TERKINI :

Tuesday, May 17, 2011

Kem Bina Insan 28 Mei hingga 1 Jun

ALOR SETAR, 16 Mei: Program Kem Bina Insan yang akan bermula pada 28 Mei hingga 1 Jun 2011 di lima daerah di negeri ini adalah khusus untuk remaja yang berusia antara 13 hingga 15 tahun yang bertujuan untuk memantapkan lagi sahsiah pelajar, selain membimbing hala tuju golongan berkenaan ke landasan yang betul.

Seramai 250 peserta akan ditempatkan di Maktab Mahmud, Sik manakala 200 peserta di Maktab Mahmud, Kulim; 250 peserta di Sekolah Menengah Agama Baqiyatussolihat, Langkawi; 250 peserta di Sekolah Menengah Agama Nurul Islam, Ayer Hitam dan 250 peserta di Sekolah Menengah Agama Al-Taklimiah Al-Khariah, Mukim Derga, Alor Setar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi, YB. Dr. Ismail Salleh, antara pengisian program itu ialah hala tuju remaja Islam, panduan anak soleh, membimbing akhlak mulia dan menekankan aspek ibadah.

“Hubungan kekeluargaan juga turut dikupas supaya dapat mengeratkan hubungan anak remaja dengan ibu bapa,” katanya.

Beliau menjelaskan, program yang diadakan itu adalah antara usaha Kerajaan Negeri Kedah dalam usaha membantu mengurangkan gejala sosial di negeri ini dan akan diadakan setiap tahun berikutan mendapat maklum balas yang positif daripada ibu bapa.

“Kita mahu tekankan kepada remaja bahawa jika mereka tersalah memilih idola dalam hidup mereka, kemungkinan hala tuju mereka akan terjejas dan oleh itu, kem ini dapat membimbing mereka sedikit sebanyak mengenai kehidupan seorang remaja,” ujarnya.

Dr. Ismail memberitahu, program yang diadakan selama empat hari tiga malam itu diadakan bersempena cuti persekolahan bulan Mei 2011 dengan yuran pendaftaran sebanyak RM20 seorang.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat Kem Bina Insan di talian 019-5909733 atau layari laman web: kem-binainsan.blogspot.com.

Borang penyertaan boleh diperolehi di sekolah yang mengambil bahagian iaitu Maktab Mahmud, Sik (04-4625809), Maktab Mahmud, Kulim (04-4000104), Sekolah Menengah Agama Baqiyatussolihat, Langkawi (04-9533344), Sekolah Menengah Agama Nurul Islam, Ayer Hitam (04-7940686) dan Sekolah Menengah Agama Al-Taklimiah Al-Khairiah, Mukim Derga, Alor Setar (04-7416944).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...