TERKINI :

Friday, August 19, 2011

Dilema sekolah pondok

Pengajian sekolah pondok bukan sahaja mampu melahirkan insan yang cemerlang akademik dan sahsiah diri, tetapi juga menjadi antara ‘kilang’ melahirkan tahfiz dan ulama generasi pelapis. Bukan mudah untuk melahirkan satu generasi umat Islam yang mampu melaksanakan tanggung jawab sebagai khalifah di muka bumi ini, melainkan dengan pendidikan lengkap dunia akhirat, serta mendidik akal dan hati selaras dengan Islam.

Ini menyebabkan ada pihak tampil mahu memartabatkan sistem pengajian pondok agar dapat diseragamkan demi masa depan sekolah itu, yang hanya bersandarkan pada kepimpinan tok guru, selain beroperasi hasil daripada sumbangan dan dana orang ramai.

Sudah tiba masanya sistem pengajian pondok diberi nafas baru supaya pendidikan ini turut meniti di bibir pelajar-pelajar antarabangsa untuk menimba ilmu di negara ini.

Pelbagai penambahbaikan perlu dilakukan sekiranya mahu merealisasikan hasrat itu, namun adakah perubahan yang dituntut itu sejajar dengan perjuangan sekolah-sekolah pondok yang sekian lama selesa dengan cara mereka sendiri.

Keseragaman pengajian pondok dibincang

Kerajaan Negeri sentiasa proaktif memperkenalkan pelbagai pembaharuan dalam usaha untuk meningkatkan taraf pendidikan pengajian Islam di Kedah.

Antaranya ialah dengan menubuhkan Majlis Guru-Guru Pondok Negeri Kedah Jun lalu untuk mengatasi kelemahan pengajian di sesebuah pondok yang diterajui seorang Tok Guru.

Pengerusi Hal Ehwal Sekolah-Sekolah Agama (Hesa), Ahmad Yahya berkata, dalam mesyuarat pertama Majlis Guru-Guru Pondok Negeri Kedah yang dipengerusikan oleh Mohd Rejab Md Akhir, Majlis mencadangkan supaya sistem pengajian pondok di negeri ini diseragamkan supaya dapat membuat penambahbaikan dalam sistem pengajian pondok sedia ada.

“Sebelum ini perjumpaan antara tuan guru pondok diadakan untuk membincangkan masalah yang timbul, tetapi kali ini mereka sebulat suara bersetuju menubuhkan Majlis Guru-Guru Pondok Negeri Kedah demi masa depan pusat pengajian ini,” katanya.

Menurutnya, penubuhan Majlis ini banyak manfaatnya, antaranya dapat menyatupadukan semua institusi pondok yang terdapat di Kedah bawah satu bumbung.

“Sebelum ini ada pondok yang memohon untuk bersama Hesa dan memang ada keperluan untuk wujudkan Majlis ini sebab mudah Kerajaan Negeri memantau perkembangan dan sumbangan untuk diagihkan,” katanya.

Ahmad berkata, perguruan pondok kelak lebih sistematik selain dapat menjaga kebajikan semua institusi pondok yang bernaung di bawah Hesa.

“Majlis ini juga akan menjadi medan bertukar tukar pandangan dan berkongsi idea dalam membangun dan mempertahankan institusi pondok. Malah boleh dijadikan tempat rujukan dan perbincangan ilmiah berhubung permasalahan semasa,” katanya.

Menurutnya, Hesa juga mahu tampil sebagai tali penghubung antara institusi pondok dengan Kerajaan Negeri supaya institusi pondok dapat dinaik taraf.

“Agenda pertama Majlis ini adalah untuk memastikan sama ada sesuai atau tidak sistem pengajian pondok diseragamkan atau mereka belum bersedia berdepan dengan perubahan ini. Ianya masih dibincangkan di peringkat awal dan setakat ini belum mendapat keputusan muktamad,” katanya.

Ahmad juga menyeru mana-mana pondok yang berminat bernaung bawah Hesa boleh mengemukakan permohonan bawah Majlis Guru-Guru Pondok Negeri Kedah.

“Kita bersedia bincang untuk bangunkan sekolah-sekolah ini selain membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka,” katanya.

Ahmad berkata, Hesa ditubuhkan pada April 2008 dan kini memiliki 60 institusi pelbagai peringkat di bawahnya. Dua lagi majlis yang bernaung bawah Hesa, ialah Majlis Pengetua dan Majlis Guru Besar.

Perlu persetujuan pemilik sekolah pondok

Cadangan menyeragamkan sistem pengajian pondok adalah satu usaha yang baik untuk memartabatkan imej sekolah-sekolah pondok di negeri ini, namun keputusan muktamad bergantung kepada Dewan Ulama Lajnah Tarbiah Pas.

Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri , Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, mana-mana sekolah pondok yang berdaftar bawah Hal Ehwal Sekolah-Sekolah Agama (Hesa) kini mudah dipantau termasuk pengagihan bantuan kepada sekolah yang daif.

“Kita serah pada jawatankuasa sebab pengajian pondok ini bawah parti dan saya pasti mereka akan mengkaji sedalam-dalamnya sebelum selaraskan sistem pengajian ini, yang dipercayai lebih banyak manfaatnya berbanding kelemahan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya sekolah-sekolah pondok bergabung bawah satu pengurusan, ianya dapat menjaga kebajikan pelajar termasuk menaik taraf struktur sekolah agar lebih sempurna.

“Inilah masanya kita tonjolkan kelebihan sesebuah pondok dan baiki kekurangannya. Bagaimana pun ianya bukan paksaan kerana pondok dimiliki tok guru masing-masing, kecuali jika mendapat persetujuan semua pihak, baru boleh laksanakan,” katanya.

Mohamed Taulan berkata, usaha ini juga baik untuk memperelok sistem pengajian sedia ada terutama untuk dijadikan tarikan pelajar dari luar negara.

http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9437669.asp

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...