TERKINI :

Monday, May 30, 2011

Isu KUIN, muktamar PAS perlu tangani kenyataan MB Kedah

Oleh ZOMBI KG PISANG@SIASAH

Hanya beberapa hari menjelang muktamar PAS 2011, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku menteri besar Kedah yang mewakili PAS sebagai kerajaan negeri telah mengeluarkan satu kenyataan yang rata-rata dilihat tidak berhemah malah mampu mencalar maruah serta kredibiliti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku pemimpin tertinggi PAS.

Kenyataan berbunyi, “Insaniah (Kolej Universiti Insaniah - KUIN) bukan hak PAS, presiden PAS bukan ada locus standi dalam bab ni. Insaniah hak kerajaan negeri," dikeluarkan oleh menteri besar Kedah sebagai mengulas isu enam orang pelajar KUIN yang dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak pentadbiran kolej universiti tersebut.

Kenyataan berkenaan telah dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh beberapa laman web lain seperti Malaysiakini.

Menurut seorang pemerhati politik tempatan, kenyataan tersebut boleh disalah anggap sebagai memperlekeh wibawa jawatan presiden malah PAS itu sendiri dalam keadaan menteri besar Kedah itu adalah wakil yang dilantik oleh PAS untuk memerintah kerajaan negeri Kedah.

Jika kenyataan itu dijadikan sandaran, maka apakah locus standi semua ahli politik di dalam negara ini sama ada daripada kalangan parti pemerintah atau parti pembangkang untuk mengulas atau mengkritik apa-apa isu bersabit dengan institusi pengajian tinggi apabila diminta berbuat demikian oleh mana-mana pihak?

Jika keperluan locus standi yang disebut oleh menteri besar Kedah itu barangkali merujuk kepada aspek undang-undang dalam keadaan pelajar-pelajar terbabit memilih pendekatan penyelesaian bukan undang-undang iaitu merujuk kepada pemimpin tertinggi parti yang memerintah negeri Kedah, adakah beliau akan memberikan jawapan yang sama sekiranya pelajar-pelajar terbabit bertindak merujuk perkara tersebut kepada Sultan Kedah, yang juga dari aspek undang-undang tidak mempunyai locus standi?

Tidak diketahui jika kenyataan Azizan itu berkaitan dengan perebutan jawatan sempena muktamar PAS 2011, walhal fakta mengesahkan bahawa menteri besar Kedah itu tidak dicalonkan untuk bertanding jawatan presiden PAS oleh mana-mana kawasan.

Ada pun hanya terdapat seorang sahaja yang diketahui umum sejak beberapa ketika begitu tegar dengan dalilnya supaya ahli-ahli PAS seluruh negara menabalkan Azizan Abdul Razak sebagai presiden PAS jika mahukan PAS berjaya berkuasa di Putrajaya.

Orang yang sama juga sejak sekian lama begitu ghairah mengkritik malah ke tahap memperlekeh kepimpinan Abdul Hadi sebagai presiden PAS.

Orang itu merupakan seseorang berjawatan profesor bidang undang-undang perbandingan (comparative laws) iaitu salah satu daripada puluhan cabang bidang undang-undang. Profesor ini juga dianggap sebagai pakar salah satu lagi cabang undang-undang iaitu undang-undang perlembagaan (constitutional laws) malah sering menulis terutamanya di akhbar-akhbar alternatif serta memberi pandangannya berkaitan isu-isu perlembagaan.

Laman web Malaysiakini turut melaporkan bahawa akibat kecewa dengan cara pengendalian isu tindakan tataterbib terhadap enam mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah, sekumpulan mahasiswa mengugut untuk menggegarkan isu itu dalam muktamar PAS 2011.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, sekiranya dalam tempoh terdekat kepimpinan PAS masih berdiam, pihaknya akan memastikan ia menjadi antara isu utama yang dibahaskan.

Zombi Kg Pisang ialah nama samaran seorang pembaca SiasahDaily. Beliau percaya pada motto "Tiada sokongan tanpa kritikan."

1 comment:

tengala said...

Memang betul la..KUIN bukan hak PAS apa yg tak betulnya...ada juga orang nak ambik kesempatan dalam hal nie nak perjatuh MB...Cuma Presiden PAS tu boleh menasihati MB supaya lebih bertolak ansur dalam hal tersebut sebagai satu jemaah politik...
Satu hal lagi kena tengok juga pelajar2 tersebut melalui prosedur yang betul atau tidak dalam memperjuangkan hak mereka....jika mereka berada dipihak yang benar KUIN mengambil satu langkah kebelakang dalam menanggani satu2 isu dengan menggantung pelajarnya...jika pelajar tersebut bertindak tanpa fakta jadi tiada hal mereka perlu digantung menerusi akta universiti...





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...