TERKINI :

Saturday, June 4, 2011

Asri: Prinsip negara Islam-berkebajikan, bukti PAS alami kemajuan besar

GOMBAK, 4 Jun — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan PAS sudah mula memperlihatkan “kemajuan memberangsangkan” memandangkan ia sanggup mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma ditekankan ialah negara berkebajikan.

Muktamar PAS kali ini dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.

Katanya, sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih ke hadapan, namun hari ini dengan kenyataan Hadi akan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

“Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud ‘negara kebajikan’ yang hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas.

“Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. Ini kerana negara berkebajikan mempunyai pelbagai gambaran,” kata beliau.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut ‘apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan’,” kata Asri dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS,” kata beliau mengulas kenyataan Hadi semalam.

Secara umum, tambah beliau, dunia memahami negara berkebajikan adalah negara-negara yang memakai model nordik seperti di Norway, Denmark dan Sweden.

“Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut,” katanya.

Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 semalam, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk ‘negara Islam’, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.

Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata.

“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.

“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya.

Semalam Hadi menyampaikan ucapan dasar presiden bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.

Asri, pensyarah dari Universiti Sains Malaysia berkata, pada masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari retorik negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia.

“Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah seperti yang disangka oleh sesetengah pihak,” kata beliau sambil menambah, ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah.

“Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu.

“Apabila perkataan daulah Islamiyyah, kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka perkataan daulah islamiyyah ini mula dipopular oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia,” katanya.

Kata Asri, disebabkan istilah ini juga mereka berbalah, bahkan menuduh pihak lain kurang islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan daulah islamiyyah atau negara Islam itu.

“Walaupun kadangkala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai,” kata beliau lagi.

Cuma, menurut Asri, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah itu, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik.

Katanya, gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan ‘negara Islam’ itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata.

“Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan ‘utopia state’ yang hanya wujud di minda, tidak mungkin pada realitinya.

“Alhamdulillah, apabila gerakan Islam — sebahagian mereka benar-benar terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan,” kata beliau lagi.

Justeru, Asri juga berkata, politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana, namun prinsipnya kekal.

“Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasul-Nya,” katanya.

Kata beliau, “bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya.”

Jelas tokoh agama muda ini, Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya.

“Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam. Soal mekanisme hukum sama ada hudud atau tidak, dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang kondusif yang memungkin keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi.

“Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan,” katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...