan di Taman Seri Tanjung, Sungai Layar.

Menurut Dato’ Dr. Hamdan, program kesihatan percuma ini akan diadakan setiap hari Khamis bermula jam 5 petang hingga 7 petang. Program ini di namakan Klinik Wakaf Sejahtera.

“Pada minggu pertama, klinik ini akan berada di Dewan Masjid Tanjung Dawai, minggu kedua di Dewan Masjid Sungai Gelam, minggu ke tiga di Dewan Masjid Semeling dan minggu keempat di Dewan Persatuan Penduduk Taman Sri Tanjung Sungai Layar.

“Klinik ini adalah merupakan klinik yang menawarkan rawatan penyakit-penyakit biasa dan mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma. Jika sekiranya dirasakan perlu rawatan lanjut, klinik ini akan merujuk pesakit kepada hospital.

“Saya sudah sebati dengan kerja-kerja kebajikan dan bersama-sama saya ada rakan-rakan yang bersedia melakukan kebajikan ini, InsyaAllah saya akan luangkan masa setiap minggu dan jika saya tidak berkesempatan, ada rakan-rakan yang akan mengantikan saya,” ujarnya.

Menurut Dr. Hamdan, Klinik Wakaf Sejahtera ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat Tanjung Dawai bersama dengan Yayasan Kebajikan Syazmin.

Turut hadir di Majlis penerangan tersebut adalah YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad, Exco Penerangan dan Pembangunan Usahawan.

Merlimau - Ali Rustam dengan taktik lapuknya.. Suka buat ceramah BN tepi ceramah PR..

Merlimau : CERAMAH BN TIADA SAMBUTAN


Umno/BN cuba mensabotaj ceramah PAS apabila mengadakan ceramah berdekatan dengan ceramah PAS semata-mata untuk menarik penduduk setempat supaya tidak menghadiri ceramah Tuan Guru Nik Abdul Aziz malam ini. Ceramah PAS diadakan di perkarangan Markaz PAS Merlimau manakala ceramah Umno/BN diadakan di seberang jalan utama yang jaraknya hanyalah 300 meter. Penceramah utama ialah Lokman Noor Adam bekas pemimpin pemuda PKR yang melompat menyertai Umno.

Namun Umno/BN sendiri dimalukan oleh penyokongnya apabila hanya 60 orang sahaja (gambar atas) yang datang mendengar ceramah mereka berbanding ceramah PAS yang dihadiri lebih 2,000 penduduk setempat.

Cuba tuan-puan bandingkan jumlah pendengar antara ceramah Umno/BN (gambar atas) dengan ceramah PAS (gambar bawah).
Video Ini Zaman PRU 2004 lagi dah beliau buat kelaku macam tuu..

Hubungan KUIN dan Al-Azhar masih utuh

Hubungan masih utuh

ALOR SETAR - Seramai 16 tenaga pengajar yang dipinjamkan Universiti Al-Azhar kepada Kolej Universiti Insaniah (Kuin) membuktikan hubungan kedua-dua institusi pengajian tinggi itu masih utuh, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Azizan yang juga Pengerusi Kuin berkata, berlandaskan hubungan erat itu, Kuin tidak mempunyai masalah untuk menyediakan tempat peperiksaan kepada mana-mana pelajar pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar yang bakal menduduki peperiksaan semester dalam masa terdekat.

:Bagaimanapun, tawaran itu hanya meliputi pelajar negara ini yang mengikuti kursus pengajian Islam seperti Bahasa Arab, Syariah Islamiah dan Usuluddin memandangkan Kuin tidak mempunyai kemudahan lengkap bagi kursus perubatan dan kejuruteraan.

“Tawaran penyediaan tempat peperiksaan dikemukakan Kuin setelah Kerajaan Negeri menyedari sebahagian besar pelajar yang pulang akan menduduki peperiksaan semester tidak lama lagi dan bimbang keadaan pergolakan yang tidak menentu akan menyebabkan mereka keciciran pelajaran.

“Kerajaan Negeri mendapat maklumat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini sedang berusaha membuat penyelarasan dengan Al-Azhar bagi membolehkan pelajar Malaysia yang menuntut di universiti itu menduduki peperiksaan di mana-mana institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Sekiranya mereka bersetuju, Kuin tiada masalah bekerjasama,” katanya kepada media selepas menyambut kepulangan 30 anak Kedah yang belajar di Mesir, di hadapan bangunan Yayasan Islam Negeri Kedah (Yiked), di sini kelmarin.

Sementara itu, Azizan berkata 300 pelajar Kedah yang kini berada di Jeddah, Arab Saudi, bakal dibawa pulang ke tanah air selewat-lewatnya Ahad ini manakala 30 lagi enggan pulang kerana yakin dengan keadaan di Mesir yang semakin pulih.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga sedang menunggu kata putus daripada kedutaan di Mesir untuk menyatakan tarikh bermulanya kuliah pengajian semua universiti di negara itu memandangkan kebanyakan pelajar serba-salah untuk pulang ke tanah air.

“Apa pun, kita bersyukur kerana semua pelajar Kedah kini berada dalam keadaan selamat dan mereka juga mengakui tempat tinggal mereka itu tiada kena mengena dengan tempat rusuhan kerana terletak jauh dari tempat tunjuk perasaan,” katanya.

Setakat pagi semalam, 130 anak Kedah selamat tiba di negeri ini, menaiki lima bas yang ditaja Yiked melalui Kerajaan Negeri.

Turut hadir Exco Pelajaran dan Agama, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dan Pengurus Besar Yiked, Abdul Rahman Ismail.

Kebangkitan Anak Muda 30K di Kedah

Kebangkitan Anak Muda : 30K di Kedah Darul Aman 19 Feb 2011 [ Sabtu ]

1. Hanya tinggal seminggu sahaja lagi masa untuk Pemuda PAS dari seluruh negara berkumpul di Negeri Kedah Darul Aman dalam kekuatan 30 ribu tenaga sebagai persiapan dan pecutan akhir menggalas agenda Kebangkitan Anak Muda Negara menuju perubahan. Tema himpunan 30K Pemuda PAS ini ialah " Masa Untuk Berubah : PAS Sedia Ganti UMNO " .

2. Ironisnya, himpunan ini akan berlangsung seminggu selepas dunia menyaksikan kejayaan kebangkitan generasi muda di bumi Mesir yang membawa kejatuhan Regim Hosni Mubarak yang telah memerintah sejak 30 tahun yang lalu. Pastinya semangat anak - anak muda di negara utara Afrika itu telah menular ke seluruh dunia untuk membangkitkan kesedaran serta keinsafan rakyat menolak regim yang zalim . Saya percaya, semangat dan kesedaran yang sama juga telah sampai ke negara kita dan kini anak - anak muda pula bersedia untuk bangkit menggantikan pemerintahan UMNO dan BN yang telah memerintah negara sejak 50 tahun yang lalu dengan memberi mandat kepada PAS dan PR sebagai pemerintah, pentadbir dan pengurus negara yang baru menjelang PRU yang akan datang.

3. Pemuda PAS akan diberi suntikan semangat pada himpunan tersebut oleh tokoh - tokoh pimpinan PAS dan sebahagiannya adalah mantan ketua - ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. Insyaallah, himpunan 30K Pemuda PAS ini akan mendengar ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia [ sessi 2009-2011 ] sebagai "amanah perjuangan" serta "peraturan dan arahan" khas menghadapi gelombang kebangkitan anak muda ke arah memenangi Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

4. Tokoh - tokoh pimpinan yang akan turun memberi suntikan semangat perjuangan fi sabilillah kepada pemuda - pemuda PAS kelak ialah :

Al Fadhil Ustaz Yb Nasharudin bin Mat Isa [ Timbalan Presiden PAS ]
Al Faadhil Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man [ Naib Presiden PAS ]
Al Faadhil al Akh Yb Tuan Hj Salahudin Ayub [ Naib Presiden PAS merangkap mantan Ketua DPP Malaysia ]
Al Faadhil Ustaz Dato' Seri Azizan bin Abdul Razak [ AJK PAS Pusat merangkap MB Kedah ]
Al Faadhil Ustaz Dato' Abu Bakar Chik [ AJK PAS Pusat merangkap mantan Ketua DPP Malaysia ]
Al Fadhil al Akh Tuan Hj Mohamad bin Sabu [ AJK PAS Pusat merangkap mantan Pemangku Ketua DPPM ]
Al Faadhil Ustaz Hj Hasrudin bin Hassan [ Ketua DPP Malaysia - Ucaptama ]

5. Sebelah petangnya pula Peserta himpunan akan direhatkan seketika dengan selingan persembahan artis - artis terkenal seperti Radhi dari Malissa dan Pak Long yang akan mengiringi seorang tokoh seleberiti terkenal tanahair yang akan menyerahkan borang untuk menyertai PAS pada hari itu. Himpunan ini akan ditutup dengan taklimat khas dan arahan gerakkerja pilihanraya oleh Pengarah Jabatan Piliharaya dan Strategi DPP Malaysia Yb Firdaus Jaafar.

6. Himpunan 30K ini akan disempurnakan dengan penuh gemilang pada jam 8.30 malam dengan Majlis Solat Hajat Perdana di tapak himpunan memohon petunjuk dan pertolongan Allah swt bagi mempertahankan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan pidato Perdana sempena semarak Kebangkitan Anak Muda menuntut perubahan memburu keadilan dengan tema Masa Untuk Berubah : PAS Sedia ganti UMNO oleh :

Sohibus Samahah Fadhilatus Syeikh al Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sohibus Samahah Fadhilatus Syeikh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Al Fadhil Ustaz Dato' Seri Azizan bin Abdul Razak
Al Fadhil Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan
Al Akh [ Seleberiti Terkenal Tanahair yang akan menyerahkan borang menyertai PAS ] - nantikan kemunculannya.

7. Pastikan anda sebagai Pemuda PAS hadhir ke himpunan ini bagi menyemarakkan gelombang kebangkitan Anak Muda dari seluruh dunia. Dari Tunisia, Yemen, Mesir, Jordan, Bangladesh dan kini Malaysia . Jumpa anda semua pada 19 February 2011 [ sabtu ] bersamaan 16 Rabiul Awal 1432H.

8. Ayuh Pemudaku ... tunaikan amanah perjuanganmu dan capai inspirasimu menuntut sebuah perubahan. kalian adalah Rijaaluttaghyir [ Agen Perubah ]

KUALA KEDAH - Jangan terpedaya ‘ulat’ letak kereta

KUALA KEDAH - Ekori dan pujuk. Begitulah modus operandi yang digunakan ulat di Jeti Kuala Kedah yang mencari pendapatan harian dengan jalan mudah menggunakan pelancong ke Pulau Langkawi sebagai sasaran mereka.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ulat terbabit akan menunggu pelancong yang menaiki kenderaan dan bertanyakan pelancong sama ada mahu ke Pulau Langkawi atau tidak, sekiranya mereka mahu mencari tempat letak kereta, ulat akan memujuk untuk diletakkan di kawasan mereka.

Kesempatan di musim cuti persekolahan sering digunakan untuk mencari keuntungan yang berlipat kali ganda dengan mengenakan caj yang mahal kepada pelancong.

Bagi mengekang golongan tidak bertanggungjawab itu, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan polis mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan terbabit. pada Tahun Baru Cina lalu.

Datuk Bandar, Datuk Khazali Din berkata, sebanyak 200 saman dikeluarkan dan diletakkan di kenderaan yang melanggar kesalahan itu namun kertas saman dikoyakkan oleh ulat terbabit.

Menurutnya, apabila kejadian itu berlaku, pemilik kenderaan tidak menyedari mereka menjadi mangsa ulat.

“Tindakan yang dilakukan ulat ini sangat berbahaya kepada pemilik kenderaan kerana mereka bukan sahaja tidak mengetahui kenderaan mereka disaman malah ia turut disenaraihitamkan.

“MBAS menyarankan pemilik kenderaan meletakkan kenderaan mereka di kawasan letak kereta disediakan MBAS di kawasan jeti Kuala Kedah ataupun penyedia letak kereta yang dibenarkan,” katanya.

Khazali berkata, MBAS menyediakan kawasan letak kereta dengan harga berpatutan berbanding caj tinggi disediakan ulat.

Menurutnya, bagi membanteras kegiatan ulat di Jeti Kuala Kedah, MBAS dengan kerjasama polis akan melipatgandakan usaha membanteras kegiatan yang memberi imej tidak baik di kawasan itu.

Menurutnya, ulat terbabit boleh didakwa di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Tempat Letak Kereta 1988 kerana menyediakan tempat letak kereta tanpa kebenaran Datuk Bandar.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda RM2,000 dan RM200 tambahan pada setiap hari kesalahan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa berkata, peringatan kepada ulat terbabit telah diberikan supaya kegiatan mereka dihentikan namun masih tiada sebarang perubahan.

Mohd Nasir berkata, pelancong ke Langkawi dinasihatkan tidak terpengaruh dengan ulat terbabit kerana membahayakan kenderaan mereka.

Alahai MDY.. buat jamban tak ayaq pipe...

Cantik tapi tidak berfungsi

GUAR CHEMPEDAK - Penduduk di daerah ini kecewa, berikutan tandas di pekan Guar Chempedak tidak dapat berfungsi dan dikunci sehingga menyusahkan penduduk setempat.

Tandas berkenaan yang juga tidak mempunyai bekalan air itu tidak berfungsi sejak sekian lama dan hanya menjadi tatapan penduduk setempat.

Penduduk yang hanya dikenali sebagai Halim berkata, tandas itu tidak sepatutnya dibiarkan begitu saja, kerana pekan Guar Chempedak adalah kawasan tumpuan.

“Ramai penduduk kampung yang merungut mengenai tandas ini yang nampak cantik, tetapi tidak dapat digunakan,” katanya.

Menurutnya, kegagalan tandas itu untuk berfungsi membuatkan penduduk berasa kecewa dengan pentadbiran pihak berkuasa.

“Kalau betul la tandas ini memang tidak dapat digunakan lagi, sekurang-kurangnya letakkan tanda agar penduduk faham dan boleh mencari tandas lain,” katanya.

Halim berkata, tandas itu sepatutnya dikekalkan berikutan ramai penduduk yang memerlukan kemudahan tandas awam.

“Saya difahamkan, tandas ini akan dirobohkan dan akan dijadikan ruang niaga. Saya tidak pasti perkara ini betul ataupun tidak, cuma saya berharap, kalau perkara ini betul terjadi, tandas alternatif perlu diwujudkan,” katanya.

Menurutnya, isu tandas memang nampak remeh tetapi ia melibatkan perasaan penduduk setempat.

“Cuba bayangkan kalau anda amat memerlukan tandas, tetapi tandas tidak dapat berfungsi. Saya yakin anda pasti berasa kecewa dan marah.

“Disebabkan itu, masalah tandas perlu diselesaikan dengan kadar segera, untuk mengelakkan sebarang masalah kelak,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...