TERKINI :

Friday, April 8, 2011

Ustaz Azizan bijak pisahkan tugas kerajaan dengan kerja parti!

Oleh AZAMIN AMIN

BALING: Wang kerajaan adalah milik rakyat dan bukan untuk kegunaan parti yang memerintah bagi tujuan pembangunan dan sebarang aktiviti.

Pesuruhjaya PAS Kedah Dato' Seri Azizan Razak berkata, walaupun sudah mentadbir kerajaan selaku Mneteri Besar, beliau tidak membenarkan dan menggunakan wang kerajaan untuk parti apatah lagi untuk kepentingan diri sendiri."PAS sentiasa berdikari dan bergerak atas duit dan sumbangan ahlinya, tidak pernah menggunakan duit kerajaan.

"Bukan macam parti sebelah sana, yang bergantung kepada harta dan jentera kerajaan untuk apa juga program yang dilakukan,"katanya membidas sikap penyalahgunaan harta kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perletakan Batu Asas Kompleks PAS Baling, dekat sini 30 Mac lalu.

Turut hadir sama Adun Kupang Johari Abdullah, Adun Kuala Ketil Haji Md. Zuki Yusof dan Yang Dipertua PAS Baling, Tuan Guru Abdul Wahab Hassan yang lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Awang Lanai.

Ustaz Azizan berkata selian menjaga kepentingan wang kerajaan, beliau juga tidak pernah mengarahkan para pegawai kerajaannya untuk terlibat bagi membantu program parti malah memberi kebebasan kepada mereka untuk mengikuti fahaman politik masing-masing di luar waktu kerja.

"Tadi saya menyampaikan bantuan banjir kepada mangsa di sini, melibatkan urusan rasmi kerajaan dan ramai para pegawai turut serta.

"Tapi bila ke sini, saya larang para pegawai kerajaan mengikuti kerana ini urusan parti...kerja parti saya pula," katanya.

Antara bukti lain tindakan beliau, yang sudah menjadi pengetahuan umum, Menteri Besar Kedah ini akan menggunakan khidmat polis trafik atau peronda bagi tujuan mengiringi kenderaannya bagi tujuan majlis ataupun acara rasmi sebaliknya tidak bagi program PAS mahupun aktiviti Pakatan Rakyat.

Begitu juga ketika mula-mula menjawat jawatan Menteri Besar, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) memberi peruntukan untuk membina pagar rumah kediaman beliau atas faktor keselamatan, Ustaz Azizan enggan menerima sebaliknya menggunakan wang sendiri untuk tujuan itu.

Dalam pada itu, Ustaz Azizan menyarankan amalan bersedekah yang telah dilakukan ahli-ahli PAS selama ini untuk perjuangan Islam, mestilah diteruskan kerana perbuatan itu diiktiraf Nabi Muhammad s.a.w mendapat ganjaran berlipat ganda daripada Allah swt.

"Walaupun kita memerintah, sikap memberi infaq jangan ditinggalkan bahkan ditingkatkan lagi bagi meneruskan perjuangan agama Allah ini.

"Sumbangan ahli amat diperlukan dan ianya tidak sia-sia kerana pasti mendapat imbuhan dunia dan akhirat. Allah jamin hidup orang yang uska bersedekah ini, selamat. Cuba tunjukkan orang yang rajin bersedekah, menjadi papa kedana?" katanya menaikkan semangat hadirin.

Biarpun hujan mula turun dengan lebatnya, hadirin tidak berganjak, malah menanti dengan penuh sabar ucapan yang disampaikan Ustaz Azizan, malah ada yang mengambil peluang bersalaman dan bergambar dengan beliau.

Seusai ucapan, Ustaz Azizan dan Tuan Guru Haji Ahmad bersama-sama meletakkan batu asas Kompleks yang dianggar menelan belanja RM3.5 juta manakala tanah kawasan tersebut telah dibeli dengan harga sejumlah lebih RM100,000 hasil sumbangan dana dan infaq ahli-ahli PAS.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...