TERKINI :

Thursday, November 10, 2011

CONTOHI SELANGOR DALAM PENETAPAN GAJI MINIMUM

(8 November 2011)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong usaha kerajaan Selangor dalam melaksanakan gaji minimum dengan menetapkan RM 1,500.00 sebagai gaji permulaan di syarikat-syarikat milik kerajaan negeri mulai tahun depan.

DPPWP menganggap langkah kerajaan Selangor sebagai langkah kehadapan bagi mendahului kerajaan Persekutuan yang dianggap lembap dalam membuat keputusan berhubung penetapan gaji minimum. Dalam keadaan pelbagai desakan oleh banyak pihak, kerajaan persekutuan sehingga sekarang masih belum menetapkan gaji minimum. Sebaliknya, kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat membuktikan mereka ‘walk the talk’ dengan melaksanakan apa yang mereka perjuangkan selama ini.

Usaha ini selari dengan kehendak rakyat yang mahukan gaji minimum ditetapkan pada suatu kadar yang munasabah. Rakyat dihimpit dengan kesempitan hidup ekoran kenaikan harga barang serta kos hidup yang serba meningkat, lantaran itu penetapan gaji minimum amat wajar dilaksanakan. Ini kerana masih ramai kakitangan bawahan mendapat gaji yang sangat rendah dan berada di bawah paras kemiskinan. Mereka tidak mampu menampung kehidupan serta keluarga mereka sehingga akhirnya terpaksa melakukan pelbagai kerja sampingan bagi menampung kehidupan.

Usaha kerajaan Selangor menjadi bukti bahawa Pakatan Rakyat benar-benar memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat tanpa mengira warna kulit, bangsa, keturunan ataupun ideologi politik mereka. Kerajaan Pakatan Rakyat mencipta rekod bersih dalam pentadbiran serta sering mendahului kerajaan Persekutuan dalam memikirkan permasalahan rakyat. Penetapan gaji minimum mampu melegakan kehidupan kakitangan awam atau swasta yang selama ini bergelut dengan masalah kemiskinan.

DPPWP mengharapkan langkah kerajaan Selangor dapat dicontohi oleh kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat dengan penetapan gaji minimum buat kakitangan kerajaan negeri mahupun syarikat-syarikat milik kerajaan negeri. Bahkan, DPPWP mengesyorkan juga kepada kerajaan negeri-negeri lain agar meneladani langkah kerajaan Selangor dalam menetapkan gaji minimum kakitangan di negeri masing-masing.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...