TERKINI :

Thursday, November 17, 2011

Kedah Tidak hanya tumpu kepada nenas

Oleh : SH UTARA/ MOHD IDROS MOHD ALI, ROSLINDA HASHIM & ROSNANI SAAD

http://pucukhijau.kdhagro.com.my/wp-content/uploads/2010/04/lk1-1024x768.jpg
ALOR SETAR - Walaupun menggalakkan tanaman nenas, Kerajaan Negeri tidak pernah mengenepikan tanaman lain sebagai usaha mempelbagaikan hasil pertanian untuk menjana pendapatan petani.

Exco Pertanian dan Industri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit) berkata, tanaman yang turut diberi galakan ialah padi yang ditanam di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), rambutan, nangka, kelapa, betik dan jagung manis.

Namun begitu, nenas yang mendapat sambutan menggalakkan diberi fokus kerana pelbagai kegunaannya termasuk dimakan segar dan ditinkan.

"Tanaman tradisional tidak diketepikan sebaliknya diberi nafas baru agar hasilnya lebih banyak. Sebagai contoh, kita akan naik taraf sistem pengairan agar lebih teratur untuk sawah padi.

"Bagi buah rambutan, kita akan buat program pemulihan dusun dan menumpukan kepada jenis yang baik dan mendapat sambutan seperti rambutan spesis lekang nyior, deli dan gula batu.

"Kita tidak suruh mereka tebang pokok lama tetapi buat pangkasan dan cantum dengan tunas klon baru yang mendapat pasaran baik," katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohammad Radzi Salleh (Bebas-Lunas) di Dun semalam.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ku Rahman Ku Ismail (BN-Guar Chempedak), Ir Amiruddin berkata setakat ini, Kedah mempunyai 966 hektar tanah yang ditanam dengan nenas dan menghasilkan 13,417 metrik tan dengan perolehan RM21.4 juta.

Beliau berkata aliran permintaan nenas makin meningkat dan bagi memastikan ia berada di pasaran sepanjang masa, penanamannya dirancang agar tidak masak serentak sebaliknya mengikut jadual yang ditetapkan.

"Langkah ini perlu untuk mengelakkan berlaku lambakan buah yang boleh menyebabkan harganya jatuh. Kita juga akan pastikan buah nenas dikurangkan di pasaran pada bulan Ramadan dan musim buah-buahan tempatan kerana kurang permintaan," katanya.

Menurutnya, untuk menastikan industri nenas memberi manfaat kepada semua pihak dan jaminan pasaran, persatuan penanam nenas negeri Kedah ditubuhkan dengan dianggotai 100 orang penanam berskala besar dan sederhana untuk membantu ahli dan menerokai peluang baru.

Menjawab soalan asal Datuk Md Rohsidi Osman (Pas-Bukit Pinang), Ir Amiruddin berkata setakat ini nenas yang ditanam hanya untuk pasaran tempatan dan belum dieksport ke negara luar.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...