TERKINI :

Friday, June 24, 2011

Biasiswa: Dasar baru bukti tadbiran BN lemah, perlu kajian dalam

KUALA LUMPUR, 24 Jun — PKR mahu Putrajaya mewujudkan sebuah jawatankuasa khas melibatkan wakil semua parti dan semua bidang untuk memperhalusi pelaksaan dasar baru biasiswa bagi mengelakkan kumpulan tertentu ditindas sekiranya dilaksanakan secara tergopoh-gapah.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata semakan secara menyeluruh dasar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan dilakukan pada tahun depan.

Kata Najib, semakan itu akan termasuk sama ada memperuntukkan tawaran biasiswa kepada pelajar cemerlang di peringkat kemasukan universiti dan menawarkan dermasiswa untuk pelajar SPM untuk mereka mengikuti kursus prauniversiti seperti STPM atau A-level.

Sehubungan itu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, beliau memandang serius pengumuman yang dibuat oleh Najib bahawa biasiswa kerajaan akan dihentikan bagi pelajar-pelajar lepasan SPM bermula tahun depan.

“Ini menandakan satu perubahan besar dalam negara yang memerlukan maklum balas semua pihak termasuklah pakar-pakar dan wakil rakyat pelbagai parti,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata Saifuddin, persoalan biasiswa adalah isu yang emotif dan rapat dengan semua rakyat, baik masyarakat Melayu-Bumiputera mahupun masyarakat Cina dan India.

“Masyarakat Melayu-Bumiputera melihat biasiswa sebagai instrumen pelaksanaan Perkara 153 yang termaktub dalam Perlembagaan sementara biasiswa pendidikan bagi masyarakat Cina dan India adalah jalan penting ke arah mobiliti sosial.

“Rakyat Malaysia pelbagai kaum telah sebati dengan kemudahan biasiswa pendidikan bagi pelajar-pelajar cemerlang dan berpotensi,” kata Ahli Parlimen Machang ini.

Saifuddin menambah kebelakangan ini, kekangan kewangan akibat keborosan Barisan Nasional (BN) menyebabkan Najib mendahulukan rakyat untuk dikorbankan.

“Kos sara hidup rakyat terbanyak dibiarkan naik melambung apabila subsidi bahan api dan makanan dipotong. Kini, kos pendidikan rakyat juga akan naik melambung apabila biasiswa pendidikan akan dihapuskan.

“Semua ini berlaku sementara tidak ada satu tindakan pun diambil untuk menyekat rasuah, pembaziran dan aliran wang rakyat ke tangan kroni melalui perjanjian-perjanjian berat sebelah seperti konsesi lebuh raya, penjana bebas elektrik dan lain-lain,” katanya lagi.

Pun begitu, kata Saifuddin, beliau mengakui bahawa sistem pemberian biasiswa sedia ada perlu dirombak dan ditambah baik, bukan atas alasan negara kekurangan dana tetapi untuk memastikan negara benar-benar mendapat pulangan terbaik dari pelaburan masa depan ini.

“Polemik sama ada kita wajar menghantar pelajar-pelajar terbaik ke universiti di seluruh dunia (mutu sesetengah dari universiti luar negara ini lebih rendah dari mutu IPTA) semata-mata atas dasar pemberian biasiswa perlu diperhalusi.

“Kesannya kepada perancangan untuk menambah baik mutu universiti-universiti tempatan juga perlu diteliti,” katanya.

Namun, kata beliau, tindakan menghapuskan biasiswa kepada pelajar lepasan SPM semata-mata kerana kegagalan BN mewujudkan tata kelola yang baik dalam mentadbir kewangan negara adalah satu jalan singkat yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, walaupun polisi pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang yang berjaya mendapatkan tempat di universiti ternama di seluruh dunia boleh diterima pada dasarnya, polisi terbaru yang diumumkan Najib akan menimbulkan diskriminasi terhadap pelajar-pelajar luar bandar dan dari keluarga berpendapatan rendah jika ia tidak dirancang dan dilaksanakan dengan baik.

“Proses untuk mendapatkan tempat di universiti-universiti ini adalah rumit dan melibatkan pelbagai ujian, termasuklah ujian-ujian yang asing kepada pelajar-pelajar luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah yang hanya mengenali SPM dan sistem pendidikan kebangsaan,” katanya lagi.

Contohnya kata beliau, bagi mereka yang ingin memohon ke universiti ternama di Amerika Syarikat, pelajar-pelajar dari Malaysia perlu cemerlang dalam beberapa ujian termasuk SAT Reasoning Test dan ujian penguasaan Bahasa Inggeris.

“Dari aspek inilah, saya benar-benar gusar bahawa kesan tidak langsung polisi yang diumumkan oleh Datuk Najib adalah mewujudkan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap pelajar dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah.

“Majoriti pelajar-pelajar ini adalah pelajar Melayu-Bumiputera yang akhirnya menimbulkan satu suasana yang mana pelajar-pelajar Melayu-Bumiputera seolah-olah dinafikan biasiswa, walaupun mereka cemerlang secara akademik dan kokurikulum,” katanya.

Selain mengadakan jawatankausa khas, kata Saifuddin, kerajaan perlu memastikan pembiayaan kursus persediaan universiti kepada pelajar-pelajar cemerlang pelbagai kaum, dengan keutamaan kepada pelajar dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah perlu diteruskan.

“Alasan bahawa ia perlu dihapuskan kerana kekangan kewangan tidak dapat diterima kerana ia berpunca dari sikap semborono Umno-BN.

“Kedua, kursus persediaan universiti yang dibiayai ini mestilah melibatkan institusi-institusi berprestasi tinggi yang mempunyai pengalaman untuk melatih pelajar-pelajar cemerlang (terutamanya dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah) bersedia melalui ujian kemasukan ke universiti-universiti ternama,” katanya lagi.

Ketiga, kata beliau, kerajaan perlu segera menyediakan lebih banyak institusi-institusi sebegini supaya persediaan pelajar-pelajar cemerlang padan dengan potensi sebenar mereka untuk memasuki universiti ternama seluruh dunia.

“Saya khuatir jumlah institusi sedia ada adalah tidak mencukupi dan kebanyakannya tidak berpengalaman, kerana selama ini institusi-institusi ini hanya menumpukan perhatian kepada peperiksaan prauniversiti sahaja,” katanya.

Malah Saifuddin juga berkata, perubahan dasar yang diumumkan semalam merupakan keputusan besar yang tidak diwajarnya diumumkan secara sembunyi kepada pendengar-pendengar radio berbahasa Tionghua sahaja.

“Ia satu dasar negara yang berkait rapat dengan Perkara 153 dan membawa kesan besar kepada kemajuan negara dan keharmonian kaum,” katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...