TERKINI :

Wednesday, February 9, 2011

Terima Kasih PETRONAS..!!

Petronas sumbang RM2 juta kepada TUDM bagi pemindahan rakyat Malaysia di Mesir

KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menyumbang RM2 juta kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membantu operasi pasukan itu mengeluarkan rakyat Malaysia dari Mesir.

Sumbangan itu diberikan berikutan gesaan kerajaan baru-baru ini supaya sektor awam dan swasta bekerjasama untuk membawa pulang semua rakyat Malaysia ke tanah air.

"Petronas berbesar hati untuk bersama-sama dengan TUDM dan syarikat Malaysia yang lain termasuk AirAsia Bhd dan Malaysia Airlines Bhd menjayakan usaha murni ini," menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat Petronas hari ini.

Petronas juga berkata syarikat itu juga telah memindahkan semua warga kerja dan keluarga mereka dari Mesir dan sedang memantau perkembangan di negara itu.

Sementara itu, Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyatakan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kelancaran operasi pemindahan rakyat Malaysia di negara bergolak itu.

Presiden UNI-MLC Mohamed Shafie Mammal berkata, operasi pemindahan itu dijalankan dengan lancar tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik mereka yang berkenaan.

"Hanya seorang pemimpin yang berwibawa dan berjiwa patriotik mampu mengambil tindakan yang sesuai untuk semua rakyatnya dan pihak yang berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Ops Piramid merupakan satu lagi kejayaan gagasan 1Malaysia.

Ops Piramid ialah operasi bagi membawa keluar rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir yang menyaksikan demonstrasi antikerajaan diadakan di beberapa bandaraya, ke Jeddah, Arab Saudi.
- Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...