TERKINI :

Saturday, February 5, 2011

SUARAM: Masa untuk penubuhan IPCMC

SUARAM sekali lagi berasa kecewa terhadap satu lagi kes keganasan polis yang lebih kurang sama seperti kes Chia Buang Hing (gambar kanan bawah) yang berlaku pada 18 Desember tahun lepas.

Kami mengutuk dan memandang serius terhadap tindakan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan keganasan, mengancam dan disyaki merampas wang bernilai RM 20,000 milik mangsa Chow Soo Meng (36 tahun) hanya kerana disyaki memiliki dadah.

Kejadian ini berlaku pada 31 Januari yang lalu semasa mangsa sedang bekerja di kedai telefon bimbitnya pada pukul kira-kira jam 5 hingga 6 petang di Sungai Buloh. (Laporan Malaysiakini, 2 Februari 2011).

Chow sebagai seorang wanita yang mengandung lapan bulan mendakwa bahawa dia telah ditampar dan dirompak serta ditangkap dengan gari selepas 10 orang lelaki polis berpakaian preman memecah masuk ke dalam kedainya. Antara harta benda yang dirampas dan masih belum dipulangkan termasuk rokok, minuman keras, minuman tin, oren mandarin dan sim card telefon bimbit.

Dalam insiden ini, kelihatan jelas pengawai polis yang terlibat melakukan penyalahgunaan kuasa apabila pengawai yang melakukan operasi hanya memakai pakaian preman dan bertindak keras terhadap seorang wanita yang sedang mengandung. Melalui insiden ini, jelas menunjukkan pihak polis langsung tidak pernah berinisiatif untuk menangani isu penyalahgunaan kuasa dalam anggotanya sendiri malah menjatuhkan maruahnya yang kononnya bersifat profesional dan bermesra rakyat.

SUARAM menuntut Kerajaan dan Ketua Polis Negara memberi penjelasan terhadap isu penyalahgunaan kuasa yang kian hari berlaku pada masa kini. Selain itu, Ketua Polis Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed perlu meletak jawatan sekiranya terbukti kes keganasan polis semakin meningkat di Bandaraya Petaling Jaya dengan tanpa sebarang langkah untuk menangani isu tesebut.

Memandang isu penyalahgunaan kuasa polis semakin serius, SUARAM akan meneruskan kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Polis pada tahun 2005. SUARAM mengutuk tindakan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) yang hanya sebagai bahan kosmetik yang tidak dapat menyakinkan rakyat untuk menjalankan reformasi terhadap badan penguatkuasa. Kami berpendapat penubuhan IPCMC masih diperlukan walaupun kerajaan ingin wujudkan SIAP kerana IPCMC lebih bersifat adil dan spesifik berbanding dengan SIAP.

Isu kepolisian akan menjadi penentuan undian rakyat terhadap pilihanraya umum yang akan datang sekiranya kerajaan pemerintahan Barisan Nasional gagal menunai tuntutan rakyat dan kurang inisiatif menangani isu tersebut dengan segera. SUARAM menuntut supaya kepolisian negara menjadi bebas daripada kongkongan kerajaan pemerintahan dan polis perlu taat setia serta berkhidmat untuk rakyat jelata.

*Kenyataan media oleh Yap Heng Lung selaku penyelaras SUARAM pada 4 Februari 2011.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...