TERKINI :

Wednesday, October 26, 2011

Hadi puas hati prestasi Kedah


KOTA SARANG SEMUT - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpuas hati dengan pencapaian Kedah malah menyifatkan Kerajaan Negeri berjaya mentadbir dengan baik walaupun sistem persekutuan tidak diamalkan secara telus di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR).

Menurutnya, tindakan ini membuktikan bahawa sehingga kini Umno-Barisan Nasional (BN) masih tidak dapat menerima hakikat kehilangan lima negeri dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

“Ternyata Kerajaan Negeri Kedah masih dapat menjalankan tugas dengan baik, dan apa yang penting ialah kita dapat memperkenalkan konsep kerajaan yang bersih dan amanah dan inilah perkara penting dalam amalan demokrasi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Sambutan 60 Tahun Pas peringkat negeri Kedah, di Kompleks Pas Batu 9, malam kelmarin.

Abdul Hadi berkata, beliau yakin sekiranya pilihan raya umum akan datang dilaksanakan secara telus dan adil, Pas bukan sahaja berupaya menambahkan bilangan kerusinya di Kedah tetapi juga dapat menawan negeri lain.

“Malah pada pilihan raya umum sebelum ini, Pas berjaya meletakkan wakil di semua negeri selain Sabah, Sawarak dan Melaka.

“Bagaimanapun, saya berpesan agar seluruh ahli tidak terlalu yakin. Yang penting kita perlu bergantung kepada kerja, kesungguhan dan kekuatan diri sendiri, bukan mengharapkan kelemahan yang ada pada parti lawan,” katanya.[Sinar Harian]

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...