Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman

ALOR SETAR - Pengguna yang menerima bil air Syarikat Air Darul Aman (Sada) dengan jumlah tinggi melebihi kadar biasa, dinasihatkan merujuk kepada pejabat Sada terdekat untuk semakan kerana dibimbangkan berlaku masalah teknikal atau kerosakan meter.

Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, masalah bil melambung tinggi yang berlaku di Baling, kelmarin, adalah sebahagian daripada masalah teknikal setelah pihaknya menukar meter lama kepada baru.

“Sada mohon maaf atas kekeliruan itu, dan masalah ini timbul disebabkan oleh penyelarasan yang dibuat selepas menggantikan meter baru,” katanya.

Rofedi berkata, setelah dibuat penyelarasan pada bil milik Ideris Sidek dari Kampung Pokok Setol, mukim Siong berjumlah RM1,441.02, pihaknya mendapati bil itu dikeluarkan sebelum penyelarasan dibuat.

“Meter air terbabit rosak pada 6 September 2010 dan sepanjang tempoh itu, Sada buat anggaran bacaan sebelum memasang meter baru. Selepas diganti dan rujuk pada penggunaan sebenar, kita buat penyelarasan, dan bayaran perlu dijelaskan ialah RM74.74,” katanya.

Manakala bil yang mencecah RM500 milik Abd Rahman Mutalib, perlu membayar sebanyak RM92.80 selepas dibuat penyelarasan.

“Penyelarasan dibuat apabila berlaku kerosakan pada meter sejak April 2010, dan meter baru dipasang pada 3 November lalu.

"Oleh itu berlaku pertindihan bil menyebabkan ianya melambung tinggi,” katanya.

Rofedi berkata, pihaknya berharap, pengguna segera melaporkan kepada Sada sekiranya terdapat kes hampir sama berlaku di kawasan mereka.

“Selepas tunjukkan bil, Sada akan semak data terperinci dan buat penyelarasan segera. Ianya tidak mengambil masa lama untuk diselesaikan,” katanya. [Sinar harian]