taman

ALOR SETAR - Sikap pasangan bercinta yang tidak tahu malu dan langsung tidak mengendahkan orang lain semata-mata mahu melepaskan rasa rindu antara satu sama lain di kawasan rekreasi Taman Rimba, mengundang rasa kurang senang pengunjung taman.

Tinjauan mendapati, kawasan yang dijadikan orang ramai untuk beriadah, berjoging dan melakukan aktiviti sukan disalahgunakan mereka dengan menjadikan pondok rehat atau kerusi sebagai tempat mereka untuk bersama.

Pengunjung, Mohd Ashraf Rashid, 34, berkata, sikap pasangan bercinta di kawasan itu kadangkala ‘menjijikkan’ kerana mereka turut melakukan maksiat.

Menurutnya, walaupun pengunjung di taman rekreasi itu pernah menegur sikap mereka, namun ia langsung tidak diendahkan.

“Saya dan rakan-rakan sering beriadah di sini dan kami sakit mata melihat pelbagai aksi mereka, termasuk melakukan aktiviti maksiat.

“Kami bukan sahaja menegur sikap mereka, malah pernah menghalau mereka namun masalah ini masih berulang,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi seorang lagi pengunjung, Kassim Daud, 42, berkata, kebanyakan pasangan gemar memilih waktu tengah hari dalam lingkungan jam 12 tengah hari hingga 2 petang untuk berada di kawasan tersebut.

Menurutnya, ketika itu keadaan di kawasan itu sunyi dan tidak ramai pengunjung berbanding pada waktu pagi dan petang lebih ramai pengunjung datang beriadah.

“Saya harap pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) perlu mengadakan rondaan dan mengambil tindakan segera kepada mereka, bagi mengelak kegiatan maksiat berleluasa dan berlarutan di kawasan Taman Rimba,” katanya.

Kassim berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu menyediakan beberapa langkah seperti memastikan lampu sentiasa dipasang pada waktu malam bagi mengelak kegiatan maksiat dilakukan pada waktu itu.