TERKINI :

Monday, January 31, 2011

Mubarak penindas rakyat Palestin


KAHERAH - Presiden Mesir, Hosni Mubarak bukan sahaja menjadi penindas rakyatnya selama 30 tahun tetapi beliau juga memainkan peranan penting dalam penyeksaan berterusan rejim Israel ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza.

Sempadan Rafah yang terletak di selatan Gaza dan bersempadan dengan Mesir menjadi satu-satunya laluan keluar dan masuk penduduk Palestin tanpa perlu melalui sekatan rejim Zionis.

Namun, kerajaan Mesir di bawah arahan Mubarak berterusan menutup sempadan itu bagi menghalang lebih 1.5 juta penduduk Gaza daripada mendapatkan bekalan harian penting termasuk makanan dan ubat-ubatan yang disekat rejim Israel.

Sumbangan Mubarak kepada sekatan memusnahkan di Gaza tidak terhad kepada menyeksa penduduk Gaza tetapi pemerintah kejam itu turut menyasarkan bantuan luar yang dihalang daripada dihantar ke Gaza.

Mubarak yang selama ini setia mendengar arahan sekutunya Israel turut menempatkan 750 polis sempadan di Rafah selepas diarah oleh Tel Aviv pada 2005.

Pada Jun 2007, Mubarak dengan persetujuan Israel mengarahkan sempadan Rafah ditutup sepenuhnya selepas kumpulan pejuang Hamas di Gaza memenangi pilihan raya dan mula memerintah wilayah Palestin itu.

Selain untuk menjaga hubungan baik dengan Israel, tindakan Mesir itu dilihat sebagai simbol ketakutan Mubarak yang ingin memusnahkan Hamas yang mempunyai hubungan baik dengan parti pembangkang Mesir, Ikhwan Islam.

Lebih menyedihkan dan seperti yang sudah dijangka, kesetiaan tidak berbelah bagi Mubarak kepada rejim Zionis tidak mendapat balasan yang diingini apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak memberi sebarang kenyataan menyokong Mubarak sejak protes tercetus, Selasa lalu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...