TERKINI :

Friday, June 24, 2011

YAN - Daun Ketum punya penangan...

Padah miliki 80 bungkus air ketum

YAN - Seorang lelaki didenda RM1,000 kerana memiliki 80 bungkus plastik seberat 2.4 liter cecair berwarna perang yang mengandungi mitragynine.

Mohd Yusri Mansor, 35, didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 30 (5) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih empat tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar keterangan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Farrah Farriza Wan Ghazali dan rayuan tertuduh selepas mengaku bersalah.

Jika gagal, tertuduh boleh dipenjara dua bulan, bagaimanapun, Mohd Yusri membayar denda itu.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan kerana hanya memperoleh pendapatan bulanan RM200 dan terpaksa menanggung empat anak masih bersekolah serta ibu yang sudah tua.

Wan Farrah meminta hukuman setimpal dikenakan kerana ia melibatkan pemilikan jumlah cecair yang banyak dan ada kesalahan lampau.

Mengikut fakta kes, ketika memeriksa rumah tertuduh, polis menjumpai satu baldi yang berada di tepi pintu bilik mandi yang mengandungi 30 bungkus plastik lut sinar berisi cecair disyaki air ketum.

Manakala di dalam bilik mandi, polis menjumpai 50 bungkus plastik lut sinar disyaki air ketum yang berada dalam kolah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...