TERKINI :

Wednesday, February 9, 2011

Ada negeri dah mohon untuk wujudkan Polis Bantuan..

Kerajaan persekutuan perlu terima tawaran kerajaan negeri untuk tubuhkan Pasukan Polis Bantuan

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein semalam yang meminta pihak kementerian mempertimbangkan permohonan Kerajaan Selangor untuk Menubuhkan Pasukan Polis Bantuan.

Surat ini adalah yang kedua dihantar Menteri Besar (gambar kanan) selepas surat pertama yang dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri dan salinannya dihantar kepada Menteri Dalam Negeri pada Julai tahun lepas, tidak mendapat sebarang maklum balas.

Dalam surat kepada Menteri Dalam Negeri itu, Menteri Besar menyatakan kebimbangan Kerajaan Negeri terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat sehingga menimbulkan kebimbangan serius di kalangan rakyat Selangor, serta mengulangi hasrat kerajaan negeri untuk mengambil langkah konkrit demi menangani masalah ini.

"Saya menulis kepada YB Menteri Dalam Negeri supaya hasrat Kerajaan Selangor untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan menjadi kenyataan. Keselamatan rakyat adalah keutamaan kerajaan negeri, dan tiada alasan munasabah mengapa kerajaan Persekutuan harus menolak tawaran kami untuk menyumbang sumber tenaga dalam usahasama menjaga keselamatan rakyat," kata Menteri Besar.

Kerajaan Selangor pernah memohon kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi perintis, tetapi ditolak dengan alasan anggota polis mencukupi untuk mengawal keselamatan.

Bagaimanapun, dua kes yang terbaru di mana dua pegawal keselamatan ditetak di Damansara Perdana serta kes wanita hamil yang ditampar dan dirompak jelas membuktikan perlunya ada pasukan keselamatan tambahan untuk membantu polis mengawal keselamatan dan mencegah kejadian jenayah.

Niat Kerajaan Selangor ini murni iaitu menyediakan pasukan keselamatan bagi membantu dan melengkapi rutin harian anggota polis, bukannya mengambil alih tugas penguatkuasaan pasukan polis. Dengan peningkatan bilangan pasukan keselamatan yang diberi tugas rondaan dan pencegahan jenayah, keselamatan rakyat dapat dipertingkatkan.

"Kerajaan Selangor komited untuk menubuhkan Pasukan Polis Bantuan ini dengan hasrat menyediakan persekitaran kehidupan yang aman selaras dengan misi Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai negeri idaman, tenteram dan berkebajikan," kata Menteri Besar.

*Kenyataan media daripada sekretariat akhbar, pejabat Menteri Besar Selangor.

- Merdeka Review


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...