TERKINI :

Thursday, June 30, 2011

Alhamdulillah..207 Penduduk Terima Geran Tanah bagi Daerah Kubang Pasu



2,000 permohonan dalam proses

JITRA - Pejabat Daerah dan Tanah Kubang Pasu mempunyai 2,000 permohonan surat hak milik tanah bagi daerah itu yang masih dalam peringkat proses untuk mendapatkan kelulusan hak milik berkenaan.

Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datuk Noh Dahya berkata, semua permohonan masih dalam proses dan ia akan mengambil sedikit masa untuk diluluskan.

Menurutnya, justeru pihaknya berharap semua pemohon yang masih menanti kelulusan surat hak milik berkenaan supaya bersabar menanti giliran masing-masing.

“Permohonan surat hak milik tanah ini melibatkan semua kaum yang meneroka tanah dan disebabkan kita mempunyai banyak permohonan jadi ia mengambil masa untuk diluluskan.

“Ada yang mohon lebih daripada 10 tahun dan ia baru diluluskan, jadi kita minta semua pemohon bersabar,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah bagi daerah Kubang Pasu di Dewan Utama Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu.

Seramai 207 pemohon terdiri daripada masyarakat Melayu, Siam dan India hadir menerima surat hak milik tanah masing-masing.

Beliau berkata, dengan mendapat hak milik itu diharapkan penantian berakhir selepas mengusahakan tanah selama ini tanpa sebarang hak yang mutlak.

Bagaimanapun menurutnya, diharapkan supaya pemilik tanah dapat menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjelaskan cukai tanah sekali gus kutipan itu dapat digunakan untuk projek pembangunan negeri yang lain.

“Kepada semua penerima hak milik tanah diharapkan dapat membangunkan tanah masing-masing mengikut syarat tanah yang ditetapkan dan memaksimumkan penggunaan tanah dengan sepenuhnya,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...