TERKINI :

Thursday, January 13, 2011

Ada orang Yan tanya, “Kerajaan Negeri buat apa?”

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR @ WartaKedah

YAN: Kerajaan Negeri terus memberikan penekanan dalam usaha membangunkan Daerah Yan dengan menyediakan peruntukan bagi kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk kesejahteraan rakyat sepanjang tahun 2010 melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Yan dan Pendang.

Pegawai Khas Kawasan Kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan berkata, antara perbelanjaan Kerajaan Negeri bagi tahun 2010 ialah menaik taraf jalan serta lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan K 146 Guar Chempedak/Yan (Titi Serong), Yan dengan peruntukan sebanyak RM469,000.

“Penjelasan ini perlu untuk menjawab soalan yang sering dilontarkan oleh pihak tertentu iaitu, Kerajaan Negeri buat apa?” ujarnya.

Antara kerja lain ialah membersihkan semak samun, memotong rumput dan tumbuh-tumbuhan di kawasan bahu jalan di sepanjang jalan Negeri bagi Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM119,000.



Menurut Muzaini, kerja-kerja perkhidmatan kebersihan di kawasan jalan, bahu jalan dan longkang serta kerja-kerja kecemasan di jalan ke Puncak Gunung Jerai di Daerah Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM97,000.

“Kerja-kerja membaikpulih jalan turut dijalankan di samping menaik taraf jalan dan lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan Kuala Kedah/Bedong (K1), Yan dengan peruntukan sebanyak RM385,000,” katanya.

Muzaini menegaskan, kerja-kerja membekal dan menghantar Guardrail serta lain-lain kerja yang berkaitan dengannya di Jalan-Jalan Negeri di Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM180,000.

“Kerja-kerja membaik pulih jalan dan lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan K1, Sungai Limau/Sungai Kering, Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM373,000,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, kerja-kerja membaik pulih jalan serta lain-lain kerja yang berkaitan dengannya di Jalan Kampung Pondok Sheikh Mahmud (MARRIS), Bukit Besar turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM118,000.

“Peruntukan sebanyak RM80,000 turut dibelanjakan untuk kerja-Kerja membaik pulih jalan serta lain-lain kerja yang berkaitan dengannya di Jalan Kampung Seberang Jaya, Mukim Sala (MARRIS), Yan,” jelasnya.

Beliau berkata, kerja-kerja menambun tanah penempatan semula mangsa tsunami turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM780,000.

Tambahnya, peruntukan sebanyak RM300,000 turut dibelanjakan untuk kerja-kerja membaru muka jalan di Jalan Guar Chempedak/Yan (Teroi) dan kerja-kerja membaru muka jalan di Jalan Bedong/Singkir turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Muzaini berkata, kerja-kerja membaru muka jalan di Jalan Yan/Tanjung Jaga turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM300,000.

Sementara itu, jelasnya, antara projek-projek pembangunan kecil luar bandar bagi Daerah Yan tahun 2010 ialah peruntukan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan peruntukan sebanyak RM48,200.

“Kerja-kerja menaik taraf Padang Awam Kuala Sala, Yan adalah antara projek pembangunan di Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM71,070,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, peruntukan DUN Guar Chempedak turut disalurkan sebanyak RM33,500 di samping peruntukan khas tahap pertama perbelanjaan pembangunan untuk daerah sebanyak RM240,000.

Di samping itu, katanya, peruntukan membaiki rumah DUN Sungai Limau sebanyak RM35,706 turut disediakan serta peruntukan di bawah Projek Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) tahun 2010 bagi Yan sebanyak RM75,000.

“Peruntukan sebanyak RM73,363 turut disediakan untuk membaiki rumah DUN Guar Chempedak serta peruntukan kereta tolak dan pengusung jenazah sebanyak RM2,700,” jelasnya.

Tambahnya, peruntukan menaiktaraf Surau Lebai Abu Bakar, Kampung Teroi turut disediakan sebanyak RM50,000 di samping membina jambatan di depan Surau Kampung Kabu 10 Bawah, Sungai Limau sebanyak RM14,480.

“Kerja-Kerja membekal bahan dan peralatan yang berkaitan untuk pembinaan laluan premix di Kampung Sungai Daun Luar, Yan sebanyak RM19,820 turut disediakan serta pembinaan sebuah jambatan konkrit bagi menggantikan titi kayu di Kampung Teroi Tua, Yan sebanyak RM15,760,” katanya.

Muzaini menegaskan, peruntukan membekal peralatan untuk DUN Sungai Limau turut disediakan sebanyak RM45,500 di samping mengadakan besi pengadang keselamatan jambatan di Kampung Kepala Bukit, Gunung Jerai dan Kampung Titi Teras, Gurun dengan peruntukan sebanyak RM19,975.

Menurutnya, sumbangan bagi membaiki serta menyiapkan rumah penduduk daif Daerah Yan turut diperuntukan sebanyak RM49,074 serta peruntukan khas tahap kedua perbelanjaan pembangunan untuk Daerah Yan sebanyak RM240,000.

“Kerja-kerja mereka bentuk, membekal dan memasang peralatan permainan kanak-kanak di Wad Melor 2 Hospital Daerah Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM19,980,” ujarnya.

Di samping, katanya, kerja-kerja membina sebuah titi atau jambatan di Lot 1733 Simpang Empat Sedaka, Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM17,600 di samping peruntukan sebanyak RM48,200 untuk membekal peralatan untuk DUN Sungai Limau.

Beliau berkata, kerja-kerja membina titi konkrit turut dijalankan di Kampung Selengkoh Tengah, Yan dengan peruntukan sebanyak RM10,000 serta membina dua buah wakaf orang ramai (10’kali 10’) di Pejabat Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM10,000.

“Peruntukan sebanyak RM33,500 turut disediakan untuk membekal peralatan untuk DUN Guar Chempedak di samping menaiktaraf Surau Kampung Setar, Yan dengan peruntukan sebanyak RM50,000,” jelasnya.

Muzaini memberitahu, kerja-kerja membaiki jambatan di Kampung Teroi Bukit, Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM17,600 serta kerja-kerja-kerja membina sebuah titi atau jambatan dari tiang konkrit di Kampung Kabu 10 Atas, Selengkoh (32 kaki panjang kali 10 kaki lebar) dengan peruntukan sebanyak RM16,000.

“Jumlah peruntukan keseluruhan untuk projek-projek pembangunan kecil luar bandar bagi Daerah Yan untuk tahun 2010 ialah sebanyak RM1,268,928,” katanya.

Manakala bagi peruntukan untuk Skim Kafalah Kerajaan Negeri Kedah sehingga bulan Disember tahun 2010 melibatkan seramai 248 orang bagi DUN Guar Chempedak, DUN Sungai Limau dan DUN Gurun sebanyak RM124,000.

Beliau menjelaskan, peruntukan itu disediakan untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik serta keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

“Apa yang penting, kita ingin membangunkan Daerah Yan di samping membantu golongan yang memerlukan serta menaiktaraf kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, sungai dan lain-lain,” ujarnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...