TERKINI :

Wednesday, June 29, 2011

Subsidi: Kerajaan utamakan syarikat besar daripada rakyat miskin

Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng terkejut apabila mengetahui Kerajaan Persekutuan mengenakan pemotongan subsidi barangan keperluan harian yang membebankan rakyat tetapi masih kekalkan subsidi tinggi bagi gas petroluem cecair, diesel dan petrol yang menguntungkan Penjana Tenaga Bebas (IPP).

Mengikut jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib Razak (gambar kanan) di Dewan Rakyat baru-baru ini, subsidi kerajaan bagi barangan keperluan harian seperti padi, beras, gula dan tepung hanya 10% daripada subsidi yang diberikan kepada gas petroluem cecair, diesel dan petrol.

Subsidi yang diberikan kepada gas petroluem cecair, diesel dan petrol pada tahun 2011 adalah RM 10.25 billion (dan telah ditambah sebanyak RM5.6 billion kepada RM15.9 billion kerana kerajaan terpaksa menambah subsidi untuk mengekalkan harga runcit RON95), tetapi subsidi untuk barang-barang keperluan rakyat seperti beras, gula dan tepung hanya RM 1.5 billion. Kenapa Kerajaan Persekutuan tidak memotong subsidi kepada gas petroluem cecair, diesel dan petrol, dan mengembalikan subsidi yang benar-benar dapat meringankan beban rakyat golongan pertengahan dan bawahan tanpa membebankan kedudukan kewangan negara?

Kerajaan yang berjiwa rakyat sepatutnya mengurangkan beban rakyat jelata dan bukannya membantu kroni-kroni mereka untuk mencapai kejayaan. Nampaknya Kerajaan BN buat yang sebaliknya.

Di Dewan Rakyat, Lim bertanya apakah langkah Kerajaan dalam mengatasi inflasi dan mengurangkan kesannya terhadap peniaga dan rakyat Malaysia ekoran penarikan subsidi diesel dan statistik kenaikan harga barang mentah, minyak dan diesel sejak lima tahun lalu.

Menteri Kewangan menjelaskan bahawa Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM23.7 bilion atau 14.6% daripada perbelanjaan mengurus bagi jumlah keseluruhan subsidi untuk tahun 2011. Pecahan terperinci perbelanjaan tahunan subsidi mulai tahun 1999 hingga 2011 adalah seperti dalam Jadual di bawah.

JUMLAH PERBELANJAAN SEBENAR SUBSIDI (RM JUTA) ~ 1999 – 2011

1.Daripada tahun 2008, biasiswa dan bantuan pelajaran diklasifikasikan di bawah subsidi.
2.Termasuk bantuan kepada golongan miskin, warga emas, Orang Asli, orang kelainan upaya dan golongan mudah terjejas.
3.Insentif untuk membantu petani, nelayan dan penternak bagi meningkatkan pengeluaran makanan.
4.Termasuk rebat tunai dan lain-lain.

Kerajaan Persekutuan telah menambah peruntukan bagi subsidi petroleum, diesel dan LPG sebanyak RM 5.6 billion daripada RM 10.3 billion kepada RM 15.9 billion bagi tahun 2011. Begitu juga dengan subsidi minyak masak di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak ditambah sebanyak RM 700 juta daripada RM 928 juta kepada RM 1.6 billion bagi tahun 2011, menjadikan jumlah besar Perbelanjaan subsidi RM 30 billion.

Beliau mengatakan bahawa pada bulan Mei 2011, subsidi gula telah dikurangkan 20 sen yang dijangka memberi penjimatan sebanyak RM117 juta. Walau bagaimanapun, Kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak RM283 juta. Selain itu, pemansuhan diesel super subsidi bagi pengangkutan darat tertentu seperti penggerak utama (prime mover), kargo am dan teksi limosin serta nelayan laut dalam (zon C2) mulai 1 Jun 2011 dijangka menghasilkan penjimatan sebanyak RM712 juta.

Penjimatan daripada pemotongan subsidi tersebut tak sampai RM1 billion tetapi tetap telah membebankan rakyat. Sebaliknya subsidi untuk gas dan minyak telah bertambah.

Mengikut Jadual Subsidi Tahunan, berbanding dengan tahun lepas, semua subsidi tahun ini untuk syarikat besar naik kecuali subsidi untuk rakyat biasa telah turun. Ini memberikan gambaran bahawa kerajaan persekutuan lebih memberikan prihatin kepada syarikat besar dan kaya daripada rakyat miskin. Contohnya subsidi untuk gas dan minyak telah naik daripada RM 9,605 juta dalam 2010 kepada RM 10,256 juta dalam 2011 (dan ditambah RM 5.6 billion kepada RM 15.9 billion).

Manakala subsidi bantuan kebajikan lain untuk orang miskin telah turun daripada RM 2,376 juta untuk 2010 kepada RM 1,879 juta untuk 2011. Subsidi untuk beras dan gula pun telah turun daripada RM 1,927 juta untuk 2010 kepada RM 1,572 juta untuk 2011. Dan lagi, insentif untuk membantu petani, nelayan dan penternak bagi meningkatkan pengeluaran makanan pun telah turun daripada RM 524 juta untuk 2010 kepada RM 401 juta untuk 2011.

Jelas dalam gelombang pengurangan subsidi, subsidi untuk rakyat biasa dan miskin dipotong lebih secara perbandingan dengan subsidi untuk korporat.

*Kenyataan oleh Lim Guan Eng (gambar kanan) selaku Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Kawasan Bagan dan Setiausaha Agung DAP.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...