TERKINI :

Saturday, June 4, 2011

Perubahan PAS tidak ditentukan oleh ‘kehebatan seseorang’

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

http://1.bp.blogspot.com/_lmBZm7oy02Q/SgPYOwUoH8I/AAAAAAAACyY/QNqpgjLDVqA/s200/fadzil+noor.jpgDua dekad yang lalu, sewaktu Almarhum Dato’ Fadzil Noor memimpin PAS, Muktamar Tahunan PAS Pusat tidak sangat dipedulikan oleh pihak media terutama dalam isu pemilihan. Almarhum Pak Yusof Rawa melepaskan jawatan Yang Dipertua PAS Pusat kepada Ustaz Fadzil Noor dalam keadaan kesihatannya terganggu. Media langsung tidak dapat memanipulasi isu pengunduran Pak Yusof kerana beliau benar-benar uzur untuk memimpin PAS disebabkan faktor usia.

Pada muktamar terakhir Pak Yusof sebagai Yang Dipertua, teks ucapan perasmian dibacakan oleh Ustaz Fadzil Noor. Apabila Ustaz Fadzil naik sebagai Yang Dipertua, maka orang nombor duanya sangat jelas iaitu Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Untuk pertama kali jawatan Naib Yang Dipertua PAS kosong serentak pada masa itu apabila Ustaz Abdul Hadi mengisi jawatan Timbalan YDP dan Ustaz Nakhaie meletakkan jawatan sebelum dari itu; ia juga diisi tanpa pertandingan. Ustaz Fadzil dalam gurauannya sewaktu ucapan penangguhan muktamar mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan beliau dua orang Naib YDP, seorang Banjar (Ustaz Hasan Shukri) dan seorang Bugis (Dr. Daing Sanusi Daing Mariok).

Di sepanjang gandingan Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi memimpin PAS, dua jawatan tertinggi itu tidak pernah dipertandingkan.

Untuk muktamar ke 57 kali ini, isu pemilihan jawatan Timbalan dan Naib Presiden sangat diberi perhatian oleh media serta pemerhati politik di seluruh negara. Ulasan demi ulasan dibuat setiap hari menjadikan PAS sebuah parti yang ‘sangat besar’ dan benar-benar menjadi alternative kepada Umno.

Senario dalam PAS sendiri, pemilihan kepimpinan tertinggi tidak pernah berlaku dengan sengit. Tiada lobi melobi berlaku di tahap kronik, tiada pemusnahan imej lawan dan jauh sekali dari politik wang. Sebab itu PAS dengan ‘bangganya’ dapat menempelak UMNO bahawa, “Kami tiada masalah buat pemilihan, sekalipun andainya bulan hadapan berlaku pilihanraya umum.”

Tiga calon menawarkan diri untuk Timbalan Presiden dan enam calon untuk Naib Presiden; adalah orang yang layak untuk bertanding di tempat tersebut. Masing-masing ada kelebihan dan mungkin juga ada kelemahan. Hakikatnya, siapa yang mengisi tempat tersebut pun maka tidak akan berlaku perubahan yang drastik dalam PAS berhubung dasar dan strategi kerana apa-apa keputusan penting dalam PAS dibuat secara musyauwarah. Tiada keputusan besar dibuat secara individu.

Hal tersebut membezakan antara PAS dengan UMNO. Dalam UMNO, Presiden sangat berkuasa sehingga jika dia berkata ‘siang itu malam’ maka seluruh ahli majlis tertinggi mesti turut berkata ‘malam’ sewaktu matahari terpacak di atas kepala.

Di samping minat yang ditunjukkan oleh pihak musuh, tidak dinafikan terdapat segelintir manusia dalam parti yang agak ghairah dengan percaturan jawatan. Mereka berkempen untuk calon pilihan. Sekalipun mungkin berlaku kempen tetapi ia tidak seburuk kempen dalam Umno yang berlaku di peringkat cawangan pun.

Kempen dalam PAS sangat tenang. Ini yang memeningkan kepala Umno. Umno sedar PAS tidak sekuat UMNO tetapi PAS tidak berpecah dengan kuat seperti dalam UMNO.

Muktamar ke 57 kali ini berlangsung dalam suasana peluang PAS dan pakatan Rakyat menawan Putrajaya sudah menjadi tidak mustahil. Sebilang masa pun cita-cita itu tidak pernah mustahil, tapi jarang berada dalam bayangan pemikiran ahli-ahli politik pembangkang. Seperti kata Subky Latif, percaya ada, harap tidak.

Pasca Tsunami 2008, persepsi semua pihak telah berubah. Misi dan visi menawan Putrajaya menjadi semakin hampir. Halangan terbesar PAS sebelum 2008 ialah undi bukan Melayu. Pelbagai pendekatan difikirkan dan dilakukan untuk memecah kebuntuan. Kini isu tersebut dianggap sudah boleh diatasi.

Beberapa halangan besar seperti ini sebenarnya masih menjadi batu penghalang terhadap usaha PAS, untuk sekurang-kurangnya menjadi parti alternative terhadap Umno. Isu inilah yang mesti diperdebatkan oleh perwakilan muktamar bagi dirungkaikan kekusutannya.

Ramai yang bersetuju bahawa terdapat dua perkara besar yang masih menjadi penghalang kepada PAS dan Pakatan Rakyat merealisasikan cita-cita menumbangkan BN di Pusat. Pertama, penguasaan atau lebih tepat disebut penyalahgunaan jentera kerajaan untuk kepentingan politik BN. Kedua, penguasaan media-media utama negara oleh BN.

Isu pencemaran daftar pemilih, undi pos dan pemberian mykad berlaku melalui penyalahgunaan instrument kerajaan. Kempen politik untuk BN oleh agensi kerajaan termasuk oleh Cawangan Khas Bukit Aman, menghalang ceramah Pakatan Rakyat, membenarkan ceramah politik BN, menekan kakitangan awam dan merasuah pengundi juga berlaku melalui penyalahgunaan instrument kerajaan.

Penguasaan media utama dalam negara adalah senjata terkuat dalam melindungi pengaruh BN. Media kedua di alam maya tidak diakses oleh majoriti rakyat, dianggarkan sekitar 40 peratus namun bukan semua dalam kelompok itu aktif mengakses secara harian. Dan bukan semua yang aktif itu pula menjadikan politik dan isu semasa sebagai pilihan.

Umumnya selepas lebih separuh abad merdeka pemikiran majoriti rakyat masih terbelenggu dalam kongkongan pengaruh media-media BN.

Semua perwakilan muktamar mesti menerima hakikat bahawa kedua-dua itu adalah perkara besar yang menjadi penghalang PAS menumbangkan BN; justeru penyelesaian terhadapnya mesti difikirkan secara serius dalam muktamar. Berbahaslah untuk mencari jalan memecahkan batu penghalang itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...