TERKINI :

Thursday, March 31, 2011

Andai UMNO anjur majlis minum arak, ulamak pakat-pakat tengok saja?

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

http://1.bp.blogspot.com/_bR10UkQfBXU/TLxGW-CH8nI/AAAAAAAAG7A/lBbPnOZL2Pc/s1600/ulama+umno+bodoh.jpg
Bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor.

"Semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek di kalangan politikus dan media di negara ini," tulis Dr Mohd Asri dalam blognya.

Dr. Asri bukan orang politik dan bukan juga ulamak dari parti politik. Komen dan kritikan terbuka untuk mana-mana pihak. Tidak kira PAS atau Umno, beliau menegur apa yang dianggap tidak kena berasaskan ilmu yang dimiliki. Sikap itu berbeza dengan ulamak-ulamak yang turut tidak berpolitik namun mereka mengulas hukum menurut versi Umno. Apabila muncul isu kemungkaran yang dicetuskan oleh pihak Umno, maka ulamak-ulamak tersebut mendiamkan diri seperti apa yang disebut ‘syaitan bisu’.

Apabila ulamak dalam PAS, sama ada dari Dewan Ulamak atau Pemuda, yang mengajak rakyat memprotes di jalan raya ia bukan perkara pelik (walaupun jarang dilakukan). Tetapi apabila ulamak seperti Dr. Asri yang mengajak rakyat mengadakan perhimpunan besar, maka tentulah ia tercetus dari sebuah isu yang sangat besar. Ia adalah manifestasi dari kebejatan politik yang melanda negara sehingga ke peringkat mencabar kewibawaan golongan yang mempunyai ilmu agama yang sangat ramai di negara ini.

Qazaf atau menuduh orang berzina termasuk dalam dosa-dosa besar dalam Islam yang jika Hukum Hudud dilaksanakan, maka hukuman mandatorinya ialah 80 kali sebatan. Ia tidak menawarkan hukuman lain menurut budi bicara pemerintah seperti dalam hukuman takzir. Berdasarkan hukuman itu, dosa qazaf menghampiri perbuatan zina yang dikenakan 100 sebatan. Peminum arak dihukum sebat 80 rotan, berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Saidina Umar Al-Khattab. Sekali lagi kalau berpandukan jumlah sebatan, dosa qazaf mungkin lebih kurang sama dengan dosa meminum arak. (Hanya Allah yang Maha Mengetahui).

Soalan yang menarik untuk dijawab oleh seluruh umat Islam Di Malaysia; Bagaimana agaknya andainya terdapat segolongan manusia yang mengadakan pesta minum arak di merata-rata tempat. Ia dibuat dengan anjuran rasmi sebuah parti politik. Program maksiat itu diberi permit oleh pihak berkuasa. Ia diiklankan secara meluas dalam semua media massa. Di sesetengah tempat pesta maksiat itu turut dihadiri oleh ulamak-ulamak parti politik yang menjadi penganjur program tersebut. Ulamak-ulamak tersebut tidaklah minum arak bersama, tetapi melopong mulutnya melihat kaki botol meneguk arak. Mereka langsung tidak mencegah. Apa reaksi masyarakat Malaysia, bermula dari alim ulamak sehinggalah kepada umat Islam biasa yang masih mempunyai saki baki iman?

Peliknya, apabila maksiat qazaf dibuat ramai yang hanya melopong menyaksikan perbuatan tersebut, termasuk sebilangan besar ulamak. Tiga tokoh Umno menjadi juara qazaf, bertindak dengan sewenang-wenangnya disokong oleh semua media-media utama negara. Kebencian terhadap pemfitnah zina itu ada tetapi tidak sepadan dengan keangkuhan golongan tersebut mencabar hukum Allah dengan melakukan maksiat qazaf. Hanya segelintir laporan polis dan demonstrasi. Itupun lebih bertumpu kepada persoalan konspirasi fitnah dan video lucah, tetapi bukan kepada isu qazaf. Tidak terkecuali Dewan Ulamak dan Pemuda PAS.

Bahkan terdapat pihak yang bersekongkol dengan pihak lain mendesak diadakan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat isu fitnah bikinan Umno itu.

Dr. Asri dengan tegas menyatakan, tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Beliau memetik Al-Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya 'Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah.

Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-ma'ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy 'an al-munkar (pencegahan kemungkaran) apabila ia nyata dilakukan.

Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah: "Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta'ala telah melarang hal ini. Kisah 'Umar dan 'Abd al-Rahman bin 'Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa 'Umar RA telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah 'Umar dan berkata: Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. 'Umar bertanya: Apa dia? Dia berkata: Allah Ta'ala telah berfirman (maksudnya): Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya): Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka 'Umar pun meninggalkannya... Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Adab Islam sangat jelas berhubung isu tuduhan melakukan maksiat ini. Mustahil ulamak Umno tidak tahu. Malangnya mereka tidak pernah memberi nasihat kepada golongan bukan ulamak yang besar kepala, membuat segala keputusan dalam Umno sekalipun bercanggah dengan Islam.

Ummi Hafilda diusung ke sana kemari untuk melakukan maksiat qazaf, menuduh secara terbuka Anwar meliwat dan berzina, masyarakat semacam tidak kisah kerana melihatnya seolah-olah upacara politik dari melihat berdasarkan persepsi hukum. Ia dianjurkan oleh Umno dan ada ulamak dari parti itu yang turut hadir mendengarnya.

Saya ingin mengucapkan setinggi tahniah dan penghargaan kepada beratus-ratus anak muda di Taman Wira Mergong yang berjaya menghalang Ummi Hafilda dari melakukan maksiat qazaf di tempat mereka. Mereka mengepung tempat ceramah dan mengusir Ummi dari cuba menghampiri. Mungkin sebahagian dari anak muda tersebut tidak mengerti apa itu qazaf tetapi tindakan mereka lebih berkesan dari alim ulamak dalam menghalang maksiat.

Isu video seks fitnah bikinan juhalak Umno masih belum berakhir. Media talibarut BN makin ghairah, langsung tidak menunjukkan tanda keinsafan. Mereka seolah-olah mahu memaksa rakyat untuk mempercayai bahawa Anwar benar-benar seorang penzina.

Bekas Mufti Perlis mungkin tokoh yang tidak berapa disenangi oleh beberapa pihak dalam beberapa isu. Tetapi keberaniannya (sebagai seorang ulamak non partisan) menyanggah politik jijik Umno yang mengetepikan hukum sehingga adalah tindakan sewajibnya bagi golongan yang beriman. Ia mesti dicontohi oleh semua ulamak.

“Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini.

“Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.

“Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!” tegas beliau.

Dalam isu qazaf ini ulamak (tidak kira dari golongan mana) sewajarnya berada di saf hadapan untuk memerangi kemungkaran besar UMNO. Lebih-lebih lagilah Dewan Ulamak PAS yang terkenal dengan sifat ‘pemalu dan pendiam’ dalam banyak isu.[@Kedahlanie.info]

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...