TERKINI :

Friday, November 25, 2011

Kesatuan sekerja tidak boleh disaman

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini semalam memutuskan kesatuan sekerja menikmati imuniti mutlak daripada disaman di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Hakim Datuk V.T.Singham berkata, Seksyen 22(1) akta itu memberikan perlindungan kepada kesatuan sekerja daripada mana-mana saman yang difailkan di mahkamah, malahan jika pun, wakil kesatuan telah memfitnah pihak satu lagi (majikan).

"Mungkin sudah tiba masanya bagi penggubal undang-undang untuk menimbangkan secara serius sama ada perbuatan fitnah tort, jika dilakukan oleh atau mewakili pihak kesatuan sekerja dan malahan jika ia dilakukan ketika sedang dipertimbangkan atau pelanjutan pertikaian sekerja, patut diberikan perlindungan imuniti seperti di bawah Seksyen 21 dan Seksyen 22 akta itu,” katanya.

Singham juga berkata, adalah sangat jelas di bawah seksyen itu bahawa mahkamah tidak sepatutnya melayani sebarang saman terhadap kesatuan sekerja.

Oleh yang demikian, beliau menolak saman fitnah yang dikemukakan oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) terhadap Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan Setiausaha Agungnya, J.Sandagran Solomon.

Singham membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan NUBE tersebut atas alasan mereka mempunyai imuniti mutlak sebagai kesatuan sekerja mengikut Seksyen 22(1) akta itu.

Beliau juga memerintahkan Maybank membayar RM15,000 sebagai kos kepada para defendan. — Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...