TERKINI :

Sunday, January 16, 2011

Mini i-City kini di Alor Setar

ALOR SETAR - Jika sebelum ini dataran berhadapan dengan Masjid Zahir dipenuhi dengan golongan remaja yang melepak, namun bermula awal bulan lalu suasananya berubah apabila dipenuhi dengan semua peringkat umur.

Tinjauan Sinar Harian Harian pada malam minggu mendapati, keadaan itu berubah setelah terdapatnya pokok tiruan yang dihiasi dengan cahaya lampu berhampiran Balai Nobat dan Galeri Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pokok lampu bercahaya dipasang sebanyak 14 batang yang diwarnai dengan warna merah, biru, putih dan hijau yang menggamit lebih daripada 500 pengunjung yang bukan sahaja daripada penduduk tempatan malahan dari negeri jiran iaitu Perlis dan Pulau Pinang.

Pengunjung dari Perlis, Syazwani Abdul Karim berkata, dia mengetahui mengenai keindahan malam di bandar raya ini apabila dimaklumkan rakannya yang tinggal di sini.

Syazwani berkata, pemandangan yang dihiasi dengan lampu itu memukau pandangannya dan menyebabkan dia tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan di dataran yang turut dipanggil sebagai ‘Mini i-City’.

Menurutnya, sebelum ini ramai yang tertumpu di Shah Alam untuk melihat keindahan lampu, namun apabila kemudahan ini disediakan di sini pastinya akan menjadi tarikan terbaru bagi Kedah.
“Kini bagi penduduk yang tinggal di sebelah Utara, mereka tidak lagi perlu ke Shah Alam untuk melihat keindahan cahaya lampu kerana kemudahan itu disediakan di negeri jelapang padi.

“Saya yakin jika ia dikekalkan dan dijaga dengan sempurna, ia mampu menjadi produk pelancongan terbaru bagi negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Rata-rata pengunjung yang ditemui mahukan lampu yang dipasang termasuk di sekitar bandar raya Alor Setar bersempena Hari Keputeraan Sultan Kedah yang ke-83 esok (hari ini), akan dikekalkan.

Pengunjung, Dr Okimi Teoh, 58, berkata, lokasi yang dipilih adalah bersesuaian kerana ia adalah salah satu lokasi tarikan pelancong yang datang ke pusat bandar.

Menurutnya, sambutan Hari Keputeraan kali ini sememangnya dilihat begitu meriah apabila ia diraikan bersama masyarakat tempatan.

“Langkah yang dilaksanakan ini amat bagus untuk orang ramai bagi mengisi masa lapang mereka bersama keluarga pada waktu malam namun, ia diharap dapat dikekalkan walaupun tiadanya sebarang perayaan.

“Selain itu, pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan ia sentiasa dijaga dan diselenggara dengan baik untuk memastikan ia sentiasa berfungsi,” katanya.

Che Mahadzir Abd Razak, 41, berkata, sekiranya penambahan lokasi dibuat adalah sangat baik untuk golongan berkeluarga bersantai.

Dia berkata, antara lokasi yang perlu dilakukan pembaharuan yang sama adalah Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti kerana lokasi itu adalah tumpuan golongan berkeluarga melakukan aktiviti riadah pada waktu petang.

Che Mahadzir berkata, apabila adanya lokasi sebegini, ia secara tidak langsung dapat menambah jumlah kemasukan pelancong di Tanah Besar.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...