TERKINI :

Saturday, June 11, 2011

Negara berkebajikan: Siapa nak tiru siapa

TASEK GELUGOR, 11 Jun: PAS tidak akan meniru Barisan Nasional (BN) melaksanakan program kebajikan pada rakyat yang di dalamnya mengandungi unsur rasuah, penyelewengan dan penipuan.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) ketika ditemui di majlis minum pagi di perkarangan Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Komoniti (JKKK) Sungai Dua pagi tadi sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib menyaran PAS agar tidak meniru Umno untuk mewujudkan negara berkebajikan kerana perkara itu telah dilaksanakan oleh kerajaan BN.

Sebaliknya, kata Tuan Ibrahim, Negara Berkebajikan yang disarankan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar muktamar baru-baru ini mempunyai agenda tersendiri dan jauh daripada anasir buruk sepertimana yang dilakukan kerajaan pimpinan Najib.

"Siapa yang nak tiru siapa. PAS tidak seinci pun akan meniru langkah BN melakukan program kebajikan kepada rakyat kerana usaha itu sering terdapat penyelewengan, penipuan atau kepentingan kroni. Bagi PAS semua itu akan ditentang bagaimana Najib kata kita tiru BN," tegasnya.

Katanya, yang sebenarnya BN meniru langkah Pakatan Rakyat apabila cuba melaksanakan sedikit demi sedikit rancangan 10 perkara yang termaktub dalam Buku Jingga.

Beliau berkata, jika Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya selepas Pilihanraya Umum ke 13 nanti pasti rakyat akan menikmati banyak manfaat yang tidak pernah dilaksanakan di era pemerintahan BN.

Jelasnya, gagasan Negara Berkebajikan yang ingin diperkenalkan oleh PAS kepada rakyat berlainan dengan cara Umno dan BN lakukan kerana Negera Berkebajikan bukan sebuah negara yang hanya membantu rakyat semata-mata tanpa kerajaan sendiri mengubah cara pentadbiran.

“Umno melalui BN dan PAS dalam Pakatan Rakyat berlainan corak pendekatan. Umno memperkenalkan kebajikan dan mengulangi apa yang mereka lakukan bila terdesak khususnya ketika menjelang pilihanraya sama umum mahupun kecil. Tetapi PAS, tidak begitu kerana bila menang ia adalah amanah yang perlu dijagai demi memastikan rakyat mendapat manafaatnya," tambah beliau.

Katanya, konsep kebajkan yang dipandang oleh BN seperti jalan raya, sekolah, perumahan, rumah kos rendah atau sebagainya tidak memadai.

Bagi PAS, katanya ini kerana semua isu tersebut sudah menjadi kewajiban sebagai pemerintahan.

Sebaliknya, tambah beliau PAS menerusi Negara Berkebajikan lebih memfokuskan bagaimana mendapatkan dana negara untuk mengurus pentadbiran agar tidak menyeleweng.

Menurutnya, sumber yang diperolehi pula tidak hanya berlegar di kalangan kroni sahaja tanpa memberi ruang kepada pihak yang sewajarnya memperolehi berdasarkan kemahiran atau tender terbuka.

Turut hadir dalam program anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor dan JKKK Sungai Dua itu ialah Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Fadhil Kemi, Ketua Penerangan PAS Negeri, Zulkiply Ishak, Setiausaha PAS Tasek Gelugor, Zamri Darus, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jamil Abdul Rahman, Penyelaras Dun Sungai Dua, Fahmi Abdul Wahab dan Pengerusi JKKK Sungai Dua, Yahya Hasan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...