TERKINI :

Wednesday, February 9, 2011

Anak kedua Exco Kedah nekad tak mau pulang..!!

Jangan bimbang keselamatan kami 

ALOR SETAR - “Jangan bimbang keselamatan kami di Mesir kerana keadaan di sini sudah semakin pulih seperti sediakala,” kata Hafizul Hak, 31, anak kedua Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan syariah di Universiti Al-Azhar di Mansoura kepada media sewaktu dihubungi bapanya melalui persidangan video semalam.

Hafizul Hak, yang sudah empat tahun menetap di Mesir, berkata rakyat Mesir di kawasan kediamannya di Montazza, Iskandariah mula menjalani kegiatan seharian seperti biasa, manakala bank dan sebahagian besar kedai yang ditutup sebelum ini kembali dibuka seperti sediakala.

Menurutnya, demonstrasi yang sebelum diadakan secara besar-besaran turut kembali tenang dan kini diadakan lebih jauh iaitu di kawasan Mahatorom, terletak lebih kurang belasan kilometer dari kawasan kediamannya.

“Saya bersama tiga lagi keluarga yang berada di sini mengambil keputusan untuk tidak pulang bagi membolehkan kami menamatkan pengajian mengikut jadual ditetapkan.

“Lagipun, keadaan di sini sudah pulih seperti sediakala dan tempoh masa perintah berkurung kini daripada jam 7 malam hingga 8 pagi keesokannya,” katanya sewaktu dihubungi oleh bapanya kelmarin.

Menceritakan kembali keadaan sewaktu di awal demonstrasi berlaku, Hafizul Hak mendedahkan beliau bersama beberapa pelajar Malaysia yang lain tidak berdepan sebarang masalah keselamatan dan bekalan makanan.

Beliau tidak menolak kemungkinan kawasan yang agak pedalaman antara faktor kediamannya tidak menerima kesan besar daripada demonstrasi itu.

“Bagaimanapun, kami bersama beberapa rakyat Mesir yang tinggal di kawasan kediaman itu mengambil inisiatif membuat kawalan 24 jam sehari secara bergilir-gilir untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Bagi saya, keadaan paling kritikal sewaktu talian perhubungan terputus selama tiga hari sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kami.

“Bagaimanapun, kebimbangan itu lenyap setelah saya dapat menghubungi semula ayah dan keluarga melalui Internet pada hari berikutnya,” katanya.

Hafizul Hak berkata, terdapat desakan daripada pegawai Kerajaan Pusat dan Yayasan Negeri memintanya dan pelajar lain yang enggan pulang untuk menarik balik keputusan dan segera kembali ke tanah air.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...