TERKINI :

Wednesday, February 9, 2011

Kedah destinasi pelancongan perubatan


ALOR SETAR 8 Feb. - Kedah mahu semua hospital awam dan pusat perubatan swasta di negeri ini berusaha mendapatkan Sijil MSQH yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi membolehkan negeri itu muncul sebagai destinasi pelancongan perubatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, ia penting kerana hospital bukan sahaja tempat masyarakat mendapatkan rawatan bermutu tinggi tetapi juga memberi pulangan kepada negeri dan rakyat menerusi kedatangan pelancong ke Kedah untuk menerima rawatan.

"Sebab itu kerjasama antara hospital dengan Jabatan Kesihatan negeri, Kementerian Kesihatan dan semua pihak adalah penting.

"Setakat ini pelancongan perubatan di utara hanya tertumpu di Pulau Pinang tetapi Kedah juga sebenarnya berpotensi kerana kedudukannya berdekatan dengan Indonesia dan Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyampaian Anugerah Akreditasi MSQH kepada Pusat Perubatan Kedah (KMC) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Marzhuki Md. Isa dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datin Paduka Siti Sa'diah Sheikh Bakir.

Azizan berkata, kemudahan yang bermutu di hospital dan pusat perubatan swasta menjadi pendorong para pelancong datang ke Kedah dan seterusnya menjana ekonomi negeri.

Beliau berkata, kejayaan KMC mendapatkan Sijil MSQH diharap dapat menjadi pemangkin kepada pusat perubatan lain untuk turut serta mendapatkan sijil tersebut.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri bercadang membina sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Langkawi bagi menampung keperluan penginapan pelancong domestik di pulau peranginan tersebut.

Menurutnya, dakwaan mengenai Langkawi semakin kurang dikunjungi pelancong adalah tidak tepat kerana kerajaan negeri mendapati jumlah pelancong semakin meningkat hingga terdapat banyak permintaan daripada syarikat swasta untuk membina hotel.

"Permohonan pihak swasta itu adalah untuk membina hotel mewah tetapi kerajaan negeri bercadang membina hotel tiga bintang dengan 300 bilik di kawasan Pokok Asam," katanya tanpa menyatakan kos pembinaan hotel tersebut.

Selain itu beliau berkata, kerajaan negeri juga menggalakkan mana-mana pihak untuk menceburi perniagaan homestay bagi tujuan berkenaan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...